Tidak disangkal bahawa pandemik ini sangat menggugat struktur masyarakat dan pergerakan sektor industri. Ekonomi masyarakat biasa berada dalam keadaan yang tak menentu. Ada yang bernasib baik, sehingga dapat membuka food bank. Ada pula yang tidak bernasib baik, terpaksa mencari jalan alternatif. Ada juga yang terperangkap dan tidak dapat berbuat apa-apa selain menanti bantuan tiba.
Asyraf, seorang anak tempatan Parit Raja juga tidak terlepas dari dugaan pandemik ini. Sebelum pandemik, beliau bekerja di Singapura selama 3 tahun sebagai technician di syarikat Apexlink dengan gaji RM5000 – RM6000 sebulan. Tetapi setelah wabak pandemik muncul, seluruh kehidupannya berubah 360 darjah. Beliau memutuskan untuk pulang ke kampung dan menjalankan kerja-kerja kampung yang mana menurut beliau lebih ‘membahagiakan’.
Berikut adalah sesi temu-bual saya bersama beliau sewaktu melawat projek penternakan beliau di Kampung Parit Jelutong.
Boleh ceritakan keadaan kau ketika di Singapura?
“Awal-awal PKP, aku dilemma bila dapat berita Covid.”
“Waktu tu mati kutu beb, kau banyak duit macam mana pun dalam 2 tahun tu mesti habis. Jadi kita kena fikir macam mana nak survive.”
“3 tahun kerja, 3 tahun nak kumpul duit tu bukan sikit kudrat kau pakai. Tapi bila tiba-tiba jadi macam ni, macam terduduk jugaklah. 3 tahun punya kumpul duit pun boleh habis.”
“Fikir mak bapak lagi, mereka tak sihat… Aku fikir aku kena balik.”
“Waktu tu aku diberi tempoh selama 2 minggu, pilih nak tinggal atau balik. Kalau tinggal, memanglah ada kerja dan bergaji. Tapi nak kena bayar duit hotel dan swab test semua tu juga, kos dia dekat RM4000 duit kita, mana mampu?”
“Jadi aku fikir yang terbaik kena balik kampunglah. Duit simpanan awal aku beli lembu 6 ekor, aku buat berdua dengan sorang kawan, Arep. Tapi ternak lembu ni lambat hasilnya, untuk hasil jangka pendek aku bela ayam kampung.”
Apakah perbezaan yang ketara sewaktu kau di Singapura dengan di kampung?
“Di kampung lebih gembira. Singapura, aku cuma kejar duit. Benda yang dikejar hari-hari adalah duit. Bila kat sini aku ada tanggungjawab, kena jaga mak bapak terutamanya, ada kebun dan ternakan lagi. Dia bukan sekadar duit saja lagi.”
Ada rancangan untuk sambung kerja di Singapura semula?
“Sekarang aku dah tak ada masa untuk keluar lagi, nak tinggalkan kampung ni pun dah rasa berat. Tanggungjawab pun dah ada. Lebih baik terus hidup di sini, banyak peluang sebenarnya.”
“Kita semua pun ada tujuan sendiri… Kalau aku nak bangunkan perniagaan sendiri, jadi inilah masanya kan?”
Bagaimana perubahan jadual harian kau semasa pandemik?
“Selalunya, pukul 7 aku dah keluar cari rumput kambilng sampai pukul 9. Lepas tu bagi makan ayam dalam sejam dua. Lepas tu free, kau boleh buat kerja lain, berkebun ke… Tu yang aku tanam pisang semua.”
Adakah cara kau pandang kampung kelahiran masih sama setelah berhijrah ke tempat orang?
“Aku lihat suasana kampung masih sama, cuma pada diri aku je berbeza. Banyak bezanya.”
“Dulu senang ada duit, jarang belajar bersyukur. Sekarang di kampung tak adalah banyak duit, tapi aku lebih banyak belajar tentang bersyukur.
“Pasal suasana kampung, tak ada beza, tapi diri aku sendiri, banyak bezanyalah. Aku banyak belajar untuk rasa bersyukur dengan rezeki yang ada.”
“Dulu aku kerja singapura, gaji 5 6 ribu, tapi tak pernah rasa cukup. Duit asyik habis. Duduk kampung, hidup tak adalah bermewah-mewah, tapi bahagia. Semua cukup, semua ada. Kawan-kawan pun semua ada sini.”
Ada apa-apa nasihat untuk orang-orang di luar sana yang mungkin tertimpa masalah sama seperti kau semasa pandemik ini?
“Kita kena buka minda kita dari rasa putus asa, cari jalan untuk berjaya. Sekarang nak kata aku berjaya pun tak juga, tapi jalan untuk berjaya tu nampaklah.”
“Dekat kampung ni banyak peluang sebenarnya. Tinggal kita kena rajin sikit.”
“Untuk aku sendiri, nak makan, beli rokok, semua cukup pun ok-lah, nak kejar apa lagi?”