Tumpang Moreh – Menyatukan Komuniti Muda

KEMPAS, 1 Mei 2021 – Semalam, pelancaran Tumpang Co-Working Space JB telah berlangsung dengan baik, aman dan sejahtera. Tumpang Moreh adalah sebuah acara pelancaran Tumpang Co-Working Space JB, di Taman Kempas Indah. Mengambil semangat bulan Ramadan, konsep ‘moreh’ dan budaya lepak santainya sambil menjamu selera diambil menjadi latar belakang suasana di sini.

Acara ini mendapat sambutan terutamanya dari kalangan anak muda, seniman dan aktivis masyarakat. Ammar Tukijan, salah seorang penggerak bersama Tumpang Co-Working Space, menyatakan tujuan utama Tumpang Co-Working Space adalah untuk menyatukan komuniti di Johor melalui perkongsian ruang dan aktiviti.

‘Penyatuan’ ini sikit-sebanyak dapat dikesan dalam kepelbagaian latar belakang para hadirin yang hadir semalam; ada pekebun, pereka grafik, penulis, tukang kopi, tukang masak, penjual buku, peniaga kecil, skaters, jurutera dan pemuzik.

Ammar menambah, penyatuan komuniti ini terjalin dalam keadaan yang sangat organik, di mana pergerakan komuniti tempatan yang sedang terbentuk bukanlah satu pergerakan yang dibuat-buat atau olok-olok. Ia adalah pergerakan yang sudah tidak dapat ditahan-tahankan lagi. Tambahan, suasana malam semalam memang tidak lekang dari perbincangan serius yang mengacu kepada pengukuhan komuniti setempat dan jaringan antara komuniti.

Acara malam semalam dimulakan dengan persembahan dari seniman-seniman tempatan. Kicau-Bilau membuka gelanggang dengan membawa bunyi-bunyian eksperimen Nusantara yang menyuntik rasa damai dan sejahtera ke dalam hati para hadirin. Seterusnya, persembahan akustik dari Seakan Bintang menyusul menambah semangat dan merancakkan lagi suasana Tumpang Moreh.

Selain itu, menu moreh yang dihidangkan oleh pihak penganjur adalah menu tradisi Ramadan di Johor. iaitu nasi ambeng dari Ambeng Truck, lemang dan rendang dari Warung Orkes, kuih muih dari Kueh.co dan kek kukus serta biskut dari Natafood.

Untuk minuman, air tangan Ngombe melayani penggemar teh tarik manakala Kopi Dirgahayu, menyantuni selera penggemar kopi tanpa gula. Teh dan kopi sememangnya telah sebati dalam budaya kita. Tambahan, budaya teh dan kopi bukanlah budaya yang senang dipisahkan dari budaya bincang-buku.

Bagi melengkapkan majlis, terdapat juga buku-buku ilmiah yang dibawa oleh Baris Kata Bookstore. Di sini saya lihat banyak berlakunya perbincangan ilmiah di antara para hadirin, dari satu topik ke satu topik yang lain, dari satu kumpulan ke kumpulan yang lain.

Terakhir, Tumpang Moreh adalah sebuah acara komuniti anak muda Johor yang berpotensi untuk membangunkan masyarakat, di mana dalam masa beberapa tahun lagi keberadaan komuniti ini pasti akan mengubah landskap pergerakan masyarakat di Johor.

Menurut Aboy, salah seorang hadirin yang ditemu-bual semalam, percaya bahawa Tumpang Co-Working Space akan memberi ruang baru untuk masyarakat sekitar terutamanya mahasiswa untuk menyiapkan tugasan mereka dalam persekitaran yang lebih baik dan membina.

“Paling kurang, mahasiswa tak perlulah bersusah-payah siapkan assignment kat McD yang suasananya tidak mesra mahasiswa.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *