Oleh: Adi Kasman Che Halin
Les’ Copaque Production telah mempersembahkan “Pada Zaman Dahulu”, iaitu sebuah siri animasi CGI yang berbentuk kisah dongeng arahan Mohd Shafiq Mohd Isa dan hasil ciptaan oleh Mohd Haris Amran Vivienne Foo Rui Hua Fitri Anas Muhiddin. Siri ini merupakan judul siri televisyen (TV) yang kedua keluaran syarikat ini selepas Upin & Ipin. Siri animasi “Pada Zaman Dahulu” mula disiarkan di kaca TV menerusi saluran TV Al-Hijrah.
Aris dan Ara sedang main kejar-kejar di ruang tamu rumah. Aki memberi nasihat agar jangan bermain di dalam rumah tetapi tidak diendahkan. Tiba-tiba Ara terlanggar pasu di atas meja hingga jatuh dan pecah. Aki sangat sedih kerana pasu itu ialah kesayangannya. Aris dan Ara rasa bersalah dan cuba membantu dengan menghulurkan “gam”. Bagi Aki, “nasi telah menjadi bubur”, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Aris dan Ara pula tidak faham dengan peribahasa Aki, lalu Aki menceritakan satu kisah yang menjadi tauladan kepada cucu-cucunya dan para penonton, terutamanya golongan kanak-kanak yang mengikuti siri animasi ini.
Menurut Za’ba, peribahasa merupakan susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenarannya, sedap didengari dan bijak perkataannya. Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan manakala peribahasa moden pula merujuk peribahasa yang dicipta selepas tarikh tersebut.
Peribahasa memainkan peranan yang penting dalam masyarakat di negara kita terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah sama ada sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Hal ini demikian kerana peribahasa digunakan untuk menyampaikan sesuatu nasihat, teguran, atau ingatan secara kiasan ataupun sindiran.
Bil | Peribahasa |
Maksud |
1. |
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. | Walau pandai/licik bagaimana sekalipun seseorang itu pasti akan melakukan kesilapan. |
2. | Nasi telah menjadi bubur | Sesuatu yang sudah terlanjur tidak dapat dibetulkan lagi. |
3. | Mati rusa kerana tanduknya. | Mendapat kecelakaan kerana kelebihannya sendiri. |
4. | Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya. | Walaupun sesuatu tempat itu rasa tenang dan selamat, tidak semestinya tiada bahayanya. |
5. | Malang tidak berbau | Perkara buruk yang terjadi dengan tiba-tiba. |
6. | Kecil-kecil cili padi | Biar kecil asalkan bijak |
7. | Hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya. | Jika berkehendakkan sesuatu, akan berusaha untuk mendapatkannya tetapi jika tidak mahu melakukan sesuatu, pelbagai alasan akan diberikan. |
8. | Ikut hati mati, ikut rasa binasa | Membuat sesuatu yang didorong oleh hawa nafsu akhirnya mendatangkan kesusahan. |
9. | Selindung disebalik telunjuk | Rahsia yang tidak dapat disembunyikan. |
10. | Terlampau panggang jadi hangus | terlalu hendak meninggikan diri, akhirnya mendapat malu ataupun celaka. |
11. | Air susu dibalas air tuba | Sesuatu kebaikan yang dilakukan tetapi dibalas dengan kejahatan |
12. | Talam dua muka | Perihal orang yang berbuat baik kepada dua orang yang berseteru (untuk keuntungan diri sendiri). |
13. | Hancur badan dikandung tanah | Budi bahasa yang baik tidak akan dilupakan walaupun orang itu sudah meninggal atau mati. |
14. | Kepala batu | Degil dan tidak mendengar nasihat yang diberikan. |
15. | Sediakan payung sebelum hujan | Bersiap sedia sebelum mendapat sesuatu bencana atau musibah yang tidak dijangka. |
Kewujudan peribahasa ini adalah disebabkan oleh kesedaran masyarakat terhadap kesukaran untuk memberi nasihat atau teguran secara terus-terang kepada orang lain tanpa menyinggung perasaan mereka. Justeru, masyarakat mula mengaitkan atau mengumpamakan sesuatu perkara dengan yang lain agar mesej dan maklumat yang ingin disampaikan itu dapat ditafsirkan oleh pendengar secara halus dan lembut. Walau bagaimanapun, perkara yang diumpamakan tersebut adalah berkait secara langsung dengan anggota masyarakat dan alam sekeliling mereka.
Setiap bahasa mempunyai ciri yang tersendiri dan salah satu persamaannya adalah memiliki peribahasa. Pertindihan maksud dalam pelbagai peribahasa dipengaruhi oleh masyarakat dan faktor berbilang budaya. Wajar diingatkan bahawa bahasa indah dan peribadi menyerlah. Bahasa dalam sesuatu peribahasa merupakan refleksi pemikiran yang terhasil daripada kesedaran manusia untuk melakukan sesuatu penaakulan, persepsi, perlakuan dan tindakan berdasarkan persekitaran mereka.
Berdasarkan ungkapan ataupun kata-kata yang diketengahkan dalam peribahasa sama ada secara tersurat mahupun tersirat jelas menunjukkan terdapat nilai keindahan dan kesantunan berbahasa yang hadir dan telah wujud sekian lamanya dalam budaya Melayu diwarisi sejak turun temurun sebagai satu warisan budaya yang sentiasa dan perlu dipelihara dari satu generasi ke generasi bagi memastikan kelestarian peribahasa tetap kukuh dan kekal mekar dalam jiwa setiap anak-anak muda di Malaysia.