Beberapa hari lepas, saya telah mengadakan sesi temu-bual atas talian bersama seorang bekas pesakit Covid-19.
Amni Jagat, seorang wartawan Malaysia Dateline mendapati dirinya positif Covid-19 pada hari selasa, 12 Januari 2021. Beliau dijangkiti virus tersebut melalui YB Aminolhuda yang telah disahkan positif lebih awal.
Hal itu dipercayai terjadi sewaktu beliau menjalankan tugas kewartawanannya yang memerlukan beliau untuk bekerja secara rapat dengan Adun Parit Yaani tersebut, yang mana ketika itu YB Aminolhuda telah menunjukkan tanda-tanda awal seperti demam dan keletihan.
Waktu berkuarantin telah mengajarnya banyak perkara sehingga dapat memberi khidmat nasihat positif buat orang awam yang dijangkiti virus berbahaya ini. Menggunakan bidang kepakarannya sebagai wartawan, beliau mengumpulkan fakta dan membaca fenomena virus ini bagi menemukan cara paling efektif bagi masyarakat untuk merawat dan menjaga diri sendiri sebelum pihak kerajaan benar-benar dapat menangani pandemik ini.
Ia juga dapat dilihat sebagai bantuan kepada pihak kerajaan untuk mengurangkan risiko cemas di kalangan masyarakat sebelum seluruh negara selesai divaksin.
Di bawah ini saya sertakan temu-bual yang dilakukan bersama beliau.
Sebagai seorang yang masih muda dan sihat, simptom Covid apa yang kau rasakan?
“Pada 22 Januari, hari ke 10, baru aku rasa simptom sesak nafas, hilang deria bau dengan rasa. Dalam tempoh 2 minggu, cuma sehari tu sajalah. Sebelum dan selepas hari kesepuluh tu, tak ada rasa apa-apa.”
Mengikut pemerhatian kau, kenapa hanya satu hari saja kau diserang simptom?
“Sebab bila aku tahu aku positif, aku ambil tindakan yang cepat. Aku cuba fokus untuk kuatkan imunisasi badan dan mental.”
“Mungkin juga dari sebelum-sebelum ni lagi aku dah amalkan cara hidup sihat, macam pergi gimnasium dan ambil vitamin tambahan.”
Kau sudah berkahwin, adakah isteri kau turut terjangkit?
“Itulah yang pelik, walaupun dah berapa malam kita orang tidur sekatil, tapi cuma aku sorang yang kena. Nasib baiklah, walaupun tak ada penjarakan 1 meter.”
Berdasarkan pengalaman kau, apakah perkara yang paling teruk sekali terjadi sepanjang tempoh rawatan?
“Psikologi adalah benda yang paling teruk. Aku cuba positifkan fikiran, tapi orang lain sangat negatif. Mereka panik. Paling teruk apabila kita terasa dipulau. Waktu tu, otak kita rasa jauh lebih sakit dari simptom Covid sendiri.”
“Berdasarkan pengalaman aku, mental yang panik tu paling bahaya.”
“Sebab itu kadang-kadang, ada sebahagian data yang KKM terpaksa sembunyikan. Kerana perkara inilah. Mentaliti orang kita masih dalam keadaan negatif, mudah panik.”
“Sedangkan benda ni kita tahu 5 hingga 10 hari je dia merebak. Lepas tu dah tak berjangkit. Kenapa kita boleh positif dengan Jamal Abdillah yang positif dadah? Tapi kenapa bukan jiran-jiran dan kawan kerja yang positif Covid? Kenapa kita lebih mudah mencemuh dari memberikan sokongan positif?”
“Sebenarnya lepas aku kena kovid, di hari ke-20, aku terpaksa lari masuk hutan untuk rilekkan fikiran.”
“Aku nasihatkan kalau kau kena kovid, janganlah bukak telefon waktu kuarantin sebab dalam media terlalu banyak perkara negatif. Kau boleh sakit otak.”
Jadi bagaimana kau atasi sakit otak (stress dan panik) waktu itu?
“Bangkang baliklah, jangan terima benda negatif orang cakap.”
“Sebab waktu tu, bukan orang biasa je cakap virus ni boleh buat mati dan itu ini, tapi orang akedemik pun sama juga banyak cakap benda yang menakut-nakutkan. Mereka terlalu fokus yang virus ni boleh bawa mati, dan benda yang semua orang tahu tu diulang banyak kali. Aku kata pada mereka, kau jangan cakap macam ni, orang akan panik. Ada nada lebih baik yang boleh digunakan.”
Seperti yang kau katakan sebelum ini, media banyak memberikan tekanan negatif terhadap psikologi masyarakat, dan sebagai seorang wartawan, kenapa banyak media masih mengutamakan hal-hal negatif? Dan kenapa tidak berfokus untuk kempenkan amalan gaya hidup sihat seperti bersenam dan memperbanyakkan pengambilan herba-herba tradisional? Setidaknya tak adalah masyarakat menunggu vaksin dalam keadaan yang cemas dan ketakutan yang mana situasi itu lebih berbahaya.
“Sebab itu yang KKM mahukan, orang perlu takut untuk pastikan mereka tak keluar dan sebar virus. Cuba kalau KKM kempenkan ketum atau herba-herba lain juga berpotensi untuk mencegah benda ni? Tapi kenapa tidak? Ia akan bertentangan dengan etika kedoktoran di Malaysia. Bila bertentangan, dan kau tak boleh iktiraf benda tu, jadi kau terpaksa tolak atau diamkan walaupun ia berpotensi sebagai ubat. Apatah lagi untuk mengakuinya di media.”
Bagaimana pandangan kau dengan sistem pengurusan KKM sepanjang berada di bawah pemantauan mereka?
“Sistem pengurusan tu okaylah, mereka rawat aku dengan baik. Cuma kalau kita tengok secara keseluruhan, KKM agak lemah dalam mewujudkan persekitaran yang dapat merangsang fikiran positif. Dalam hal ni kita tak mempersoalkan kepakaran frontliner, kualiti ubat-ubatan dan peralatan canggih hospital, cuma kita lihat kualiti persekitaran yang dapat merangsang keadaan mental yang sihat tu tak ada.”
“Sebab itu sebelum zaman pandemik ni pun dah ramai orang tua yang seboleh-bolehnya tak nak masuk hospital, sebab mental kau akan jadi lemah. Sebab itu kita faham, kenapa sebahagian orang yang terjangkit takut nak buat ujian saringan, kenapa ada yang cabut lari dari hospital.”
“Masalah hospital ni bila kau duduk dalam wad tu persekitarannya sangat sendu, sedih, buat kau terasa lemah. Sedangkan gembira ni penting untuk kau sihat, tapi sangat susah untuk kau rangsang rasa gembira bila duduk dalam wad.”
“Sebab itu, persekitaran pusat-pusat kuarantin kena ubah suasana persekitaran. Jujur cakap, pusat kuarantin di Kelantan yang amalkan buat aktiviti sama-sama, makan sama-sama, benda tu bagus. Jauh lebih bagus macam tu dari terlantar atas katil saja. Supaya diorang terhindar dari stress, dari rasa takut nak mati atau fikir sakit tak sudah-sudah.”
“Kalau kau dikuarantin secara terkurung, kau kena baring saja, cuma boleh termenung, tak boleh buat apa-apa, bosan, stress, itukan tambah penyakit namanya? Pakai handphone pun buat kau tambah stress nak buat apa? Kita pun tahu stress ni buat hormon tak seimbang, dan ia adalah antara punca utama tekanan darah naik, kencing manis, migrain, alzheimer, barah dan macam-macam lagi penyakit boleh timbul.”
Macam mana pula kau lihat pihak kerajaan menangani pandemik ini?
“Kesediaan kita berhadapan dengan benda ni tak ada. Negara tak bersedia untuk berhadapan pandemik ini. Kegagalan kerajaan terletak pada ketidaksediaan mereka untuk berhadapan dengan covid.”
“Kalau perlu bagi bintang, aku cuma bagi satu setengah daripada lima. Kalau waktu PKP 1.0 tu kita boleh cakaplah dia orang baru nak bersedia tapi ini dah setahun lebih kot.”
“Sebenarnya kerajaan boleh je ambil pendekatan yang lebih positif, kempen dan nasihatkan rakyat untuk amalkan gaya hidup sihat, makan makanan sihat, ambil protein tambahan, ambil vitamin, hirup sup ketam ke, minum air kelapa ke, banyakkan bersenam dan lain-lain untuk atasi faktor-faktor ni secara positif. Tapi kenapa tak buat?”
“Mencegah itu lebih baik. Kalau kita tak boleh pergi vaksin, belum dapat vaksin, kita ceritalah dulu benda ni.”
Kalau kau sudah memiliki mindset begini sejak hari pertama disahkan positif Covid, apa yang akan kau lakukan?
Kalau waktu tu aku dah tahu macam mana, aku akan kuatkan antibodi badan, banyak bersenam, makan makanan sihat dan paling penting rilek untuk jaga kesihatan mental.
Adakah kau percaya ritual kerohanian seperti bersolat, berzikir atau bermeditasi dapat membantu pesakit untuk melawan virus ini?
“Ya, ritual dapat membantu rehatkan mental. Bila kita stress, graf frekuensi mental kita tengah naik, jadi kita kena turunkan balik. Meditasi dapat turunkan graf ni, bagi mental kau dalam keadaan yang rilek supaya tubuh kau lebih kuat.”
“Jadi waktu Covid ini, setidaknya ritual dan meditasi adalah pertahanan terbaik yang kita ada selain amalan pemakanan sihat dan senaman.”
Kau banyak kali tekankan yang kesihatan mental ni penting, sejauh mana pentingnya kesihatan mental ni?
“Masih ramai beranggapan hal mental macam stress ni sebenarnya tak ada apa, hanya masalah psikologi semata, aku kata tak! Kalau kau pengguna otak, otak kau akan sakit tahu tak? Hidup tak tenteram, hidup kau fikir akan mati je sepanjang 14 hari. Jadi kau kena belajar macam mana untuk kawal fikiran. Masalah psikologi ni bukan benda remeh.”
“Stress ni sama macam fast food, kalau kau consume dia, dari tak ada sakit pun boleh timbul penyakit. Apatah lagi waktu kau memang tengah sakit. Tapi kalau kau sakit, kau jaga mental untuk kekal tenang, hidup kau gembira, penyakit kronik yang kau ada pun lebih senang sembuh.”
Apa nasihat kau buat pesakit-pesakit Covid di luar sana?
“Sebenarnya dalam masa dua minggu tu, jangan pegang handphone. Sebab engkau dah tak kerja dah, kau dapat MC. Kalau boleh jangan buka handphonelah. Kau buka handphone kau akan takut… Terlalu banyak berita negatif.”
“Banyak kali aku ulang, faktor mental tu yang sebenarnya membuatkan kau semakin sakit. Jadi mental tu kena betul-betul dijaga.”
“Lagi satu, untuk jangka panjang kita kena amalkan gaya hidup sihat.”
“Bersenam dan bersukan bukan semata-mata untuk kuruskan badan. Kalau kau makan makanan sihat semata-mata untuk diet, pergi gim semata untuk dapat badan sedap, itu dah salah. Keutamaan senam dan pemakanan sihat ni adalah untuk jangka panjang, ia adalah cara hidup. Bukan untuk waktu sakit atau waktu nak kurus saja.”
“Untuk jangka panjang, kita tak boleh nak harapkan vaksin saja. Vaksin ni kita boleh umpamakan macam rawatan Darus Syifa, seorang ustaz cuma boleh keluarkan jin dalam badan kau untuk waktu tu je. Tapi untuk jangka panjang, kau sendiri yang kena banyak beramal supaya jin tak melekat lagi dekat kau. Samalah dengan vaksin, vaksin hanya untuk waktu ini saja. Tapi kita kena ingat, virus ini akan berevolusi, kalau kita tak ubah cara hidup sampai bila-bila pun masalah begini takkan selesai.”
“Kenapa orang dulu-dulu sihat, hidup lama? Sebab cara hidup mereka sihat, mereka tak rosakkan bumi dan mereka tak makan benda bukan-bukan.”