70 PERATUS SAMPAH, SISA KIMIA?

USAHA DAN PRAKTIK MENGGUNAKAN SISA SAMPAH SEBAGAI ASAS MERAWAT TANAH SEKALIGUS BERKEMPEN TENTANG KITAR SEMULA

8 Februari 2022, tim Alir Cahaya ada melawat ke sebuah tapak projek kebun di Simpang Renggam, lawatan sebagai slot praktikal bersama mereka. Projek yang dimaksudkan adalah sebuah projek penanaman di bawah seliaan PIBG Sekolah Dato Onn Jaafar, Simpang Renggam dan bekerjasama dengan pengamal-pengamal penanaman secara organik dari kumpulan tempatan antaranya Kebun Komuniti Cinta Lestari. Projek ini juga bertujuan untuk pendidikan tentang tanaman dan tumbuhan kepada pelajar-pelajar di sekolah tersebut.

KCL ada menerangkan langkah awal setelah mereka diajak bekerjasama dengan usaha sekolah tersebut iaitu dengan mengenalkan dan menerapkan konsep komuniti ataupun berkolektif serta menggunakan kaedah-kaedah organik ataupun dipanggil lestari.

Jika dilihat daripada keadaan tanah pada awalnya, didapati tanah tersebut bukan lagi tanah yang sesuai untuk membuat penanaman oleh kerana kualiti tanah itu sudah rosak, penuh dengan tanah merah ataupun tandus. Jadi dalam langkah awal pertama sekali adalah merawat tanah itu sendiri.

Ketika pihak Alir Cahaya datang melawat ke lokasi tersebut, mereka berkongsi secara ringkas apa yang mereka lakukan dengan merawat tanah itu semula. Ada longgokan batas sampah yang diasingkan disana. Bila ditanya, mereka menjawab memang mereka yang membawa masuk sampah tersebut yang diambil dari beberapa kedai serta pasar raya berhampiran. Sampah-sampah ini adalah bahan utama dalam proses memulihkan tanah dan juga sumber terbaik yang ada, dimana pasar raya membuangnya jika rosak kerana tidak boleh dijual.

Sampah seperti sisa buah, sayur-sayuran rosak, sampah yang boleh mereput dan sampah yang boleh dikompos pada asalnya tidak boleh dipilih ketika mereka mengambilnya untuk dibawa ke tapak projek. Jadi, sampah-sampah ini harus dikumpulkan sebelum mereka mengasingkannya mengikut kategori.

Mereka akan punggah kesemua sampah yang ada, yang bercampur dalam satu plastik dengan mengasingkan antara plastik dan sisa serat. Mereka memberitahu, salah satu cabarannya adalah mengasingkan sampah tersebut yang telah bercampur. Plastik adalah barang terlarang ke atas tanah dalam konsep pertanian seperti mana bahan kimia lain seperti baja dan racun, oleh itu ia perlu diasingkan.

Bila melihat longgokan sampah tersebut, memang banyak. Tim Alir Cahaya difahamkan, sampah yang ada ketika itu hanya dari sebuah pasar raya dan dari tiga kedai buah lainnya. Tetapi Simpang Renggam, Johor hatta Malaysia bukannya sebesar sebuah taman perumahan luasnya, malah beribu lipat kali ganda besarnya dengan konsumer yang menggunakan plastik serta sampah buangan dalam masa sehari.

Teringat dengan wawancara bersama aktivis Gerakan Selamatkan Bukit Payung di Batu Pahat tempoh hari tentang projek tapak pelupusan sampah yang mahu dibangunkan. Jika mengikut kepada bahan buangan atau sampah dalam masa sehari sehingga berbulan, penulis faham dengan projek tersebut bilamana ada beberapa tempat pelupusan sampah di Johor sudah tidak mampu menampung sampah yang sentiasa dikutip dari kawasan perumahan, pasar raya dan lain-lain. Maka projek itu sendiri di bangunkan adalah kerana masalah sampah yang sudah berlebihan.

Johor bukan sahaja telah meningkat jumlah penduduk, tetapi jumlah pembangunan perumahan, kilang, pasar raya dan seumpamanya. Maka, sampah adalah datang dari konsumer yang akan membuangnya. Oleh kerana itu juga, penulis ada meletakkan soalan utama di perenggan akhir artikel sorotan wawancara bersama GSBP,

“Kempen atau usaha atau tindakan apa yang sepatutnya diambil selain mengusahakan beberapa projek lagi tempat pelupusan sampah secara mega?

Contoh; kaedah pembuangan sampah peringkat nasional melalui kompos, kitar semula, kesedaran masalah konsumerisme, kesedaran tentang buruknya kapitalisme dan lain-lain.

Ini kerana masalah sebenarnya adalah sampah yang terlalu banyak dikumpulkan satu tempat. Pada satu masa, tempat juga tidak mencukupi. Jadi apa penyelesaian terhadap masalah sampah ini?”

Mungkin KCL pada hari ini telah pun menunjukkan contoh sekaligus berkempen kepada pelajar Sekolah Dato Onn Jaafar serta guru dan masyarakat setempat, tetapi dalam konteks negara, masa yang wujud kita sudah dihabiskan bersama sistem yang meminta kita bekerja 12 jam sehari, kapitalisme yang global dan tidak mempunyai kesempatan yang tidak sama. Ada diantara kita yang duduk di bandar, ada yang duduk di kampung. Jadi, kesesuaian keadaan itu berlainan.

Jika KCL boleh mengompos menjadikan baja di Simpang Renggam ataupun aktivis-aktivis alam sekitar yang ada di Batu Pahat serta mana-mana tempat pun yang ada di kawasan kampung, bagaimana dengan penduduk di bandar yang secara logiknya tiada tempat kecuali tong sampah yang besar disediakan untuk membuang sampah sebelum dikutip oleh pihak kebersihan kemudian dihantar ke tapak pelupusan sampah?

Satu hal lagi, seperti Anas mengatakan tentang kesedaran mengasingkan sampah mengikut kategori seperti plastik, bahan serat dan lain-lain, kempen ini sudah berlangsung sejak 30 tahun yang lepas atau lebih. Tetapi, selepas itu apa? Selepas sudah diasingkan kemudian dibuang, selepas itu apa yang akan terjadi?

Mungkin orang mengikut kempen ini serta ada kesedaran tentangnya, tapi bagaimana sampah itu selepas dikutip dan dihantar ke tapak pelupusan sampah, kita tak jelas. Jadi, masalah sampah ini dimana akarnya atau dimana puncanya?

Berbalik kepada projek tanaman sebelumnya, selepas sampah-sampah diasingkan, sampah yang baik untuk kaedah rawatan tanah, akan diletak di atas batas tanah yang telah disiapkan. Seterusnya, secara saintifik dan bagaimana ia bekerja, boleh rujuk video yang telah disediakan link di bawah dan anda boleh mencari atau membaca di mana-mana tentang subjek sains berkaitan ini.

(siaran langsung 1)
https://fb.watch/bbhlGSWt3V/

(siaran langsung 2)
https://fb.watch/bbhqK2PQkG/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *