358 Art Show, Beletime Danga Bay

Pada 30hb Disember 2023 sehingga 7hb Januari 2024, sebuah pameran seni lukis telah dijalankan di Galeri Beletime, Danga Bay, Johor Bahru. Pameran tersebut dinamakan 358 Art Show, bertujuan untuk memberdayakan pelajar-pelajar Golden Art di bawah bimbingan Chris Om agar bergerak aktif di dalam mengolah kreativiti.

Biodata Ringkas Artis Seni Lukis dan Kurator Program.

Chris Om merupakan seorang guru dan artis seni lukis tempatan yang bergiat aktif di dalam industri seni di Malaysia sejak 2003. Merupakan seorang graduan daripada Nanyang Academy of Fine Art. Chris Om adalah salah seorang artis yang berbakat terutamanya di dalam ilustrasi potret. Juga boleh dianggap sebagai “artis pasca-moden”, di mana kebijaksanaannya dalam menerapkan nilai psikologi, antropologi, dan kemanusiaan di dalam karya beliau.

Sumber: FB Golden Art

Hal tersebut boleh dilihat melalui karyanya yang bertajuk “The Silent Rebellion”, “The Sun in My Heart” dan “What I was hopping”. Seni Lukisan potret pada terminologi “pasca-moden” adalah justifikasi kepada bagamaimana sesebuah idea itu diterjemahkan ke dalam sebuah karya.

Chris Om | Sumber: Laman FB Chris Om

Bagi mereka yang berminat untuk memahami dan menghayati karya Chris Om dengan lebih dekat, boleh menghadiri ke galeri 358 Art Show Belltime Danga Bay, dimana karya “The Sun in My Heart” ada dipamerkan.

Karya Chris Om: The Sun in My Heart

Pengenalan Program

Program 358 Art Show ini, adalah sebuah apresiasi seni yang mengangkat dan menghargai bakat serta hasil kerja seni penuntut dan pelajar Golden Art di Johor Bahru. Program ini turut didorong dan disokong oleh  Stopwatch Gallery Rotherham, England sebagai rakan kerjasama didalam pendidikan dan pameran. Chris Om juga turut dibantu oleh rakan seni beliau Jaie Ramlee daripada Luas Karya Studio sebagai pembantu koordinasi pameran.

Karya kanak-kanak berumur 2 – 4 tahun yang dipamerkan. | Sumber: FB Golden Art

Pameran ini telah mempersembahkan sebanyak 323 buah karya hasil seni. Melibatkan 124 artis dan pelajar sekitar Johor Bahru dan Pulau Pinang. Angka “358” yang menjadi tema pameran seni adalah bermaksud hasil karya yang dipamerkan adalah diwakili oleh mereka yang peringkat umur 3 tahun sehingga 58 tahun.

“Tujuan pameran ini adalah untuk memupuk minat serta keberanian para pelajar. Selain itu, memupuk budaya berkongsi hasil karya dengan masyarakat umum melalui kerja-kerja pameran. Kerana seni adalah satu bentuk manifestasi pemikiran dan emosi seseorang, yang memiliki nilai kemanusian dan kemasyarakatan. Perkongsian karya seni boleh dijadikan alat rehabilitasi dan alat perpaduan masyarakat umum”.

– Chris Om

Penglibatan pihak ibubapa dan anak-anak (pelukis).

Pihak kami sempat menemu ramah pasangan ibu bapa yang hadir dari Pulau Pinang. Pasangan Tuan Por Meng Wah dan Puan Gon Ai Li, Pertemuan mereka dengan Golden Art Johor Bahru adalah bermula pada musim PKP semasa wabak pandemik Covid19, tahun 2020 yang lalu. Perkenalan mereka dengan Chris Om secara atas talian itu, membuatkan pasangan suami isteri mendaftarkan kelas seni lukisan kedua anak mereka.

Bagi Puan Gon Ai Li, mereka berasa selamat dan bersyukur kerana anak mereka tidak terkesan dengan trauma akibat wabak dan perintah berkurung. Ini kerana anak mereka telah menyibukkan diri mereka dengan mengikuti pembelajaran seni di atas talian.

Bersama keluarga Por Meng Wah di Galeri Beletime, Danga Bay, Johor Bharu. | Sumber: FB Golden Art

Pasca Covid 19, mereka melihat kedua anak mereka ingin meneruskan minat dan terus mendalami seni lukis bersama Chris Om walaupun fasa pandemik sudah berakhir. Por Meng Wah juga menambah, kesan pembelajaran seni lukis terhadap kedua anaknya adalah mereka lebih ceria dan berani. Perkara ini dilihat baik bagi perkembangan keperibadian anak-anaknya.

Karya Por Jia Jia (13 tahun) | Sumber: FB Golden Art

Por Jia Jia (13 tahun) dan Por Ke Ke (10 tahun), amat berterima kasih kepada gurunya Chris Om kerana sudi berkongsi ilmu bersama. Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa mereka yang memberi dorongan dan sokongan. Selain itu, mereka juga teruja dan bangga apabila karya hasil seni mereka boleh dipamerkan kepada masyarakat umum di Beletime Danga Bay, Johor Bahru.

Karya Por Ke Ke (10 tahun) | Sumber: FB Golden Art

Aktiviti Komuniti Adalah Penting Dalam Membina Generasi Baru

Viktor Lowenfeld, seorang ahli teori perkembangan artistik memiliki teori yang penting. Beliau percaya bahawa hubungan yang kuat antara kreativiti dengan perkembangan estetika adalah penting di dalam edukasi seni. Maka bagi melahirkan satu komuniti yang mampan, pendidikan seni seharusnya tidak dilupakan terutamanya di fasa awal tumbesaran. Ini kerana pendidikan seni dapat mengimbangi dinamika antara sifat semula jadi dengan pedagogi pembelajaran (nature & nuture) kanak-kanak. Baik dari segi aspek kognitif psikologi mahupun artikulasi logika pemikiran mereka.

Perkembangan Mental dan Kreativiti Viktor Lowenfeld | Sumber: Pinterest

Bagi mereka yang dewasa pula, seni dapat membantu mereka dalam berehat dan rehabilitasi. Bermakna, seni adalah suatu alat yang praktikal dalam mengimbangi modal insan dan kesihatan mental serta emosional mereka. Kerana karya seni itu merupakan refleksi minda separa sedar diri itu sendiri. Juga sebagai alat pembebasan dari tekanan hidup dan beban tanggungjawab yang dipikul dalam rutin seharian mereka.

Untuk membentuk sebuah bangsa yang baik, haruslah bermula dengan individu yang baik dari segi kesihatan mental, emosi, fizikal dan spiritualnya. Seni, memberikan ruang seluasnya buat kita untuk meneroka hal-hal ini.

Maka apa jua usaha, untuk menghidupkan “gerakan pendidikan seni” secara khusus haruslah disokong dan dibantu. Sebuah sistem sokongan yang baik, adalah penting dalam melestarikan nilai kemanusiaan, estetika dan moral. Pemberdayaan ilmu kesenian ini sesungguhnya akan dapat mengimbangi budaya meritokarisi yang bersifat materialistik.