Sesi Diskusi Lantai (2): Tugas Manusia

Oleh: Iltizam Iman

Sesi kali ni fokus mengacu pada tugas manusia di muka bumi menurut al-Quran. Ada 3 tugas utama yang dapat diekstrak dari kitab suci ini:-

  1. Sebagai hamba kepada Allah.
  2. Sebagai khalifah/pemimpin.
  3. Sebagai penjaga alam.

Orang Islam selalu diingatkan untuk menjaga hubungan dengan Allah (hablum minallah) dan hubungan sesama manusia (hablum minannas). Tapi kita jarang didedahkan betapa Quran juga tegas menuntut manusia untuk menjaga hubungan dengan alam. Hubungan dengan alam ini boleh dikatakan menjadi dakwah utama Sheikh Omar Farouk juga selepas lawatannya ke Institut Zaituna.

Manusia tak patut ambil pendekatan yang ego-centric dalam memandang kehidupan, yang hanya mengutamakan kepentingan/survival peribadi. Juga bukan self-centric yang mengutamakan potensi diri dan spesies manusia. Tetapi haruslah bersifat ‘eco-centric’, satu pendekatan melihat realiti dalam kerangka yang lebih luas; kepentingan alam harus diutamakan untuk membangun tindak-tanduk manusia yang lebih baik.

Ini selari dengan etika Pertanian Lestari/Permakultur iaitu:-

  1. Peduli bumi
  2. Peduli manusia
  3. Pembahagian hasil secara adil

Kerana tugas manusia adalah sebagai khalifah, maka manusia adalah penjaga. Jika sekarang yang kita lihat kewujudan manusia sangat berpotensi untuk memusnahkan bumi, maka manusia juga berpotensi besar untuk menjadi perawatnya.

Jika tidak, populasi manusia perlu dikurangkan, melalui bencana alam dan virus. Kerana itu satu-satunya mekanisme pertahanan yang alam ada untuk memberhentikan kerakusan dan kerosakan spesies yang seharusnya menjaga dan merawat. Kerana itu, sifat pertanian wajiblah semakin menghidupkan tanah dan ekosistem bumi. Pertanian tunggal dan penggunaan baja kimia serta racun bukanlah sesuatu yang menghidupkan, malah mematikan.

Tidak pernahkah kita google kisah tamadun-tamadun yang dihancurkan?

Izzat ada kongsi sewaktu di Mesir, gambaran-gambaran yang dilihat berkaitan Mesir purba dahulu adanya aktiviti pertanian yang luas di sekeliling piramid. Dahulu di situ bukanlah tanah tandus dan padang pasir semata. Tetapi ia menjadi tandus, kerana sistem pertaniannya sangat bersifat monopoli dan tidak mesra alam.

Anas juga kongsikan di Australia telah jadi perkara ni. Di mana lembangan saliran Murray-Darling telah menjadi tandus dan mati akibat penyahhutanan dan penternakan konvensional (baca: Murray-Darling basin). Melalui masalah di Australia ini, kita faham bagaimana Mesir, tanah Arab, yang dahulunya banyak kisah hasil tanaman yang subur bertukar menjadi tanah tandus yang gersang.

Ketandusan dan bencana bukan saja disebabkan oleh pergerakan semula jadi alam, tetapi juga manusia yang gagal memainkan peranan sebenarnya di muka bumi. Ketandusan Timur Tengah sekarang, disebabkan oleh tindak-tanduk manusia yang sombong dan rakus.

Di Malaysia, langkah sombong dan rakus ini pemerintah kita sedang ikut dan terapkan ke dalam kehidupan masyarakat melalui pertanian tunggal seperti kelapa sawit dan penggunaan bahan kimia. Yang mana tujuan utamanya, adalah penguasaan manusia terhadap alam untuk menghasilkan harta dan kekayaan semaksimum yang boleh.

Maka, sikit-sikit kita perlu hentikan kerja gila ini jika berpeluang.

 

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”

(al-Baqarah: Ayat 11-12)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *