SEKOLA BAROKAH, JB – MERESPON

MERESPON KEADAAN SEMASA BERSAMA SEKOLA BAROKAH, SEKOLAH ALTERNATIF DI BANDAR JOHOR BAHRU

12 Feb 2022, Alir Cahaya bersama Rayhan Ahmad (Yan) dalam sembang santai; Pendidikan Masyarakat Melalui Seni Dan Budaya. Yan adalah salah seorang penggerak Sekola Baroka sepenuh masa di JB dan sudah hampir 4 tahun mengusahakan dan menjayakannya.

Banyak perkongsian ringkas yang telah dia kongsikan tempoh hari mengenai merespon keadaan semasa dimana mengambil inisiatif dalam mendirikan ruang untuk anak-anak/adik-adik yang “merata” di tengah bandar JB. Respon ini boleh dikatakan adalah aktivisme tentang kepekaan dia bersama rakan-rakan kolektif terhadap anak-anak bawah umur yang berkeliaran, terbiar dan sebagainya untuk memberi mereka ruang selamat di suatu tempat serta mendedahkan mereka kepada persekitaran yang baik.

Apa yang dilakukan oleh Rayhan, kawan-kawan dan juga Sekola Baroka sebenarnya adalah refleksi daripada kemajuan bandar itu sendiri. Bila mana kemajuan itu tidak seimbang dengan kehidupan, maka timbullah warga kemiskinan bandar. Ibu bapa sibuk dengan urusan pekerjaan sehinggakan anak-anak yang sepatutnya di beri sepenuh perhatian telah terabai. Maka timbul pula isu keselamatan, gejala sosial, pengaruh persekitaran dan lain-lain, yang mana mereka masih kecil dan memerlukan bimbingan untuk menerima sesuatu yang besar.

Moderator malam itu Iman daripada pihak Alir Cahaya. Pertama sekali, soalan yang diajukan kepada Rayhan adalah tentang tujuan sebenarnya Sekola Baroka itu diwujudkan. Rayhan merumuskannya bahawa ianya bersifat merespon dan bukan menangani tentang “urban stress”.

Sekola Baroka mahu memberi ruang supaya anak-anak ini dapat mengisi masa mereka dengan aktiviti-aktiviti yang sepatutnya dalam konteks pembelajaran yang bebas daripada mereka terjebak dengan aktiviti tidak sihat seperti menghisap gam, berkeliaran yang menyebabkan keselamatan mereka berisiko.

Tentang pembelajaran bukan lah mengikut skema alam persekolahan, bukan pembelajaran akademik semata-mata, malah ianya masih bersifat bermain tetapi dibantu dari segi galakkan dan dipimpin. Ada antara anak-anak ini, siangnya masih pergi sekolah, bila malam ada yang mengikut ibu bapa mereka meniaga dan juga berkeliaran. Memang begitu lah pun sifat budak-budak, tetapi disebabkan ibu bapa yang sibuk, anak-anak ini terdedah dengan pelbagai kemungkinan yang tidak diingini.

Jadi, sudah tentu skema belajar seperti mana di sekolah bukan pilihan mereka. Ini juga adalah cara bagaimana SB mahu mendekatkan diri dengan mereka semua begitu juga orang diluar sana perlu faham. Sifat anak-anak lebih kepada eksplorasi daripada bebanan yang menyuruh mereka belajar seperti mana di sekolah. Eksplorasi juga adalah kaedah anak-anak itu belajar dengan bermain dan selebihnya perlu diberi perhatian serta bimbingan dan galakkan.

Seterusnya, Iman ada bertanyakan tentang sejarah SB mula-mula dibuka dari mana timbulnya idea tersebut. Rayhan menjelaskan bahawa ketika dia bersama kawan-kawan kolektifnya yang aktif di sekitar JB dalam mengadakan seni persembahan di lorong-lorong bandar JB.

Rayhan aktif dengan Sekutu Ghuraba (teater produksi) serta aktiviti lain dalam lingkungan seni budaya, kelas-kelas indiependent dan lain-lain. Pada awalnya masih dalam keadaan terhad dan kadang tertutup sehinggalah pada satu masa ia dijadikan persembahan yang terbuka kepada orang awam dan dari situ dapat dilihat bahawa pendekatan ini sangat berguna dan diterima umum. Dari situ juga Rayhan serta kawan-kawannya mengambil inisiatif untuk mendekatkan diri dengan anak-anak yang berkeliaran ini.

Maka terbina lah ruang Sekola Baroka ini melalui proses-proses tersebut. Penulis yang juga mengikuti perkembangan mereka memahami bukan mudah kerja aktivisme seperti ini dari segi membentuk, menjayakannya dan mendekatkan diri sendiri kepada keadaan ini. Sehingga ke hari ini, usaha-usaha ini masih lagi dalam proses mengusahakannya dan sesekali ada juga bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti kolektif-kolektif di Johor dan bebas daripada agenda parti politik iaitu prinsip yang mereka tanamkan.

Selain itu juga, SB menerima sukarelawan mewakili bidang masing-masing untuk membimbing anak-anak ini. Ada ramai sukarelawan yang datang dari pelbagai latar belakang antaranya dari kemahiran bermain muzik, membuat kraf, sukan ekstrim, persembahan dan lain-lain. Apa kaedah SB mendidik adalah dengan cara kesenian dan budaya yang dipanggil Tompok Budaya.

SB akan melihat kecenderungan individu dan kesesuain kumpulan anak-anak ini untuk mereka terus menerima galakan. Apa yang sepatutnya ibu bapa perlu lakukan, mereka lakukan di SB.

Sebagai contoh, mereka berminat untuk bermain alat muzik, jadi Yan dan SB sendiri akan eksplorasi hal ini bersama anak-anak tersebut. Menyediakan perkakas, mencari kawan-kawan kolektif yang bermain muzik untuk sama-sama memberi galakkan dan tunjuk ajar semampunya. Kemudian, sama-sama berbincang dan usahakan bagaimana untuk mengadakan alatan ini.

SB mendedahkan kepada mereka. Walaupun mempunyai pelbagai ragam dan keinginan, SB sendiri perlu bertindak bijak untuk menyeluruhkan aktiviti-aktiviti ini. Oleh itu, akan adanya sesi pembelajaran tersusun. Contoh, minggu pertama anak-anak ini akan bermain alat muzik, minggu kedua menonton filem, minggu ketiga bermain, minggu keempat persembahan. Setakat ini, kelas-kelas teori berkaitan masih ada dilakukan begitu juga kelas-kelas bermain. Walau bagaimana pun, bukan sahaja tertumpu kepada kelas fizikal yang berlaku di SB sahaja, ada masa mereka akan bercamping, buat lawatan dan sebagainya di luar SB sendiri.

“Untuk anak-anak, kelas teori cukuplah sekadar 15 minit minima”, ujar Rayhan.

SB juga menerapkan tiga perkara asas lanjutan daripada proses-proses pembelajaran ini iaitu Budi Bicara, Budi Pekerti dan Budi Bahasa. Ini adalah tentang sejauh mana kebebasan dan disiplin yang diterapkan kepada anak-anak ini.

Di sekolah biasa mereka akan ada silibus, di SB mereka mengamalkan Budi Bicara iaitu timbang-tara dalam melaksanakan dan mewujudkan sesuatu. Dengan itu, sifat positif dan Budi Pekerti itu dipupuk untuk tidak menjadi persaingan sesama mereka dari segi bakat, kemahiran, keinginan dan sebagainya. Pada akhirnya, Budi Bahasa adalah cerminan daripada apa yang kita lakukan dan anak-anak itu manfaatkan. Walaupun mereka masih kecil dan kita sendiri tidak tahu bila mereka dewasa, sekurangnya, pendekatan awal ini adalah respon yang baik dan ibu bapa kepada anak-anak ini berterima kasih kepada SB pada hari ini kerana mewujudkan tempat yang selamat untuk anak-anak mereka.

Untuk pengetahuan semua, usaha Rayhan dan kolektif tidak setakat di SB sahaja, malahan turut juga menyumbang tenaga bersama kolektif Tanam Tumbuh yang fokus kepada Orang Asli Seletar yang terkesan dengan kemajuan bandar JB, dimana tempat mereka terjejas oleh kerana projek tambak laut yang rakus serta ekosistem mereka yang telah rosak, daripada hidup diatas laut/muara, kini tempat itu menjadi sungai.

Hilang semua adat dan budaya, malah mereka juga terkesan dengan masalah pendidikan.

Boleh tengok ulangan siaran langsung ini di link yang disediakan:
https://fb.watch/bf1z9Z7St3/

Serta boleh follow fb page Sekola Baroka:
https://www.facebook.com/sekolabaroka/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *