Cengal – Warisan Belantara Malaysia

Oleh: Siddiq

Malaysia merupakan sebuah negara yang cukup terkenal dengan Hutan Hujan Tropika. Hutan Hujan Tropika di Semenanjung Malaysia menempatkan hampir 2500 spesies pokok. Cengal atau nama saintifiknya ‘Neobalanocarpus-heimii‘ merupakan antara spesies pokok kayu balak yang biasa ditemui di hutan hujan. Pokok Cengal adalah sejenis pokok kayu keras yang amat popular kerana menghasilkan kualiti kayu yang terbaik dan biasa mencapai harga tinggi di pasaran. Di Thailand, pokok cengal dikenali dengan nama Chan Ta Khien, Chi-Ngamat atau Takian Chan.

Pokok cengal tergolong dalam keluarga ‘Dipterocarpaceae’ iaitu pokok yang menghasilkan buah dan mengeluarkan damar atau resin. Kayu cengal sering digunakan dalam kerja pembinaan berat seperti tiang, jambatan dan juga pembinaan bot. Ini adalah kerana sifat kayu cengal yang tidak perlu diawet dan mampu menahan serangan anai-anai. Kekerasan dan ketumpatan kayu cengal adalah di antara 915 hingga 980 kilogram per meter padu. Rahsia ketumpatan pokok cengal adalah pada sejenis bahan awet semula jadi yang melindungi kayu teras pada pokok cengal.

Pokok cengal biasanya hidup di kawasan yang menerima hujan yang lebih dari 2000 milimeter setahun dan di kawasan yang tidak mengalami kemarau panjang. Cengal sering tumbuh di kawasan hutan tanah pamah yang mempunyai ketinggian kurang 1000 meter dan mempunyai saliran air yang mencukupi. Di dalam Senarai Daftar Merah bagi Spesies Terancam di bawah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN Red List), pokok cengal telah disenaraikan antara spesies terancam kerana jumlah pokok yang semakin berkurangan. Pokok ini juga tidak dibenarkan untuk dieksport ke negara luar demi menjaga kelestariannya.

Pokok cengal terbesar dikatakan ada di negeri Terengganu. Ditemui pada tahun 1999, Pegawai Renjer Durian Mas II, Encik Omar Mohamad mengatakan bahawa pokok ini ditemui di Hutan Simpan Pasir Raja dan dianggarkan berusia 1300 tahun dan ukur lilitnya adalah 16.75 meter atau sebesar 13 pemeluk. Pokok cengal ini mempunyai ketinggian 65 meter tinggi. Jika ditebang, sebanyak 27 lori dianggarkan bagi mengangkut kayunya untuk dibawa keluar.

Di dalam peradaban dan sejarah Bahasa Melayu, cengal merupakan antara perkataan yang sering digunakan di dalam pembayang pantun. Di dalam Kurik Kundi Merah Saga dan Koleksi Pantun Melayu Riau, cengal sering dijadikan perkataan pembayang. Penggunaan perkataan cengal di dalam pantun Melayu menjelaskan bahawa pokok ini telah lama wujud dan merupakan warisan nenek moyang kita yang sudah cukup serasi dengan kewujudan pokok ini di dalam kehidupan mereka.

 

Galah cengal perahu cengal,
Muatlah sarang batang nibong,
Sudah kenal buat tak kenal,
Itulah tanda awaklah sombong.

Tetak cengal buat kemudi,
Buah pauh Permatang Panjang,
Dengar adik baik budi,
Dari jauh abang datang.

Patah cengal Nabi Daud,
Patah mati ditimpa pedang,
Kalau tidak angin bertiup,
Masakan pokok boleh bergoncang.

Rumah cengal bertiang rancak,
Kayu jelutung si kayu nangka,
Orang Jengal sudahlah bijak,
Pantai berpantun pandai berseloka.

 

Baru-baru ini, tular gambar sebuah lori besar yang membawa sebatang balak yang bersaiz luar biasa. Balak itu dipercayai merupakan pokok cengal yang dianggarkan berusia sekurang-kurangnya 500 tahun. Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu telah mengesahkan pokok balak itu berasal dari Terengganu dan pengeluaran balak itu adalah berikutan susulan pembangunan kawasan setempat.

Pokok cengal merupakan antara warisan negara Malaysia yang sinonim dengan kayu-kayu hutan yang berkualiti. Merbau, Jelutong, Cengal, Jati dan Balau adalah antara picisan dari ribuan lagi spesies pokok hutan yang menjadi nadi alam di belantara Semenanjung Malaysia. Jika tiada kawalan terhadap nadi warisan alam ini, dikhuatiri mergastua serta belantara yang dicintai bakal pupus dan tiada lagi yang dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *