Pementasan Sidang Ruh, The Wall Batu Pahat

Oleh: Iltizam Iman

Sidang Ruh adalah sebuah pementasan yang terinspirasi dari bait-bait sajak Kassim Ahmad. Karya sajak beliau sebelum ini juga telah memberi inspirasi kepada Syed Ahmad Jamal untuk mencipta sebuah karya seni halus atas tajuk yang sama. Pementasan yang dimainkan oleh Sanggar Teater Alir Cahaya mengetengahkan tokoh-tokoh penting dalam perjuangan kemerdekaan dan pembangunan peradaban negara, terutamanya nama-nama mereka yang kurang didendangkan seperti Si Bongkok Tanjung Puteri, Dr. Burhanuddin al-Helmy, Mat Indera dan lain-lain.

Poster JAMu

Pertama kali Sidang Ruh dipentaskan adalah pada waktu pameran Alir Cahaya berlangsung pada 25 Februari 2022. Pementasan kedua pula selesai dijalankan pada 24 Jun 2022 di The Wall, untuk benefit show JAMU. Pementasan teater ini juga sebahagian usaha kolektif untuk mengumpulkan dana bagi menyokong persiapan kolektif Aisyah dan Julie untuk berangkat ke Kassel, Jerman. Mereka berdua akan terlibat secara langsung dengan pameran seni Documenta ke-15, untuk berkarya, berkongsi dan meluaskan pengetahuan dalam pembangunan kolektivisme.

Pementasan Sidang Ruh

Dalam pementasan Sidang Ruh, sejarah suara-suara perjuangan, perlawanan dan prinsip dari mereka yang telah pergi cuba didengarkan lagi. Suara dari tiga zaman berbeza yang memiliki perbezaan ideologi politik disatukan ke dalam sebuah pentas yang sama. Zaman tersebut adalah zaman Kolonial Klasik (1500 – 1800), zaman Kolonial Moden (1800 – 1957) dan zaman Pasca Kolonial (1957 – sekarang).

Apabila suara-suara Sidang Ruh dikumpulkan ke satu pentas, kita dapat lihat yang sejak zaman Empayar Melaka dijangkiti penyakit dengki, tamak dan khianat, masuk ke zaman penjajahan sehinggalah zaman merdeka sekarang, suara-suara perlawanan itu masih lagi memiliki tuntutan yang sama; iaitu untuk mencapai kemerdekaan jiwa dan mental, jauh dari sebarang anasir yang memenjarakan kemampuan dan bakat rakyat, jauh dari penjarahan sumber daya alam.  tidak kira oleh bangsa asing mahupun bangsa sendiri.

Sesi raptai

Untuk pementasan Sidang Ruh di The Wall lepas, lega yang tak terhingga dirasakan apabila semuanya berjalan lancar, walaupun perancangan dijalankan hanya dalam masa seminggu, walau sesi raptai hanya dapat dijalankan 1 jam sebelum persembahan. Bagi kami, pementasan ini bukanlah kerja saat akhir. Tetapi sebagai satu usaha dalam menjayakan sesuatu apabila diperlukan pada saat-saat genting. Menggunakan sumber daya tenaga yang terhad, dalam kerangka masa yang terhad, untuk menyalurkan potensi kreatif dan semangat yang tidak terbatas.

Tokoh-tokoh yang diangkat kali ini hanyalah seramai 5 orang, taklah seramai waktu Alir Cahaya yang lepas hingga 10 orang tokoh. Pemilihan tokoh ditentukan berdasarkan keselesaan pelakon sendiri. Ejun membawa sumpah setia Anggaru sebagai Rakyat Bugis, Sopi sebagai Si Bongkok Tanjung Puteri, saya sendiri membawa ucapan Burhanuddin al-Helmy, Haikal sebagai Hussein Onn dan Wak Kang menyuarakan bait-bait kata Usman Awang. Setiap ‘ruh-ruh’ ini dikendalikan oleh Tawel, yang berperanan sebagai pawang. Berikut adalah keterangan ringkas tentang tokoh-tokoh yang dibawa, moga-moga nanti ada kesempatan lanjut untuk tuliskan sesuatu yang lebih terperinci dan mendalam.

Prajurit Bugis (Anggaru/Sumpah Setia)

Mengandung sebuah sumpah taat setia prajurit untuk berbakti kepada pemerintah. Boleh juga sebaliknya, secara tradisi Anggaru juga dibacakan oleh raja Bugis yang menyatakan taat setianya kepada hak-hak dan kebajikan rakyat.

Di sebalik Anggaru, terdapat satu peringatan penting buat pemerintah. Akan sentiasa ada rakyat yang menjunjung tinggi dan berserah kepada pemerintahnya. Kerana pemerintah yang menguasai kebanyakan sumber daya alam dan keilmuan, maka pemerintah itu pastilah jauh lebih sedar dan bijaksana berbanding rakyat jika pemerintah itu benar-benar memanfaatkan kedudukannya tanpa terjebak dengan ketamakan, penganiayaan, kemalasan dan pembodohan.

Atas dasar itu, raja juga harus menyatakan sumpah setianya untuk berkhidmat. Jika janji untuk membangunkan peradaban tidak dikotakan, namanya akan tercatat dalam sejarah untuk diteladani cucu-cicit agar tidak mengulangi salah yang sama. Rakyatnya bertanggungjawab untuk menentangnya jika dia berlaku zalim dan seleweng. Sultan, raja atau apa saja gelarannya, bukanlah yang memiliki rakyat sebagai “hamba” dan sumber daya alam sebagai “harta” miliknya untuk dieksploitasi. Tapi satu kedudukan pemikul tanggungjawab paling besar yang berkhidmat untuk rakyat dan alam.

Sumber: Pinterest

Si Bongkok Tanjung Puteri

Seorang yang sangat kurang dikenal dalam sejarah pejuang kemerdekaan. Si Bongkok Tanjung Puteri adalah wira yang kalah, dan sebahagian besar sejarahnya tidak diketahui sesiapa. Kisah dan riwayat hidupnya sangat terhad. Beliau adalah penentang penjajah Inggeris, yang cukup membenci penjajahan. Hinggakan beliau menentang Maharaja Johor (Temenggong Abdul Rahman), kerana bersikap terlalu baik dan lunak dengan Inggeris. Sedangkan, penjajahan telah menyebabkan banyak kesusahan bagi rakyat.

Kerana tidak dapat menerima keadaan pemerintahan yang selesa dengan kehadiran penjajah, Si Bongkok bersama angkatannya melakukan banyak aksi sabotaj terhadap kapal-kapal dagang. Ini menyebabkan banyak kapal dagang asing tidak berani melalui perairan Johor – Singapura, dan ekonomi Johor dan Singapura turun mendadak. Ini membuatkan Inggeris murka, lalu menitahkan agar Maharaja Johor menghapuskan kumpulan pemberontak Si Bongkok ini. Hingga ke hari ini, nama mereka tercatat sebagai “Lanun”.

Sumber: 10tahun.blogspot.com

Dr. Burhanuddin al-Helmy

Beliau memiliki latar-belakang pendidikan agama yang kuat, pengikut ajaran tarikat, sehingga semangat kerohaniannya meresap masuk ke dalam pergerakan politik yang konsisten dan progresif. Pernah menjadi Yang Dipertuan Agong ke-2 Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) selama 2 tahun menggantikan pemangku pertama iaitu Mokhtaruddin Lasso. Ideologi beliau, Kebangsaan Melayu itu tidak terbina semata atas dasar warna kulit dan keturunan. Tetapi terbina atas sifat semula jadi keadaan muka bumi, keturunan pusaka, kebudayaan baka dan hak mutlak penduduk tanah ini, dari nilai-nilai inilah satu identiti nasional yang jelas dan kukuh dapat terbentuk. Beliau juga bercita-cita untuk mencapai kemerdekaan yang memiliki nilai kebebasan yang sama sepertimana waktu sebelum Empayar-empayar di nusantara dimasuki penjajah.

Tun Hussein Onn

Merupakan perdana menteri ke-3 Malaysia yang berkhidmat sepanjang tahun 1976 hingga 1981. Dikenali sebagai bapa perpaduan, atas dasar usahanya memupuk perpaduan di kalangan rakyat, yang pernah meredakan ketegangan antara golongan kiri dengan kanan, yang bertindak keras terhadap sesiapa yang membangkitkan kekacauan dalam hal perkauman. Bapanya Dato’ Onn Jaafar, merupakan pengasas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang ketika itu bertindak sebagai penentang Malayan Union yang berada di atas jalur kanan. Tun Hussein pernah bertanggungjawab sebagai ketua pemuda UMNO pada tahun 1949 dan Setiausaha Agung pada 1950.

Pernah menarik diri dari pertubuhan UMNO apabila cadangannya untuk membuka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu ditolak oleh rata-rata orang UMNO.  Kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) seterusnya Parti Negara. Akhirnya, beliau dipujuk kembali oleh Tun Abdul Razak untuk menyertai UMNO. Sewaktu menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, beliau meneruskan agenda Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk mengukuhkan keadaan ekonomi orang Melayu. Latar belakangnya sebagai tentera perang yang pernah beberapa kali terlibat aktif di medan perang menunjukkan beliau juga memiliki kebijakan dalam susun atur strategi politik.

Dato’ Usman Awang

Seorang Sasterawan Negara, terkenal dengan nama penanya Tongkat Warrat. Lahir pada 12 Julai 1929 di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor. Nama asalnya Wan Osman Wan Awang namun beliau menukar nama kepada Usman Awang sahaja. Kemiskinan telah menjadi gurunya membesar, sempat bersekolah hanya sampai darjah 6. Pernah menjadi petani pada 1942, pernah juga menjadi buruh paksa penjajah Jepun selama 6 bulan di Singapura. Walau bagaimanapun, beliau berjaya meloloskan diri dari cengkaman penjajah tersebut.

Pada 1946 pula, Usman meneruskan hidup sebagai ‘budak pejabat’ di Pejabat Tali Air Segamat sebelum menjadi anggota polis Inggeris pada tahun yang sama. Beliau berhenti berkhidmat kepada Inggeris pada 1951 dan memulakan kerjaya sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya sebelum menjadi pembaca berita.

Usman mengukir namanya dalam dunia persuratan Melayu melalui penulisan sajak. Sememangnya beliau dikenali sebagai penyajak yang menanam dengan subur semangat dan keharmonian masyarakat ke dalam sajak-sajaknya. Memiliki peribadi yang sangat lemah lembut dan mesra, tetapi tidak mengurangkan ketegasannya dalam bersolidariti terhadap masyarakat bawahan yang tertindas dan ditekan. Kerana itu nama beliau terukir sebagai seniman yang berjiwa rakyat. Beliau berani mengambil pendirian dan menyatakan sikap dengan tegas, apabila bersangkut-paut dengan hal-hal kenegaraan. Untuk jadi penulis, bagi Usman seseorang itu perlulah memiliki keberanian yang tinggi. “Kalau tak berani tak payah jadi penulis…”, katanya.

Dalam buku Seorang Penyair, Sebuah Benua Rusuh Sasterawan Negara Muhammad Hj. Salleh mengangkat Usman sebagai wira pelajar pada 1970’an dan 1980’an. Beliau dianggap sebagai pejuang hak asasi dan teman yang pemurah buat para pelajar. Yang mana sepanjang tahun-tahun tersebut dikatakan era perlawanan menolak penindasan dan menuntut bebas dari cengkaman penjajahan dan kemiskinan.

Tentang Lagu-lagu

Lagu-lagu dalam pementasan Sidang Ruh kami pilih disaring dan dibincangkan secara bersama. Lagu-lagu yang diputuskan adalah beberapa bait Gurindam 12 oleh Raja Ali Haji, Kidung Wahyu Kolesebo oleh Sri Narendra Kalaseba, Lir-Ilir ciptaan Sunan Kalijaga dan Darah Juang oleh Marjinal. Lagu disusun mengikut kesesuaian pesanan yang ingin disampaikan ke dalam pementasan.

Melalui Kidung Wahyu Kolesebo, Sri Narendra Kalaseba membawa pesan-pesan spiritual yang melambangkan pengabdiannya terhadap Tuhan Semesta Alam. Lagu tersebut membawa erti seorang hamba yang berusaha keras untuk mengendalikan hawa nafsu dan mempersiapkan diri agar kuat berdepan dengan gangguan setan. Menurut lagu ini, pengendalian hawa nafsu dapat membenarkan seseorang untuk mengecapi rasa hidup yang bebas dan merdeka. Pengendalian hawa nafsu dapat memerdekakan seseorang dari penjajahan mental, seterusnya membebaskan dirinya dari sifat-sifat takut, tamak, dengki dan sombong yang menjadi punca kezaliman dan penindasan bermaharajalela.  Jika manusia tidak memainkan peranannya sebagai pengendali hawa nafsu, manusia itu takkan mampu untuk melahirkan tindak-tanduk yang adil dan berani untuk persekitarannya.

Lir-ilir pula dimainkan apabila pawang selesai menghantar ruh-ruh pulang. Simbolnya semangat-semangat kita yang hidup telah kembali memainkan peranan dalam kehidupan. Lir-ilir membawa tujuan untuk ‘membangunkan’ semangat-semangat yang sedang tidur untuk teguh kepada prinsip dan disiplin penyucian diri. Agar kehidupan manusia dapat mencapai potensi keharmonian, kesucian dan kebaikannya.

Lagu terakhir, kami memilih Darah Juang ciptaan Marjinal bagi menyimpulkan pementasan yang telah dijalankan. Lagu ini dapat dirasakan tepat, untuk menggambarkan semangat tokoh-tokoh yang dikedepankan ketika mereka berjuang untuk mendirikan bangsa merdeka.

Penghargaan

Terima kasih yang tak terhingga buat rakan kolektif The Wall, kerana menjamukan panggung mereka untuk kami. Buat para pelakon dan krew Sidang Ruh, yang memiliki keyakinan tinggi dan semangat kebersamaan yang kuat untuk menjayakan sesuatu dalam tempoh yang terhad. Juga buat pengunjung-pengunjung yang datang menyokong. Buat kenalan baru yang membuka jalan baru untuk meluaskan jaringan kerjasama. Dan akhir sekali, semoga dengan pementasan ini dapat memberi semangat yang lebih buat Aisyah dan Julie yang bakal berangkat nanti.

Terus semangat!

TAJUK: SIDANG RUH
DURASI: 30 MINIT
TEMPAT: THE WALL, BATU PAHAT
MASA: 6.30 PM

BARISAN PELAKON DAN KREW:

SANGGAR TEATER ALIR CAHAYA
Tawel – Pawang
Ejun – Prajurit Bugis (Anggaru)
Sopi – Si Bongkok Tanjung Puteri
Iman – Burhanuddin al-Helmy
Haikal – Hussein Onn
Wak Kang – Usman Awang
Jaie – Narator 1
Aida – Narator 2
Uda – Juru Bunyi
Arjuna – Prop dan Juru Pencahayaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *