Hj. Nawi & Catatan Awal Sejarah Parit Jelutong, Parit Raja.

Oleh: Iltizam Iman Abd Jalil

Hj. Nawi bin Hj. Nasir, ayah kepada nenek saya Hjh. Asmah Hj. Nawi (Mak Tok). Cerita Mak Tok, arwah Tok Nawi ni datangnya dari Siam. Dia mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain, dan akhirnya menetap dan meninggal di Parit Jelutong.

Orangnya rajin bekerja, pandai berniaga. Umurnya panjang, dekat 100 tahun baru meninggal.

Semangat rasa bila dengar kisah hidup beliau. Sebagai seorang petualang, dari Siam dia mengembara satu tempat ke satu tempat yang lain untuk membangunkan kehidupan. Baik kehidupan peribadi, baik kehidupan komuniti. Modal asas untuk dia teruskan kehidupan, hanyalah akal dan kudrat empat kerat.

Dia sampai sini dengan tangan kosong, kerana sebelum itu pernah melarikan diri sehelai sepinggang kerana nak dikahwinkan oleh bapa angkatnya. Huhu

Ada satu kisah yang Mak Tok selalu cerita. Waktu itu Tok Nawi tiada apa-apa, hanya buat kerja ambil upah di Estet Tanjung Semerong (berseberangan jalan Parit Jelutong). Satu hari, kisahnya ada sebuah parit tersumbat penuh dengan tahi yang tak mahu diuruskan oleh sesiapa. Jadi dia mengambil tugas tersebut. Ya, satu tender untuk memberihkan parit yang penuh dengan tahi manusia.

Tapi akalnya panjang, untuk uruskan tahi-tahi yang tersumbat tu pun ada timing dia. Kena tunggu waktu hujan lebat. Bila hujan lebat, air mengalir deras, lubang-lubang yang tersumbat mudah untuk ditembus dan dibersihkan, kesan bau juga akan berkurangan, proses kerja juga jadi jauh lebih cepat.

Sejak dari tu, dia sangat dipercayai dan rezeki menjadi semakin melimpah-ruah. Mungkin itulah hasil apabila kita berbudi pada komuniti, hidup akan sentiasa dipermudahkan walaupun di saat-saat yang sukar.

Pada tahun 1930’an, Parit Raja belum lagi benar-benar membangun, manakala Parit Jelutong adalah pusat masyarakat yang utama. Dulu Parit Jelutong digelar sebagai pekan, bukan kampung. Kerana seawal tahun 1910’an lagi perumahan estet British dah bertapak di Tanjung Semerong, berhadapan Kampung Parit Jelutong.

Di Tanjung Semerong ini juga terdapatnya pelabuhan kecil untuk sampan-sampan penduduk dan di situ juga ada pasar niaga yang aktif.

Dalam laporan Berita Harian pada 7 Disember 1971 yang saya dapat dari seorang sahabat ahli sejarah, Azlan Sharif, bertajuk “10,000 tunggu janji Kerajaan Utk Bena Jambatan Tg. Semerong”, juga memanggil Parit Jelutong ini sebagai ‘Pekan Jelotong’.

Surat-surat Abah pada tahun 70’an juga masih beralamatkan Pekan Jelutong, bukan kampung.

Jalan masuk Kg. Parit Jelutong

Menurut Abah, Tok Nawi adalah antara orang yang membuka Kampung Sri Paya dan pernah menjadi ketua kampung di situ. Lepas tu segala pengurusan diserahkan kepada orang kampung dan dia berpindah ke Parit Jelutong. Tanah pertama di Parit Jelutong yang dimiliki oleh dia betul-betul berada di pintu masuk kampung, dan sekarang diuruskan oleh anak-anaknya.

Di atas tanah ini, dia membangunkan deretan rumah kedai kayu dua tingkat bersama Wak Kaliman, Wak Sarip, Wak Manan dan beberapa orang yang lain sekitar penghujung 1920’an atau awal tahun 1930’an.

Mak Tok yang lahir pada tahun 1938, bagitahu bahawa rumah kedai dua tingkat tersebut telah sedia ada semenjak dia kecil. Kalau tak salah, rumah kedai ini adalah pemulaan terbangunnya Pekan Jelutong sebelum ia dikenali sebagai Kampung Parit Jelutong.

Aktiviti masyarakat di Pekan Jelutong rancak berjalan hingga beberapa puluh tahun selepas itu. Ada bengkel, kedai mas, kedai runcit, kedai kain songket, tempat komuniti berniaga, melepak dan banyak lagi. Selain itu, di sini juga rancak dengan pergerakan politik.

Tapak awal deretan kedai 2 tingkat di sepanjang parit (kira-kira 100 meter) yang menjadi pusat komuniti Pekan Jelutong

Menariknya, di rumah kedai ini bukan saja kuat dengan gerakan kanan seperti UMNO. Tetapi pejabat gerakan PRM (Parti Rakyat Malaya) juga ada di deretan rumah kedai ini. Baru saya tahu, dulu masyarakat tempatan bukan saja dipelopori oleh idea-idea kanan, tetapi juga kuat dengan idea-idea kiri Sosialisme.

Penggerak-penggerak Barisan Sosialis Rakyat Malaya pernah bertapak kuat di sini, sebelum mereka dilemahkan akibat diburu, ditangkap dan sehingga ada yang terpaksa lari meninggalkan anak bini sampai ke Terengganu dan terus menetap di sana hingga ke penghujung hayat.

Tapi sejarah bertulis tentang pembangunan dan kejatuhan Barisan Sosialis Rakyat Malaya di sini sangat susah untuk dijumpakan, semuanya oral. Mungkin PSM ada maklumat berkaitan ini.

Berbalik pada Tok Nawi, selain menyumbang tenaga untuk bangunkan deretan rumah kedai, dia bersama penduduk yang lain juga telah beberapa kali membuka pasar di sini. Abah cerita, dia masih ingat waktu hari perasmian pasar tersebut (mungkin pasar fasa ke-2) dipenuhi dengan pesta keramaian yang meriah dengan bunyi gendang, pencak silat dan acara-acara lain.

Di pasar inilah Mak Tok beli kain dari Hj. Senawi, seorang peniaga pasar, untuk dijahit buat baju dalam (singlet) dan diedarkan oleh Wak Ladam seorang penduduk yang bekerja sebagai pemandu teksi. Katanya laku keras, sampai tak cukup kain. Dan Mak Tok juga ada buat gubahan bunga untuk hantaran kawin.

Selain tu, Tok Nawi juga mengamal konsep jual beli tanah dengan harga yang mampu milik yang tujuan utamanya untuk membantu orang lain sama-sama membangunkan kampung. Nilai harga tanah diputuskan mengikut kemampuan, tiada harga yang tetap.

Dia membeli tanah dari orang-orang yang mahu menjual tanah kerana memerlukan duit, dengan harga yang diperlukan oleh orang tersebut. Dia juga menjual tanah kepada kepada orang-orang yang memerlukan. Dengarnya dia ada jual beberapa tanah dengan hanya beberapa puluh ringgit. Macam susah nak percaya.

Menarik bagaimana hubungan orang-orang dulu boleh membangunkan kehidupan secara bersama-sama. Duit, hanya sekadar akad, kehidupan yang terbangun selepas itu adalah nilai hakikinya.

Saya fikir inilah kepentingan untuk menggali semula sejarah penempatan kita, tak kiralah di mana-mana, bukanlah untuk dinostaligakan, tapi untuk menemukan kembali cara hidup masyarakat yang lebih lestari.

Sebenarnya banyak lagi yang Mak Tok dan Abah cerita pasal Tok Nawi, cuma ada penceritaannya masih belum dapat disusun mengikut kronologi yang jelas. Jadi, ada masa nanti saya sambung lagi.

 

Iltizam Iman Abd Jalil
Anak Jati Kampung Parit Jelutong

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *