Stencil ‘Kerajaan Gagal’ di Taiping, Benarkah Ini Masalah Moral?

Oleh: Iltizam Iman

Tulisan ini ditujukan buat kawan-kawan yang menyatakan rasa tidak setuju pada tindakan Paley di Taiping. Buat yang cuma tahu maki-hamun saja, mampus kaulah Bang.

Sekarang ini kita dapat faham kemarahan sebahagian besar orang Taiping timbul sebab:-

1) tak menghormati karya kawan
2) mencemarkan karya yang orang awam suka
3) mencemarkan infrastruktur yang orang guna
4) punca tenggelamnya isu #KerajaanGagal
5) tindakan tak berstrategi.

Tapi sejujurnya itu tak cukup untuk hukum Paley salah semuanya. Sefaham aku 5 point di atas landasannya hanyalah hukum moral, etika dan norma.

Tapi kalau gunakan hujah moral sebagai landasan sekalipun, segala kebaikan dan manfaat yang pernah Paley buat sebelum ni juga sepatutnya perlu diambil kira untuk beri keputusan waktu sekarang. Janganlah jadi moralis untuk jelaskan hal yang salah saja, tapi hal yang baik/betul ditolak tepi dari pertimbangan.

Konsep street art yang semua orang tahu adalah merespon terhadap ruangan awam (kalau tak nak anggap itu ‘art’, anggap jelah itu suara yang disampaikan melalui ruangan awam yang menggunakan satu kaedah spesifik untuk menulis atau menconteng). Boleh jadi kesannya baik, boleh jadi tidak. Boleh jadi cantik, boleh jadi tak.

Peranan Paley dalam masyarakat adalah seorang artis. Fungsi artis adalah mengetengahkan suara. Artis boleh cipta gangguan secara provokatif, tak semestinya dalam bentuk yang indah-indah saja. Stencil #KerajaanGagal ni adalah suara yang ‘meluah’, bukan ajakan yang mencari ‘sokongan’. Jadi respon dari orang ramai, baik yang menyokong atau tidak, memanglah dia kena hadap nanti.

Sebab tujuannya adalah untuk menghidupkan suara, membuatkan orang bersuara. Yang penting, adalah suara. Kerana secara sihat, akhirnya suaralah akan wujudkan perbahasan ilmiah antara yang setuju dengan yang tidak.

Kalau betul kita semua fikir isu kerajaan gagal ni serius, maka pakar-pakar seni perlu keluar, pakar bahasa perlu keluar, pakar psikologi perlu keluar, dan segala pakar perlu keluar untuk berbahas dan berpendapat. Tapi kalau kita rasa pakar-pakar ni tak perlu keluar, buang masa, silaplah kita membakul-sampahkan potensi pembangunan masyarakat yang kita boleh kecap.

Kita tak tahu macam mana nak sama ratakan semua orang supaya bertindak sama dan bersetuju ikut satu cara. Itu mustahil. Sebab kerajaan gagal adalah alasan utama kenapa dia ditangkap, vandalisme tu cuma alasan kukuh kenapa dia perlu/boleh ditangkap.

Kita boleh kata matlamat tak menghalalkan cara, jadi kita boleh kata juga cara pun tak menghalalkan matlamat. Berapa lama dah kita ditekan-tekan dengan hujah-hujah moral yang mandul yang akhirnya mematikan semangat terdalam manusia? Contoh, orang miskin kena lebihkan bersyukur, taat pada majikan, jangan komplen kerajaan etc etc… Doktrin-doktrin moral mandul macam nilah yang akhirnya melahirkan tindakan-tindakan kurang ajar. Kan?

Jadi kalau artis dan aktivis tak gunakan ruang ini untuk berbahas dan angkat budaya wacana seni secara kritikal, kalau artis aktivis hanya tahu mengiyakan saja hujah-hujah yang membodohkan Paley dan sokongan solidariti dari kawan-kawanya (mungkin sebab faham kenapa orang marah), maknanya kita tak perlu tindakan-tindakan kecoh macam ni pun artis dan aktivis boleh melingkup dalam keadan rilek2.

Tapi dekat sinilah fungsi wacana seni, dekat sinilah perbahasan dan perbincangan ilmiah yang ‘real’ dapat berjalan. Lepas kejadian2 seperti inilah pemikiran artis, aktivis dan orang ramai semakin terasah, debat dapat berjalan, aktiviti dapat bergerak, dan apa2 strategi pembangunan komuniti dapat dikukuhkan.

Mungkin kalau kita fikir kekacauan ini akan semakin memusnah dan merosakkan komuniti, pertimbangkan semula. Mungkin kita lupa, semua benda harmoni dan baik juga bermula dengan kekacauan. Baik hal-hal psikologi, baik hal-hal kebendaan. 14 billion tahun lepas, bumi dan segala isinya juga tak tercipta dalam keadaan yang rilek-rilek dan indah-indah. Apatah lagi pembangunan sejarah peradaban, pembebasan masyarakat tak pernah tercapai melalui kepatuhan.

Tindakan Paley di Taiping dan geng motor di Parit Raja itu adalah kekecohan yang menjadi tanda awal perubahan masyarakat. Sebab, sekarang ini siapa je pembangkang yang paling kuat untuk kerajaan? Tak ada dari parti pun, pembangkang paling kuat adalah masyarakat sendiri.

Walaupun gerakan masyarakat masih tidak berstrategi dan tersusun rapi, suara terpecah-pecah, tapi parti politik yang menjadi pembangkang paling kuat selama ini hanya sempat ambil kesempatan saja. Mereka tak ada langsung kekuatan untuk bergerak secara organik seperti masyarakat sekarang ini. Kita tak nak sekali lagi parti politik sabotaj dan alihkan ‘kebangkitan rakyat’ kepada ‘pertukaran parti’. Alihkan ‘usaha mandiri rakyat’ menjadi ‘jasa budi parti’.

Jadi untuk aku isu paling kritikal bukan moral etika, atau stencil tu tak kena tempat dan gaya. Tapi isunya lepas ni apa? Punca sebenarnya apa? Bagaimana timbulnya fenomena kerajaan gagal? Apa yang perlu dibuat? Apa yang perlu kita jangka? Adakah wujud kekeliruan sebalik kejadian ini? Kenapa Paley bertindak begitu? Dan beberapa lagi soalan penting selain yang sudah terjawab “kenapa orang marah Paley?”.

Aku tak kenal Paley secara dekat, tapi sefaham aku, latar belakangnya dikelilingi oleh kawan2 yang bersemangat, mempunyai prinsip pemikiran yang langsung tak mahu dijajah dan ditindas, dalam masa yang sama juga dia banyak mendekati buruh, pekerja kilang dan gelandangan. Jadi, ikut pendekatan moral, sejauh mana kita faham apa yang berlegar dalam jiwa Paley sebelum kita justified perbuatan dia?

Aku percaya, kalau orang boleh terganggu sampai macam ni sekali dengan kerja-kerja Paley, maknanya dia juga mampu masuk ke dalam fikiran orang ramai untuk isi dengan hal-hal kesedaran dan kebaikan juga. Sebelum ini, berapa banyak kerja-kerja masyarakat yang Paley dah buat? Berapa banyak projek-projek seni yang kemas dia buat? Kerja-kerja yang membina/membangun dia buat sebelum ni perlu diambil kira, sebab dia bukan ahli masyarakat pasif yang tak menyumbang apa-apa, yang ikut telunjuk orang tak sudah.

Kalau nak kata strategi dia salah pun, modus operandi apa yang sebenarnya kita sepakat untuk bergerak/bersuara? Kita tahu pergerakan orang ramai terbangun secara organik, spontan, bukan dibuat-buat, sepenuhnya atas suka rela. Jadi, suka tak suka inilah fasa-fasa awal perubahan.

Tak mungkin pergerakan masyarakat dapat terbangun tanpa konflik dalaman (dalam tubuh masyarakat itu sendiri). Maka, sesiapa saja yang faham strategi, waktu nilah untuk dikempen-ajarkan pada yang tak faham atau pada sesiapa yang dirasakan salah strategi. Sekadar faham dan jelaskan kenapa orang marah, tak cukup.

Memang ada sebahagian orang yang tak suka dengan kekacauan, tapi perubahan masyarakat mana yang tak ada konflik? Kalau nak tunggu semua orang ready happy go lucky tak gaduh-gaduh baru perubahan boleh datang, memang sampai bila-bila perubahan takkan terjadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *