Anarkisme Menurut Chomsky

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Tokoh pemikir anarkisme kontemporari yang saya kira masih berpengaruh pada hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah Noam Chomsky. Pengaruh Chomsky pada hemat saya bukan sahaja kesan dari penulisan bukunya yang begitu produktif, tetapi juga kerana sifatnya yang menjadi “public intellectual”, iaitu sosok intelektual yang tidak hanya eksklusif dalam tulisan jurnal kajian, tetapi aktif memberi syarahan dan wawancara. Pemikiran beliau boleh diakses bukan sahaja melalui tulisan, tetapi dari pelbagai rakaman syarahan yang boleh diakses percuma di internet.

Chomsky ada menulis buku yang bertajuk “On Anarchism” yang pernah diterbitkan oleh Penguin pada tahun 2014. Buku ini mendapat nafas baru apabila dialih bahasa ke dalam bahasa Melayu oleh BNDRHTM dan diterbitkan oleh Republik Buku pada tahun ini. Namun penulisan ini bukanlah risensi kepada buku ini, baik yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris ataupun Melayu. Sebaliknya tulisan ini merupakan olahan semula kuliah, wawancara, dan syarahan oleh Chomsky yang pernah saya dengari sejak beberapa tahun yang lalu.

Bagi Chomsky, penerimaan gerakan kiri terhadap idea bahawa manusia merupakan produk sejarah hasil dari persekitaran mereka adalah satu tragedi. Idea ini menafikan keberadaan sifat semulajadi manusia yang punya daya kreatif dan keinginan untuk hidup bebas. Hasilnya manusia diprogramkan untuk hidup melalui arahan-arahan dari badan berpusat seperti central committee. Dalam bidang sains sosial, jarang sekali untuk kita temui jangkaan atau tilikan yang menjadi kenyataan, tetapi bagi Chomsky, apa yang pernah ditilik oleh pemikir anarkis lalu, Mikhail Bakunin adalah begitu dramatik apabila tilikannya menjadi kenyataan hari ini.

Ketika berselisih idea dengan Karl Marx, Bakunin menilik bahawa dengan naiknya kelas pemikir pada era perindustrian, mereka ini akan pergi kepada dua arah. Yang pertama, mereka yakin bahawa dengan perjuangan bangsa pekerja, mereka dapat merampas kuasa negara ke tangan mereka sendiri. Mereka akan menjadi birokrasi tersendiri dan menjadi satu bentuk tirani yang paling brutal dalam sejarah manusia. Dalam masa yang sama mereka akan menggunakan nama untuk “memperjuangkan bangsa pekerja”. Yang kedua adalah mereka yang merasakan mereka perlu bekerjasama dengan kapitalisme, menjadi pekerja kepada kapitalisme, dan mendapat kuasa hasil jawatan-jawatan yang ditawarkan. Mereka ini akan memerintah manusia menggunakan nama “demokrasi”. 

Bagi Chomsky, tilikan Bakunin ini adalah kenyataan hari ini. Di satu pihak kita melihat mereka yang menggunakan “perjuangan popular rakyat” untuk mendapatkan kuasa seperti apa yang dilakukan oleh Bolshevik, mereka ini menjadi tirani baru. Dan yang kedua mereka yang bekerja dan menggabungkan diri dengan kapitalisme yang sudah mempunyai kuasa ekonomi dan mampu mendominasi. Bagi Chomsky, kedua-dua arah ini adalah perkara yang sama dengan bentuk yang berbeza, ia bukan transisi kepada bentuk politik baru. Kedua-duanya membahagikan masyarakat kepada dua kelas. Kelas pertama adalah masyarakat kebanyakan yang dianggap kolot dan tidak mampu berfikir sendiri, mereka perlu diperintah, tugas mereka adalah untuk memunculkan diri selang beberapa tahun untuk memilih kelas pemerintah. Kelas kedua adalah mereka yang pandai, yang akan berfikir dan merencana, mereka adalah golongan yang perlu memerintah.

Chomsky pernah ditanya perihal siapakah tokoh pemikir anarkis yang paling penting. Dalam kepala anda mungkin anda akan membayangkan sosok seperti Bakunin, Proudhon, Kropotkin atau Emma Goldman. Tetapi bagi Chomsky pemikir anarkis yang paling penting adalah petani miskin dan buta huruf di Sepanyol pada tahun 1936 yang berjaya mewujudkan kehidupan masyarakat anarkis. Mereka bukanlah masyarakat yang wujud secara tiba-tiba, mereka berjuang, tewas, cuba pelbagai cara dan akhirnya berjaya pada tahun pertama Revolusi Sepanyol. Kejayaan mereka ini ditakuti oleh semua bentuk kekuasaan. Ia merupakan satu yang menakjubkan bagi Chomsky apabila semua kuasa ini mengenepikan perbezaan ideologi mereka, baik fasis, komunis, atau demokrasi-liberal, untuk menghancurkan kejayaan anarkis ini.

Terma-terma yang digunakan dalam politik sangat susah untuk dimuatkan dalam satu definisi, seperti sosialisme, komunisme, liberal-demokrat, kapitalisme, ini kerana ia mempunyai bentuk dan kefahaman yang berbeza dalam masyarakat dan generasi yang berbeza. Selain itu, terma-terma ini seringkali diburukkan oleh musuh ideologi mereka. Hal yang serupa juga terpakai dalam usaha mendefinisikan anarkisme. Untuk menjawab apa itu anarkisme, bagi Chomsky ia lebih bermanfaat dilkukan dengan kita menganalisa idea-idea asasnya dari pemikir-pemikir anarkis, idea-idea ini merupakan idea yang kaya, kompleks, dan sering kali berlawanan antara satu sama lain. 

Chomsky memetik idea yang dikemukakan oleh pemikir anarkis German, Rudolf Rocker. Bagi Rocker, anarkisme bukanlah satu sistem sosial yang statik dan tertutup, anarkisme bukanlah jawapan kepada semua masalah yang dihadapi manusia dalam kehidupan mereka, tetapi anarkisme adalah satu gelombang dalam perkembangan sejarah manusia yang berjuang untuk memberi kebebasan tanpa halangan kepada pembangunan dan perkembangan individu dan masyarakat dalam kehidupan. Menurut Chomsky, idea ini bukanlah original dari Rocker, sebaliknya ia berkembang dari pemikiran dari zaman Enlightenment juga zaman awal Romantik.

Oleh itu, menurut Chomsky, bagi anarkisme, mana-mana institusi yang menghalang perkembangan dan pembangunan individu dan masyarakat tidak mempunyai legitimasi, kecuali jika mereka mampu memberi justifikasi. Anarkisme adalah satu sifat manusia yang bertanya kepada mana-mana struktur, hiraki, dominasi, dan authoriti, adakah mereka mempunyai legitimasi, apakah justifikasi bagi legitimasi mereka. Jika mereka tidak dapat memberi justifikasi akan legitimasi kewujudan mereka, mereka perlu dirobohkan, dan dibina semula dari bawah. Namun perkara ini diakui Chomsky, mudah diperkatakan tetapi sukar dilaksanakan.

Menurut Rocker lagi, anarkisme berusaha untuk membebaskan pekerja dari eksploitasi ekonomi dan masyarakat dari penguasa, dari pembebasan ini melahirkan kerjasama antara kumpulan lelaki dan wanita yang bebas merdeka berasaskan sistem pekerjaan koorperatif juga pelan administratif bersama bagi memenuhi keperluan komuniti. Idea Rocker ini menurut Chomsky, tidak banyak bezanya dengan idea demokrasi seperti yang diketengahkan oleh John Dewey, walaupun Dewey bukanlah seorang anarkis malah merupakan tokoh pemikir arus perdana.

Anarkisme terkenal dengan kefahamannya yang menentang negara, namun dalam banyak keadaan, Chomsky mengetengahkan bagaimana banyak suara anarkis yang menyokong polisi kuasa negara dalam memelihara individu dan alam sekitar. Sementara ramai yang mengetengahkan perkara ini sebagai percanggahan, Chomsky berpendapat bahawa ia bukan percanggahan, kerana kita hidup di alam realiti bukan imaginasi, jadi setiap cara yang ada perlu digunakan untuk memelihara manusia dan alam walaupun dalam jangka masa panjang kita mahu menggantikan sistem sedia ada dengan alternatif lain. Anarkisme menurut Chomsky, menentang bentuk negara sedia ada, bukan negara demokratik yang diperintah oleh rakyat.

Pada pendapat saya, dalam spektrum politik, anarkisme sering dikategorikan sebagai fahaman kiri, serumah dengan sosialisme dan komunisme. Mereka punya banyak persamaan seperti sokongan kepada polisi progresif juga perlawanan menentang kapitalisme. Namun ada jurang falsafah antara mereka. Anarkisme lebih mengutamakan perkembangan individu, kolektif kecil dan daya kreatif mereka, anarkisme tidak bersetuju akan perkara ini dikorbankan atas nama “hak sama rata” atau atas nama hak pekerja, bagi anarkisme diktator proletariat tidak lebih baik, malah mungkin lebih teruk dari diktator kapitalisme. Dikotomi antara kebebasan individu dan hak sama rata ini saya kira akan berterusan sepanjang sungai zaman.

Jika anda merasakan takrifan Chomsky perihal anarkisme ini berbeza dengan takrifan anarkisme yang anda sudah sedia maklum atau pegang, usahlah gelisah. Kerana seperti yang sudah dibentangkan, definisi terma ini boleh sahaja berbeza malah mungkin berlawanan antara satu sama lain. Ia adalah cerminan kreativiti manusia yang mempunyai corak warna pemikiran yang berbeza. Malah dalam sungai sejarah sendiri, anarkisme punyai pecahan mereka yang tersendiri seperti anarko-syndicalisme, anarko-kolektivisme, malah ada anarkis yang punya fahaman agama. Melalui Chomsky, pada saya, anarkisme adalah sifat semulajadi manusia yang bertanya kepada sesiapa pun yang memberi perintah kepada kita, apa justifikasi mereka?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *