Aisyah Baharuddin, seorang artis kelahiran Pontian yang menetap di Parit Raja, Johor, mempersembahkan karya ‘seni persembahan’nya yang bertajuk ‘Highway’ di Kampung Sri Gading, Batu Pahat, pada 1 Mei baru-baru ini.
Acara berlangsung di bawah projek seni “Topography of Mirror City” yang melibatkan 6 buah negara.
Projek seni ini dijalankan untuk mencari garis persamaan dan menemukan hubungan antara 6 buah negara Asia Tenggara dengan menggambarkan semula keadaan dan kehidupan penempatan asal melalui praktis seni. Projek ini melibatkan Malaysia, Indonesia, Taiwan, Kemboja, Thailand dan Bangladesh.
Di bawah tema “Sejarah, Komuniti, Identiti”, Aisyah memberitahu, tajuk ‘Highway’ tersebut merujuk kepada kedudukan lokasi persembahan beliau yang berada di sebelah tali air Sg. Simpang Kanan yang menjadi lebuhraya purba lebih 500 tahun dahulu.
Tome Pires, seorang pelayar Portugis, pernah mencatat pelayarannya sewaktu melalui laluan lebuh raya purba purba ini. Dalam The Suma Oriental of Tome Pires: an account of the East, from the Red Sea to China, written in Malacca and India in 1512-1515 (Volume II: Malacca), beliau mencatatkan bahawa terdapatnya penempatan yang membangun di persisir Sg. Simpang Kanan ini.
Ia juga pernah menjadi laluan utama yang menghubungkan Pahang, Muar, Melaka, Batu Pahat sehinggalah ke Kuala Endau. Laluan sungai ini terpisah menjadi dua laluan iaitu Sungai Bekok dan Sungai Sembrong.
Selain itu, ia adalah sebagai jalan pintas untuk menyeberangi ke Selat Melaka melalui Laut China Selatan.
Aisyah menjelaskan lebih lanjut, tujuan seni persembahan dan pameran beliau ini pertamanya adalah untuk mengenalpasti, menyiasat dan mendokumentasikan keadaan ekosistem di persisir Sg. Simpang Kanan yang bertumpu di persekitaran Kampung Sri Gading.
Kedua, untuk meneroka sebarang perkara yang masih belum diketahui di sini. Dan ketiga, memanipulasi bahan alam semula jadi kepada sebuah karya seni.
““Highway: Perjalanan Merentasi Masa” mengetengahkan konsep peredaran masa adalah supaya kita menyedari tentang pergerakan alam, mencadangkan kepada manusia agar kita tidak bergerak secara mekanik seperti robot yang ditentukan oleh nombor. Seperti zaman ini kita lebih peka terhadap peredaran jarum jam berbanding peredaran matahari.”
“Sepatutnya, kita menjadi manusia yang hidup dalam keadaan yang selari dengan alam. Cara hidup yang terkejar-kejar masa dan tergesa-gesa terjadi kerana kita terlalu fokus pada pergerakan jam, bukan pergerakan alam.”
“Dunia industri telah banyak mengalihkan perhatian manusia dari membaca alam, kepada membaca jam.”
“Kalau kita sedar tentang pergerakan alam kita akan lebih peka, lebih banyak renungan dan refleksi diri dapat dilakukan. Ini perkara penting untuk kita sebagai manusia, untuk memerhati dan menyedari tindak-tanduk kejadian alam dan diri.”
“Selalunya karya sebegini dipanggil ‘Seni Tanah (Land Art)’, ‘Seni Bumi (Earth Art)’ atau ‘Seni Alam Sekitar (Envinronmental Art)’.”
“Banyak bahan yang saya gunakan terdiri dari bahan alami seperti dedaun, air sungai, kayu, arang, tanah liat dan sebagainya yang dapat dijumpakan di sini. Dan bahan-bahan tersebut juga adalah cerminan kepada keadaan persekitaran di sini (Sg. Simpang Kanan).” Tambah beliau lagi.
Di sini juga adalah habitat semula jadi kepada spesies burung tempatan iaitu burung undan, helang, merpati hijau, raja udang, burung layang-layang dan beberapa lagi.
Melalui pemerhatian beliau, sungai ini juga terdapat pelbagai jenis hidupan air tawar dan darat yang mana memerlukan keadaan sungai sentiasa dijaga. Kerana persekitaran habitat Sg. Simpang Kanan di sini sedang terkesan dengan pencemaran yang berlaku di sempanjang laluan sungai; menyebabkan populasi hidupan fauna semakin terancam.