Mahir petik kelapa, beruk beri pendapatan lumayan kepada pemilik

PASIR PUTEH, 26 April — Kehebatan ‘Salleh’ memetik kira-kira 200 hingga 300 biji kelapa setiap hari telah banyak membantu pemilik beruk jantan itu sehingga mampu menjana pendapatan lumayan dengan penjualan santan segar.

Mohd Nor Daud, 61, berkata beliau mula memelihara Salleh sejak tiga tahun lepas selepas membelinya pada harga RM200 daripada seorang rakan sebelum melatih haiwan primat itu tentang kaedah memetik buah kelapa.

Katanya, beruk berusia sekitar empat atau lima tahun itu akan dibawa memetik kelapa milik penduduk kampung di sekitar Pasir Puteh.

“Penduduk menjual buah kelapa itu kepada saya berdasarkan harga di atas pokok. Buah kelapa itu saya tidak jual sebaliknya proses sendiri untuk mengeluarkan santan segar.

“Saya jual santan segar lebih murah iaitu RM10 sekilogram berbanding RM12 harga pasaran biasa dan setiap hari saya mampu memperoleh RM300 ke RM400,” katanya ketika ditemui semasa sedang memerhatikan Salleh memetik buah kelapa di Kampung Telaga Gayong, di sini hari ini.

Mohd Nor turut bersyukur menerima bantuan kerajaan seperti peralatan memproses santan serta motosikal beroda tiga.

Ditanya mengenai komunikasi antara beliau dengan Salleh semasa proses memetik kelapa, Mohd Nor berkata mereka menggunakan bahasa khas untuk memberi dan menerima arahan.

“Salleh faham arahan saya seperti naik pokok, ambil buah itu, (bezakan) kelapa muda dan tua, berhenti, ambil lagi, habis serta turun.

“Sebelum ini, tanpa bantuan beruk tersebut, adalah sukar untuk memetik buah kelapa kerana ketinggian pokok yang mencecah lebih 50 meter yang tidak mungkin mampu dipanjat oleh sesiapa pun,” katanya.

Mohd Nor berkata harga seekor beruk yang terlatih di kampung kini melambung tinggi sehingga melebihi RM1,000 seekor kerana sukar diperoleh.

 

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *