Skip to content
Laman Utama » Perhilitan Johor rampas 1,070 ekor burung murai

Perhilitan Johor rampas 1,070 ekor burung murai

JOHOR BAHRU, 25 April — Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor merampas sebanyak 1,070 ekor burung murai yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran dalam operasi di sebuah rumah di Taman Wawasan, Kelapa Sawit, Kulai di sini, Jumaat lepas.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata operasi dijalankan melibatkan seramai tujuh pegawai dan anggota pada 7.30 malam.

“Hasil pemeriksaan di premis dan kenderaan yang berada di situ menemukan 70 ekor burung murai batu dan 1,000 ekor burung murai kampung yang dianggarkan bernilai RM66,000.

“Selain itu, beberapa barangan termasuklah kenderaan jenis Toyota Estima yang digunakan, satu unit telefon bimbit dan 74 bakul plastik dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Salman berkata berikutan penemuan itu, seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun telah diperiksa dan diambil keterangan untuk siasatan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Berdasarkan siasatan awal, lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menyimpan hidupan liar tersebut. Dia juga disyaki cuba menyeludup hidupan liar tersebut ke negara jiran.

“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat dan barangan kes telah dibawa ke pejabat Perhilitan Bandar Penawar untuk tindakan lanjut,” katanya.

 

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *