Oleh: Benz Ali
Selamat pagi PKP yang entah dah kali ke berapa kita tak ingat..
Sekadar nak mengutarakan pendapat atau cadangan, yang mungkin saja naif..
Aku rasa ke depan, ke depan ni, kita akan seringkali sahaja menghadapi PKP ini. Ia mungkin akan berlaku lagi bulan depan. Beberapa bulan depan. Tahun depan. Dua tahun depan. Dan ikut suka hati kerajaan bila dia nak umumkan, tanpa mengira keadaan kita. Aku bukan lagi dalam mood nak protest lagi hal itu. Kita semua maklum bahawa kerajaan kita sememangnya #kerajaangagal. Itu semua ramai telah maklum. Jadi tujuan aku tulis ni bukan tentang itu.
Tetapi untuk mengingatkan bahawa kita akan menghadapi lebih banyak PKP yang akan dibuat selepas ini. Selagi kes tak turun menjadi 0 atau sekadar dua angka, eloklah kita semua jaga diri sendiri berbanding nak mengharapkan kerajaan jaga kita. Kerajaan kita memang tak boleh pakai.
Aku rasa, kita dah memang kena biasakan apa sahaja benda secara online untuk bertahun-tahun ini. Bukan setahun ya. Tapi bertahun-tahun. Sehingga segala-galanya betul pulih, atau kes jadi 0 atau sekadar dua angka. Mungkin ada teman-teman di kalangan perubatan/doktor boleh betulkan lagi benda ini. Maksudnya berapa kes sehari yang patut kita rasa itu ok untuk keluar bersiar-siar dsbnya? Tapi aku rasa depa pun setuju yang situasi dari tahun lepas bukan situasi untuk kau keluar bersiar-siar dengan anak beranak kau.
Memang bukan semua benda/kerja boleh dilakukan online, aku faham itu. Cadangan ini bukanlah untuk selesaikan semua masalah. Dan bukanlah juga tiada orang tahu tentang hal ini. Kita pelan-pelan telah budayakan hal ini. Pergi keluar, cari barang, balik rumah. Tak ada melewa-meliar ke tempat lain. Dan anggap Covid ni main-main.
Jadi kau kena biasakanlah dengan keadaan ini. Belajar kena belajar online. Baik yang dekat sekolah sampai universiti. Jangan pedulilah dekat kerajaan bod** ni dan kementerian pendidikan yang macam tak ada fungsi. Sekejap begitu sekejap begini. Tak boleh ke setahun ni buat sahaja online? Kan dah suruh buat PdPR semua? Habis tu sekejap begitu, sekejap begini, tak gila ka orang dibuatnya? Setahun atau dua tahun online, tak boleh ke? Jadi orang (guru/murid) tak caca merba dibuatnya. Biar mula-mula susah dan serabut dulu. Lama-lama akan biasa. Berbanding sekejap begitu, sekejap begini. Bengon* habis kita dibuatnya.
Ya, aku faham. Sekolah kita kena ikut kerajaan. Jadi macam aku cakap tadi, tak semua benda cadangan ini praktikal. Yang terpaksa ikut kerajaan taguna ni, terpaksalah. Tapi kalau yang homeschooling, sekolah swasta, uni/kolej swasta harus lebih bijaklah. Sebab mereka tak tertakluk dalam set kementerian taguna dan menteri pendidikan taguna dan tak ada fungsi dan tak ada faedah ni.
Aku rasa satu lagi khidmat tutor persendirian pun jadi penting. Kepada penganggur-penganggur dari universiti yang telah lama menganggur semenjak zaman sebelum PKP ini, aku nampak mereka boleh jual khidmat mereka untuk mengajar anak-anak di rumah. Mungkin ia lebih kepada mak bapak yang berduit.
Kemudian satu lagi aku nampak, yang kerja tetap, ada pendapatan tetap, kerja kerajaan dan sewaktu dengannya, kalau dia ada fikir, dia patut bantu juga mereka yang kerja sendiri, baik yang jual makanan, ekonomi setempat-komuniti dsbnya. Janganlah fikiran nak menyimpan dan beli aset aja. Orang sekeliling mampus pi. Dah tak tengok kiri kanan depan belakang atas bawah. Sapotlah sama ekonomi-ekonomi sekeliling awak tu. Baru betul kita jaga kita. Awak tu ok dah gaji tetap. Gaji setiap bulan masuk. Yang tak kerja tetap, hari ni tak kais tak makan, sememangnya memerlukan sokongan. Nak harap kerajaan taguna ni, dia ingat dia bagi RM100 untuk 5-6 bulan sekali, akan selesai masalah. Dia ingat macam tu. Tapi masih muka tak malu nak jadi kerajaan. Pui.
Aku tahu cadangan-cadangan ini bukannya baru dan bukannya boleh selesaikan semua persoalan dan permasalahan. Tapi kita dah kena adapt pun dengan keadaan ini. Mungkin raya tahun depan pun kita tak dapat balik lagi. Aku rasa ok je. Tapi mungkin juga ada masa-masa yang bukan hari raya atau bulan puasa tiada PKP, aku rasa masa itulah kena balik. Dan selepas itu mungkin akan PKP balik meskipun bulan puasa atau hari raya. Kita dah (ter?)kena macam ni dah dua kali. Takkan tak belajar sesuatu kot?
Runner/delivery antara yang akan terus diperlukan dan paling mencabar. Pekerjaan ini patut dibayar mahal. Apatah lagi di era berisiko seperti ini. Kematian mereka tahun lepas adalah lebih banyak dari kematian disebabkan Covid-19 di Malaysia. Mungkin sedikit tips? Atau tolak ansur sedikit jika runner/delivery sampai lewat?
Satu lagi aku nampak ilmu kulinari ni jadi penting. Apapun jadi, manusia kena makan. Jadi kalau kita dah teruk sangat ataupun sebelum jadi teruk elok kita boleh buat makanan untuk dijual. Seperti dituliskan sebelum ni, boleh sahaja jual secara kecil-kecilan dalam komuniti dulu. Untuk jiran tetangga, blok, flat, apartment, untuk mereka yang masih ada kerja tetap, yang tidak memasak di rumah. Masukkan jiran-jiran dalam group whatsapp, dan boleh iklankan makanan apa yang dijual. Mungkin akan datang, penyelesaian kita untuk ekonomi kita adalah ekonomi dalam bentuk komuniti. Nak harap kerajaan, kerajaan pun gagal. Lebih baik bantu sesama ahli komuniti. Jadi mungkin tak perlu keluar jauh dari komuniti untuk dapatkan sesuatu barang.
Ya, masih tak menyelesaikan banyak benda juga. Mungkin juga segala yang dikatakan ini tak selesaikan apapun. Tapi ini sekadar yang terfikir sahajalah. Kita dah tak boleh ingat ada cahaya di ujung jalan. Barangkali sahaja tidak ada cahaya yang kita tunggu-tunggu itu. Barangkali kita kena terus sahaja berjalan dalam kegelapan. Terus adaptasi dan cuba hidup selagi boleh.