Erik Erikson, Biografi Ringkas Tokoh Teori Psikososial

Erik Erikson, seorang ahli psikologi yang terkenal dengan teori perkembangan psikososial dan konsep krisis identiti. Teori beliau membawa kepada perubahan penting dalam pemikiran tentang personaliti; daripada hanya menumpukan pada peristiwa awal kanak-kanak, teori psikososial melihat bagaimana pengaruh sosial menyumbang kepada keperibadian beliau untuk sepanjang hayat.

Harapan adalah permulaan kepada kebaikan dan ia adalah hal terpenting yang wujud dalam kehidupan. Jika hidup ingin dipertahankan maka harapan mesti dikekalkan, walaupun keyakinan terluka, dan kepercayaan terjejas.”

– Erik Erikson, The Erik Erikson Reader, 2000

Teori peringkat perkembangan psikososial Erikson telah banyak mencetus minat para pengkaji, ahli psikologi dan seumpamanya untuk menyelidik dengan lebih teliti proses pembangunan seumur hidup manusia.

Beliau adalah seorang ahli psikologi ego, gurunya Anna Freud, pencetus ilmu psikoanalisis kanak-kanak. Melalui ilmu-ilmu yang dipelajari dari gurunya itu, beliau mengembangkan teori psikoanalisis tersebut dengan meneroka perkembangan hidup manusia; merangkumi peristiwa zaman kanak-kanak, dewasa dan sehinggalah usia tua.

Zaman Kanak-Kanak

Erik Erikson dilahirkan pada 15 Jun 1902, di Frankfurt, Jerman. Ibunya bernama Karla Abrahamsen, seorang berketurunan Yahudi dan masih muda ketika melahirkan Erikson. Karla membesarkan Erikson seorang diri untuk seketika sebelum berkahwin dengan seorang doktor, iaitu Dr. Theodore Homberger.

Namun, Homberger bukanlah bapa kandungnya yang sebenar. Tetapi fakta ini disembunyikan dari beliau selama bertahun-tahun. Apabila mengetahui kebenaran tersebut, perasaannya menjadi sangat keliru tentang siapa diri dia yang sebenar-benarnya.

Cerita biasa ialah ibu dan bapanya telah berpisah sebelum beliau lahir, tetapi fakta yang dijaga rapi daripada diketahui ialah beliau merupakan anak luar nikah. Beliau tidak pernah melihat bapa kandungnya atau suami pertama ibunya.

– The New York Times, 13 Mei 1994

Pengalaman hitam ini telah mencetus minatnya untuk memahami tentang pembentukan identiti manusia. Beliau melihat sebagai seorang kanak-kanak, dirinya selalu keliru tentang identiti dirinya dan bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran komunitinya. Darah daging biologi yang misteri telah menjadi salah satu pendorong utama di sebalik minatnya yang mendalam tentang ilmu pembentukan identiti manusia.

Selalu Dibuli

Pengalaman pahit di sekolah telah memanggilnya untuk mengembangkan lagi penerokaan terhadap permasalahan jati diri. Di sekolah Yahudi, beliau selalu diejek kerana tubuhnya yang tinggi, bermata biru, berambut perang, berwajah seperti seorang Skandinavia (Norway). Perbezaan ciri-ciri fizikalnya svangat ketara jika dibandingkan dengan kanak-kanak Yahudi yang lain. Lain pula ceritanya di sekolah tatabahasa, beliau dipinggirkan kerana latar belakangnya sebagai Yahudi.

Selalu dibuli oleh kanak-kanak bukan Yahudi kerana seorang Yahudi, kemudian dibuli oleh kanak-kanak Yahudi kerana tak nampak seperti Yahudi. Pengalaman awal ini banyak mempengaruhi kerjayanya untuk seumur hidup.

Mendalami Psikososial

Perkara yang menarik tentang Erikson adalah, beliau tidak pernah menerima sebarang ijazah formal dalam bidang perubatan mahupun psikologi. Semasa belajar di Gimnasium Das Humanistische pun, beliau lebih berminat dalam mata pelajaran lain seperti sejarah, Latin, dan seni.

Bapa tirinya, seorang doktor, mahu beliau masuk ke sekolah perubatan, tetapi Erikson sebaliknya melakukan memilih untuk berada di sekolah seni. Tak lama kemudian beliau berhenti dan menghabiskan masa mengembara seluruh Eropah bersama rakan-rakannya dan sebagai perjalanan untuk merenung identitinya.

Pada tahun 1927, ketika beliau berumur 25 tahun, beliau dijemput oleh rakannya untuk mengajar di sebuah sekolah yang dibangunkan oleh Dorothy Burlingham, yang juga merupakan rakan kepada Anna Freud. Tak lama kemudian, Sigmund Freud menyedari betapa dalam minat Erikson kepada psikologi kanak-kanak dan memberi galakan kepada beliau untuk mendalami psikoanalisis secara formal. Akhirnya, Erikson menerima dua buah sijil daripada Persatuan Guru Montessori dan Institut Psikoanalisis Vienna.

Saya membayar Miss Freud $7 sebulan, dan kami bertemu hampir setiap hari. Analisis saya, telah memberi saya kesedaran diri, menyebabkan saya tidak lagi takut menjadi diri sendiri. Kami tidak menggunakan semua istilah pseudossainifik ketika itu – mekanisme pertahanan dan sebagainya —jadi, proses kesedaran diri kadang kala menyakitkan, tetapi muncul dalam keadaan yang membebaskan.

Mendirikan Rumah Tangga

Erikson berkahwin dengan isterinya Joan Serson pada tahun 1930, yang merupakan seorang guru di sekolah yang sama yang mengajar tarian Kanada. Isterinya juga banyak menyunting buku-buku dan penulisan Erikson. Mereka dikurniakan 3 orang anak. Salah seorang anak lelakinya, Kai T. Erikson, di kemudian hari dikenali sebagai seorang ahli sosiologi Amerika Syarikat yang ternama.

Lari ke Amerika Syarikat

Erikson berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1933, kerana kebangkitan kuasa Hitler di Jerman. Beliau menjalankan tugas sebagai penganalisis kanak-kanak di Boston, berkhidmat sebagai kakitangan Hospital Besar Massachusetts dan bekerja di Klinik Psikologi Harvard.

Walaupun tidak mempunyai ijazah formal, beliau ditawarkan jawatan untuk mengajar di Harvard Medical School. Beliau juga menukar namanya daripada Erik Homberger kepada Erik H. Erikson, sebagai satu jalan untuk menempa identitinya sendiri. Sebagai tambahan kepada jawatannya di Harvard, beliau memiliki kaedah atau praktiknya yang tersendiri dalam psikoanalisis kanak-kanak.

Pada tahun 1936, beliau mengambil jawatan sebagai penyelidik di Institut Perhubungan Manusia Universiti Yale dan kemudiannya menjadi profesor di sekolah perubatan Universiti Yale. Beliau berpindah ke San Francisco pada tahun 1939, memulakan amalan swasta dalam psikoanalisis dan mula melakukan analisis latihan di Institut Psikoanalisis San Francisco. Pada masa yang sama, beliau mengambil bahagian dalam kajian lanjutan kanak-kanak di Universiti California di Institut Kebajikan Kanak-Kanak Berkeley.

BACA LANJUT: TEORI PSIKOSOSIAL ERIK ERIKSON – PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

Perang Dunia ke-2

Semasa Perang Dunia II, beliau banyak melakukan penyelidikan psikologi bagi pihak kerajaan tentang hal-hal berkaitan perang, termasuklah propaganda Nazi, psikologi krew kapal selam dan kajian maklumat yang diperoleh daripada tawanan perang.

Beliau juga mengkaji perkembangan psikososial zaman kanak-kanak Hitler, dan menerbitkan sebuah artikel di dalam majalah Psikiatri bertajuk “Hitler’s Imagery and German Youth.” Antara perkara utama di dalam artikel tersebut ialah tentang identiti kolektif Jerman pada tahun 1920-an dan 1930-an. Katanya, kebangkitan Hitler dalam penguasaan negara Jerman sebenarnya boleh difahami, walaupun tidak dapat diramalkan.

Selepas tamat Perang Dunia II, beliau bertanggungjawab untuk merawat veteran perang yang trauma di Hospital Mount Zion di San Francisco dan pada tahun 1946. Ketika itu, beliau mula menghabiskan satu hari seminggu di rumah rakannya untuk menulis “Childhood and Society“. Yang mana, buku tersebut telah siap diterbitkan pada 1950.

Di dalam edisi pertama, buku ini diterangkan sebagai sebuah buku psikoanalisis mengenai hubungan antara ego dengan masyarakat. Menurut Erikson, tujuan buku itu diterbitkan adalah sebagai tambahan kepada pendidikan pakar perubatan psikiatari, ahli psikologi dan pekerja sosial. Namun tak lama kemudian, buku ini dapat ditemui di kebanyakan kolej sebagai buku teks rujukan.

Propaganda Anti-Komunis

Pada tahun tersebut, ketika retorik anti-komunis di Amerika Syarikat telah sampai ke puncaknya, beliau dipaksa untuk menandatangani sumpah setia jika mahu terus kekal bertugas di Institut Kebajikan Kanak-Kanak.

Walaupun beliau bukanlah seorang Komunis, tetapi pada dasarnya beliau membantah. Alasannya mudah, apa saja yang memiliki unsur paksaan, ia bukanlah satu kemerdekaan.

Tanpa berlengah, beliau meninggalkan institut tersebut dan menuju ke Stockbridge, Massachusetts. Di sana beliau menghabiskan masa 10 tahun sebagai kakitangan kanan Pusat Austin Riggs, yang menyediakan kemudahan rawatan untuk golongan muda yang mengalami gangguan trauma.

Menjejak Mahatma Gandhi

Dalam tempoh 10 tahun tersebut, beliau menulis secara meluas dalam jurnal profesional mengenai subjek identiti, termasuk artikel tentang ‘krisis identiti’ Freud dan George Bernard Shaw. Ketika itu juga, Erikson menghabiskan beberapa waktu yang lama di India. Di sana, beliau mengumpulkan bahan-bahan untuk bukunya “Gandhi’s Truth”, yang mana beliau menemu bual beberapa aktivis yang bergerak bersama Mahatma Gandhi dalam perjuangan India untuk kemerdekaan.

Ia cuba melihat faktor perkembangan awal kanak-kanak seorang Mohandas Gandhi. Secara spesifik, cuba menyelami kehidupan remaja tokoh pejuang tersebut. Buku ini mencari persamaan antara perkembangan politik di India dan perkembangan peribadi Gandhi. Menunjukkan bagaimana kedua-duanya bersatu pada masa ketika negara dan tokoh itu bersedia untuk melancarkan civil disobidience secara aman.

Kemudian, buku ini memenangi Hadiah Pulitzer dan Anugerah Buku Kebangsaan pada tahun 1969.

Beliau kembali ke Harvard pada tahun 1960-an dan kekal di sana sehingga bersara sebagai profesor emeritus pada tahun 1970. Juga tersenarai sebagai tokoh ke-12 terpenting di dalam Persatuan Psikologi Amerika bagi 100 ahli psikologi yang paling terkenal abad ke-20.

Akhir Hayat Seorang Ahli Teori Psikososial

Erikson meninggal dunia pada 12 Mei 1994 di Harwich, Massachusetts. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Gereja Jemaah Pertama di Harwich. Tidak diketahui punca sebenarnya, tetapi menurut laporan The Associated Press, beliau meninggal dunia akibat jangkitan.

Sumber:

  1. Bart Barnes. Washington Post. 14 May 1994. Psychoanalyst Erik Erikson Dies at 91.
  2. Kendra Cherry. Verywell Mind. 20 March 2020. Biography of Erik Erikson (1902-1994).
  3. The StateUniversity.com. Erik Erikson (1902–1994).
  4. Department of Psychology. Harvard University.  Erik Erikson (1902 – 1994). Psychobiography.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *