Skip to content
Laman Utama » Monopoli kartel projek : SPRM pantau jabatan-jabatan kerajaan

Monopoli kartel projek : SPRM pantau jabatan-jabatan kerajaan

KUALA LUMPUR, 4 Mei  — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memantau penglibatan jabatan-jabatan kerajaan yang disyaki terlibat memonopoli kartel projek kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pemantauan menerusi kerjasama Kementerian Kewangan itu, akan membuat penelitian ke atas sebarang proses perolehan dibuat jabatan-jabatan berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu sedang dipantau terhadap jabatan-jabatan yang SPRM dapat maklumat wujudnya bentuk monopoli kartel ini.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut Azam berkata, sebarang penemuan penglibatan jabatan lain akan dimaklumkan suruhanjaya itu kemudian.

“Setakat ini, tiada penemuan kerana pemantauan sedang dijalankan dan kami memandang serius kes monopoli kartel projek dan cara untuk mengatasinya,” katanya selepas ditemui pemberita pada program kerjasama strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara bersama SPRM di sini, hari ini.

Dalam pada itu Azam berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan Peguam Negara berhubung pembabitan seorang individu yang juga pengerusi Prasarana Berhad, dipercayai menyalahguna kuasa membuat perubahan signifikan di dalam syarikat terbabit.

“Kami dah kemukakan kertas siasatan itu dua minggu lepas, dan masih menunggu keputusan mereka untuk sebarang tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Azam menghadiri program kerjasama SPRM dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Program kerjasama yang terjalin sejak 2019 itu, mengetengahkan seni budaya sebagai medium yang berkesan dalam mendidik serta mendapatkan sokongan masyarakat dalam usaha memerangi rasuah.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKN Mesran Mohd Yusop yang turut hadir di majlis itu berkata, aktiviti seni budaya mudah diterima segenap lapisan masyarakat, sekali gus meningkatkan lagi kesedaran orang ramai dalam memerangi rasuah.

Mesran berkata melalui kerjasama ini, JKKN dengan kerjasama SPRM akan menganjurkan tiga program seni kebudayaan, antaranya Kolokium Antirasuah ‘Adat Pepatih Melingkari Hidup Berintegriti’, pertandingan Battle of The Bands ‘Tak Nak Rasuah’ dan Pertandingan Dondang Sayang Pantun Bertema Antirasuah.

Mereka yang berminat untuk menyertai program itu boleh melayari laman web rasmi atau Facebook JKKN untuk maklumat lanjut.

 

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *