UTHM: Program Kompos Sisa Makanan Bulan Ramadan 2021

PARIT RAJA – Sebagai sebuah usaha untuk mengurangkan masalah sisa sampah di bulan Ramadan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah tampil bersama SWM Environment Sdn Bhd membawa projek pengkomposan sisa makanan baru-baru ini.

Program tersebut telah dilancarkan sejak hari pertama Ramadan. Ketua Projek, Prof Madya Dr Noor Yasmin Zainun berkata program ini bertumpu kepada empat tapak Bazar Ramadan yang menghasilkan sisa sampah terbanyak di dalam daerah Batu Pahat iaitu Bazar Ramadan Pesta, Bindu, Tmn. Universiti dan Parit Raja.

Sumber: Astro Awani

Menurut Beliau, projek pengkomposan ini penting kerana jumlah pembuangan sampah ketika bulan Ramadan meningkat sebanyak 3 kali ganda berbanding di hari biasa.

“Program Pengurusan Sisa Makanan ini turut dilaksanakan bersama komuniti di bazar Ramadan bagi memberikan kesedaran kepada mereka.

“SWM menyediakan tong sampah khas untuk program ini dan sisa makanan yang dikutip kemudiannya dibawa ke Pusat Penyelidikan Sisa Pepejal (PPSP) di UTHM untuk diuruskan oleh syarikat terbitan UTHM iaitu SWIDWEB Solutions,” kata beliau kepada pemberita semalam.

Tambah beliau lagi, yang juga sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, UTHM melaksanakan projek berkenaan setelah mendapati Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mendedahkan terdapat kira-kira 10,000 tan sisa organik dan plastik dibuang di Semenanjung Malaysia setiap hari dalam bulan Ramadan.

“Sebenarnya proses percubaan projek ini telah bermula sejak Februari lepas melibatkan beberapa kawasan perumahan di sekitar UTHM, Cuma kali ini fokusnya adalah bazar Ramadan.

“Di unit PPSP UTHM ini, sisa makanan dikumpul akan diproses bagi menghasilka larva lalat dikenali sebagai ‘Black Soldier Fly Larvae’ yang berfungsi sebagai makanan kepada ikan dan juga boleh dijadikan sebagai baja organik.

Sumber: sciencedirect.com

“(Ia) Sejenis lalat yang bukan vektor, iaitu tidak membawa penyakit. Larva lalat ‘black soldier’ ini akan diletakkan dalam sisa makanan dan ia akan makan sisa itu. Selepas 7 hingga 14 hari, akan terhasil baja organik tanpa bahan kimia.

“Larva itu sendiri menjadi alternatif untuk makanan ternakan seperti unggas dan ikan.

Sumber: petfoodindustry.com

“Sekarang ini di Malaysia, sebanyak 500 tan sisa setiap hari dan daripada jumlah itu, hanya lima peratus sahaja yang boleh dikitar semula. Paling banyak adalah sisa makanan,”

Tambahan, perkampungan di sekitar Batu Pahat rata-ratanya masih lagi belum diterapkan sistem pengurusan sampah yang baik. Penduduk masih lagi mencampurkan sisa organik dan plastik, melupuskan sisa plastik menggunakan kaedah pembakaran atau tanam yang mana ia bukanlah satu kaedah mesra alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *