Jon Jandai: Hidup ini Mudah, Kenapa Buat Susah?

Ada satu perkara yang saya ingin sampaikan pada semua orang sekarang, iaitu, hidup ini senang; sangat senang dan menyeronokkan.

Sebelum ini saya tak pernah fikir begini. Semasa saya di Bangkok saya rasa kehidupan terlalu susah, terlalu rumit. Saya lahir dari sebuah kampung miskin, di sebelah Utara-Timur Thailand. Masa saya kecil semuanya menyeronokkan, dan segalanya mudah. Tapi bila TV datang (media mula mendoktrin sebuah cara hidup baru), semua yang datang ke kampung mula bagitahu kami,

“kamu miskin, kamu kena usaha untuk kejar kejayaan. Kamu perlu ke Bangkok, untuk berjaya dalam hidup.”

Ketika itu ia membuatkan saya rasa miskin, rasa teruk, jadi saya putuskan untuk ke Bangkok. Semasa saya di Bangkok, ia tak berapa menyeronokkan. Kita kena belajar dengan sangat banyak dan kerja dengan sangat keras, barulah kita akan berjaya.

MAKANAN

Saya kerja dengan sangat kuat, paling kurang 8 jam sehari. Tetapi apa yang saya mampu makan hari-hari, hanyalah semangkuk mee, atau paling tidak pun nasi goreng dan seumpamanya. Saya hidup dalam keadaan yang teruk, terpaksa tidur di sebuah bilik yang dihuni oleh ramai orang.

Bila semakin kerja keras, saya tertanya, kenapa hidup saya semakin susah? Mesti ada silapnya, saya mengeluarkan tenaga yang lebih, tetapi saya tidak menerima hasil yang secukupnya.

Saya dah cuba belajar, sampai masuk universiti. Tapi sangat susah untuk belajar di universiti, kerana universiti itu sendiri sangat menyusahkan. Bila kita lihat subjek di universiti, setiap fakulti di universiti, kebanyakan ilmu mereka adalah ilmu yang memusnahkan. Tiada ilmu yang membina bagi saya.

Jika kamu belajar untuk jadi arkitek, atau jurutera, bermakna kamu akan bekerja untuk lebih menghancurkan. Lebih ramai orang seperti mereka, akan lebih banyak gunung musnah, tanah yang baik di Chao Praya akan lebih ditebali oleh hutan konkrit lagi dan lagi. Seterusnya, kita mencipa kemusnah dengan lebih banyak lagi.

Jika kita ambil bidang pertanian pula, bermakna kita akan belajar bagaimana untuk meracuni serta mencemari tanah, air dan kita akan belajar bagaimana untuk memusnahkan segalanya.

Kita buat semuanya jadi semakin susah.

Hidup jadi terlalu susah, saya kecewa. Ketika itu saya mula berfikir, kenapa saya perlu berada di Bangkok? Waktu saya kecil, tiada siapa kerja 8 jam sehari. Semua orang kerja 2 jam sehari, 2 bulan setahun; sebulan menanam padi, sebulan menuai. 10 bulan selebihnya, adalah waktu lapang. Mungkin kerana itu orang Thailand banyak berpesta!

Pada waktu tengahari semua orang akan berehat, tradisi itu kekal walaupun sampai sekarang. Sesiapa saja yang pergi ke Laos, masih akan dapat lihat ramai orang yang tidur selepas makan tengahari. Dan bila mereka bangun, mereka bergosip. Mereka mempunyai banyak masa terluang.

Oleh sebab mereka mempunyai banyak masa terluang, mereka mempunyai masa untuk diri mereka sendiri. Apabila mereka mempunyai masa untuk diri mereka, mereka mempunyai masa untuk memahami diri. Dan bila mereka memahami diri mereka, mereka akan dapat lihat apa yang sebenar-benarnya mereka mahukan dalam hidup.

Jadi, ramai orang lihat yang mereka mahukan kegembiraan; mereka mahukan cinta, mereka mahu menikmati hidup mereka.

Ramai orang yang telah melihat keindahan dalam hidup mereka, lalu mereka meluahkan keindahan itu melalui pelbagai cara. Setengah dari mereka meluahkan ia melalui ukiran-ukiran yang cantik pada pisau mereka, setengah lagi melalui anyaman bakul yang rapi dan kemas; tetapi sekarang, tiada siapa mahu melakukannya lagi. Tiada siapa yang mampu melakukannya lagi, orang sekarang lebih memilih plastik di mana-mana.

Saya merasakan ada sesuatu yang sangat tak kena, saya tidak boleh hidup dalam keadaan begitu. Jadi saya putuskan untuk berhenti universiti, dan balik kampung. Di kampung, saya mula mengamalkan kembali kehidupan tradisi yang saya masih ingat sewaktu saya kecil.

Saya mula bekerja 2 bulan setahun, saya dapat 4 tan beras. Dan untuk seluruh keluarga, seramai 6 orang, kami hanya memerlukan kurang dari setengah tan setiap tahun. Jadi kami boleh jual sebahagian yang lain.

Saya juga mempunyai 2 buah kolam, kami ada ikan untuk dimakan sepanjang tahun.

Saya juga memulakan sebuah kebun kecil, kurang dari setengah ekar. Dan saya hanya meluangkan masa 15 minit sehari untuk menguruskan kebun. Saya memiliki lebih 30 jenis sayur-sayuran, kami 6 orang sekeluarga tak boleh makan kesemuanya. Kami memiliki surplus untuk dijual di pasaran. Kami dapat menjana pendapatan juga.

Jadi, saya rasa sangat mudah, kenapa saya perlu bersusah payah di Bangkok untuk 7 tahun, kerja keras tetapi masih tak cukup makan? Tetapi di sini, hanya 2 bulan dalam setahun dan 15 minit sehari, malah saya mampu memberi makan untuk 6 orang. Sangat mudah.

RUMAH
Sebelum ini saya fikir orang bodoh seperti saya, yang tidak pernah mendapat gred bagus di sekolah, takkan pernah dapat memiliki rumah sendiri. Kerana orang yang lebih pintar dari saya yang dapat nombor 1 dalam kelas setiap tahun, mereka dapat kerja yang bagus-bagus; tetapi mereka harus bekerja lebih dari 30 tahun untuk benar-benar memiliki sebuah rumah.

Untuk orang seperti saya, yang tidak habis universiti, bagaimana untuk mendapatkan rumah? Kehampaan dan tiada harapan untuk orang-orang yang berpendidikan teraf rendah. Tetapi setelah saya belajar bangunan tanah, ia sangat mudah. Saya luangkan masa 2 jam sehari, dari 5 sampai 7 pagi; dalam masa 3 bulan, saya dapat sebiji rumah.

Manakala untuk seorang kawan yang lain, yang paling bijak dalam kelas, dia juga meluangkan masa 3 bulan untuk membangunkan rumahnya. Tetapi dia perlu menanggung hutang. Dia harus membayar hutangnya untuk 30 tahun.

Sebagai perbandingan, saya ada lebihan masa terluang untuk 29 tahun dan 9 bulan.

Jadi, saya merasakan hidup ini terlalu mudah. Saya tidak pernah terfikir saya boleh bangunkan sebuah rumah dengan begitu mudah. Dan saya terus bangunkan rumah setiap tahun, paling kurang sebuah. Sekarang, saya tiada duit, tapi saya memiliki rumah yang banyak. Nak tidur mana setiap malam adalah masalah baru saya sekarang.

Rumah bukanlah satu masalah, semua orang boleh membangunkan rumah sendiri. Kanak-kanak 13 tahun, di sini, lepas waktu sekolah, mereka membuat batu-bata bersama-sama, mereka bangunkan rumah. Selepas sebulan, mereka ada sebuah perpustakaan!

Kanak-kanak pun boleh buat rumah sendiri. Seorang biarawati tua juga boleh mendirikan rumah untuk dirinya. Ramai orang boleh membangunkan rumah. Jadi, ianya mudah. Jika kamu tidak percayakan saya, cubalah.

PAKAIAN
Seterusnya, pakaian. Saya merasakan saya miskin, tak kacak. Saya cuba berpakaian seperti orang lain, seperti bintang filem, semata untuk menampakkan diri saya lebih baik, lebih bagus. Saya simpan duit selama sebulan untuk beli sepasang seluar jeans. Bila saya pakai, saya pusing ke kiri kanan di depan cermin dan setiap kali saya lihat diri saya, saya masih orang yang sama. Seluar jeans yang termahal pun tidak akan pernah dapar merubah hidup saya.

Saya fikir, saya gila. Kenapa saya memerlukannya??? Belanjakan duit tabung selama sebulan semata-mata untuk sepasang seluar? Ia (fesyen) tidak pernah merubah saya, saya mula memikirkannya dengan lebih dalam. Kenapa kita harus patuh pada perkembangan fesyen?

Apabila kita cuba mengikuti perkembangan fesyen, ia bergerak terlalu pantas dan kita tidak akan benar-benar dapat mengikutinya, dan kita akan sentiasa tertinggal di belakang. Kita tidak perlu ikut fesyen, kekal saja di mana kita berada. Gunakan apa yang kita ada.

Setelah itu, hingga sekarang selepas 20 tahun, saya tidak pernah membeli sebarang pakaian. Semua pakaian yang saya pakai adalah pemberian orang. Bila orang datang melawat saya, dan apabila mereka pergi, mereka selalunya tinggalkan banyak pakaian. Jadi saya mempunyai banyak pakaian.

Apabila orang melihat saya memakai baju lama, mereka bagi saya lagi baju. Jadi masalah saya adalah, saya juga perlu memberi pakaian kepada orang lain dengan kerap.

Jadi, ianya sangat mudah. Apabila saya berhenti membeli pakaian, saya merasakan, ianya bukan hanya sekadar pakaian, ianya tentang sesuatu yang lain di dalam hidup saya. Apa yang saya pelajari adalah, saya mula berfikir apabila saya membeli sesuatu, adakah samada kerana saya sukakannya, atau saya perlukannya.

Jika saya beli kerana saya sukakannya, bermakna saya salah. Saya rasa saya lebih merdeka apabila berfikir seperti ini.

PERUBATAN
Dan yang terakhir adalah, apabila saya sakit, apa yang saya akan lakukan?

Saya sangat risau pada awalnya, kerana saya tiada duit. Tetapi setelah saya merenung lebih dalam, saya lihat kesakitan sebenarnya adalah perkara normal. Ia bukanlah sesuatu yang buruk. Kesakitan adalah tanda badan memberitahu diri kita yang kita telah melakukan kesalahan pada diri sendiri dalam hidup. Ada sesuatu yang tak kena, kerana itu kita dapat penyakit.

Setiap kali saya sakit, saya sedar saya harus berhenti dan kembali pada diri sendiri. Lalu fikirkan, di mana silapnya saya sebelum ini. Selepas itu saya belajar bagaimana untuk menggunakan air, menggunakan tanah, dan bagaimana menggunakan ilmu-ilmu asas untuk mengubati diri sendiri.

Sekarang, saya bergantung pada diri sendiri untuk keempat-empat keperluan ini. Saya merasakan sesuatu yang merdeka, saya merasa bebas. Saya tidak lagi terlalu bersusah hati, saya hilang rasa takut, saya boleh lakukan apa saja yang saya mahukan dalam hidup.

JALAN PEMBEBASAN
Sebelum ini, saya memiliki terlalu banyak ketakutan, saya tidak mempu buat apa-apa. Tapi sekarang saya rasa sangat bebas, seperti saya adalah seorang manusia unik di muka bumi. Tiada orang seperti saya, dan tiada keperluan untuk menjadikan diri saya seperti orang lain. Kewujudan saya hanya satu.

Maka, perspektif ini memudahkan banyak perkara, meringankan banyak perkara.

Saya mula terkenang sewaktu saya di Bangkok, saya merasakan hidup terlalu gelap. Saya mula memikirkan yang mungkin masih ramai orang sedang berfikir seperti saya yang ketika itu.

Jadi (untuk mengatasi pemikiran seperti itu), kami membangunkan sebuah ruang yang dipanggil “Pun Pun” di Chiang Mai, tujuan utama ruang ini dibangunkan adalah untuk menyimpan benih, dan juga untuk mengumpul benih. Kerana benih adalah sumber makanan, makanan adalah kehidupan. Tanpa benih, tiadalah kehidupan. Tiada benih, tiada kebebasan. Tiada benih, tiada kegembiraan; kerana hidup kita tetap terus bergantung terhadap orang lain.

Sumber gambar: Youtube Channel Aspeer

Kerana kita tiada makanan, maka penting untuk kita simpan benih. Kerana itu kami fokus untuk menjaga benih, ia adalah perkara utama di Pun Pun.

Yang kedua kami bangunkan pusat pendidikannya. Kami mahukan sebuah pusat untuk kami belajar bersama, belajar bagaimana untuk membuatkan kehidupan ini lebih mudah. Kerana selama ini kita diajar untuk membuatkan hidup ini susah dan rumit setiap masa. Bagaimana lagi kita boleh mudahkan ia?

Sebenarnya ia memang mudah, tetapi kita sudah tidak tahu lagi bagaimana. Kerana kita selalu membuatkan segalanya rumit. Dan sekarang, kita mula belajar, dan belajar bagaimana untuk hidup bersama. Kita sudah dibentuk untuk hidup terpisah-pisah dari kewujudan yang lain, semata-mata untuk menjadi bebas. Ia adalah kebebasan peribadi yang bergantung pada duit, bukan lagi bergantung pada kebersamaan.

Tetapi sekarang, untuk menjadi gembira, kita harus pulang. Pulang untuk menghubungkan diri kita kembali, untuk berhubung dengan orang lain. Untuk menghubungkan fikiran dan badan kita kembali, bersama-sama.

Maka, kita boleh jadi gembira. Hidup adalah mudah.

Dari dulu hingga sekarang, apa yang saya belajar adalah tentang 4 keperluan utama ini: makanan, rumah, pakaian dan perubatan haruslah murah dan mudah untuk didapatkan oleh semua orang. Itulah peradaban yang sebenar. Jika kita meleceh-lecehkan 4 keperluan ini dari semua orang untuk mendapatkannya, itulah bangsa yang tidak beradab.

Apabila kita lihat sekeliling kita sekarang, segalanya terlalu sukar untuk dimiliki. Sekarang adalah zaman yang paling tidak bertamadun sepanjang manusia berada di muka bumi. Kita memiliki terlalu ramai graduan universiti, terlalu banyak universiti di muka bumi, memiliki terlalu ramai orang bijak di muka bumi; tetapi kehidupan ini semakin hari semakin susah.

Kita membikin susah ini untuk siapa? Kita bekerja keras untuk siapa? Saya rasa ini sangat salah, ini tidak normal. Saya hanya mahu kembali kepada kehidupan yang normal. Untuk menjadi orang yang normal, yang setara dengan haiwan lain.

Seperti burung, yang menyiapkan sarangnya hanya dalam masa sehari dua. Tikus, menggali lubang hanya dalam satu malam. Tetapi makhluk bijak seperti kta, menghabiskan 30 tahun untuk memiliki rumah? Dan ramai orang yang tidak mampu percaya yang mereka boleh memiliki rumah di dalam hidup mereka?

Jadi, ia salah. Kenapa kita musnahkan semangat kita? Kenapa kita hancurkan kemampuan kita sampai sebegitu sekali?

Cukuplah untuk diri saya terus hidup secara normal. Tetapi sekarang apabila saya cuba jadi normal, orang melihat saya sebagai seorang yang abnormal. Ada yang melihat saya gila, tetapi saya tidak kisah kerana ianya bukan salah saya. Ia salah mereka kerana mereka yang berfikir begitu.

Hidup saya mudah dan tiada beban sekarang, ianya cukup untuk saya. Orang boleh berfikir apa yang mereka mahu. Saya tidak boleh menguruskan apa yang di luar saya, apa yang saya mampu adalah ubah fikiran saya, uruskan fikiran sendiri.

Sekarang, fikiran saya ringan dan senang, cukup. Sesiapa saja yang mahukan pilihan, kamu memiliki pilihan. Pilihan untuk menjadi mudah, atau pilihan untuk menjadi susah; ia bergantung kepada kamu.

 

*Teks ini diterjemahkan dari pembentangan Jon Jandai di TedxTalk: Doi Suthep bertajuk “Life is easy. Why do we make it so hard?” bertarikh 4 Ogos, 2011.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *