Oleh: Iltizam Iman Abd Jalil
Baca sebelum ini – Documenta 15: Malaysia ke Jerman Atas Semangat Kolektivisme
Documenta und Meseum Fridericianum gGmbH adalah sebuah Organisasi Tidak berasaskan Keuntungan yang didanai oleh Majlis Bandaraya Kassel dan Kerajaan Negeri Hesse serta Yayasan Kebudayaan Jerman (German Federal Cultural Foundation).
Pada 1955, seorang pelukis dan professor Arnold Bode mahu mengangkat dialog bersama masyarakat seluruh dunia selepas tamatnya Perang Dunia ke-2, dan mahu menghubungkan jaringan kesenian antarabangsa melalui “Persembahan kesenian abad ke-20”. Beliau mengasaskan “Masyarakat Kesenian Barat Abad ke-20 (Society of Western Art of the 20th Century)” yang bertujuan untuk mempersembahkan kesenian yang pernah dianggap satu kemunduran oleh Nazi Jerman. Di dalam Muzium Fridericianum yang telah musnah, beliau juga mempamerkan kerja-kerja dari zaman moden klasik yang tidak pernah dilihat di Jerman ketika itu.
Dokumenta yang pertama banyak mempersembahkan karya-karya retrospektif dari aliran-aliran seni utama seperti Fauvisme, Ekspressionisme, Kubisme dan Futurisme. Juga dari karya artis-artis luar biasa seperti Pablo Picasso, Max Ernst, Hans Arp, Henri Matisse, Wassily Kandinsky dan Henry Moore. Selain itu, karya-karya pengasas seni moden seperti Paul Klee, Oskar Schlemmer atau Max Beckmann juga dipersembahkan seiring dengan karya-karya seni dari zaman moden klasik.
Ketika itu, kedahagaan masyarakat dunia untuk mengetahui keadaan seni dunia telah memanggil seramai 13,000 orang pelawat ke Kassel untuk pameran seni kontemporari tersebut. Peristiwa bersejarah ini membuatkan Bode menyusun atur Dokumenta seterusnya pada 1950, dan selepas itu kitaran hari pameran ditetapkan setiap 5 tahun sekali.
Arnold Bode mengarah pameran Dokumenta sehingga Documenta 4 pada 1968, atas kerjasama ahli-ahli sejarah seperti Werner Hafmann, Will Grohmann, Werner Schmalenbach dan Max Imdahl. Melalui pameran seni, Bode telah menjadikan Documenta sebagai pengarkib sejarah dan perkembangan seni kontemporari.
Format Baru
Format organisasi Documenta diperbaharui pada 1972. Harald Szeemann, telah dirujuk sebagai “Sekretariat Jeneral” mewakili Ahli Lembaga Majlis Documenta gGmbH, satu himpunan juri antarabangsa yang bertanggungjawab untuk melantik Direktor Artistik (kurator) untuk setiap pameran Documenta. Pada 1997, Catherine David menjadi dilantik sebagai Direktor Artistik wanita pertama yang menyusun atur idea dan konsep Documenta. Pada 2022 pula, buat pertama kali Documenta diarahkan secara kolektif oleh Ruangrupa yang diwakili seramai 10 orang.
Bagi setiap pameran, konsep dan idea Dokumenta adalah sepenuhnya mewakili konsep dan idea Kurator. Ruang itu juga dapat dilihat sebagai sebuah ruang menginovasi dan bereksperimen konsep-konsep pameran seni. Dalam setiap edisi, Documenta berperanan sebagai ruang perbahasan bagi melihat hala tuju kesenian dunia. Setelah beberapa dekad, Documenta terbangun sebagai institusi yang tidak sekadar menjalankan pameran seni yang merespon pada keadaan semasa, tetapi juga secara kritikial menjadi sebuah platform kajian berterusan tentang pembangunan seni dan masyarakat dunia.
Muzium Fridericianum
Muzium Fridericianum berdiri sebagai muzium pertama di dunia, dibangunkan pada 1779. Tetapi ia telah dimusnahkan dan ditinggalkan terbengkalai sewaktu zaman rejim Nazi Jerman. Alasannya, seni itu hanya memandulkan negara dan masyarakat industri. Semenjak 1988, ia telah dikenali sebagai sebuah galeri seni yang memiliki ruang pameran berukuran 2,000 meter persegi. Sebagai sebuah tempat yang meraikan seni kontemporari dengan seluas-luasnya, terdapat karya-karya baru sehingga karya yang telah kukuh dipamerkan di sini.
Dari 2018 sehingga sekarang, Moritz wesseler telah dilantik sebagai pengarah Fridericianum. Sebelum itu posisi itu digalas oleh Susanne Pfeffer (2013 – 2017). Di bawah Moritz Wesseler, beliau berfokus terhadap artis-artis yang belum pernah diangkat oleh institusi dan platform yang ada di Jerman. Sebagai pengarah, beliau juga berfokus untuk menggilap karya-karya bernilai yang belum digali dalam sejarah.
Selain menjadi ruang pameran karya-karya seni kontemporari dan arkib sejarah, muzium ini juga sering menjemput seniman-seniman dari serata dunia. Ini bagi menjalankan pelbagai acara yang memiliki berbagai-bagai format termasuklah temu-bual, forum, persembahan, tayangan dan sebagainya.
Arkib Documenta
Pada 1961, Arnold Bode telah mengasaskan Arkib Dokumenta atas kesedaran betapa pentingnya dokumentasi sejarah dalam pembangunan dunia seni kontemporari. Hari ini, arkib tersebut juga telah menempatkan perpustakaan seni abad ke-19 dan ke-20 serta menyimpan semua koleksi dokumen, gambar dan surat-menyurat yang berkaitan dengan semua pameran Documenta lepas. Arkib ini juga mendokumentasikan siaran akhbar dan media, membuatkan arkib media Documenta semakin berkembang luas. Warisan Arnold Bode bersama Hans Hillman, Harry Kramer dan Floris M. Neususs ini, kini disimpan di dalam Arkib Dokumen.
Arkib documenta secara rasmi telah diamanahkan kepada documenta und Museum Fridericianum gGmbH sewaktu upacara bersimbolik pada 15 Julai 2015. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan kepentingan antarabangsa institusi ini. Membangunkannya bersama Universiti Kassel sebagai Institut Documenta yang dapat memberi manfaat jangka masa panjang buat masyarakat antarabangsa.
Institut Documenta
Sekarang ini, Institut documenta sedang dibangunkan atas kerjasama kerajaan dengan universiti. Iaitu kerajaan Negeri Hesse, Bandar Kassel, documenta und Museum Fridericianum gGmbH, Universiti Kassel dan Kunsthochschule Kassel. Sokongan kewangan untuk projek bangunan pula didanai oleh Pesuruhjaya Kerajaan Persekutuan untuk Kebudayaan dan Media. Ahli sosiologi terkenal Prof. Dr. Heinz Bude telah dilantik sebagai Pengarah Pengasas Institut documenta.
Titik permulaan bagi Institut documenta ialah Arkib Documenta, yang sedang dibangunkan menjadi sebuah institut penyelidikan bagi penyelidik luar. Arkib Documenta diasaskan pada tahun 1961 oleh Arnold Bode ini didedikasikan untuk tujuan pengarkiban, dokumentasi dan kajian ilmiah. Bersumberkan teks dan imej mengenai seni moden dan kontemporari, khususnya bagi pameran Documenta yang telah berlangsung sejak 1955. Sebagai tambahan kepada dokumen-dokumen Documenta, semua koleksi akhbar, imej dan media audiovisual, perpustakaan seni dan wasiat serta harta pusaka yang berkaitan dimuatkan ke dalam arkib ini.
Institut Documenta akan dipayungi di bawah Documenta und Museum Fridericianum gGmbH dan bertujuan untuk bergerak merentasi pelbagai disiplin seni. Bertujuan untuk merangsang, mengembang dan menjalankan lagi penyelidikan yang berkaitan dengan pameran antarabangsa dan pameran Documenta. Agar dapat mempertingkatkan pendedahan awam terhadap seni kontemporari.
Maklumat lanjut:
www.documenta-archiv.de
www.documenta-institut.de