Peranan Percetakan Dalam Pergerakan

Oleh: Ocha

Meneliti kembali ke zaman awal kemunculan para filsuf anarkisme, apa yang dapat kita lihat para tokoh filsuf ini memulakan langkah dan gerak kerja perjuangan mereka melalui kaedah percetakan dan bahan bacaan. Begitulah perjuangan terawal para penganut idea kebebasan ini terlaksana sehingga ke hari ini. Mungkin jarang antara kita mendengar nama Liu Shifu berbanding tokok-tokoh anarkis  lain seperti Pierre Joseph Proudhon, Mikhail Bakunin, Max Stirner, Emma Goldman dan lain-lain.

Liu Shfu juga merupakan salah seorang tokoh penting anarkis di Asia baik dari segi gerakan dan percetakan bahan bacaan. Semasa hidupnya yang singkat, Shifu (Liu Shifu 1884-1915) datang untuk membawa revolusi anarkis yang berdedikasi di China. Pertamanya, Shifu sanggup meninggalkan pengajiannya dan menyertai “Aliansi Revolusi”, yakni pergerakan republik yang diketuai Sun Yat Sen. Dia terlibat dalam percubaan membunuh pada tahun 1907 dan dipenjarakan selama dua tahun.

Beliau terlibat dengan agenda idea anarkisme semasa dipenjara melalui pembacaan naskah “Natural Justice” dan “The New Era”. Selepas bebas, beliau menyertai “China Assassination Corps”. Pada revolusi 1911, beliau menyertai praktis anarkis secara terang-terangan membentuk “Con-science Society” dan kemudian “Cockcrow Society” di Guangzhou yang menerbitkan akhbar anarkis terkemuka di China, “Suara Rakyat”. Pada tahun 1913 beliau menamakan dirinya Shifu dan menganjurkan kesatuan pekerja (anarkis Cina ke dalam kesatuan kerja).

Pada tahun 1914 beliau memulakan “Society of Anarchist Communist Comrades”. Manifesto kumpulannya, “Matlamat dan Kaedah Parti Komunis Anarkis,” diterbitkan dalam Suara Rakyat pada bulan Julai 1914, pada malam Perang Dunia Pertama. Ia menggambarkan pengaruh Kroptokin di kalangan anarkis Cina, bukan sahaja berkaitan dengan komunisme anarkis, tetapi juga berkaitan dengan konsep “bantuan bersama”.

Shifu meninggal dunia akibat tuberculosis (TB) pada tahun 1915, tetapi Suara Rakyat terus diterbitkan sehingga tahun 1922 dan banyak rakan Shifu memainkan peranan penting dalam pergerakan anarkis Cina. Shifu dan Cockcrow Society juga percetakan Suara Rakyat bukan sahaja berpusat dan berpengaruh di China, malah pengaruhnya melebar ke rantau Asia Tenggara seperti Malaya dan Indonesia. Ketika itu belum ada lagi industri berat di Malaya pada hujung abad ke19 dan awal abad ke20.

Ideologi Marxist-Leninist yang agak spesifik kepada perlawanan terhadap kapitalisme bawaan Revolusi Industri Eropah tidak sesuai untuk disebarkan kepada petani, penoreh getah, penanam sayur, tukang kasut, pekerja lombong, pekerja seks dan seumpamanya di Malaya. Lagi pula, mereka menepati kriteria sebuah pelabelan streotaip Marxist yang dipanggil “lumpen proletariat” kondisi dimana situasi di Malaya pada ketika itu belum lagi mencapai kesedaran kelas untuk disumbangkan kepada pejuang revolusi. Ini berikutan situasi di Malaya sarat dengan pelbagai masalah seperti ketagihan judi, candu, arak dan lintah darat. 

Gerakan anarkis sudah ada di British-Malaya sebelum Perang Dunia Pertama. Gerakan anarkis bukan bermula di Pulau Pinang, tidak juga Ipoh. Lau Hak Fei yang sering disangka pembawa idea anarkisme ke Malaya sampai ke Kuala Lumpur pada 1918 tetapi kenyataanya, ada aksi anarkis yang berlangsung hampir 10 tahun sebelum itu. 

Pada 29 Julai 1909, berlaku apa yang digelar akhbar Tragedi Tokong Pudu. Surat khabar Straits Times edisi 31 Julai 1909 melaporkan pekerja-pekerja lombong berkumpul di kawasan pasar Pudu. Kumpulan ini digelar British sebagai kumpulan pembaharuan. Mereka bertempur dengan kumpulan berambut gaya Manchu (queue hair). British nyata tersentap dan suara masyarakat borjuis yang dibawa akhbar-akhbar Inggeris menulis terdapat segelintir yang kelihatan pelik. Dalam kumpulan “pembaharuan” ada segelintir yang dilaporkan memakai serba hitam dan mengenakan selendang merah juga terompah kayu.

Mereka membawa senjata seperti sabit, parang dan pedang. Apa yang menyebabkan mereka marah hingga turun ke jalan untuk berdemonstrasi tidak pula dilaporkan akhbar pro-British. Walau bagaimana pun, bila laporan-laporan arkib Straits Times dan Malay Mail diteliti, ada satu perkara yang menarik perhatian. Konferens Pemilik Lombong sedang berlangsung di London pada tarikh sama. Majoriti kaum pekerja yang terlibat dalam aksi jalanan di Pudu itu merupakan buruh-buruh lombong. 

Pada 1908, Ng Chi Fai yang menerbitkan akhbar “San Sai Kai (Dunia Baru)” di China pada tahun sebelumnya telah sampai ke Kuala Lumpur untuk menyebarkan pengaruh anarkisme. Impak akhbar Dunia Baru tidak sebesar akhbar Man Saeng (Suara Rakyat) yang diterbitkan Lau Sze Fuk pada tahun 1912 di China yang turut tersebar ke British-Malaya. Namun Dunia Baru yang ada tersimpan naskah-naskahnya di perpustakaan Tokong Chong Wan Xian Shi, Pasar Pudu adalah kesan peninggalan  gerakan anarkis di Kuala Lumpur.

Anarkis terawal yang sampai di British-Malaya mempunyai 2 jalur pengaruh. Ng Chi Fai dan dua orang rakannya datang ke Kuala Lumpur membawa pengaruh anarkisme dari Paris. Dalam sejarah anarkisme di Negara China, mereka ini disebut sebagai “kumpulan Paris”. Mereka pada asalnya adalah pendokong nihilism dan komunisme kerana  kedudukan China yang bersempadan dengan Rusia yang rancak dengan bermacam gerakan kiri. Kumpulan Paris ini asalnya adalah pegawai diplomat China yang dihantar bertugas ke Paris. Disitu mereka sempat belajar ilmu dan falsafah barat dengan lebih lanjut. Mereka kemudian  berkenalan dengan Ng Chi Fai.

Kumpulan Jepun membawa jalur pemikiran yang cenderung kepada idea falsafah klasik China seperti Taoisme dan Lao Tzu serta pengaruh Rusia yang kuat termasuk sastera. Mereka lebih kenal dengan Leo Tolstoy dan Peter Kropotkin berbanding Joseph Proudhon. Mereka percaya idea dan pemikir moden perlu disadur dengan tradisi budaya China.

Namun pada dasarnya, kedua-dua kumpulan ini bekerjasama dan bersama-sama cuba menyebar anarkisme kepada orang Cina luar tanah besar. Walaupun simbolisme dianggap tidak penting dalam idea anarkisme, namun anarkis dari dahulu lagi memahami fungsi simbol kepada psikologi manusia.

Kumpulan Paris yang sampai ke Kuala Lumpur banyak mengkaji sosio-budaya Cina-Malaya. Mereka memilih terompah kayu sebagai simbol. Ini adalah satu adaptasi simbol sabit anarkis Perancis. Ayam yang merupakan simbol republikan Perancis turut diubah kepada ayam laga.

Pada 1 Mei 1910, satu perayaan besar-besaran telah diadakan di Kuala Lumpur oleh gerakan anarkis. Kelas pekerja yang tidak pernah tahu akan adanya Hari Pekerja sebelum ini telah turun ke jalan raya. Gerakan “clandestine” ataupun bawah tanah telah mengejutkan penjajah British. British dengan licik merancang counter-movement dengan sengaja mengedar beribu-ribu risalah anarkisme, tetapi tidak berjaya kerana tidak ada pencetak yang berani mencetak risalah mereka. Selama beberapa tahun mereka banyak menghabiskan masa bersembang di kedai-kedai kopi Hainan. Mereka sengaja memilih cara ini dengan harapan perbualan mereka dapat didengar dan menarik minat masyarakat sekeliling. Namun usaha ini tidak begitu berkesan walaupun ada yang tertarik dengan ideologi mereka. 

Stigma dan streotaip masyarakat semakin kukuh. Malangnya taktik mereka membawa kepada satu istilah baru  kepada masyarakat Cina – sembang kedai kopi. Maksudnya sama seperti yang kita tahu pada hari ini. Majoriti kaum pencetak adalah orang Cina keturunan Hainan (atau dipanggil juga Hailam). Kebanyakannya menganut fahaman anarkis. Oleh itu, pada tahun 1924, mereka menerbitkan satu risalah baru anarkis – Kwong Ming (Cahaya). Majalah ini telah dicetak di bangunan Yik Kwan Po dan diedarkan kepada kaum pekerja dan pelajar. 

Pelajar yang dimaksudkan disini adalah kaum pekerja yang menuntut di sekolah-sekolah malam. Gerakan anarkis masuk ke fasa baru apabila muncul lebih ramai pendokong-pendokong yang aktif. Dikatakan, sekurang-kurangnya 50 anarkis tegar wujud ketika itu. Namun, aksi-aksi anarkis terakhir yang besar berlaku pada tahun 1925. Bermula dengan cubaan gagal membunuh Pesuruhjaya Tinggi British Negeri-Negeri Melayu Bersekutu merangkap Gabenor Negeri-Negeri Selat, Lawrence Guillemard. Selepas aksi-aksi berbaur nihilist 1925 gagal, gerakan anarkis terus makin padam dengan langkah-langkah penghapusan British yang sangat mempraktikan dasar pecah dan perintah antara kaum.

Kemasukan pengaruh komunisme dan sosialisme juga membantutkan usaha-usaha anarkis sebelum itu seperti kesatuan-kesatuan sekerja di “hijack” mereka. Jika kita berjalan dan meperhatikan kawasan Pudu hari ini, kita akan nampak banyak kedai-kedai percetakan yang masih mengekalkan seni bina mata angin berbentuk ayam (yang tiada pada seni bina orang Cina luar dari Malaysia dan Singapura). Begitu juga dengan terompah kayu berwarna merah. 

Inilah kesan-kesan kewujudan awal gerakan anarkisme yang masih membaluti tubuh kota Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *