Skip to content
Laman Utama » Lesen Nelayan Membebankan Nelayan

Lesen Nelayan Membebankan Nelayan

Oleh: Iltizam Iman Abd Jalil

PASIR GUDANG – Sehubungan dari program Latihan Aktivis Alam Sekitar ke-9 (LASAK 9.0) anjuran Persatuan Sahabat Alam (KUASA), laporan lepas boleh dibaca di sini, penduduk Kg. Perigi Aceh juga mengeluarkan rasa kecewa terhadap sistem pengurusan permohonan lesen nelayan. Masalah dengan permohonan lesen ini sangat mengganggu pergerakan kampung, kerana 70% penduduk di sini adalah nelayan dan 25% daripadanya terdiri dari pemuda.

Keluh En. Othman Adon, Ketua Kampung Perigi Aceh, menyatakan sumber pendapatan mereka semakin terhad, hasil tangkapan ikan semakin kurang. Kepesatan industri perkilangan membuatkan kehidupan mereka semakin hari semakin sukar.

Kebanyakan dari penduduk kampung, mereka tidak mempunyai lesen nelayan. Menurut beliau, kuota lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan sangat membebankan nelayan.

Walaupun tidak memiliki lesen, tapi akibat terdesak mereka terpaksa pergi menangkap ikan jauh hingga Pengerang. Pernah juga antara mereka yang ditahan, dan bot mereka terpaksa ditunda sampai ke Sedili. Ini adalah satu perkara yang merisaukan komuniti setempat, kerana rezeki mereka sudah tiada di sekitar akibat pencemaran, dalam masa yang sama mereka tidak dapat pergi jauh untuk mencari rezeki kerana tiada lesen. Untuk menguruskan permohonan lesen pula, terhalang oleh masalah pengurusan badan bertanggungjawab.

Isu lesen yang sama juga membuatkan nelayan Pantai Puteri, Melaka, sudah tidak peduli dan nekad untuk membelakangkan undang-undang. Sebelum ini, seorang nelayan yang dikenali sebagai Mat Laham, memberitahu sudah 3 kali memohon lesen dengan Jabatan Perikanan tetapi semuanya ditolak akibat kuota penuh. Menurut laporan Amran Mulup, Mat Laham menyatakan rata-rata nelayan seperti dia sudah tidak mempedulikan langsung amaran dari pihak Jabatan Perikanan.

Mereka terpaksa tetap turun ke laut untuk mencari makan, rezeki mereka di situ.

Saya sedia ditahan dan dihadapkan ke mahkamah!” katanya pada Utusan Malaysia pada 27 Februari 2021.

Menurut En. Othman, industri perkilangan di sekitar Kg. Perigi Aceh ini telah bermula dari tahun 1980’an. Semenjak itu, hasil tangkapan nelayan terus menurun. Semakin pesat pergerakan industri, kampung-kampung nelayan beserta penduduknya semakin terpinggir, terasak. Seperti yang berlaku terhadap Kg. Kopok Lama, yang telah dipindahkan bagi membuka laluan kepada pembangunan.

Di pesisir Sungai Johor ini, kita dapat lihat jejak-jejak penempatan nelayan; tidak kira di Kong Kong, Tanjung Langsat, Kg. Perigi Aceh, Pasir Putih, Teluk Kabung, hinggalah ke Kg. Sungai Melayu yang dikatakan bakal berdaftar di UNESCO. Perkampungan di sepanjang pesisir sungai ini kebanyakannya sejak asal adalah perkampungan tradisional nelayan.

Makam panglima Aceh | Sumber gambar: Blog Pasir Gudang Village

Kampung Perigi Aceh ini mempunyai sejarah penting di mana ia tempat mendaratnya panglima Aceh sewaktu menyerang kerajaan Johor Lama. Panglima tersebut juga disemadikan di sini. Tambahan, perigi yang menjadi lambang kampung ini juga masih lagi bertakung dengan air bersih. Ini bermakna, kehidupan penduduk Kg. Perigi Aceh harus dijaga dengan sebaiknya termasuklah alam persekitaran mereka.  Khazanah sejarah adalah punca yang penting untuk menghidupkan komuniti dan pendidikan.

Perigi yang menjadi tanda kehadiran Aceh | Sumber gambar: Blog Pasir Gudang Village

 

Baca laporan sebelum ini: Nelayan Kg. Perigi Aceh Dizalimi Industri Perkilangan

1 thought on “Lesen Nelayan Membebankan Nelayan”

  1. Pingback: Nelayan Kg. Perigi Aceh Dizalimi Industri Perkilangan - KARYASAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *