Anarkisme: Satu Renungan

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Selain memetik nama Pyotr Tchaikovsky, ada dua rangkap baris yang menangkap minda saya saat mendengar bait lagu yang dinyanyikan oleh Chris Martin dalam lagu berjudul Flags oleh Coldplay. Bait “There will be no flags to warn me, no, ‘Cause I just wanna be myself” dan “And I don’t need flags to know you’re really something, And I just love you for yourself”, dalam hati saya terdetik ‘wow’, lagu ini mempunyai unsur anarkisme. Bait-bait ini menggambarkan penolakan kepada kenegaraan yang disimbolkan dengan bendera. Bendera-bendera dalam lagu ini seolah-olah mencengkam manusia, cuma untuk mendisiplinkan mereka untuk menjadi homogeneous dalam masa yang sama membuang agensi kreatif dan unik yang dianugerahkan kepada setiap manusia.

Entah kenapa, sejak beberapa hari, minggu, dan bulan ini, minda saya terpaut dengan konsep anarkisme. Ia mengekori saya kemanapun saya halakan pandangan saya. Ada sesuatu yang memukau jiwa saya dalam hal ini, jadi tulisan ini adalah satu renungan, cubaan saya untuk menguraikan pemikiran ini, harap-harap selesai menulis renungan ini fikiran saya akan tenang kembali, dan dapat merenung subjek-subjek lain pula dengan lebih jelas dan terang.

Jika disebut perihal anarkisme, saya tidak dapat lari dari perbahasan-perbahasan Chomsky. Saya tidak pernah lagi membaca buku beliau spesifik perihal subjek ini, walaupun saya memiliki naskah kecil beliau On Anarchism, saya mengenali subjek ini melalui Chomsky sebelum memiliki naskah tersebut melalui rakaman ceramah, kuliah, syarahan juga temuramah beliau di alam maya. Pada beliau mendefinisikan anarkisme bukanlah satu tugas yang mudah, kerana terma-terma politik terdedah kepada pelbagai tafsiran, ia juga sering kali disalahtafsirkan oleh musuh ideologi, yang ingin memburukkan pihak lawan, juga disalahtafsir oleh penyokong ideologi untuk kepentingan peribadi.

Secara umumnya Chomsky menafsirkan bahawa anarkisme adalah keinginan dan kehendak manusia yang ingin menghancurkan perkara yang menghalang perkembangan potensi manusia, mana-mana institusi yang menghalang perkembangan potensi manusia perlu dirobohkan jika mereka tidak dapat memberi justifikasi kewujudan mereka. Di timbunan robohnya institusi lama didirikan institusi baru yang lebih progresif, dan jika ia juga berevolusi menjadi penyekat perkembangan potensi manusia, ia pula akan dirobohkan dan diganti dengan institusi yang lebih baru.

Tentu sahaja definisi ini mempunyai masalah. Pertamanya, tidak akan wujud persetujuan dalam kalangan manusia yang rencam tentang apa yang didefinisikan sebagai ‘perkembangan potensi manusia’. Kedua, manusia yang rencam dan pelbagai juga pasti tidak mampu bersetuju secara konklusif perihal apa yang dimaksudkan dengan ‘menghalang’, adakah menghalang itu berbentuk fizikal seperti penggunaan apparat kerajaan seperti polis dan tentera untuk menguatkuasakan polisi atau adakah halangan itu berbentuk dogma-dogma dalam bentuk pemikiran yang disebarkan dalam masyarakat. Walaupun definisi Chomsky ini bermasalah, saya merasakan ia lebih praktikal dari sudut eksistensi berbanding konsep ‘federisme kolektif’ yang dipelopori Bakunin.

Secara peribadi, saya lebih menerima definisi Chomsky, anarkisme adalah sifat semulajadi yang ada pada diri manusia yang mahukan kebebasan. Dalam erti kata yang lain, ia boleh didefinisikan sebagai falsafah kebebasan yang ada dalam diri setiap individu. Ini adalah definisi yang lebih tepat menurut saya berbanding dengan pandangan yang mendefinisikan anarkisme sebagai sebuah ideologi politik atau ekonomi.

Ini tidak bermakna saya anti kepada kerja-kerja kolektif. Bahkan saya merasakan kerja-kerja kolektif yang mandiri merupakan satu agen yang baik dalam masyarakat dalam memangkin perubahan yang tidak mungkin akan dipikul oleh politikus opurtunis. Cuma saya tidak melihat ia sebagai satu sistem ekonomi atau politik, sebaliknya satu gerak kerja yang lahir dari masyarakat, untuk masyarakat dan kepada masyarakat. Walaupun anarkisme menurut saya bukan sebuah ideologi politik, ini tidak bermakna ia tiada unsur atau fungsi politik, anarkisme ini akan tetap terus wujud dalam setiap negara di mana saja pun. Akan ada manusia yang merasakan kebebasan merupakan perkara yang paling penting dalam kehidupan mereka, mereka tidak dapat menerima acuan yang diberikan kepada mereka, kerana dengan acuan-acuan ini, mereka seperti difotostat menjadi manusia-manusia yang sama, yang membosankan, tiada kerencaman dan keunikan.

Saya ada menulis panjang berkenaan dengan gagasan dasar pemikiran Bakunin, masalah-masalahnya terutamanya dalam soal undang-undang dan keadilan, tetapi saya tidak mahu mengulang ulasan dan kritikan saya terhadap teori yang dibawa olehnya. Cuma mungkin dalam renungan ini saya ingin menyambung sedikit kritik terhadap idea anti-negara Bakunin. Anarkisme secara asasnya tidak punya keinginan untuk berkuasa, memerintah, malah negara dilihat sebagai satu objek penindasan kerana negara memonopoli apparat keganasan (hanya negara berhak menggunakan kekerasan melalui polis dan tentera untuk menguat kuasa undang-undang). Oleh itu, anarkisme tidak dapat bertahan apabila mereka diasak. Kolektif-kolektif kecil terpisah dan tiada hiraki ini dengan mudah boleh dihancurkan oleh negara yang didominasi oleh mana-mana ideologi.

Dalam hal ini, Chomsky memberi contoh bagaimana Bolshevik yang dipimpin Lenin, segera memerangi golongan anarkis selepas mereka memegang tampuk pemerintahan negara. Bagi Chomsky ia adalah manifestasi benarnya tilikan Bakunin bahawa idea Marx hanya akan menghasilkan diktator proletariat yang lebih kejam dari diktator sebelumnya. Walaupun kritikan Chomsky ini tidak disenangi komrad berhaluan kiri dalam kem komunis dan sosialis, Chomsky teguh dengan pandangan beliau dan membawakan bukti-bukti sejarah. Oleh kerana mudahnya anarkisme ini dihancurkan oleh negara, saya merasakan anarkisme akan terus relevan dalam bentuk falsafah kebebasan dalam diri individu, ia boleh membesar menjadi sebuah gerak kerja kolektif tetapi saya skeptik berkenaan kebolehannya membentuk sistem politik yang lebih besar seperti federisme kolektif ala Bakunin. Seperti yang diungkapkan oleh Yuval Noah Harari dalam bukunya Sapien, bagi Yuval manusia boleh hidup dalam bentuk kolektif seramai 150 orang, melebihi threshold ini, organisasi tanpa hiraki ini akan mula berpecah.

Walaupun anarkisme tidak dapat tumbuh dalam jelmaan politik atau ekonomi, ini tidak bermakna ia menjadi satu pentuk falsafah dan pemikiran yang tidak relevan. Ia akan kekal relevan sebagai agen perubahan dalam situasi kenegaraan. Antara contoh yang saya minati adalah idea civil disobedience yang dipelopori oleh Howard Zinn pada tahun 1971. Zinn semasa mudanya berhujah melawan Roger D. Fisher yang menyuruhnya diam dan tunggu keputusan kongres dalam isu penamatan perang Vietnam. Walaupun gerakan yang dicetuskan oleh Zinn tidak menatijahkan sistem politik dan ekonomi baharu, ia menjadi agen perubahan yang mempengaruhi pandangan masyarakat yang akhirnya mempercepatkan penamatan perang Vietnam.

Tentu sahaja renungan saya terhadap definisi, kemampuan, dan potensi anarkisme ini tidak dipersetujui oleh rakan-rakan dan komrad yang lain. Namun seperti apa yang selalu disyarahkan oleh Richard Wolff bahawa terma-terma politik ini punya banyak tafsiran dan banyak bentuk. Jadi tentu sahaja, orang lain boleh tidak bersetuju dengan tafsiran dan renungan saya.

 

*Syed Ahmad Fathi adalah penulis buku Berfikir Tentang Pemikiran, Gunung Tahan Hiking Log dan Life Full of Reading: A Collection of Book Reviews dan Skazka #1.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *