Bazar Ramadan batal, peniaga terpaksa ‘lelong’ bekalan kelapa

KOTA BHARU, 14 April — Seorang peniaga terpaksa menjual lebih 500 biji kelapa pada harga modal selepas kerajaan negeri Kelantan membatalkan semua bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di seluruh negeri susulan peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini.

Peniaga kelapa Zahari Awang, 65, dari Kampung Sri Kulim, Melor, di sini, berkata beliau membeli kelapa tersebut pada harga RM1 tidak termasuk upah panjat RM0.50 dan bercadang untuk menjualnya pada harga RM1.80 sebiji

Katanya bekalan kelapa itu sebenarnya telah ditempah oleh peniaga lauk-pauk dan kuih-muih di Bazar Ramadan Melor, namun selepas dimaklumkan mengenai pembatalan bazar Ramadan, mereka tidak meneruskan pembelian tersebut.

“Terkejut dengan apa yang berlaku namun perasaan itu sedikit reda apabila anak Nurulhuda, 33, dan menantu Muhammad Imran Hashim, 31, sepakat untuk menjual bekalan kelapa itu pada harga modal sahaja tanpa sebarang keuntungan.

“Saya ambil keputusan jual RM1.50 sebiji kepada pembekal santan di kampung ini bagi memastikan kelapa yang sudah dikait terjual. Setakat semalam sudah 300 biji terjual,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Bagi peniaga air minuman air berkarbonat Redzuan Yaacob, 40, dari Kubang Kerian berkata beliau sudah mengeluarkan modal berjumlah RM25,000 membeli stok bekalan untuk jualan di dua tapak Bazar Ramadan masing-masing di pekarangan Stadium Sultan Mohamad V dan Kubang Kerian.

“Saya berpengalaman berniaga sejak 21 tahun lalu, sudah dapat mengagak air botol akan dapat permintaan tinggi oleh itu pada tahun ini saya meminjam wang dari kakak saya.

“Stok sudah sampai empat hari lalu, sekarang saya sedang memikirkan kaedah terbaik untuk menjual bekalan yang ada ini seperti mencari tapak baharu dan jualan secara dalam talian,” kata bapa kepada empat cahaya mata ini.

Semalam, kerajaan Kelantan mengumumkan peruntukan RM1.5 juta sebagai sumbangan kepada 2,500 peniaga yang terkesan berikutan pembatalan pengoperasian bazar Ramadan di seluruh negeri berkenaan.

 

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *