Oleh: Aisyah Baharuddin
“Keinginan, adalah benih keazaman yang tidak terpatahkan dalam melaksanakan kehendak bebas dan pengawalan diri, di mana pengalaman akan sentiasa mempertemukannya dengan kemaluan dan keraguan di usia yang mentah.”
– Erikson, 1950
Selepas peringkat pertama yang menekankan pembentukan kepercayaan (Percaya vs Ketidakpercayaan), Erik Erikson memperkenalkan peringkat kedua dalam teori perkembangan psikososial, iaitu autonomi lawan rasa malu dan ragu. Peringkat ini lazimnya berlaku ketika kanak-kanak berusia antara 18 bulan hingga 3 tahun, iaitu fasa awal kanak-kanak mula membina identiti kendiri dan kemahiran asas kehidupan.
Pada peringkat ini, kanak-kanak mula menunjukkan keinginan untuk “buat sendiri”. Akan timbul keinginan untuk memilih, mencuba, meneroka dan mengambil alih tugasan harian yang biasa dilakukan oleh orang dewasa sekeliling mereka. Pada fasa inilah bermulanya konflik perkembangan yang penting dalam pembentukan personaliti mereka kelak.
Memahami Konflik: Autonomi lwn Malu & Ragu
Autonomi (Kebebasan untuk Berdikari)
Autonomi berasal dari perkataan Yunani kuno iaitu auto = sendiri dan nomos = aturan. Secara istilah, mudahnya kita dapat fahami ia sebagai “aturan sendiri”. Maka, definisi autonomi boleh diertikan sebagai “kebebasan untuk Berdikari”. Ia merujuk kepada kemampuan kanak-kanak untuk berdikari dalam tugas-tugas asas seperti memakai baju, makan sendiri, memilih permainan, atau pergi ke tandas. Kemampuan berdiri atas kaki sendiri ini tidak sekadar tentang tindakan fizikal, tetapi tentang pembentukan rasa dalaman dan keyakinan tentang pengawalan diri dan persekitaran.
Kanak-kanak yang diberi peluang untuk mencuba akan merasakan:
- “Aku boleh buat benda ni.”
- “Aku nak cuba buat sendirilah.
- “Aku yakin boleh ni.”
- “Aku tahu nak pilih apa yang sesuai.”
- “Ini senang!”
Jika kanak-kanak di sekitar usia ini terdorong untuk merasa kuat dan yakin, kelak ia akan membentuk rasa percaya diri yang dalam dan keberanian membuat keputusan apabila dewasa.
Rasa Malu dan Ragu
Sebaliknya, jika pengalaman mereka pada fasa ini sering berdepan dengan respon-respon negatif seperti diperlekeh, digelakkan atau percubaan mereka disekat, keyakinan dan keberanian mereka akan terbantut. Mereka akan mengalami kesukaran ketika dewasa untuk membersihkan trauma dan menjalani hidup dengan yakin dan berani. Biasanya, jika perkembangan ini terbantut, kritik dalaman (inner critique) akan merasakan:
“Aku tak pandai”
“Aku selalu salah”
“Orang lain buatlah!”
Rasa malu di dalam diri mereka akan timbul apabila mereka berasa gagal atau dibandingkan. Manakala rasa ragu pula muncul apabila mereka merasakan kebolehan diri sendiri tidak cukup memiliki daya saing. Perlu diingatkan, pada fasa ini perkembangan mereka sepenuhnya berkaitan perasaan. Ia sepenuhnya tentang “rasa boleh”, “rasa yakin”, “rasa kuat” dan “rasa cekap”.
Cabaran bagi penjaga di fasa ini adalah untuk tetap mendorong tanpa menekan. Mengawasi tapi tidak menghalang. Meraikan kejayaan dan memberi semangat positif ketika mereka gagal. Memberi kebebasan meneroka tanpa pengabaian.
Secara teori mungkin kedengaran mudah, tapi realitinya tidak. Misalnya, ada perbezaan yang sangat ketara antara anak-anak yang diberi kebebasan untuk meneroka dan belajar, dengan anak-anak yang bebas meneroka kerana dibiarkan. Banyak contoh nyata, keadaan di mana kanak-kanak bebas meneroka kerana penjaga atau ibu bapanya sibuk dengan gajet, urusan kerja, urusan rumah dan sebagainya. Keperluan anak hanya dipenuhi secara nutrisi dan fizikal, tetapi tidak secara emosional dan spiritual.
Peranan Penting Penjaga dan Ibu Bapa
Erikson percaya penjaga mempunyai pengaruh yang sangat besar pada peringkat ini. Setiap bentuk sokongan mahupun penolakan daripada orang dewasa di sekeliling mereka memiliki impak besar terhadap perkembangan emosi kanak-kanak. Ada beberapa persiapan penting dari penjaga dalam menanamkan pengaruh yang baik ke dalam emosi kanak-kanak:-
1. Kesabaran
Pada fasa ini, kanak-kanak sangat bergantung kepada kesabaran penjaga ketika mereka mahu mencuba sesuatu. Kesabaran itu penting, lebih-lebih lagi pada percubaan-percubaan yang memerlukan proses yang perlahan dan hasil awal yang tidak kemas.
2. Dorongan dan kata-kata positif
Dalam proses perkembangan, kanak-kanak amat memerlukan dorongan positif ketika percubaan mereka berhasil seperti kata-kata “cuba lagi”, “bagusnya!”, “Pandailah dia!”. Juga apabila mereka gagal, penting untuk memberikan kata-kata seperti “tak apa kalau salah”, “tertumpah dah susu tu… tak apa kita kemas sama-sama”, “rosak ya? Tak apa, macam ni nak betulkan dia…”. Kenapa kata-kata seperti ini penting? Agar keyakinan diri mereka tidak meluntur apabila gagal, tetapi sebagai penjana semangat untuk penambahbaikan dan kaedah penyelesaian terhadap satu-satu masalah.
Di sinilah letak pembelajaran yang sebenarnya; bukan semata-mata mencuba untuk berjaya, tetapi bagaimana untuk menghadapi kegagalan dalam setiap percubaan. Jika ini berjaya diterapkan, kebarangkalian untuk mereka menjadi dewasa yang tidak lari dari masalah, tetapi menyelesaikannya, amatlah tinggi.
3. Ruang fizikal dan mental yang selamat
Selain dorongan positif, penjaga juga bertanggungjawab untuk menyediakan ruang yang selamat untuk mereka teroka persekitaran mereka agar tidak perlu berhadapan dengan banyak larangan. Seperti rumah yang bersih dari habuk, agar mereka tidak dihalang oleh penjaga kerana risaukan kesihatan. Atau persekitaran rumah yang tidak bersemak-samun agar pergerakan mereka tidak terhalang atas dasar keselamatan.
Ruang selamat bukan saja berkaitan “ruang fizikal”, tetapi juga “ruang mental”. Bagaimana orang-orang dewasa di sekitar mereka berinteraksi antara satu sama lain akan banyak mempengaruhi perkembangan psikik mereka. Orang-orang dewasa di sekitar mereka haruslah berinteraksi secara baik. Matematikanya mudah, interaksi positif yang ditambahkan dengan interaksi positif, suasana akan semakin bertambah positif dan hasilnya, sel-sel otak anak akan terangsang untuk berhubung dalam keadaan positif. Kesannya, minda anak-anak akan lebih cerdas dan bijak.
Apa yang Menimbulkan Malu & Ragu?
1. Memalukan
Tanpa sedar, kita banyak terlepas pandang bagaimana mengajar anak-anak untuk berdepan dengan kegagalan mereka. Satu hal yang perlu dielakkan adalah, memalukan anak. Kata-kata mudah seperti “Eee tengok, buat benda macam tu je pun tak reti!” sebenarnya amat memberi kesan kepada keyakinan anak. Kata-kata sebegini langsung tidak mengajarkan untuk mengatasi kegagalan. Ia hanya menambah tekanan, secara tak langsung mengajar anak untuk membanding-bandingkan siapa yang lebih dan siapa yang kurang. Ia telah mencampakkan anak ke dalam suasana persaingan yang tidak adil dan tidak sihat.
2. Kritik Menjatuhkan
Ada penjaga yang tidak cukup sabar untuk menikmati proses pembelajaran. Mereka mengkritik terlalu awal ketika sang anak sedang mencuba sesuatu yang baru. Masalah ini selalu timbul ketika anak cuba belajar menggunakan sudu, atau ketika mereka sedang mencuba sarung baju ke badan sendiri. Akhirnya, kerana tidak sabar, penjagalah yang melakukan semuanya. Kesannya, anak hilang keinginan untuk berdikari dalam hal-hal tersebut. Apabila keinginan itu hilang, maka banyak keinginan-keinginan berdikari yang lain juga turut hilang.
3. Batas yang Keterlaluan
Rasa malu dan ragu ini boleh bertambah kuat, apabila mereka berdepan dengan banyak halangan dan halangan dari penjaga. Sememangnya benar, larangan itu akan berkait rapat dengan kerisauan penjaga tentang keselamatan. Tetapi, larangan yang berlebihan dan keterlaluan akan merencatkan pembelajaran dan merosakkan pengalaman. Sebab pembelajaran yang utama bagi perkembangan manusia adalah melalui pengalaman; teori, nasihat atau peringatan itu hanyalah peta bagi pembelajaran. Selanjutnya, pengalamanlah yang menjadi guru utama dalam pembelajaran.
4. Tekanan
Penjaga juga harus amat berjaga-jaga ketika mendorong anak-anak untuk melakukan sesuatu. Keinginan untuk mendorong itu ada kalanya tanpa disedari terzahir dalam bentuk yang menekan. Dan tekanan yang berlebihan dapat membuat sang anak merasa stress dan hilang keinginan untuk mencuba. Malah, keseronokan yang ada di sebalik aktiviti tersebut juga tidak dapat dinikmati. mengkritik atau mengehadkan percubaan anak.
5. Suasana Negatif
Adakala kita tidak perasan, bagaimana perbincangan yang “tegang” di meja makan mempengaruhi fikiran kanak-kanak secara negatif. Kemarahan orang dewasa ketika bertengkar atau bertelagah di depan kanak-kanak, dapat merosakkan keyakinan dari kemampuan penyelesaian masalah (problem solving skills) mereka.
Dalam keadaan ini, matematikanya juga mudah. Kata-kata negatif ditambah dengan kata-kata negatif, akan menimbulkan suasana negatif. Suasana negatif akan memberi kesan negatif kepada psikik kanak-kanak. Oleh kerana fikiran dan perasaan kanak-kanak di usia ini terlalu rapuh untuk menampung daya negatif sebegini, sel-sel otak mereka akan banyak terputus. Ia adalah tindak balas semula jadi dalam mekanisme pertahanan neurologi manusia.
Secara dasarnya, mereka memerlukan kebebasan dari penjaga, bukan pengabaian; seperti mana mereka memerlukan bimbingan yang lembut, bukan pengawalan yang menimbulkan rasa takut. Mereka bukan saja memerlukan interaksi positif dari orang dewasa terhadap mereka, malah perlu melihat contoh interaksi yang positif antara orang dewasa di depan mata.

Aktiviti Harian yang Menjadi Latihan Autonomi
Erikson menyatakan bahawa kemampuan untuk mengawal tubuh adalah cerminan kepada pengawalan diri. Pada usia ini, kanak-kanak belajar untuk mengawal tubuh mereka melalui tindakan-tindakan yang melibatkan kemahiran motorik (motor skills). Kemahiran motorik ini memiliki dua cabang utama iaitu kemahiran motorik halus (fine motor skills) dan kemahiran motorik kasar (gross motor skills).
- Kemahiran Motorik Halus: Kemahiran yang melibatkan otot-otot kecil seperti jari, tangan dan pergelangan tangan untuk kerja-kerja seperti menulis, melukis atau penggunaan peralatan kecil.
- Kemahiran Motorik Kasar: Kemahiran yang melibatkan otot-otot besar seperti lengan, kaki dan telapak kaki untuk tindakan-tindakan seperti berlari, melompat atau memanjat.
Berikut merupakan beberapa contoh aktiviti harian yang menjadi “latihan autonomi” bagi mereka:
a. Latihan Tandas (Potty Training)
Latihan tandas merupakan satu latihan awal dalam pengenalan tubuh. Apabila anak berjaya memberitahu keperluan ke tandas, mereka akan merasa keupayaan dalam mengawal diri sendiri. Ini boleh diertikan sebagai keilmuan membaca tubuh, bagaimana mereka berinteraksi dan mengenal pasti fenomena-fenomena fisiologinya.
b. Makan dan Minum Sendiri
Walaupun bersepah, tindakan ini melatih koordinasi, kesabaran dan kebebasan.
c. Berpakaian Sendiri
Memilih baju, memakai kasut, atau zip seluar melatih motor halus dan keyakinan.
d. Membuat Pilihan Mudah
Contohnya memilih antara dua permainan atau memilih warna cawan. Keputusan kecil seperti ini melatih anak memahami tanggungjawab dan akibat pilihan.
e. Eksplorasi Persekitaran
Bermain di taman permainan, berjalan sendiri, mandi-manda di air terjun, mendaki bukit secara selamat dsb. Ini dapat mengasah kemahiran motor kasar dan kesedaran (awareness)mereka dalam membaca persekitaran.
f. Eksplorasi Barang Permainan dan Peralatan
Membuka-menutup bekas, memasukkan blok ke kotak, menyusun atur lego dan lain-lain. Aktiviti sebegini dapat membina keyakinan dan ketajaman otak anak-anak.
Kesan Jika Konflik Ini Diselesaikan Dengan Baik
Kanak-kanak yang melalui peringkat ini secara positif akan dapat mengawal tubuh mereka dengan lebih baik. Mereka juga akan memahami tanda-tanda asas rangsangan tubuhnya seperti rasa nak buang air, sakit, lapar, penat dan sebagainya yang mana penting untuk perkembangan fizikalnya.
Di peringkat perasaan, mereka akan membentuk keyakinan diri yang kukuh. Rasa percaya diri tersebut kemudiannya akan membentuk keazaman (will power) yang tinggi. Apabila kemampuan untuk mengawal tubuh itu bersulam dengan sebuah keyakinan yang tinggi, secara semula jadi mereka akan mudah untuk mengawal emosi, selain berani untuk mencuba perkara baru. Mereka juga tidak akan takut terhadap perkara yang mereka belum tahu, bijak dalam membezakan antara bahaya dengan semata ketakutan. Hasilnya, proses pematangan dan perkembangan potensi diri atau “penyempurnaan modal insan” mereka menjadi lebih cepat.
Apabila dewasa, mereka akan menjadi orang yang senang berdikari dan mampu membuat keputusan. Memahami bahawa kegagalan adalah proses dalam kehidupan, mereka tidak akan gelojoh dan terkejar-kejar dalam membina kejayaan. Kegagalan buat mereka bukanlah satu ugutan hidup yang menakutkan, melainkan persiapan-persiapan penting menuju gerbang kejayaan. Daya tahan mereka tinggi. Mereka percaya sedalamnya kata-kata Pak Rocky yang berbunyi lebih kurang, kekuatan bukan tentang berapa banyak kali kita menumbuk jatuhkan orang, tetapi berapa banyak kali kita ditumbuk jatuh dan bangun semula.
Kesan Jika Perkembangan Terganggu
Namun jika rasa malu dan ragu mendominasi, kesannya boleh berlanjutan sehingga dewasa. Rasa malu akan menimbulkan rasa terhalang untuk keluar. Sedang ragu, membuatkan mereka tidak melakukan hal sepatutnya mereka lakukan, atau terlewat melakukannya. Hasil dari itu mereka akan membentuk peribadi yang terpaksa bergantung kepada orang lain. Mereka juga akan takut untuk buat keputusan. Malah, keraguan dan malu itu selalunya membuatkan mereka tersilap dalam membuat keputusan.
Keyakinan diri mereka akan lemah, terlalu cepat berputus asa apabila gagal. Mereka akan melihat kegagalan sebagai satu ancaman yang menakutkan. Akhirnya, mereka tidak berani untuk memulakan usaha dan percubaan baru. Sering terperangkap dalam zon selesa yang membantutkan diri mereka.
Kanak-kanak yang terbiasa dengan suasana tegang seperti pertengkaran di usia ini, akan membesar dalam perasaan malu dan ragu. Mereka akan lambat memahami pelajaran atau tugasan, menjadi terlalu kritikal terhadap orang lain dan diri sendiri, tidak yakin untuk mengemukakan pendapat. Mereka akan banyak memendam dan merahsia; bukan kerana menjaga amanat, tetapi semata kerana kejujuran itu tidak menimbulkan rasa selamat.
Emosi mereka menjadi tidak stabil, terlalu takut atau terlalu berani, terlalu sedih atau gembira, semuanya akan dirasakan secara ekstrem. Setiap teguran dan nasihat yang baik dari orang dewasa, akan terasa seperti satu ancaman. Jika tidak melawan secara ekstrem, mereka akan diam. Diamnya mereka bukan kerana sedar akan kesalahan, tetapi sebagai jalan pintas untuk keluar dari ancaman.
Panduan Praktikal Untuk Penjaga
Untuk membantu perkembangan positif kanak-kanak, penjaga amat digalakkan untuk benarkan anak mencuba. Cepat atau lambat bukanlah tujuan utama penjaga, melainkan alat ukuran untuk membaca kelebihan dan bakat semula jadi kanak-kanak. Tujuan utamanya adalah proses perkembangan. Menanamkan sifat yang terus mencuba adalah fokus utama penjaga ketika ini.
Jika memalukan anak adalah hal yang “haram” di fasa ini, maka dorongan semangat dan pujian adalah satu “kewajipan” dalam pembentukan keyakinan diri anak-anak. Dorongan semangat dan pujian yang lebih utama pada waktu ini adalah pujian terhadap usaha dan percubaan mereka, bukan hasil. Tugas penjaga adalah untuk membentuk keperibadian yang berfokus terhadap tindakan dan proses pelaksanaan, bukan hasil. Sedangkan hasil, hanyalah sekadar cerminan terhadap kerja-keras yang telah dilakukan. Lagi pula, di usia ini anak-anak langsung tidak memerlukan kesempurnaan melainkan peluang yang luas untuk mencuba.
Penjaga juga harus belajar bagaimana untuk memberi arahan yang jelas dan ringkas, agar anak mudah memahami dan melaksanakan tugas atau aktiviti. Menyediakan pilihan yang mudah untuk anak-anak berlatih memilih juga sangat digalakkan. Garis panduan atau batas-batas had yang mudah juga penting untuk anak-anak memahami erti tanggungjawab. Ini supaya mereka mudah untuk sedari bahawa kebebasan itu bukanlah bermaksud “tanpa aturan”, tetapi hasil dari tanggungjawab dan kemampuan untuk mengawal. Batas-batas yang ditetapkan pula haruslah konsisten, supaya mereka belajar tentang pengawalan diri secara teratur. Ia juga dapat membina corak jam dalaman (Circadian Rythm) yang teratur dalam diri anak-anak.
Kesimpulan
Peringkat kedua Erik Erikson merupakan fasa yang sangat penting dalam membina rasa keyakinan diri dan kawalan kendiri seseorang individu. Melalui peluang mencuba, sokongan emosi, dan bimbingan yang sederhana, kanak-kanak dapat membina autonomi yang menjadi asas kepada perkembangan psikososial yang sihat.
Dengan pendekatan kasih sayang, selamat dan tidak menghukum, penjaga dapat membantu mereka membina keyakinan yang diperlukan ketika mereka dewasa.
Rujukan:
- Erikson, E. H. Childhood and Society. 1950.
- Saul McLeod, PhD. “Erik Erikson’s Stages of Psychosocial Development.” Simply Psychology.
- Jeremy Sutton, Ph.D. “Erikson’s Stages of Psychosocial Development.” Positive Psychology
- Kendra Cherry, MSEd. “Autonomy vs. Shame and Doubt in Psychosocial Stage 2”
