Skip to content
Laman Utama » Menuju Pemulihan Ekosistem (Mesra Alam)

Menuju Pemulihan Ekosistem (Mesra Alam)

Oleh: Iltizan Iman Abd Jalil

Tak lama dulu saya ada berbincang pendek dengan seorang sahabat melalui whatsApp, Benz Ali, masih bertemakan binatangisme yang mendiami suasana perbincangan kami setahun lalu. Nampaknya kali ni membuahkan renungan yang lebih dalam berkaitan alam, walaupun masih bersifat rambang.

Buat masa sekarang, pembangunan ekonomi pertanian komuniti memang sangat penting. Sangat-sangat penting. Tapi bahaya untuk jangka panjang kalau fokus kita hanya tertumpu pada eksploitasi tanah dan bukan menyuburkan tanah. Apatah lagi eksploitasi pekerja untuk sebilangan orang kaya.

Kita tak akan dapat bergerak untuk pembangunan/pergerakan komuniti yang paling established, selagi pattern kerja kita tak mesra alam.

Apa itu “Mesra Alam”?

Mesra alam bukan sekadar ‘tanpa-racun’. Tetapi sebuah kehidupan yang selari antara manusia dengan haiwan dan alam (tanah, habitat, iklim). Dalam pertanian organik, penternakan organik, atau penanaman semula hutan sekalipun, adalah wajib untuk mengutamakan tumbuhan tempatan dan haiwan yang ternakan yang terdiri dari baka tempatan.

Dan kefahaman agrikultur perlu berakar pada potensi persekitaran, yang mana diperlukan oleh ekosistem kita untuk terus stabil. Bertindak atas potensi persekitaran ini jauh lebih penting dari bertindak atas potensi pasaran.

Sebab kalau kita terlalu fokus penyelesaian jangka pendek (ekonomi komuniti semata) untuk tempoh yang terlalu panjang, akhirnya kita akan bergerak ke arah memenuhi permintaan pasaran semata.

Sebab itu propaganda/iklan/ajakan/dakwah pertanian dalam masa yang sama perlu menanam satu tujuan yang kukuh (ideologi/prinsip) untuk memastikan kepentingan hubungan manusia dengan haiwan dan alam persekitaran terjamin.

Masalah Kualiti Tanah

Punca utama sektor pertanian semakin lemah kerana semakin hari kualiti tanah kita semakin lemah. Banyak kawasan/habitat tercemar, ekosistem jadi tak stabil; bukan setakat haiwan, orang juga terpaksa hidup saling berebut. Nak kembali pada kehidupan yang baik, stabil, jadi semakin susah.

Apa yang berlaku sekarang adalah masalah pengelolaan tanah yang membuatkan kemiskinan tak selesai dan pencemaran alam tak selesai.

Sebab kita tak terlepas dari ekosistem, manusia tetap sepenuhnya terlibat dengan pergerakan ekosistem.

Keadaan tanah dan iklim (geografi) menentukan corak ekosistem persekitaran. Ekosistem pula menentukan pergerakan manusia (individu-komuniti). Dan akhirnya pergerakan manusia akan menentukan keadaan tanah kembali.

Tanah – ekosistem – manusia – tanah – ekosistem – manusia – tanah dan seterusnya… Begitu kot coraknya kehidupan dari kanta yang lebih menyeluruh, yang tak ada satu pun terlepas dari yang lain.

Maka, secara umum boleh dikatakan untuk memperbaiki kehidupan manusia, kita perlu memperbaiki kehidupan alam. Juga sebaliknya,

Untuk memperbaiki kehidupan alam, kehidupan manusia dari segala sikap dan perangainya perlu diperbaiki.

(Perangai/sikap = tindak-tanduk manusia yang terhasil dari kepercayaan terdalam mereka)

Kalau penjagaan hubungan manusia dengan alam lemah, maka serba-serbi penjagaan mereka dengan sifat paling asas kewujudan diri mereka juga lemah. Dalam kata lain, jika mereka tidak menjaga alam maka mereka tidak menjaga diri sendiri.

Untuk memperbetulkan perkara ni, kerja keras dan kesabaran diperlukan. Cakap saja tak jadi, tergesa-gesa (tanpa sabar) pula boleh merosakkan diri.

Semalam adalah hari Alam Sekitar Sedunia, maka adalah baik kita menyambutnya secara konsisten setiap hari dengan melakukan penambahbaikan kepada alam dan bumi.

Poster Hari Alam Sekitar Sedunia dari Kebun Cinta Lestari bagi merangsang semangat masyarakat agar cintakan alam dan sikap bertanggungjawab terhadap ekosistem. | Kredit: Ahmad Syifaa Ul Fawwaz

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *