Skip to content
Laman Utama » Kemalangan jalan raya ancam populasi tapir, 92 Tapir Malaya dilaporkan mati

Kemalangan jalan raya ancam populasi tapir, 92 Tapir Malaya dilaporkan mati

KUALA LUMPUR, 27 April — Trend peningkatan kematian Tapir Malaya akibat kemalangan jalan raya di negara ini semakin membimbangkan dengan 92 ekor spesies itu dilaporkan mati sepanjang tempoh 2015 hingga 2020.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata untuk tahun lepas sahaja, 24 ekor Tapir Malaya dilaporkan mati akibat kemalangan jalan raya.

“Sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, sebanyak 92 ekor Tapir Malaya telah menjadi mangsa kemalangan jalan raya di Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Terengganu.

“Sungguh menyedihkan kerana populasi Tapir Malaya kini kian terancam kerana kehilangan habitat, fragmentasi hutan serta menjadi mangsa jerat dan kemalangan jalan raya,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Tapir Sedunia hari ini (27 April).

Tapir Malaya, satu daripada lima spesies utama terbesar di dunia, merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Di peringkat antarabangsa, Tapir Malaya merupakan spesies yang terancam dalam senarai International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List of Threatened Species dan Red list of Mammals for Peninsular Malaysia 2017.

Bagi meningkatkan populasi Tapir Malaya di Semenanjung Malaysia, Shamsul Anuar berkata antara usaha yang telah dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) adalah program pembiakan dalam kurungan di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun, Selangor untuk dilepaskan ke habitat semula jadi.

Menurutnya, ketika ini terdapat 11 ekor Tapir Malaya di PKHL Sungai Dusun dengan purata kelahiran seekor anak setahun.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga komited mempergiatkan konservasi Tapir Malaya secara in-situ dan ex-situ bagi memastikan kelangsungan spesies unik itu, antara lain menerusi usaha Perhilitan yang mengadakan kerjasama strategik konservasi Tapir Malaya dengan Nagasaki Biopark, Jepun.

 

Sumber : BERNAMA

Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *