Kecoh x KL Zine Fest (KLZF) 2022

Sedutan: Zine Dari Johor #8

Ahad, 27 Feb 2022 – Zine Dari Johor ada join Kecoh x KL Zine Fest di Motou KL. ZDJ satu booth dengan Paang Store. 

Hampir 2 tahun lebih segala aktiviti masyarakat telah disekat ketika wabak covid masih tak terkawal awal-awal dulu. Tahun 2022 adalah permulaan yang horny bilamana Rekod Media, KL Zine Fest, Jurnal Sang Pemula, Moutou & Fin Dars menganjurkan Kecoh x KLZF 2022.

Setahun juga Zine Dari Johor telah menerbitkan episod demi episod setiap 2 bulan sekali. Pada mulanya, memang dah terfikir kalau-kalau ada zine fest kat Johor pasti tak akan lepaskan peluang, tapi aku tak ingin nak organise sesuatu, aku lebih suka join venture. Lagi pula, memandangkan analisis persekitaran di Johor tentang pembacaan, penerbitan, penulisan dan sebagainya agak kurang, aku teruskan juga menerbitkan zine dan menjualnya secara online sahaja buat masa sekarang. 

Event seperti ini bagus konsisten dianjurkan atau menjadi budaya tahunan seperti sediakala. Tujuan untuk membudayakan serta dapat berkumpul, berpesta, berhibur dalam satu acara. Ini tindakkan yang bagus dan sentiasa diusahakan oleh sesiapa saja yang mahu. 

Apa bagusnya gig?

Dapat cungkil band baru, dapat beri ruang band nak perform, dapat membentuk budaya, dapat membentuk perhubungan sehingga ke subjek-subjek individualistik seperti sikap, sifat dan sebagainya. Begitu juga apa-apa acara sekalipun termasuk lah sambutan perayaan, sambutan ulang tahun, reunion dan lain-lain. 

KL zine fest pula adalah root aku sebagai editor ZDJ. Dari kemunculan awal lagi aku dah join acara tersebut. Jadi agak asing kalau aku tak ikut serta fest ini di tahun 2022 selepas pandemik. Waktu bersama Cukong Press aku akan turut serta zine fest yang berhampiran seperti Cyberjaya zine fest, Selangor zine fest, Pesta Buku Antarabangsa dan lain-lain anjuran lagi. Aku menerbitkan ZDJ juga atas pengalaman dan kebiasaan ketika bersama Cukong Press. 

Perkara pertama yang masih kekal bersama suasana zine fest adalah reunion, zinester, gig, forum, peluncuran zine, trade, distro dan pelbagai persembahan selepas pandemik ini, nampaknya reunion itu lebih menonjol. Mana tak nya, aku sendiri 2 tahun di Johor, memang tak jumpa lah kawan-kawan lain semenjak covid. Bila acara-acara ini berlangsung, masa itu lah kita semua ambil peluang. 

Kali ini, tidak ramai vendor yang bersama-sama, mungkin kapasiti yang terhad dan ruangan yang perlukan SOP, jadi tidak ramai yang turut berniaga. Macam mana pun, kehadiran pengunjung amat memberangsangkan. Malah ada pengunjung dan kawan-kawan kebanyakkan pada hari itu seperti beraya dari rumah ke rumah. Dari acara Pesta Buku Alternatif Central Market ke Jalan Panggung (Kecoh Fest), dari Shah Alam (pesta buku) ke Jalan Panggung dan dari acara-acara lainnya bertukar-tukar lokasi. Untuk perkongsian bersama, di semenanjung Malaysia ni ada 5 hingga 6 acara berkaitan scene perbukuan dalam tempoh sebulan. Antaranya di Jalan Panggung, Central Market, Shah Alam, Penang, Cameron dan Kelantan. 

Seronok, memang menyeronokkan. Selain daripada acara, macam biasa lah, kalau dah berjumpa mesti ada bertepuk tampar dan berbincang hal-hal isu semasa serta perkembangan kerja dan perkembangan kolektif masing-masing. ZDJ 1 hingga 6 turut habis dijual dan ZDJ 7 ketika itu belum dirilis lagi pun sudah terjual 30 buah disana. 

Awal-awal aku sampai, Man Dugong tengah berguling-guling dengan puisi noisecore nya. Tapi disebabkan venue berada di tingkat 4 atau 5, aku lantakkan je Man Dugong dengan ekspresi dia terlolong, mengais, meratap, berguling penuh emosi sebab ekspresi aku waktu tu tercungap-cungap. Sebelum naik dah hisap “sebalut” sampai je atas, nak bukak pintu rasa nak pitam ea

Berjumpa Jasad dalam perjalanan naik tangga ke atas. Dia turun bersama Awan nak pergi makan dan katanya dia dari Central Market. Betul punya aktif, sebab aku tau diaorang masuk booth disana, persembahan disana, lepastu persembahan di Jalan Panggung pulak. Suka hati la. 

Masuk-masuk, booth kitaorang betul-betul depan pintu masuk. Tak cakap banyak, terus campak kotak zine tepi meja. Dari hujung ke hujung aku usya, suasana yang dah lama aku tak rasa akhirnya memberi aroma nostalgik pada hari itu. Baru je nak susun barang jualan terdengar ada yang memanggil nama aku. 

Aku yang masih tercari-cari siapa lah agaknya memanggil dalam keadaan aku tengah concentrate menyusun, rupanya Husna, dia datang dan say hello. Kami berbual kejap dan disitulah baru aku tau dia rupanya tak balik Langkawi selepas dia cakap nak balik waktu kat Johor, tapi stay kat KL. Sebenarnya kitaorang dah bekerjasama sejak program Alir Cahaya bulan Disember 2021 lagi di Batu Pahat. Lepas tu, dia balik. Aku fikir Husna balik ke Langkawi, rupanya sangkut di KL join Voice United. Waktu di Alir Cahaya kami tak sempat bersembang pun, aku sibuk menulis, sibuk dengan hal kerja, dia sibuk dengan kerja sebagai pembantu pengarah projek. 

Siap susun barang jualan ZDJ dan Paang Store, macam biasa, aku ke hulu ke hilir. Dari hujung ke hujung, semuanya kawan yang dah lama tak jumpa. Kebanyakkan mereka memang warga KL, Selangor dan yang stay di sana bekerja dan belajar. Aku pun tegur sorang demi sorang, berpeluk, bersalaman, shake hand.

Afe dan Ieda sepasang hati ni mundar-mandir sibuk menguruskan hari kejadian. Afe dan Ieda adalah part of organiser, jadi fahamlah, kalau dia turun naik tangga, mundar mandir dalam hall, kejap-kejap call bagitau ada customer nak beli ZDJ. Kejap-kejap call tanya pasal kehadiran, umumkan jaga SOP dan lain-lain. Sebelah booth kami ada Jurnal Sang Pemula, Goldfish Silkscreen, United Voice, HIV test, Vello express, Zine Paling Peribadi, Distopia Zine, kawan-kawan Cempaka Kolektif dan ramai lagi. Seharian lah kitaorang kat ruangan acara ini.

Ada diskusi, ada perbincangan, ada persembahan dari Ali Adnan, Jasad, Jack Malik, Aniqist, Fahmi, Aliff Awan, Nana, AlifDalMim dan Cahaya Jais. 

Kemudian baru lah aku naik ke rooftop untuk soundcheck Ayam Hitam. Berjumpa pula dengan Mar dan Barnie. Diaorang ni pun sama-sama dekat Johor event Alir Cahaya. Sama macam Husna, kitaorang tak sempat bersembang, kat Kecoh Fest ni baru sempat. 

Ada 7 buah band pada hari itu, Trippin Haze Ceremony, MIM, Tingtongketz, Ayam Hitam, Hutch VS The World, Amu Daria dan Auji Skatepunk. Sebenarnya, gig percuma macam ni adalah tarikan pengunjung setiap kali zine fest yang berlangsung. Pernah satu kali D.I.Y Fest (Rumah Bayang) dan Cyberjaya Zine Fest anjurkan acara, gig dan program dalam satu harga tiket. Rasanya, itulah kali pertama berbayar kerana ada lagi kerjasama dengan beberapa pihak lain.

Ayam Hitam slot ketiga dengan 5 lagu barai dan sasau di persembahkan. Selain zine fest, gig juga adalah acara yang sudah lama aku tak jejakkan kaki. Di Johor banyak je gig yang berlangsung selepas dibenarkan, tapi aku tak sempat nak menyundal dan pergi. Kali ni, band sendiri main, jadi itulah kali pertama untuk tahun 2022.

Untuk zine, aku sempat trade Zine Dari Johor dengan Distopia Zine, Goldfish Silkscreen, Perempuan Revolusi zine, United Voice, Spukitown, Paang! dan beberapa lagi. 

Sampai ke penghujung acara, akhirnya, kami berpisah disitu. Drummer kami Mat Manan dari Langkawi positif Covid.

Jumpa lagi next Kecoh! Jumpa lagi next KLZF! 

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *