Keadaan Kg. Muhibbahraya Sebalik Kawat Besi

“Di sebuah sistem yang tidak adil, menutup mulut-mulut orang yang sengsara di bawah, mengikat jalan pintu rumah dengan pagar duri maka saluran yang betul tidak pernah wujud. Turun ke jalan raya atau rakyat akan buat apa saja untuk rintihannya didengarkan. Ingatlah tiada saluran yang betul buat kita yang tiada apa-apa. Berdiri dan tentukan nasib sendiri.” – Mukmin Nantang

Berikutan kes penahanan 7 orang aktivis Suara Mahasiswa pada Sabtu lalu di Tawau, kerana menyuarakan kebimbangan penduduk Kg. Muhibbahraya tentang bekalan makanan yang semakin berkurangan akibat PKPD yang bermula semenjak 11 April lalu.

Mereka telah pun dibebaskan kira-kira pukul 4 petang tadi, setelah permohonan pihak polis untuk melanjutkan tempoh reman yang dikenakan terhadap mereka ditolak majistret. Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman, Seksyen 118 Kanun Keseksaan kerana menghalang penguatkuasa menjalankan tugas dan Seksyen 25 Akta Darurat yang boleh dikenakan kompaun sebanyak RM10,000.

Sumber gambar: FB Wan Shakila

Aksi mereka dikatakan sebagai satu aksi yang ‘biadap’ dan ‘tidak sopan’ oleh setengah kecil pihak. Sedangkan, tujuan utama mereka adalah untuk mengetengahkan masalah bekalan makanan dan sumber pendapatan penduduk. Itu sahaja.

Tetapi isu inilah yang sangat susah untuk pihak berkuasa meminjamkan perhatian mereka selagi tiada onar dan kekecohan yang berlaku.

Saya cuba mendapatkan kawan-kawan di sana untuk mencari penjelasan tentang keadaan sebenar di Kg. Muhibbahraya. Wan Shakila, menghubungkan soalan-soalan saya kepada seorang wanita yang dikenali sebagai Mak Cik, ibu kepada salah seorang kawan anak-anak murid Sekolah Alternatif yang tinggal di kampung tersebut.

Menurutnya, penduduk di situ ramai yang berpendapatan rendah. Semenjak 11 April lalu, bekalan makanan mereka hanya diagih oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) secara sedikit-sedikit. Selain itu, boleh dikatakan hampir tiada bantuan langsung yang sampai kepada mereka.

Apabila ditanya dari manakah sumber utama makanan mereka sekarang ini, Mak Cik menjawab yang setiap rumah berlainan tetapi dalam diam sebenarnya ramai yang mengharapkan bantuan daripada luar. Ramai juga di antara mereka yang diberhentikan kerja akibat pandemik, dan sumber pendapatan dalam keadaan yang sangat tidak menentu.

Mungkin mereka mencatu makanan? Kais pagi makan pagi? Kita tidak pernah tahu.

Tetapi, satu perkara yang penduduk tahu, bantuan yang adil dan mencukupi untuk rakyat tidak pernah tiba dari pihak kerajaan. Jika ada pun, terlalu lambat. Sepertimana MP Tawau Christina Liew hanya dapat menyalurkan bantuan bekalan makanan dalam tempoh seminggu dua lagi.

Jika keadaan terus begini, tanpa ada bantahan dari aktivis atau penduduk, tanpa ada tindakan prihatin dari pihak berkuasa, maka keadaan penduduk akan semakin parah. Mak Cik memberitahu duit simpanan mereka semakin sedikit, setiap rumah memiliki tanggungan yang perlu sentiasa ditanggung.

Ini termasuklah tekanan yang terpaksa dihadapi oleh peniaga-peniaga kecil, kegiatan mereka sangat terhalang dan mereka kehilangan sumber pendapatan.

Bermakna, tindakan Mukmin dan teman-teman ini adalah tepat. Mereka sedang melaksanakan tanggungjawab sebagai masyarakat merdeka yang benar-benar menjaga hak dan keperluan masyarakat di sekitar mereka. Kebenaran ini juga ditunjukkan oleh masyarakat Tawau yang nampaknya sebulat suara mengkritik kekerasan pihak berkuasa dan menyokong usaha berani sahabat kita.

Semoga Tawau semakin kuat dengan kuasa masyarakat, dan semakin dilindungi dari para pemerintah zalim. Terakhir sekali, Mak Cik ada berpesan,

“Yang penting, selagi ada golongan yang merintih atas kesusahan hidupnya, selagi itu kita perlu menjadi telinga untuk mendengar dan menjadi lidah untuk mengusulkannya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *