Teori Perkembangan Psikososial Erik Erikson: Peringkat 1 (Kepercayaan lwn Ketidakpercayaan)

Tahap kepercayaan lwn ketidakpercayaan adalah peringkat pertama teori perkembangan psikososial ahli psikologi Erik Erikson. Peringkat ini bermula semasa kelahiran dan berterusan sehingga anak mencapai umur sekitar 18 bulan.

Menurut Erikson, ia adalah tempoh paling penting dalam kehidupan manusia, kerana ia membentuk pandangan dunia anak-anak serta seluruh keperibadian mereka.

Teori perkembangan psikososial Erikson mempunyai tujuh peringkat lain yang merangkumi sepanjang hayat seseorang.

Pada setiap peringkat, terdapat konfliknya tersendiri yang menentukan samada seseorang itu akan mengukuhkan lagi kekuatan psikologi mereka atau perkembangan tersebut terbantut.

Gambaran Peringkat Pertama (0 – 18 bulan)

Pada fasa paling awal ini, anak-anak akan membentuk nilai kepercayaan mereka terhadap orang di sekeliling mereka. Soalan utama ketika ini adalah “Bolehkah orang di sekeliling saya ini dipercayai?”.

Nilai asas kejiwaan yang terbentuk pada fasa ini adalah harapan, bagaimana anak-anak meletakkan harapan mereka kepada diri sendiri, orang sekeliling dan juga persekitaran. Rutin yang diterapkan kepada mereka seperti waktu makan dan cara ibu bapa atau penjaga berinteraksi dengan mereka adalah perkara terpenting pada fasa ini. Bayi hampir bergantung sepenuhnya kepada penjaga mereka.

Siri Teori Psikososial Erik Erikson:

1. Erik Erikson, Biografi Ringkas Tokoh Teori Psikososial
2. Teori Psikososial Erik Erikson – Perkembangan Kanak-Kanak

Oleh itu, tidaklah mengejutkan bahawa cara ibu bapa berinteraksi dengan bayi mereka mempunyai kesan yang mendalam terhadap kesihatan fizikal dan mental mereka.

Erikson percaya bahawa corak kepercayaan awal membantu kanak-kanak membina asas kepercayaan yang kukuh untuk perkembangan sosial dan emosi mereka. Jika kanak-kanak berjaya membina kepercayaan, mereka akan berasa selamat dan terjamin di dunia.

Pada asasnya, fungsi penjaga adalah orang yang membentuk keperibadian bayi yang menentukan cara mereka akan melihat dunia. Kanak-kanak yang belajar mempercayai pengasuh pada peringkat awal akan lebih cenderung membentuk perhubungan yang lebih baik sepanjang hayat mereka.

Kepercayaan yang terbentuk dengan baik, akan mengesankan anak yang:

  1. percaya kepada penjaga
  2. percaya yang dunia ini selamat untuk mereka
  3. yakin bahawa keperluan mereka akan dipenuhi.

Manakala jika kepercayaan anak-anak gagal terbentuk pada fasa ini, mereka akan berdepan dengan masalah iaitu:

  1. tidak mempercayai penjaga
  2. akan takut dengan dunia serta
  3. meragui yang keperluan mereka akan dipenuhi.

Membina Kepercayaan Anak

Cara paling mudah untuk kita membina kepercayaan bayi, adalah bertindak balas dengan baik setiap kali mereka cuba berkomunikasi dengan kita. Bayi tidak boleh menggunakan perkataan untuk menyatakan diri mereka. Mereka menggunakan strategi bukan lisan untuk menyampaikan apa yang mereka fikirkan dan rasakan pada setiap masa.

Menangis adalah salah satu strategi biasa digunakan bayi untuk berkomunikasi dengan penjaga mereka. Setiap tangisan boleh membawa maksud yang berbeza-beza. Biasanya, bayi menangis untuk memberitahu anda bahawa mereka memerlukan salah satu daripada yang berikut:

(1) Kasih sayang:

Erikson percaya bahawa tangisan bayi menyampaikan mesej penting kepada ibu bapa. Tangisan sedemikian menunjukkan keperluan yang tidak dipenuhi, dan terpulang kepada ibu bapa untuk menentukan cara memenuhi keperluan itu.

(2) Keselesaan:

Adalah penting bagi ibu bapa atau penjaga untuk memberikan keselesaan kepada bayi dengan memegang/menyentuh/mendukung mereka dengan erat dan selamat. Ini dapat memberikan kehangatan dan sentuhan fizikal. Manakala memberi makan, memandikan dan menghiburkan anak kita dapat memberi mereka kepercayaan bahawa keperluan mereka akan dipenuhi.

(3) Makanan:

Erikson juga percaya bahawa pemakanan memainkan peranan penting dalam pembangunan kepercayaan. Dengan memberi makan bayi apabila mereka lapar. Secara konsisten dan menepati waktu. Mereka akan belajar bahawa mereka boleh mempercayai keperluan mereka untuk makanan akan dipenuhi.

Setiap bayi berkomunikasi secara berbeza, jadi membiasakan diri dengan gaya komunikasi bayi kita adalah kunci kejayaan pada peringkat ini. Menyedari, memahami dan seterusnya bertindak balas terhadap isyarat. Boleh jadi tangisan, pergerakan badan, bunyi, atau kata-kata, membantu mereka belajar mempercayai kita dan dunia di sekeliling mereka.

Kepercayaan kepada dunia dan orang-orang di sekeliling kita adalah fokus utama peringkat perkembangan psikososial ini. Bertindak balas dengan cepat dan sewajarnya kepada tangisan bayi. Ini menunjukkan kita sedang membina asas kepercayaan yang baik di dalam diri mereka.

Akibat Ketidakpercayaan

Jika ibu bapa tidak konsisten dalam memberi keperluan asas ini, akhirnya akan menimbulkan ketidakpercayaan dalam diri anak-anak. Ketidakpercayaan boleh menyebabkan anak-anak menjadi takut, keliru dan cemas. Semuanya akan menyukarkan anak-anak untuk membentuk hubungan yang sihat. Seterusnya, boleh menyebabkan sokongan sosial yang lemah, pengasingan, dan kesunyian.

Jelas dalam artikel ini, peringkat ‘Kepercayaan lwn Ketidakpercayaan’ berfungsi sebagai asas pembangunan manusia. Hasil daripada peringkat ini memiliki kesan terhadap perkembangan dan kehidupan sepanjang hayat seseorang. Oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa untuk menyediakan penjagaan yang responsif dan boleh dipercayai buat anak-anak.

Perkembangan psikososial anak-anak adalah satu keperluan demi pembangunan tamadun masyarakat yang sihat dan pembentukan negara yang seimbang dar segi sahsiah dan inteleknya.

Sumber rujukan:
Kendra Cherry. Trust vs Mistrust: Psychological Stage 1. verywellmind.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *