Oleh: Tim Editorial
Dalam perbincangan tentang alam sekitar dan isu-isu global semasa, dua istilah yang sering digunakan secara bergantian ialah perubahan iklim (PI) dan pemanasan global (PG). Walaupun kedua-dua istilah ini berkaitan rapat, sebenarnya mereka merujuk kepada perkara yang berbeza. Untuk memahami isu-isu alam sekitar dengan lebih tepat, penting untuk membezakan maksud sebenar kedua terma ini serta kesan masing-masing terhadap kehidupan di bumi.
Pemanasan Global
Pemanasan global merujuk kepada peningkatan suhu purata permukaan bumi yang disebabkan terutamanya oleh peningkatan pelepasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida (CO₂), metana (CH₄), dan nitrus oksida (N₂O). Aktiviti manusia seperti pembakaran bahan api fosil, penebangan hutan, dan penggunaan tenaga tidak lestari menyumbang kepada pelepasan gas-gas ini, yang memerangkap haba di atmosfera dan menyebabkan suhu bumi meningkat secara perlahan tetapi berterusan.
Ia dikenalpasti dengan peningkatan suhu permukaan bumi dalam jangka masa panjang. Menurut laporan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), suhu purata bumi telah meningkat lebih daripada 1°C sejak era pra-industri dan terus meningkat jika tiada tindakan segera diambil.
Perubahan Iklim
Perubahan iklim pula merujuk kepada perubahan jangka panjang dalam corak cuaca dan suhu bumi. Ia merangkumi bukan sahaja pemanasan global, tetapi juga fenomena lain seperti peningkatan kejadian cuaca ekstrem (banjir, kemarau, taufan), perubahan corak hujan, pencairan ais di kutub, peningkatan paras laut, dan perubahan musim.
Dengan kata lain, pemanasan global adalah sebahagian daripada perubahan iklim. Perubahan iklim menggambarkan keseluruhan kesan pemanasan global ke atas sistem iklim bumi, termasuk bagaimana ia mempengaruhi ekosistem, tumbuh-tumbuhan, haiwan, dan manusia.
Perbezaan Utama
Pemanasan global lebih terhad dari segi makna kerana ia hanya merujuk kepada kenaikan suhu bumi. Sebaliknya, perubahan iklim merangkumi kesan yang lebih luas, termasuk pelbagai bentuk perubahan cuaca dan iklim yang berlaku akibat pemanasan global.
Pemanasan global diukur melalui data suhu dan menunjukkan trend peningkatan haba. Perubahan iklim pula dilihat melalui kesan nyata seperti banjir yang semakin kerap, musim panas yang lebih panjang, kemarau yang berlarutan, serta kejadian ribut yang lebih kuat dan tidak menentu.
Ramai orang menggunakan istilah pemanasan global apabila merujuk kepada perubahan iklim (PI), tetapi ini boleh mengelirukan kerana tidak semua PI melibatkan pemanasan. Sesetengah kawasan mungkin mengalami penurunan suhu atau pertukaran corak cuaca tanpa peningkatan haba yang ketara, namun masih termasuk dalam fenomena PI.
Pendekatan Sains dan Polisi
Dalam bidang sains dan dasar awam, perubahan iklim digunakan dengan lebih meluas. Ini kerana ia memberikan gambaran yang lebih menyeluruh tentang cabaran yang dihadapi dunia sekarang. Pelbagai dasar dan perjanjian antarabangsa seperti Perjanjian Paris 2015 ditumpukan kepada usaha menangani masalah iklim secara keseluruhan.
Sebagai contoh, peningkatan suhu global boleh menyebabkan glasier mencair di Artik. Ini adalah kesan langsung pemanasan global. Namun, apabila pencairan ini menyebabkan peningkatan paras laut dan seterusnya banjir di kawasan pesisir. Atau, apabila ia mengubah arus laut dan menyebabkan ribut taufan yang lebih dahsyat. Jadi semua itu adalah sebahagian daripada perubahan iklim.
Begitu juga, apabila kawasan pertanian menghadapi kemarau panjang yang menjejaskan hasil tanaman, itu bukan sekadar isu suhu meningkat. Tetapi perubahan dalam corak hujan, merujuk kepada satu bentuk perubahan iklim.
Mengapa Perbezaan Ini Penting
Memahami perbezaan ini penting untuk mendidik masyarakat dan menggalakkan tindakan yang lebih berkesan. Jika kita hanya fokus kepada pemanasan global, kita mungkin akan mengabaikan banyak kesan lain. Antaranya, seperti cuaca ekstrem dan kesan sosial ekonomi yang lebih besar.
Sebagai contoh, dasar kerajaan untuk mengurangkan gas rumah hijau bukan sahaja bertujuan mengurangkan pemanasan. Tetapi juga bertujuan menyesuaikan masyarakat dengan perubahan cuaca. Seperti membina sistem saliran bandar yang lebih cekap atau melabur dalam pertanian tahan kemarau.
Secara ringkas, pemanasan global adalah peningkatan suhu bumi akibat aktiviti manusia. Manakala perubahan iklim adalah kesan yang lebih luas dan kompleks hasil daripada pemanasan global. Kedua-duanya saling berkait, namun perbezaannya penting untuk difahami. Supaya, tindakan yang diambil oleh individu, masyarakat, dan kerajaan lebih menyeluruh dan berkesan.
Dengan kesedaran yang semakin meningkat, diharapkan kita semua dapat memainkan peranan dalam mengurangkan kesan perubahan iklim. Seterusnya, memastikan kelestarian bumi untuk generasi akan datang.
Artikel berkait: Bumi Akan semakin Panas dan Memburuk
