GCS vs PERHILITAN (Yang Hidup vs Yang Mati)

Kisahnya, Jabatan Perhutanan dan Hidupan Liar Taman Negara (PERHILITAN) telah mengambil semula 6 ekor ungka di bawah penjagaan Gibbon Rehabilitation Project (GREP) yang diurus oleh saudari Mariani Ramli, aktivis pelindungan dan konservasi hidupan liar. Pada 29 sehingga 31 Disember 2020, PERHILITAN bertindak mengambil semula haiwan liar berkenaan tanpa sebarang notis pemberitahuan kepada pihak GREP. Beberapa saksi juga memberitahu media bahawa terdapat kesan darah pada sangkar haiwan liar tersebut, menandakan adanya kekerasan yang berlaku. Tambah buruk lagi, Mariani Ramli mengatakan ada ungka yang terlepas sewaktu proses pengambilan semula berjalan.

Apabila isu ini menjadi tular di media sosial, orang ramai mengecam tindakan PERHILITAN sebagai satu penganiayaan, yang tidak punya perikemanusiaan. Tindakan pengambilan semula secara melulu itu terbukti hanya menjejaskan nama PERHILITAN, apabila orang ramai melihatnya sebagai ‘rampasan’. Pastinya, tuduhan-tuduhan ini dapat ditepis dengan baik oleh PERHILITAN, memandangkan tuduhan yang dibuat tidak mempunyai bukti; memandangkan juga mereka (aktivis) dilarang untuk mengambil sebarang gambar oleh pihak berkuasa ketika itu. Pucuk-pangkalnya, Mariani Ramli dan masyarakat awam percaya bahawa PERHILITAN tidak menghormati proses pengadilan, maka PERHILITAN pun bangkit dan menangkisnya dengan sesuatu yang lebih berfakta:

“…Dakwaan ini menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat… Mahkamah Rayuan memutuskan Mariani Ramli tidak mempunyai hak untuk menyimpan semua hidupan liar itu kerana tidak mempunyai Permit Khas...”

Dalam laporan berita yang bertajuk “Jangan fitnah PERHILITAN aniaya ungka, lotong!”, PERHILITAN juga menyatakan pihak mereka telah duduk semeja dengan GREP pada 4 Januari 2021 untuk berbincang tentang salah faham ini. Langkah berbincang ini adalah penegasan yang mereka benar-benar telus melaksanakan tugas, tidak menganiaya haiwan-haiwan berkenaan; ketika pengambilan semula ungka berlaku, polis, bomba dan beberapa penguatkuasa juga dilaporkan turut serta bagi menjamin keselamatan haiwan liar tersebut. Cumanya, apa yang membuatkan kita bersyak-wasangka, kenapalah mereka tidak berbincang seminggu sebelum rampasan berlaku? Dan kenapa mereka bersikap dan bertindak ‘keras’? kita katakan ianya kekerasan, bukan bermaksud kita tidak menghormati keputusan undang-undang. Tetapi sebagai masyarakat bertamadun – yang pertimbangan akal dan jiwanya sudah mencapai kematangan – undang-undang dan kuasa sepatutnya telah dapat dipraktikkan secara sihat, setidaknya secara tertib dan penuh hormat. Melainkan, PERHILITAN memang mengambil pendirian Mariani Ramli adalah seorang pesalah.

Menurut PERHILITAN – yang disokong kuat oleh perintah mahkamah, yang mempunyai kredibeliti dan tenaga pakar – mereka telah menjalankan kerja dengan sebaiknya untuk menjaga dan melindungi hak haiwan liar ini dari terancam. Secara teknikal, dan selaras dengan undang-undang, PERHILITAN hanya menjalankan tugas seperti yang seharusnya. Kita, sebagai orang awam, harus terlebih dahulu faham bagaimana tuntutan kerja PERHILITAN. Sekarang kita tahu secara teknikal, atas perintah mahkamah, PERHILITAN berusaha untuk selamatkan ungka-ungka ini dari Mariani Ramli yang tidak mempunyai permit khas. PERHILITAN juga tidak mengakui kepakaran beliau, apatah lagi semangatnya. Seperti yang dipersoalkan Jessica, peguam Mariani Ramli:

Kenapa PERHILITAN harus tergesa-gesa mengambil ungka daripada tempat sekarang di mana mereka selamat dan dijaga dengan baik sementara menunggu keputusan muktamad mahkamah?

Selain dari melakukan kesalahan menyimpan haiwan-haiwan liar ini tanpa permit, permohonan beliau untuk menubuhkan pusat konservasi ungka juga tidak diluluskan, atas penjelasan yang sangat tidak lengkap:

…Permohonan beliau untuk menubuhkan Pusat Konservasi dan Rehabilitasi Ungka juga tidak diluluskan kerana tiada peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (akta 716)…

Tiada peruntukan? Kita yang dengar boleh jadi sangat bingung. Satu sisi, ‘tiada peruntukan’ merujuk kepada kenyataan fakta, yang sememangnya permohonan ini adalah kes unik dan belum ada sebarang peruntukan. Satu sisi lain, ‘tiada peruntukan’ merujuk pada kenyataan yang bersifat lepas tangan, untuk senang cerita dan mudah kerja.

Antara dua jenis ‘tiada peruntukan’ ini, PERHILITAN berdiri di mana? Jika mereka mengambil pendirian yang pertama, kita mahu tahu selepas itu apa? Apa prinsip PERHILITAN tentang permohonan yang ‘tiada peruntukan’ ini, tidakkah PERHILITAN merasakan ianya satu keperluan? Atau mereka merasakan pusat konsevasi ungka ini memang tidak diperlukan? Apa sebenarnya yang mereka perlu buat sebagai badan bertanggungjawab, jika tiada peruntukan di dalam akta? Jika ‘tiada peruntukan’ itu merujuk yang sebaliknya, sebagai jalan mudah, maka memang patutlah mereka bertindak begini.

Sebelum kita teruskan lebih lanjut sikap PERHILITAN yang tidak jelas ini, ada baiknya kita kenal dahulu dengan persekitaran kerja Mariani Ramli. Beliau adalah seorang bekas renjer PERHILITAN yang berkhidmat sejak 2007. Takdirnya, pada 2013, beliau dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan memulihkan kehidupan semula jadi ungka yang kehilangan habitat dan trauma akibat campur tangan manusia. Di bawah pemantauan PERHILITAN, dengan sepenuh jiwa beliau menjaga dan merawat haiwan liar tersebut sebelum dapat dilepaskan semula ke hutan. Beliau telah mengorbankan sejumlah tenaga dan masa yang begitu besar. Tanggungjawab juga digalas bukan sekadar untuk gaji. Sebaliknya, sampai ke satu tahap, beliau sanggup hidup tak bergaji dan mengeluarkan sebahagian besar hartanya semata-mata untuk memulihkan kehidupan haiwan liar ini.

Ungka-ungka berkenaan dikatakan terpisah dari keluarga mereka akibat ancaman pemburu haram, yang sanggup memburu kerana permintaan tinggi di pasaran gelap. Kesemua ungka yang diselamatkan dari tuan-tuan mereka, tidak ada satu pun yang terselamat dari trauma dan kecederaan fizikal. Sifat tamak pemburu haram, telah menyakiti fizikal dan mental mereka secara kejam. Sifat obsesif pencinta haiwan pelihara, telah mendalamkan dan menguatkan lagi kesan trauma; menyebabkan perkembangan naluri dan skil motorik mereka terencat dan cenderung untuk kekal cacat. Hasilnya, ‘Nyanyian Ungka’ hilang dari belantara kita.

Sikap culas masyarakat kapitalis yang diperhambakan oleh ‘kuasa membeli’ dan ‘pemilikan peribadi’, telah merangsang ramai lagi untuk mendapatkan anak-anak ungka ini sebagai haiwan peliharaan. Rupa dan keletah mereka yang comel sewaktu kecil, telah membutakan mata pengguna media sosial untuk menyedari adanya hakikat yang terlalu pahit untuk ditelan. Sebalik sanjungan kasih sayang dan puji-pujian di media sosial, ‘like’ dan ‘love’ yang beribu, kita tahu semua itu palsu. Harga anak ungka yang mencecah RM5000 seekor, memahamkan kita kenapa pemburu-pemburu haram tidak teragak-agak untuk memburu, menculik dan membunuh keluarga mereka.

Ungka adalah antara spesies yang menjalinkan hubungan secara monogami, mereka hanya setia pada satu pasangan. Hubungan akrab yang terjalin membuatkan setiap ahli keluarga ungka sanggup mati untuk mempertahankan bayi mereka. Ini belum mengambil kira fakta di mana hanya 1 daripada 10 anak ungka yang selamat hidup selepas ditangkap. Setiap keletah ungka peliharaan yang menagih belaian manja manusia, adalah keletah yang lahir dari naluri yang trauma.

Cara hidup dan hubungan yang terjalin antara manusia dengan anak ungka, akan menambahkan lagi tekanan terhadap ciri-ciri semula jadi haiwan liar ini. Menurut Mariani, tuan-tuan ungka ini pasti tidak akan dapat menyediakan kesemua 5 Prinsip Asas Kebebasan Haiwan untuk mereka; bebas dari kelaparan, bebas dari ketidakselesaan, bebas dari kesakitan, bebas untuk bertingkah-laku secara semula jadi, bebas dari ketakutan dan penderitaan. Bertitik-tolak dari ‘tindakan tanpa pengetahuan’ masyarakat kapitalis inilah, yang menggerakkan beliau untuk menjalankan kempen kesedaran tentang kehidupan ungka.

Atas cita-cita untuk mengembalikan ‘Nyanyian Ungka’ dalam identiti hutan kita, sebuah pusat rehabilitasi ungka yang pertama di Malaysia dibangunkan, berpusat di Raub, Pahang. Tujuan pusat pemuliharaan ungka ini untuk meliarkan semula haiwan-haiwan berkenaan selepas trauma akibat proses domestikasi, yang mana mereka terpaksa berhadapan dengan dua fasa trauma yang amat mengerikan. Fasa pertama, trauma yang disebabkan kekejaman pemburu haram. Fasa kedua, apabila hak semula jadinya untuk hidup dengan bebas dinafikan oleh pencinta haiwan peliharaan. Selain pembalak, syarikat pembangunan dan peladang mega, dua golongan (pemburu haram dan pencinta haiwan peliharaan) ini juga adalah punca ‘Nyanyian Ungka’ semakin hilang dari hutan kita.

Selepas lebih kurang 5 tahun beliau mengusahakan projek rehablitasi tersebut, kesemua haiwan liar ini telah menunjukkan kesan pemulihan yang sangat positif. Sepertimana Bella, anak ungka yang menghidap sindrom zoochosis – satu keadaan mental yang trauma akibat campur tangan manusia – telah mula pulih. Bella sudah belajar yang manusia itu tidak semuanya baik, dia telah mengenal pasti keperluan berjaga-jaga untuk menjamin kelangsungan hidup. Sifat semula jadinya telah hampir pulih, Bella sudah semakin liar, sedikit masa lagi pasti akan siap sedia untuk dilepaskan ke hutan semula.

Dari kisah ini kita dapat lihat Mariani adalah seorang yang gigih, bersungguh-sungguh dalam pemuliharaan ungka. Beliau telah mengorbankan kira-kira RM200,000 untuk perubatan dan makanan haiwan liar sahaja. Beliau telah mendedikasikan sebahagian besar hidupnya, jiwanya mengandung semangat dan cita-cita yang tinggi. Untuk mengembalikan “Nyanyian Ungka” itu bermaksud, untuk mengembalikan keseimbangan yang sepatutnya berlaku di atas muka bumi.

Malangnya, belum sempat projek ini berjaya, Mariani Ramli dipecat oleh PERHILITAN pada 2017 tanpa alasan yang munasabah. Bagi mempertahankan haknya, beliau mengheret PERHILITAN ke Mahkamah Tinggi dan menang kes. PERHILITAN tidak berdiam diri, mereka mengemukakan permohonan ke Mahkamah Rayuan. Permohonan PERHILITAN diluluskan, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi. Ketika ini, PERHILITAN sememangnya berhak untuk merampas ungka tersebut, tetapi dalam masa yang sama Mariani juga masih berhak untuk mengemukakan rayuan balas. Malangnya, belum sempat untuk beliau dan peguamnya berbuat apa-apa, PERHILITAN telah cepat-cepat menyerbu markas GREP dan menjalankan rampasan. Atas sikap begini, jika PERHILITAN tidak mahu menyatakan pendirian, maka kita terpaksa memandang tindakan tersebut sebagai satu pelaksanaan strategi perang, satu gerak-langkah yang agak bijak untuk membengkes kaki pihak lawan, dan ia terbukti berjaya.

Untuk elak dari sangkaan buruk, maka PERHILITAN haruslah melaporkan keadaan ungka-unga itu sekarang. Bagaimana perkembangan proses pemulihan Bella dan yang lain-lain sewaktu dalam tempoh kuarantin di bawah PERHILITAN? Kita harapkan keadaan mereka baik-baik saja, kita juga berharap agar PERHILITAN dapat menyambung usaha GREP dengan bersungguh-sungguh. Di bawah penjagaan Mariani Ramli – yang tidak mendapat pengesahan undang-undang, yang tidak mendapat sebarang bantuan tenaga pakar dari badan bertanggungjawab – telah menunjukkan sebuah usaha yang konsisten serta kesan-kesan yang sangat positif terhadap pemulihan haiwan liar ini. Maka, takkanlah PERHILITAN, sebagai badan bertanggungjawab yang diiktiraf, hanya mampu beri penjelasan yang bersifat ‘lepas tangan’ saja? Laporan pemulihan ungka-ungka ini harus dilaporkan kepada masyarakat secara berkala, isu ini penting dan ia melibatkan masa depan ekosistem hutan kita.

Kerana, pada hemat saya, GREP sedang berusaha untuk membentuk sebuah model pemulihan ungka yang efektif. Ini juga akan menjadi model konservasi ungka yang pertama di Malaysia, dan sebagai rujukan awal untuk ahli konservasi mendatang. Seharusnya, projek sebegini akan merangsang lebih banyak lagi pembangunan pusat konservasi. Ia juga dapat mendedahkan kepada kita identiti sebenar hutan kita; kita akan dapat berkenalan semula dengan ciri-ciri habitat alam fauna hutan tropika yang telah hilang. Selain dapat mengembalikan keseimbangan ekosistem, dan menaiktaraf sektor eko-pelancongan, ia juga memberi manfaat yang sangat banyak kepada sektor penting seperti pendidikan, kebudayaan, khazanah warisan dan paling utama sekali, kestabilan hidup masyarakat tempatan. Rantai-pembangunan ini akan menjadikan pemulihan alam dan perkembangan masyarakat dapat terlaksana dengan lebih efisien dan progresif.

Itu pun jika segala usaha murni sebegini tidak dipelecehkan. Isu seperti ini, menyebabkan idea pemulihan alam semakin menjauh dari fikrah masyarakat. Kebenakan dan ketidakpedulian masyarakat adalah kesan dari tindakan-tindakan culas badan bertanggungjawab sendiri. Membuatkan secara diam-diam, jiwa kita dirundum satu rasa putus asa. Kerana untuk melakukan penambahbaikan, masyarakat terpaksa berhadapan terlebih dahulu dengan satu kuasa besar yang memandulkan. Jika pelecehan ini tidak dibendung, virus yang sekian lama menjangkiti semangat badan-badan bertanggungjawab kita, seperti PERHILITAN, akan menjangkiti semangat masyarakat juga. Maksudnya, virus itu akan menjadikan kita sebuah masyarakat yang malas, tidak berprinsip, takut untuk menyatakan prinsip, kerja sambil lewa, dan tidak pernah cinta apa yang dikerjakan; bertanggungjawab hanya bila ada habuan, besikap culas dan tidak boleh dipercayai. Di dalam masyarakat yang sakit ini, ‘ketakutan’ akan disalah tafsir sebagai ‘penghormatan’, ‘perhambaan’ sebagai ‘ketaatan’, ‘kejujuran’ sebagai ‘kenaifan’, ‘semangat’ sebagai ‘obsesi’, dan ‘ketidakadilan’ sebagai satu ‘salah faham’.

Saya tidak semata-mata maksudkan kisah Mariani Ramli ini untuk memotivasikan kita semua, tetapi yang lebih utama adalah untuk menimbulkan persoalan retorik yang wajib ditanya selepas ini. Badan kerajaan jenis apa yang tidak mahu menghargai usaha, pengorbanan dan cita-cita murni masyarakatnya? Badan kerajaan jenis apa, yang meleceh-lecehkan kebaikan rakyatnya? Penguasa apa, yang secara sah atas nama undang-undang menekan inisiatif murni rakyatnya? Badan yang memiliki ‘tenaga pakar’ jenis apa, yang tidak mampu memberi penjelasan dengan jelas? Badan ‘bertanggungjawab’ apa, yang tidak berani untuk menghujahkan pendirian mereka dengan tegas? Kita nampak, ada satu ‘semangat’ yang mati dalam jiwa PERHILITAN.

Harus jelas, dalam tulisan ini kita tidak mencabar undang-undang. Antara ‘kedaulatan undang-undang’ dengan ‘etika pelaksanaan undang-undang’, adalah dua perkara berbeza yang wajib diperbahaskan secara berasingan. Ini penting, memandangkan PERHILITAN telah mengeluarkan seruan yang sangat mengelirukan:

“…jabatan PERHILITAN menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi ke atas operasi dijalankan kerana ia adalah selaras dengan perundangan yang dikuatkuasakan demi menjaga kebajikan hidupan liar di negara ini.”

Pertama, untuk menghentikan masyarakat dari berspekulasi, dalam masa mereka sendiri tidak mahu bertindak secara jelas, adalah sama dengan menganjurkan masyarakat untuk tidak menggunakan pertimbangan waras. Kalau kita kata “jangan baca berita!”, ya, spekulasi takkan timbul. Maka, yang sebaiknya, PERHILITAN harus berhujah dengan jelas dan berprinsip. Bukan sekadar beri kenyataan yang bersifat ‘lepas tangan’.  Saya takut, jika kita berspekulasi secara sihat, perenungan kita akan memperlihatkan masalah sebenar dalam isu ini, iaitu ‘cara kerja’ PERHILITAN.

Kedua, saya percaya masalah ini bukan seperti yang Pengarah PERHILITAN (Abu Kadir Abu Hashim) katakan; masyarakat tidak faham ini satu ‘perintah mahkamah’, dan ungka itu ‘harus diberikan kepada PERHILITAN’. Kenyataan beliau ini, hanya sekadar menjelaskan proses teknikal yang sedang dan sudah berlaku, kita sudah cukup faham tentang ini. Tetapi yang sebenarnya kita mahu beliau jelaskan adalah, kenapa ‘proses teknikal’ tersebut berlaku dalam keadaan yang sebegitu? Kenapa PERHILITAN memperlihatkan sikap menekan yang sebegitu? Dan bertindak tergesa-gesa sebegitu? Selagi tiada penjelasan kukuh dari beliau berkenaan hal ini, maka saya terpaksa mengutamakan spekulasi saya, ia disebabkan oleh ‘cara kerja PERHILITAN yang menekan dan tidak beretika’.

Susah sangatkah, untuk badan berkuasa seperti PERHILITAN mengambil pendirian sebegini: kami adalah badan yang dilantik kerajaan untuk menjaga dan membaikpulih habitat hutan kita, sekarang kami nampak kamu (Mariani Ramli) tengah sungguh-sungguh buat kerja yang sepatutnya kami buat, walaupun ini bukan tanggungjawab kamu lagi. Cuma menurut undang-undang kerja kamu ini adalah satu kesalahan, memandangkan kamu sudah tidak bekerja dengan kami. Tapi dalam masa yang sama, sebagai manusia, sebagai badan bertanggungjawab juga, kami sedar apa yang kamu lakukan ini sesuatu yang penting untuk kita semua. Berdasarkan kuasa yang kami ada, serta tenaga pakar dan peruntukan yang kami ada, termasuk segala usaha murni kamu, besar kemungkinan ada sesuatu yang ‘advance’ kita boleh lakukan. Jika kita bersama, kita telah mempunyai tenaga yang sangat cukup untuk jayakan projek rehabilitasi ini. Jika kita bersama (sekali lagi), dalam tempoh beberapa tahun saja lagi kita akan berjaya memulihkan habitat ungka di sini. Tapi ini bukan bermaksud konflik kita sudah selesai; sebagai manusia berpendirian, kita harus bersikap tegas dan jelas dalam menyelesaikan masalah.

Jika tujuan PERHILITAN benar-benar untuk memelihara dan memulihara ekosistem habitat hutan kita, rasanya tidaklah susah untuk mereka menemukan kesimpulan yang sebegini. Jika susah sekali pun, pastilah nampak usaha nyata yang dilakukan untuk ke arah itu. Tetapi, memandangkan seperti ada ketegangan antara Mariani Ramli dengan PERHILITAN yang tidak boleh dilerai semenjak kes pemecatannya, maka bolehlah kita sifatkan pendirian di atas sebagai naif.

Maka kita boleh katakan, berdasarkan laporan-laporan media, PERHILITANlah yang bertindak secara keras, bersikap sangat menekan; menggunakan kuasa yang sah, demi kepentingan berat sebelah. Walaupun kita tidak katakan ia salah di sisi perundangan, kita tetap katakan ia kekerasan. Sedangkan GREP di sisi bertentangan, sedang berusaha gigih untuk terus meniti di hujung mata pisau yang tajam; bertahan agar tidak jatuh, dalam masa tidak terluka.

Tapi kita tahu perkara ini sedikit mustahil, untuk terus selamat miniti di hujung mata pisau, atau untuk mengharapkan adanya sebuah badan kerajaan yang menggunakan kuasa undang-undang secara adil tanpa terlebih dahulu mengutamakan kepentingan-kepentingan tersirat mereka. Masalah sebegini juga banyak menghiasi suasana politik alam sekitar dan masyarakat, GREP bukan satu-satunya mangsa. Jika punca kepada isu ini tidak ditangani setepatnya – iaitu cara kerja badan berkuasa yang sambil lewa dan berlepas tangan – maka di tempat-tempat lain juga tetap akan menghadapi masalah yang sama.

Isu Tapak Pelupusan Sampah Bukit Payung dengan Kerajaan Negeri Johor, Orang Asli Air Tawas dengan Taman Negara Johor, Orang Asli Kampung Cunex dengan dengan Kerajaan Negeri Perak, Kebun-Kebun Bangsar dengan DBKL, Pertubuhan Peladang Negeri (Kota Bharu) dengan Kementerian Pertanian dan Perindustrian Asas Tani, dan ramai lagi masyarakat atau penggerak masyarakat yang terpaksa berhadapan masalah yang sama. Bukan dalam hal alam sekitar saja, malah hal politik seni juga; seperti kes perobohan karya Syed Ahmad Jamal oleh DBKL, penyitaan dan penurunan karya secara paksa terhadap Pangrok Sulap, Pusat Sekitar Seni, Ahmad Fuad Osman, Cheng Yan Pheng, Izat Arid, dan ramai lagi oleh Balai Seni Negara. Setiap satu dari mereka mempunyai isu yang sangat berbeza, tetapi punca kepada permasalahan mereka adalah sama: cara kerja badan bertanggungjawab yang mengambil sikap autoritatif, menekan. Mereka akan membuat keputusan tanpa berbincang, sebarang usul dan perbincangan dari pihak mangsa jarang mahu dilayan. Mereka hanya akan berbincang, apabila kedudukan mereka tergugat dan terancam. Jika ada ‘layanan’ sekalipun, mangsa hanya akan ditendang ke sana, yang sana akan tendang ke sini, dari sini ke atas, dari atas ke bawah. Akhirnya, mahkamahlah satu-satunya tempat bergantung, setelah tiada seorang pun di dalam jabatan itu yang sebenarnya peduli.

Kita dapat lihat sikap dan cara kerja PERHILITAN ini banyak mengundang masalah yang tak perlu. Seharusnya, konflik dapat mewujudkan suasana yang lebih sihat; menghidupkan wacana, debat, merancakkan suasana ilmiah, dapat melahirkan banyak karya kritis yang memajukan budaya, dll. Kerana saya kira, misi visi pihak-pihak jabatan tidaklah jauh berbeza dengan misi visi  para aktivis. Maka, jika bercakaran sekali pun, biarlah dalam keadaan yang terus-menerus menyempurnakan tujuan dan cita-cita.

Tetapi, bertepuk sebelah tangan takkan jadi. Pihak bertanggjawab seperti PERHILITAN jarang menunjukkan sikap yang baik dalam etika kerja. Sikap mereka yang suka berlindung sebalik kuasa, mencerminkan cara kerja mereka yang sangat pasif dan sentiasa nak selamat. Sikap mereka ini, hanya sekadar menjadikan tindakan mereka ‘selaras’ dengan kehendak undang-undang. Kita jangan naif, mereka sebagai pegawai-pegawai jabatan juga mempunyai kapasiti untuk berbuat baik atau sebaliknya. Mereka juga ada kapasiti untuk berlaku jujur atau mengambil kesempatan. Ada kapasiti untuk setia atau khianat. Ada kapasiti untuk bertindak bijak atau sebaliknya. Pucuk-pangkalnya, PERHILITAN adalah satu jabatan yang ditadbir oleh Manusia. Maka, kita perlu dengar dan faham hujah yang datang dari pendirian mereka. Sebab kita perlu tahu, siapa mereka sebenarnya? Kalau ia memang atas ‘arahan’ semata-mata, penjelasan yang terang harus diberikan. Misalnya,

“Masyarakat jangan salah faham, kami hanya menjalankan tugas semata-mata. Tiada apa-apa prinsip yang kami letakkan sewaktu melaksanakan rampasan itu. Sewaktu melaksanakan tugas, untuk tidak membawa akal dan jiwa adalah perkara terbaik yang boleh dilakukan. Jika tidak, keputusan yang dibuatkan akan terganggu, dan menyebabkan kehuru-haraan. Kami harus menjalankan kerja kami dengan sebaiknya…”

Dan persoalan kita yang paling akhir, masih wujudkah satu semangat yang asli dan benar-benar jujur, yang mengakar di dalam jiwa PERHILITAN, untuk memulihkan ekosistem hutan dan habitat liar kita? Berapa ramai pegawai PERHILITAN yang sanggup bergadai kerja untuk mempertahankan hak alam? Setidaknya, Mariani Ramli telah menunjukkan satu pengorbanan yang berani mati; juga beliau sanggup meredahi angin lintang yang paling dahsyat, iaitu ‘cara kerja’ PERHILITAN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *