Skip to content
Laman Utama » KEGAGALAN FUNGSI MAJLIS TEMPATAN

KEGAGALAN FUNGSI MAJLIS TEMPATAN

Esok 1 Januari akan melangkah masuk tahun 2022. Dua tahun sebelum ini betul-betul memberi kesan kepada mental dan fizikal. Ada pun di dalam Malaysia itu sendiri melalui beberapa tragedi yang akan terus diingati.

Pertengahan tahun 2019, kerajaan Malaysia bertukar kepimpinan, daripada blok kerajaan tua Barisan Nasional kepada blok kerajaan baharu, Pakatan Harapan. Awal tahun 2020 krisis perebutan kuasa perdana menteri terjadi dan sudahnya Muhyiddin Yaasin menggalas kerusi perdana menteri menggantikan Mahathir Mohamad. Tidak lama dari konflik itu, Virus Covid19 pula menerjah bumi menjadikan kita masyarakat dunia melalui fasa pandemik sehingga 2021, yang mana fasa-fasa kuarantin, darurat telah diperkenalkan. Ini mengakibatkan banyak individu yang dibuang kerja, mengalami masalah mental, bunuh diri, menanggung bebanan hutang, industri pekerjaan berhenti seketika, peniaga gulung tikar dan seperti biasa, golongan elit teruskan hari seperti biasa. 

Sepanjang setahun 2020, masa dihabiskan seperti angin lalu sahaja sehingga tahun 2021 yang kemudiannya diberi kelonggaran sedikit demi sedikit selepas mengalami perbahasan dan pengambilan suntikan vaksinisasi. Sepanjang 2021, rakyat di Malaysia baru sahaja cuba kembali bernyawa, membina semula perniagaan kecil, membina ekonomi, menghidupkan semula budaya-budaya majlis seperti event, baik dari subculture atau pun arus perdana. Sehinggalah pada penghujung tahun, banjir besar pula melanda sekitar Selangor, KL, Pahang, Kelantan dan beberapa tempat lagi yang terjejas. 

Begitulah dua tahun yang penuh bencana, yang tak dapat nak dituliskan sepenuhnya secara terperinci. Terlalu mengganggu emosi dan mental bagi rakyat-rakyat marhaen. Sehinggakan kejadian ini membukakan lagi kepada penipuan-penipuan ahli politik, monarki, menteri, atas nama kuasa selama ini. Kesedaran yang berlaku ini telah terbukti besar apabila covid dan banjir datang sebagai alternatif wahyu pada kurun ini. Walau bagaimana pun, di dalam skala berpanjangan kita masih belum menilai lagi dari aspek pilihanraya, penolakan kepada kuasa-kuasa politik yang agak populor di dalam Malaysia tentang perlawanan keras terhadapnya. Begitu juga sentimen-sentimen agama yang lemah, sadis, malah mengeruhkan lagi keadaan. 

Takziah kepada semua. Kita kehilangan orang yang tersayang tanpa dibela, kita kehilangan harta benda, kita kehilangan semangat, kita kehilangan kehidupan dan kita mungkin telah hilang segala-galanya dan hanya mahu menunggu mati lekas terjadi. Dalam hal yang lain, masalah heiraki, birokrasi terus terjadi di dalam organisasi pentadbiran kecil seperti Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan seumpamanya selepas semua ini berlaku.

MASALAH YANG BERTERUSAN

Selepas kerajaan mengumumkan majlis rapat umum, majlis melibatkan orang ramai atau majlis terbuka dibenarkan beroperasi dengan pematuhan SOP, ramai mengambil peluang ini. Sebagai sesama rakyat, terlihat agak bersemangat dan memberikan rangsangan positif daripada sebelum ini kita hanya dalam fasa berkurung. Walaupun tidak semeriah sebelumnya, tetapi begitulah lumrah kehidupan manusia yang memerlukan hubungan sosial dalam menjalani kehidupan. Kita dikurung hampir dua tahun, sudah macam-macam perkara berlaku, jadi dengan peluang yang masih terbatas ini, pun sudah memadai merawat luka-luka emosi. 

Tetapi, kerja-kerja ini masih lagi dibelenggu dengan masalah heiraki dan birokrasi Majlis Tempatan, seperti tajuk artikel ini, Kegagalan Fungsi Majlis Tempatan. Apakah mereka masih tidak belajar dari apa yang terjadi ataupun mereka sebenarnya tidak amik peduli pun apa yang terjadi?

Penulisan ini adalah pengalaman berkaitan kerjasama penduduk setempat yang menganjurkan beberapa program merakyat di beberapa tempat. Walaupun rancangan seperti ini boleh sahaja mengenepikan pihak Majlis, lagi pula Majlis memang tak pernah beri apa-apa jumlah berbentuk wang untuk menjayakan, malahan penganjuran ini banyak bantuan datang dari pihak-pihak NGO, sekurang-kurangnya, berilah kerjasama yang baik. 

Penganjuran program merakyat ini jika dibaca tentang matlamat, tujuan di kertas kerja pihak penganjur, rata-rata  banyak menyelitkan tentang konteks pemulihan pasca covid, isu semasa dan seumpamanya. Makna kata, pengisian yang akan berlaku adalah tentang kesedaran, motivasi, inspirasi dan peluang-peluang lain. Terbaru, yang telah terjadi adalah di Batu Pahat. Pengalaman-pengalaman ini bila kita usulkan kepada kawan-kawan lain di daerah yang berlainan, mereka semua bersetuju dengan mengatakan perihal kegagalan Majlis Tempatan ini sama tingkah-lakunya seperti seakan tidak peduli, lepas tangan dan nampaknya tidak berminat jika anjuran itu bersifat terbuka dan indiependent

Seperti yang Redo pernah tulis di Zine Dari Johor, edisi ke-2, dia ada mengatakan, jika pun Majlis Tempatan itu sendiri menganjurkan beberapa acara, semuanya ke arah politik jilat-menjilat, program yang entah apa, ketinggalan zaman dan langsung tak menarik minat penduduk rakyat setempat malah membosankan. Tetapi, jika rakyat setempat sendiri menganjurkan perkara yang lebih bertenaga, lebih memberangsangkan, semua tak di ambil peduli, perlu mengharungi masalah-masalah birokrasi yang terlalu lapuk. Langsung tidak menyenangkan dan langsung tiada sokongan. Mungkin dalam kepala mereka, kita semua mahu mengadakan parti-parti liar, ada pun kertas kerja yang dilampirkan, hanya biar bersawang tanpa diambil peduli. 

Adakah mereka tidak sedar, bahawa zaman dah berubah, dah pun menuju tahun 2020 yang mana kreativiti itu lebih terbuka. Jadi kenapa harus tersekat dengan birokrasi lapuk sedemikian? 

Adakah pihak Majlis fikir ia perlu kekal di takuk yang lama dalam kemajuan bandar? 

Pengalaman dari seorang artis tempatan, Batu Pahat, seorang pelukis mural mengadakan installation art pasca covid juga, pihak Majlis Tempatan dengan berlagak bodohnya mengarahkan supaya artis ini tidak melukis dengan imej seorang anak perempuan tanpa bertudung, jika ia berlaku, itu tidak dibenarkan dan tidak ada sokongan. Dalam marah mendengar arahan itu, lucu pun ada. Adakah itu silibus pekerja pegawai Majlis Tempatan untuk menentukan apa yang perlu dilukis atau tak, sedangkan perkara yang sepatutnya mereka amik peduli, tidak pula mereka buat. Ini semacam program keagamaan dalam konteks pembodohan yang tak sepatutnya Majlis Tempatan pedulikan. 

Contoh lainnya, Alir Cahaya yang menganjurkan program  melibatkan orang awam, penganjur mestilah minta kerjasama dari pihak Majlis seperti lokasi, keselamatan dan sebagainya. Selalunya, banyak pihak yang akan terlibat, seperti KKM dan Polis boleh berjalan lancar, tetapi kenapa tidak dengan Majlis Tempatan. Alir Cahaya adalah program paling terbaru yang bakal terjadi, pengalaman ini harus dituliskan dan pengalaman ini amat memenatkan jika terus berhadapan dengan mereka. 

Berikutan program Alir Cahaya, Majlis telah bersetuju untuk memberikan lokasi iaitu di Terminal Bas Batu Pahat dengan bantuan sokongan dari pihak lain, tetapi ketika kerja-kerja produksi hendak dilakukan, masa itu lah bahawa mereka tahu, lokasi itu masih dibawah penyelenggaraan dan tidak sepenuhnya lengkap. Apakah pihak Majlis tidak serius dalam soal keselamatan awam? Mujur masih dalam kerja-kerja produksi, memang kerjanya memastikan dan mengambil kira status lokasi. Jadi, ketika mereka memberi sebuah lokasi, adakah mereka fikir, pihak Alir Cahaya mahu bermain “pondok-pondok”?

Begitu juga di Kulai, sebuah program street art anjuran Kolektif LUAS. Kasihannya mereka ini, mentah-mentah tidak dipeduli oleh kerana ada individu dari mereka yang agak lantang mengkritik Majlis. Jadi, apa sahaja idea yang keluar dari mulut individu tersebut, ditolak. Dalam masa yang sama, Majlis juga membuat anjuran tetapi boleh dikatakan terlalu ketinggalan zaman dan tidak menarik minat rakyat awam langsung. Berbeza dengan pendekatan kolektif tersebut, jangan kata setakat orang tempatan, luar dari daerah pun berkunjung menjayakannya. Itu lah beza yang ketara bila idea tak dirai, malah ditolak dan bila berlagak, malah bodoh. 

Boleh bayangkan tak, menurut kawan di Kulai, sebanyak kawasan tapak luas di Kulai, hanya dijadikan sewaan untuk perniagaan makanan. Penulisan ini bukan menolak industri perniagaan kecil, tetapi dalam masa yang sama, Majlis sendiri memgambil keuntungan kadar sewa dan cuma itu sahaja pihak Majlis boleh fikir. Sama hairannya di JB, di Stulang kawasan yang tiada parking, susah untuk dikunjung, pihak Majlis buat tempat untuk meniaga dan tapak-tapak sebelumnya mereka niaga, dijadikan tempat parking berbayar pula. Tambahan, lori tunda Majlis sentiasa menunggu di bahu jalan untuk angkut kereta yang park di pinggiran jalan. 

Musnahkan tempat niaga, buat parking berbayar. Lot parking lain dijadikan tempat niaga, lepas itu dimana harus parking? Orang tak akan masuk parking berbayar yang sebelum ini percuma semata-mata nak makan. Sudahnya, peniaga pun kerugian kerana orang dah tak mahu datang.

Banyak lagi teman-teman lain yang juga menerima layanan seperti ini. Baik di Johor mahu pun luar Johor. Sudah-sudahlah dengan perangai politik sampah dan budaya jilat-menjilat. Majlis harus sedar mereka bukan jentera pilihanraya, mereka bekerja untuk kemajuan bandar, kesejahteraan masyarakat setempat. Dengan pembangunan setempat seperti aktivis-aktivis ini lakukan, sebenarnya lebih membantu Majlis Tempatan itu sendiri, malah mampu melahirkan fikiran-fikiran yang positif daripada mereka tidak ada peluang dan ruang di tempat kelahiran mereka. Mereka bukan minta duit dari Majlis Tempatan yang kedekut, mereka hanya mahu tempat dan kerjasama yang baik sahaja. 

Jadi, bilakah kerjasama seperti ini akan mudah jika melalui Majlis Tempatan?

Jangan pula marah atau kacau, jika ada kumpulan yang bertindak radikal mengadakan apa-apa anjuran tanpa melalui Majlis Tempatan.

Sepatutnya, daripada apa yang telah berlaku ini, Majlis harus belajar bagaimana memelihara kesejahteraan penduduk sekaligus daerah itu sendiri. Kita tidak minta sepanjang jalan raya utama dihiasi lampu led, pemasangan arca-arca sepanjang jalan, bendera-bendera daerah, lampu hiasan, melainkan kerjasama yang baik. Jika ada kerjasama yang baik dengan pelbagai gerakan ini, apa mereka mahu pasang sepanjang jalan pun orang tidak kisah. Ini tidak, rakyat yang memerhati perkara ini rasa jelek, muak dan tidak bawa faedah langsung kepada orang awam. 

Contoh masalah yang biasa terjadi lagi. Masih ingat setiap kali Tengku Mahkota Johor (TMJ) sejak dari sultan sekarang, Tengku Yem, mengadakan Kembara Mahkota Johor, Majlis Tempatan ini lah yang beria menyiapkan apa yang boleh di setiap daerah yang terlibat kunjungan dari kerabat ini. Dimana ada jalan yang berlubang, terus di tar baru dari hujung ke hujung, mana lokasi yang hendak dituju, semua di cat baru, elektrik dipasang, divider dibuat, tanam anak pokok lima bulan awal, kedai sewa pihak Majlis terus diberi layanan baik, longkang distruktur baru, lampu yang rosak di jalan utama di pasang dan lain-lain lagi ragam. 

Kembara itu hanya berlangsung tidak lebih dari dua jam dan Kembara itu hanya menyinggah tunjuk kemewahan sahaja, habis semua diusahakan yang terbaik. Orang awam yang mati kemalangan disebabkan jalan berlubang, kedai banjir sebab pemparitan tersumbat, kereta rosak dihempap pokok tua dan semua malapetaka ini tidak diambil tindakan. Bila orang awam meminta bantuan kerjasama seperti program merakyat, semua lepas tangan, semua tak endah malahan boleh bergaduh dan bermusuh. Sikap suka menjilat ini adalah sikap paling tak bertamadun sekali. 

Bercakap soal wang, orang awam tak bodoh nak minta Majlis yang sentiasa ada alasan tiada peruntukan, jadi itu bukan masalahnya, banyak lagi NGO dan organisasi yang menyediakannya, ini bercakap soal kerjasama, yang dari dulu sampai ke hari ini tidak pernah lancar. Mereka berfikiran kuno, ketinggalan zaman dengan sikap menjilat mereka. Bila dikritik, makin disisihkan.

Jadi, satu persoalan yang besar timbul, apa sebenarnya Majlis Tempatan ini fikirkan dan mahukan?

Selamat Tahun Baru 2022!

Terus Kuat Kawan-Kawan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *