Skip to content
Laman Utama » Dam Camp Pedu yang Padu!

Dam Camp Pedu yang Padu!

Oleh: Ahmad Miqdad

Tanggal 26 hingga 28 April 2024, Tasek Pedu di Padang Terap (Kedah) telah menyaksikan sebuah acara kem perkhemahan terbesar di utara tanah air. Semoga suatu hari Dam Camp bakal menjadi acara kem terbesar di Malaysia.

Suasana malam hari di Dam Camp
Suasana Acara

Salut yang tak terhingga pada team Dam Camp atas kerja keras bagi merealisasikan impian untuk menjayakan acara ini. Sepanjang 3 hari acara berlangsung, kem ini telah dihadiri oleh ribuan manusia. Ini menjadi bukti bahawa wujudnya golongan pencinta alam yang haus akan aktiviti-aktiviti outdoor. Setiap aktiviti yang berjalan diakhiri dengan penuh kemeriahan.

Yang membuatkan saya teruja, acara ini telah dihadiri oleh pelbagai manusia yang jiwa-jiwa mereka memiliki semangat yang tinggi. Ramai di antara mereka datang dari jauh dan harus menempuh perjalanan ratusan kilometer seperti Johor, Kuantan, Temerloh, Kuala Lumpur dan Ipoh. Malah ada juga yang ribuan kilometer jauh dari Switzerland sana. Belum kira lagi mereka yang dari Pattani, negara Gajah Putih yang juga turut hadir bersama-sama.

Semua yang hadir memiliki tujuan dan membawa semangat yang sama, semata-mata untuk berkhemah dan bersilaturahim.

Salut dengan sesungguhnya pada hadirat dan hadirin, walaupun harus menempuh sekitar 50 kilometer ke dalam hutan, dengan fasiliti kemudahan yang terhad, mereka tetap hadir ke Dam Camp ini. Dengan suhu panas membakar melebihi 36′ darjah celcius, berkhemah di padang kosong di tepi tasik tanpa sebarang pokok lebih mencabar.

Kalau anda betul-betul mengaku paling kuat, datanglah berkhemah pada ketika suhu dan membahang seperti berikut dan di tempat yang saya katakan. Saya yang ada di tempat berkenaan pun tak sanggup malah siap berlari ke bawah pokok, menumpang teduh dari bahang yang membakar.

Sekali lagi untuk semua yang hadir, salut untuk anda. Anda manusia hebat.

Atas kehadiran anda, penat lelah dan jerih payah penganjur menjadi sangat bermakna. Puas hati mereka dengan kedatangan anda semua. Teringat lagi kata-kata kawan disana, buat rasa-rasa. Ambil mood sambil-sambil ber ‘healing‘ katanya.

Cita-Cita Lama Terpendam

Saya sebenarnya pernah berkongsi idea dan cita-cita untuk menganjurkan acara seperti ini dengan beberapa orang kawan terdekat. Gara-gara sering ke acara yang lebih kurang sama di Thailand sana. Saya melihat sendiri bagaimana acara ini menjadi tempat escapism bagi rakyat Thailand di samping bercuti dengan keluarga, ditemani muzik yang asyik dan berkhemah sama-sama.

Hanya yang buat saya sedikit penat di sana adalah untuk berdepan dengan bau alkohol yang melampau dan di mana-mana sahaja dalam kawasan acara. Ini hasil pemerhatian saya sekitar 10 tahun lebih berulang alik dan mengikuti acara-acara di Thailand sana. Tapi di Thailand, itu adalah budaya mereka. Mereka bergembira dengan cara mereka, kita harus tetap menghormatinya.

Begitu juga di tempat kita, kali pertama saya merasai vibe yang bersih seperti ini dengan turut serta dalam Dam Camp ini. Tiada bau yang memualkan, tandas terlihat ceria tanpa bau masam, tanpa bau muntah mencemari hari saya yang indah. Saya berharap dari hati kecil saya, tetaplah alkohol tidak menjadi budaya kita. Walaupun ada di antara kita yang menjadikan ia rutin, biarlah jauh dari kalangan ramai. Jauhkan juga dari Dam Camp yang saya sukai ini.

Kerana penggunaan alkohol inilah antara perbezaan yang paling ketara antara acara di negara kita dan di Thailand sana. Hiburan bebas-alkohol masih dapat memenuhi kehendak semua pihak, barulah healing alamiah benar-benar menjadi terapi bagi minda dan jiwa. Tetaplah Dam Camp menjadi acara yang mesra keluarga, boleh dihadiri anak-anak kecil bersama ibu ayah masing-masing. Ia lebih bermakna. Tidak keterlaluan malah disenangi semua pihak. Cita-cita saya? Hingga ke hari ini masih bersifat cita-cita. Insyaallah, satu masa nanti.

Seorang kawan pernah berkata ketika saya utarakan idea tersebut sebenarnya sekitar 5, 6 tahun lepas, acara sebegini di Malaysia tidaklah sesuai. Atau masih belum sesuai. Katanya, rakyat Malaysia belum bersedia untuk idea-idea tersebut. Saya hanya mampu ketawa.

Anda Mungkin Berminat:

MAPO FESTIVAL 2022 – Menuju Pelestarian Seni & Komuniti di Muar
Tabik Hormat Kepada Team Dam Camp!

Untuk sahabat-sahabat penganjur yang saya kenali, Gie Kuala, Amin Arawi dan Baba Bob yang dah berminggu berkampung di sana menyiapkan tempat dan segala kemudahan Dam Camp, teruskan perjuangan anda. Kepada My Overland, Hooligan Camp dan Karabuana seluruhnya, anda memang terbaik. Salut dan hormat untuk anda dan team semua. Tetap terus juang! Pastikan Dam Camp terus menjadi ‘escapism’ buat semua lapisan rakyat jelata!

Ralat, saya tidak sempat mengucapkan selamat tinggal kepada semua sebelum pulang dengan sempurna kerana janji saya untuk datang semula tidak kesampaian. Kalau khemah hitam masih di dalam kereta, pasti saya sampai semula. Apakan daya, khemah hitam saya dah serahkan kepada krew Dam Camp yang berselisih dengan saya di tengah-tengah hutan.

Oleh itu, mohon maaf ya Amin, Gie, Bob and the gang. Nanti kita jumpa lagi. Tahniah semua, jangan berhenti dan jalan terus! Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin geng!

Till the next Dam Camp!