Skip to content
Laman Utama » Jose Rizal & Pemikirannya Perihal Masyarakat Filipina

Jose Rizal & Pemikirannya Perihal Masyarakat Filipina

Oleh: Syed Ahmad Fathi

“Tanpa pendidikan dan kebebasan yang menjadi tanah dan matahari bagi seseorang manusia, tidak ada pembaharuan yang mungkin dan tidak ada usaha yang boleh membuahkan hasil yang diingini.”

– Jose Rizal, Kemalasan Peribumi Filipina (ms. 65)

Saya pertama kali membaca perihal Dr. Jose Rizal dari penulisan Serafin D. Quiason, yang pernah menjadi direktor Perpustakaan Kebangsaan Filipina melalui sebuah artikel yang ditulis beliau dalam Jurnal Jabatan Pengajian Asia Tenggara (JATI) Bilangan-2 yang diterbitkan oleh Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya pada bulan Disember 1996. Menurut Quiason, Jose Rizal merupakan hero kebangsaan Filipina dan juga merupakan manusia moden baharu yang beliau gelar sebagai homo universalis. Saya ingin memulakan penulisan ini dengan sedikit pengenalan tentang Jose Rizal seperti yang diriwayatkan oleh Quiason.

Rizal merupakan anak Filipina yang cerdas, namun di zaman beliau, tiada institusi pendidikan yang dapat memberikan kepuasan dalam menghilangkan kedahagaan intelektual beliau. Oleh itu, anak-anak Filipina yang berbakat seperti beliau perlu keluar untuk mencari ilmu. Beliau telah ke Sepanyol dan German untuk meneruskan pengajian dan mendalamkan pengetahuan saintifik dalam bidang perubatan serta membangun nilai-nilai kemanusiaan dalam dirinya. Pemikiran beliau banyak dipengaruhi oleh agama Kristian dan juga rasionalisme. Namun beliau tidak menampakkan sifat anti-gereja, tetapi pemikirannya banyak membawakan penentangan terhadap para paderi (anti-clerical) seperti kebanyakan orang-orang Eropah liberal di zamannya.

Beliau cuba mengubah program pendidikan lama kolonial yang hanya menguntungkan segolongan elit kepada populasi Filipina yang lebih besar, memupuk semangat nasional mereka serta membangun potensi rakyat untuk membangunkan negara moden. Karyanya yang terkenal adalah dua buah novel iaitu Noli Me Tangere dan El Filibustero. Pada 30 Disember 1896 pada jam 07.03 pagi, beliau ditembak mati oleh pemerintah kolonial di Bagumbayan atas dakwaan terlibat dengan gerakan revolusi melawan pemerintahan kolonial Sepanyol.

Selain dari penulisan Serafin D. Quiason yang banyak menghuraikan sifat-sifat Rizal, pemikiran Jose Rizal kini boleh dibaca dalam Bahasa Melayu dalam naskah terbitan baharu yang bertajuk Kemalasan Peribumi Filipina hasil terjemahan Maryam Zakiah Mohamed Yusof terbitan The Biblio Press pada tahun 2022. Naskah ini juga diberi kata pengantar baharu oleh Syed Farid Alatas. Naskah asal manuskrip ini bertajuk La Indolencia de los Filipinos diterbitkan pada tahun 1890 dalam bahasa Sepanyol.

Dalam kata pengantarnya, Syed Farid Alatas memetik surat Rizal kepada ibunya semasa beliau belajar di Sepanyol di mana di sana beliau menyedari pertembungan fahaman-fahaman Katolik konservatif dan liberal. Bagi Rizal, dia masih berpegang dengan kepercayaan asas dalam Kristian yang bersesuaian dengan prinsip-prinsip berfikir. Beliau menulis:

“Sebarang kepercayaan asas yang sudah lapuk dan tidak bertahan harus ditinggalkan sekadar memori dan tidak lagi diletakkan di dalam hati. Aku tidak ingin hidup dalam ilusi dan kebatilan. Apa yang aku percayai sekarang, aku percaya dengan akal kerana nuraniku ini hanya dapat menerima apa yang sesuai dengan prinsip-perinsip berfikir, aku percaya Tuhan tidak akan menghukumku hanya kerana aku ingin mendekatinya dengan menggunakan kurniaannya yang paling berharga iaitu akal dan kebijaksanaan” (xvii)

Sumber: https://medium.com/@joshwong.n/spanish-colonial-influences-on-filipino-culture-6859d567042d

Farid Alatas juga menganalisa perubahan pemikiran Rizal melalui dua novel tulisannya, dimana dalam novel keduanya El Filibustero, Rizal mengangkat paderi Dominician dan kapten jeneral sebagai penjahat. Rizal juga berhati-hati dalam meletakkan sokongannya kepada sesebuah revolusi walaupun beliau sendiri merupakan seorang yang revolusioner. Ini kerana beliau melihat, orang Filipina ketika itu masih kurang persediaan, beliau tidak mahu menyertai revolusi yang gagal atau revolusi yang diperkudakan untuk kepentingan peribadi orang tertentu. (xix)

Rizal dalam penelitiannya terhadap masyarakat Filipina menyatakan bahawa perkataan malas sering kali disalah tafsir sebagai tidak gemar bekerja dan lemah. Bagi beliau ini adalah kerana, ia adalah jawapan mudah kepada sesuatu masalah tanpa perlu berfikir panjang dan membuat kajian. Seperti manusia yang menyalahkan syaitan atas perkara-perkara yang tidak difahaminya. Beliau mengajak pembaca menganalisa sudut-sudut lain, seperti sejarah dan juga masalah sistemik dalam masyarakat sebelum membuat kesimpulan bahawa masyarakat Filipina itu sememangnya layak dianggap pemalas. (3) Kemalasan itu memang harus diakui wujud, tetapi ia bukanlah sifat eksklusif masyarakat Filipina, ia didapati dalam semua masyarakat, ia juga tidak cukup untuk dijadikan sebab kemunduran masyarakat Filipina. Oleh itu, kajian dan penelitian yang lebih dalam perlu dilakukan. (5)

Faktor pertama yang disebutkan oleh Rizal yang menyebabkan orang Filipina menjadi “malas” adalah cuaca panas Tropika. Manusia boleh hidup dalam apa-apa cuaca di dunia tetapi mereka mestilah menyesuaikan diri mengikut keadaan, dan alam berlaku adil terhadap manusia. Walaupun cuaca panas menyebabkan manusia tidak dapat bekerja dengan lama, hasil yang keluar dari tanah di iklim panas lebih banyak dari hasil di negara sejuk dengan jam bekerja yang sama. (7) Berhadapan cuaca yang panas ini, bukan orang Filipina sahaja yang tidak tahan bekerja, orang Eropah juga tidak tahan bekerja dalam cuaca panas sebegini. Oleh itu adakah orang Eropah juga malas? Hakikatnya ia adalah kemalasan semulajadi manusia apabila berdepan dengan cuaca Tropika. (9)

Jose Rizal mengajak pembaca untuk mengkaji kemalasan itu dengan mendalam. Ini kerana, tanpa pemahaman yang benar, kita akan memberi solusi yang salah. Beliau mengkritik solusi-solusi untuk mengatasi masalah ini yang beliau anggap merupakan satu yang merosakkan lagi masyarakat Filipina. Seperti mengenakan cukai, menggunakan khidmat buruh paksa, serta amalan-amalan keagamaan yang bersifat keajaiban seperti azimat, air suci, dan amalan-amalan lain yang dibawa oleh paderi. (13) Bagi Rizal, kemunduran yang berlaku dalam masyarakat Filipina berlaku selepas ketibaan orang Eropah yang merosakkan masyarakat Filipina. Hal ini kerana, sebelum kedatangan orang Eropah, dicatatkan dalam catatan manuskrip China pada abad ke-13 dimana masyarakat Filipina berdagang dengan begitu pesat sesama mereka juga dengan negara jiran. Catatan China ini diterjemah oleh Hirth pada tahun 1889. (15) Aktiviti perdagangan, perladangan, dan penternakan orang Filipina ini dimusnahkan dengan kedatangan orang Eropah sehingga orang Filipina sendiri melupakan kemajuan mereka pada masa dahulu selepas beberapa generasi. Perkara ini dicatat oleh orang Eropah sendiri dan boleh didapati dalam tulisan Morga, Chirino, Colin, Argensola, Hans Meyer dan Gaspar de San Agustin. (21)

Populasi penduduk Filipina yang produktif juga musnah apabila mereka dikerahkan bagi tujuan peperangan sia-sia untuk menjaga maruah Sepanyol. Tenaga-tenaga muda dan produktif ini dieksploitasi Sepanyol menyebabkan masyarakat Filipina hilang tenaga dan potensi mudanya seperti pelayar-pelayar yang mahir, ia juga menyebabkan populasi setempat merosot dengan mendadak sekali. (25) Populasi Filipina hanya tinggal sepertiga dalam tempoh hanya 30 tahun. Akibat dari kekejaman yang ditimpakan kepada mereka ini, tertanam sifat putus asa dalam diri mereka. (30)

Sumber: https://www.quora.com/What-if-Vietnam-and-the-Philippines-switched-France-colonized-the-Philippines-while-Spain-colonized-Vietnam

Orang Eropah juga memperkenalkan budaya buruk yang merosakkan orang Filipina seperti perjudian. Yang mengajar masyarakat berharap pada kekayaan tiba-tiba tanpa perlu berusaha keras. Kemasukan aktiviti perjudian ini boleh dikesan melalui lexicon yang ada dalam aktiviti perjudian yang kebanyakannya datang dari Eropah. Beliau juga mengkritik aktiviti agama yang dibawa oleh orang Eropah yang menyibukkan masyarakat dengan pesta dan perarakan di siang hari dan aktiviti zikir di malam hari. Masa dan duit orang-orang peribumi dihabiskan untuk diberikan kepada paderi-paderi bagi aktivit pesta yang tidak produktif. (47) Paderi-paderi juga menipu rakyat kononnya ladang subur kerana keberadaan mereka sedang kemalasan peribumi diperbesarkan. Hakikatnya mereka telah terlebih dahulu membeli tanah-tanah dan bendang yang subur juga kota-kota yang baik untuk mengumpul kekayaan. (51)

Seperti anak-anak dalam keluarga yang porak peranda, bagi Rizal, anak-anak kecil itu tidak bersalah. Orang yang tidak bebas seperti orang Filipina ketika itu tidak boleh dipertanggungjawabkan. Sebaliknya yang perlu ditunjuk untuk penangungjawaban adalah kerajaan yang memiliki kekuasaan ke atas masyarakat Filipina. Menurut Rizal kerajaan melayan rakyat dengan buruk sekali sehingga tiada insentif buat mereka untuk memajukan diri. (37) Gabenor-gabenor telah menyalahgunakan kuasa, menghancurkan persaingan, serta memonopoli perusahaan. Manakala rakyat yang ingin berniaga ditimpakan birokrasi rumit, perlu bergantung kepada ihsan dan pengaruh pegawai kerajaan, serta perlu memberi rasuah supaya permohonan mereka berjaya. (42-43) Walaupun beliau mengkritik kerajaan, beliau juga mengingatkan rakyat bahawa kerajaan itu adalah pantulan rakyat. Oleh itu rakyat perlu mempertingkatkan diri mereka, memupuk semangat kebangsaan, barulah akan lahir dari rakyat ini kerajaan yang baik. Kerajaan yang bodoh akan menjadi anomali bagi rakyat yang baik. (58)

Setelah menyenaraikan semua sebab-sebab kemalasan ini, Jose Rizal menutupnya dengan sebab yang dia rasakan paling signifikan. Paling utama dan dahsyat, iaitu pendidikan buat peribumi. Menurut Rizal pendidikan yang diberikan kepada kaum peribumi itu sangat kasar, membawa kemurungan, dan tidak manusiawi. Pendidikan yang dianjurkan oleh paderi merendahkan manusia sehingga menjadi seperti binatang. Tidak bercita-cita dan hanya pasrah pada takdir. (52-53)

Namun ada juga tulisan Rizal yang tidak saya persetujui. Contohnya ketika dia menyalahkan lanun-lanun Sulu dan Mindanao yang menyerang orang Filipina berdasarkan tulisan Gaspar de San Agustin. (27) Apa yang tidak diceritakan adalah bagaimana kesultanan Sulu dan Taosug dihancurkan Eropah. Perdagangan mereka dimusnahkan agar Eropah dapat memonopoli perdagangan dengan China. Hal inilah yang menyebabkan mereka terpaksa menjadi lanun.

Sumbangan Jose Rizal dalam memupuk semangat kebangsaan Filipina sememangnya harus dijadikan teladan. Walaupun usianya pendek, sumbangan pemikiran dan penulisan beliau masih bergetar hingga ke hari ini. Kajian beliau dalam membedah sifat kemalasan orang Filipina juga merupakan satu sumbangan yang penting dalam kajian pasca-kolonial. Sifat peribumi itu tidak harus ditentukan oleh catatan penguasa-penguasa kolonial mereka. Sebaliknya ia perlu diteliti dengan adil dan munasabah. Dalam hal ini, Rizal membawakan hujah-hujah yang meneliti tuduhan malas yang dilemparkan kepada masyarakat Filipina. Dari pengaruh cuaca, hinggalah keadaan sistemik yang ditimpakan kepada masyarakat oleh kerajaan, penguasa kolonial dan juga golongan paderi. Semuanya diteliti oleh Rizal bagi mendapatkan jawapan yang komprehensif bahawa sifat malas itu bukanlah merupakan sifat asal peribumi sebaliknya merupakan kesan dari sistem represif yang dipaksakan pada peribumi.  

Rujukan:

  1. Serafin D. Quiason. On Some Aspects of Dr. Jose Rizal’s Attitude Towards Culture. Jurnal Jabatan Pengajian Asia Tenggara (JATI) Bilangan 2, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Disember 1996.
  2. Jose Rizal. Kemalasan Peribumi Filipina. The Biblio Press, 2022. (Terjemahan Maryam Zakiah Mohamed Yusof. Kata pengantar oleh Syed Farid Alatas).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *