LUAS ( Lorong Underground Art Space)

Sedutan dari Zine Dari Johor 1

                     “gambar Lorong Ismail yang terbiar sebelum ini”   

Kulai, kami pasti sangat kalau geng-geng pop-culture kat Johor ni sebut Kulai mesti kenal satu tempat iaitu Lorong. Terbukti sehingga ke Kuala Lumpur dan serata Malaysia sebab disitu lah satu-satunya scene pop-culture yang ada dan pada kami ianya memberangsangkan walaupun temponya agak perlahan. Ini semua adalah hasil usaha individu dan kelompok yang menjayakannya sehingga sekarang, mereka mahu menghidupkan sebuah suasana yang telah lama terbengkalai dimamah usia ke arah yang lebih menarik.

kami pasti akan bertanya dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa daripada kawan-kawan yang terlibat disitu. Tapi itulah, dalam ketirisan politik setempat berkaitan kepimpinan dan sebagainya, kadang tak faham apa yang anak muda mahukan atau tidak menyambut baik idea baru untuk memanfaatkan sesuatu. Realitinya, inilah perubahan zaman, pop-culture bukan lagi asing. Maksud kami, zaman sekarang terutamanya anak muda sudah bijak bergerak dengan bantuan teknologi sehingga mahu membina sesuatu yang baru.

Mereka membina komuniti tetapi menjadi masalah bilamana orang atasan tidak berminat untuk memberi ruang dari segi idea yang segar. Tidak mahulah bercerita tentang duit, selama ini apa program pun berjalan dengan lancar. Cuma menjadilah supportive dan beri mereka ruang itu tanpa dikelola oleh kepentingan politik. Ini bukanlah satu hinaan atau menyalahkan antara pihak, ini adalah apa yang terjadi, idea dan perlaksanaanya.

Di bawah telah kami sertakan penulisan daripada seorang yang telah kami minta padanya berkaitan dari sudut pandangnya sebagai artis lokal yang menjadikan Lorong sebagai tempat yang menginspirasikan sejak dari terlibat  dengan scene underground di Kulai.

 

Bob Madgrinder:

Terkejut, dijemput oleh seorang editor dan menyatakan tujuannya kepada aku agar menulis tentang sebuah tempat di Kulai dari segi sudut perspektif, membuatkan aku rasa dihargai. Aku cuba juga walaupun hanya mampu bercerita dari rasa hati dan tentang sejarah tempat sekadar picisan buat mereka yang ingin tahu dan sekurangnya menjadi sebuah inspirasi kearah hidup yang lebih baik.

Terima kasih lah brader! Membawa sesuatu yang tinggi nilainya ke sebuah tempat yang kecil tetapi luas maknanya memerlukan satu pengorbanan dan iltizam yang kuat agar semua tahu betapa luasnya keinginan manusia itu menerobos masuk ke ruang dimensi seni yang sememangnya mencabar ruang otak, kerana itu fitrah akal. Pecahkan hegemoni merujuk tanggapan kepada lorong itu.

Membawa karya seni ke lorong itu sebagai satu usaha mengangkat martabatnya agar ianya suatu hari nanti akan menjadi satu platfom yang luas kepada sesiapa sahaja yang ingin berekspresi di situ. Lorong satu terjahan yang amat berani dan ingin membuka ruang. secara realitinya ekslusif kepada semua untuk memanfaatkan dan memberi ruang bahawa lorong itu luas dari segi sudut dan ruangnya tersendiri daripada suram, terbiar, hancing dan sebagainya.

Dari celahan lorong yang terceruk diantara dua entiti bangunan itu, sudah belasan tahun di situ pada permulaan awal wujudnya lorong underground menjadi tempat atau port anak-anak scene underground Kulai, anak anak grunge yang berjiwa rebel yang telah sekian lama menjadikan lorong itu sebagai sebuah tempat yang istimewa untuk mereka meluahkan apa sahaja yang lahir dari isi hati mereka, sebagai satu penanda aras “ini wilayah aku.” Bertukar ilmu mengenai muzik dan berebut-rebut zine pada masa itu, kerana ianya salah satu medium yang terbaik untuk mendapatkan maklumat mengenai artis-artis kegemaran sambil berkongsi dengar walkman dan kaset kugiran kegemaran.

Masing-masing memakai pakaian mengikut tema genre muzik tersendiri samada punk, grunge, metal, rock, hardcore, skinhead. Semua unite dan Lorong Ismail itulah mereka jadikan sebagai tempat pertemuan selepas kembali dari jamming studio yang terkenal di Kulai pada masa itu, Mika Jamming Studio. Kebanyakkan mereka amat berekspresiasi tinggi

sementelah pula dengan jiwa melawan dalaman yang kuat agar suasana di lorong itu seiring dengan jiwa pemberontakkan, seolah-olah seperti ingin menyampaikan sesuatu mesej sama ada secara tersurat dan tersirat. Imbas kembali pengalaman aku sebagai backpacker yang tidak secemerlang mana, tetapi pengalaman yang sikit itulah yang membuka mata aku untuk melihat, menerjah, berkawan dan dalam masa yang sama membina jaringan hubungan jalinan secara positif dengan konsisten.

Mengembara di negara-negara yang pernah aku jejak seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan beberapa negara lain sekitar Asia, apa yang aku simpulkan tentang budaya yang mereka aktifkan, mereka menjadikan segenap ruang lorong yang ada untuk mereka berkarya, berekspresi dan secara tak langsung ianya menjadikan lorong-lorong tersebut hidup sekaligus memberi impak yang positif dari segi sudut ekonomi terutamanya kepada sektor pelancongan dalam perspektif karya seni tempatan. Lorong atau tempat yang terbiar akan dijadikan sebagai sebuah ruang dan tempat untuk artis-artis seni disana untuk mereka mempamerkan kreativiti dalam menyampaikan sesuatu mesej kepada masyarakat.

Mustahilkah jika ianya berlaku di Lorang Ismail, Kulai? Inspirasi dari bekalan pengalaman di atas, ingin menjadikan Lorong Ismail, Kulai sebagai salah satu daya tarikan suatu masa yang tidak merugikan sesiapa jika tidak berlaku tanpa campur tangan opportunis. Entah bila, tapi keyakinan tetap ada agar semua akan membuka mata dan mencari sendiri, apakah potensi hebat yang tersembunyi disebalik celah lorong itu, jika kita ingin membangunkannya dengan konsep dan caranya. Alhamdulillah, secara spontan terpacul satu nama dari fikiran aku sendiri (secara peribadi) mengistilahkan lorong khas istimewa tersebut sebagai Lorong Underground Art Space (LUAS).

‘Lorong Underground’ ini juga idea dari seorang kartunis tersohor negara iaitu kartunis Gayour, dimana lorong tersebut direncanakan sebagai sebuah platfom yang terbaik untuk artis lokal dan sesiapa sahaja yang ingin menzahirkan ekspresi mereka di celah lorong tersebut, walaupun sempit tapi ianya luas untuk mereka yang ingin berekspresi. LUAS secara amnya ingin menjadikan Lorong Ismail sebagai sebuah platform untuk seni dan hiburan, khusus untuk segenap lapisan masyarakat di Kulai mahupun di luar sana. Berimpian menjadikan Luas sebagai satu daya tarikan masyarakat dan pelancong yang menghargai dan meraikan budaya dan kreativiti, malah tidak keterlaluan jika apa sahaja konsep seni yang ingin diwujudkan disitu amat dialu-alukan.

Ini satu pengharapan agar Luas dapat dijadikan sebagai sebuah tempat yang penuh dengan keamanan dan ketenangan untuk mereka yang sukakan suasana street sambil mengopi dan menikmati aktiviti-aktiviti seni disitu walaupun di celahan lorong. Luas wujud disebabkan dewasa kini lorong tersebut semakin mendapat perhatian anak-anak muda yang berbudaya pop – seni dan muzik yang bergerak secara underground dan rata-rata mereka bergerak secara indiependant serta berani menzahirkan ekspresi mereka di lorong tersebut, ditambah pula dengan perniagaan kafe, Warung Orkes yang diusahakan oleh anak muda tempatan di lorong tersebut merancakkan lagi suasana pada waktu malam di kawasan tersebut.

Ianya bukan sekadar ruang, tetapi sebuah tempat yang ada tujuan dan maksud agar mereka yang datang ke lorong tersebut mendapat sesuatu yang positif dan ada pengisian untuk ditimba di situ. Inisiatif anak muda tempatan dan luar memainkan peranan penting dalam memberi pelajaran yang positif secara visual, secara bertentang mata dan hidup disitu, dalam masa yang sama Luas ingin mencari dan melahirkan atau memanggil bakat-bakat anak seni tempatan mahupun diluar berani untuk menzahirkan bakat dan karya mereka disitu. Itu matlamat Luas dan ianya memerlukan kekuatan dan inisiatif yang tinggi demi memastikan Luas akan dijadikan sebagai sebuah hub kreatif pada masa akan datang dan mengekalkannya bukan suatu yang mudah. Idea-idea kreatif diperlukan sebagai satu jaminan produk untuk memastikan lorong tersebut terus hidup.

Idea Luas wujud sebagai satu kesinambungan anak-anak seni di Kulai berani tampil ke depan untuk mempertaruhkan kreativiti mereka dan mungkin juga sebagai sumber rezeki pendapatan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup, malah melalui platfom di Luas, siapa tau ianya akan terus rancak dan akan bertukar menjadi sebuah industri seni yang berpangkalan di Kulai. Kita rancakkan lagi industri seni di Malaysia. Itu salah satu matlamat Luas yang ingin dinyatakan disini. Apa sekalipun, inisiatif dari diri kita sendiri untuk mencorak Luas itu sendiri, apa matlamat dan tujuan Luas itu sendiri.. suatu hari nanti..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *