Ahmad Boestamam: Sejarah Perjuangan Nasionalisme Rakyat

Oleh: Iltizam Iman Abd Jalil

“Selama lebih dari 5,745 hari telah direbahkannya dalam penjara. Selama ribuan hari lagi dipikulnya dalam beban rasa, dan kesulitan kehidupan bersama keluarga. Namun, tidak ada perkataan menyerah untuknya. Ahmad Boestaman-putera besar tanah air adalah contoh dari suatu kegigihan dan API yang dinyalakannya dulu, kini telah menjadi unggul sejarah yang tidak kunjung padam.”

(Usman Awang, Dewan Sastera, April 1983)

1920: Kehidupan Awal

Raja Kechil yang berasal dari Luhak Tanah Datar di Sumatera Barat, telah datang ke negeri Perak lalu membukan perkampungan di Behrang Ulu. Di situ, beliau telah menikah dengan Rasiah Binti Haji Abdul Gani dan dikurniakan lima orang anak. Salah seorangnya, dan merupakan satu-satunya anak lelaki mereka, diberi nama Abdullah Thani[1].

Abdullah Thani Bin Raja Kechil atau lebih dikenali sebagai Ahmad Boestamam, adalah seorang aktivis politik anti-penjajah Inggeris di Malaya. Dilahirkan sebagai anak petani pada 30 November 1920. Mendapat pendidikan awal pada umur 6 tahun di Sekolah Melayu Behrang Ulu, kemudian memasuki Anderson School di Ipoh pada 1933. Beliau menamatkan darjah 5 dengan cemerlang dan mendapat Gred 1 dalam peperiksaan Kelas Melayu Khas (SMC – Special Malay Class).

1937: Kerjaya Dalam Kewartawanan

Walaupun prestasinya cemerlang, tetapi dunia penulisan lebih menarik perhatiannya berbanding belajar untuk berdepan dengan ujian sekolah. Dunia penulisan beliau bermula dengan kiriman-kiriman tulisannya kepada akhbar Saudara, Warta Malaya dan Majelis. Pada 1937, sewaktu masih di alam persekolahan, beliau memulakan kerjaya kewartawanannya dengan bekerja di Warta Perak selepas itu di Warta Kinta pada Mei 1938.

Selepas tamat sekolah pada 1939, kerjayanya dalam bidang kewartawanan bermula dengan akhbar Saudara di Pulau Pinang, kemudian Warta Kinta di Ipoh, Majlis di Kuala Lumpur, Utusan Melayu dan Warta Malaya di Singapura. Disebabkan itu beliau bertemu dengan tokoh-tokoh wartawan yang lain yang berjuang demi kemerdekaan Malaya seperti Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji muhammad (Pak Sako).

Bidang kewartawanan ini juga telah menarik beliau ke dalam arus pergerakan nasionalisme Melayu yang telah lebih awal bermula pada tahun 1930’an. Pandangan, pendapat dan buah fikirnya bertalu-talu diberikan bagi memperjuangkan keadaan ekonomi, masyarakat dan politik orang Melayu yang sedang ditekan kerajaan British ketika itu. Buah-buah fikir yang dilontarkan beliau juga senada dengan buah-buah fikir pejuang-pejuang yang lain seperti Pak Sako, Dr. Burhanuddin al-Helmy dan lain-lain. Mereka memiliki harapan yang sama, iaitu memajukan fikiran dan ekonomi orang Melayu.

Kegiatan politik Boestamam menjadi penting dalam sejarah kemerdekaan Tanah Melayu bermula dengan penglibatannya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM). Ketika itu, beliau dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Setiausaha kesatuan. Semasa itu juga beliau bertugas sebagai pemberita khas bagi akhbar Majlis di Kuala Lumpur, sebuah penerbitan akhbar yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob. Sebagai seorang yang menjadi orang keempat yang penting dalam organisasi yang bertindak sebagai ejen Jepun, beliau dipandang amat bahaya buat kerajaan British. British menganggap Boestamam adalah seorang aktvis politik anti-penjajah yang berkemampuan besar.

Seperti mana yang digambarkan oleh Jaafar Hussin, Ketua I PKMM Daerah Temerloh, Boestamam adalah seorang pemimpin yang berjiwa radikal dan seorang yang kuat mendokong revolusi, sesuai dengan jawatan beliau sebagai Panglima Tertinggi API. Beliau digambarkan sebagai seorang pemimpin yang bertubuh sasa, berjanggut, bermisai lebat dan berambut panjang macam Tarzan. Seiras seperti perwatakan Bung Tomo di Surabaya, seorang tokoh gerila Indonesia[2].

1937: Persatuan Melayu Perak (PMP)

Persatuan Melayu Perak (PMP) adalah organisasi yang menjadi batu loncatan Boestamam di dalam pergerakan kemerdekaan. PMP ditubuhkan pada 18 September 1937 sebagai salah satu pertubuhan masyarakat yang bergerak di Kinta, Ipoh, Perak. Kumpulan ini tertubuh hasil dari perjumpaan 104 orang yang diadakan di Dewan Bandaran Ipoh. Di dalam persatuan ini, Ahmad Boestamam berperanan sebagai ahli biasa.

PMP memiliki tujuan utama untuk meningkatkan taraf pendidikan dan ekonomi orang Melayu. Walaupun tidaklah seradikal gerakan-gerakan rakyat yang lahir selepas itu, tetapi penubuhan PMP ini boleh dikatakan sebagai kesedaran awal tentang kemunduran masyarakat Melayu yang menuntut agar perjuangan politik dilaksanakan[3].

1938: Kesatuan Melayu Muda (KMM)

Kemudian, Boestamam melibatkan diri dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM). KMM ditubuhkan pada 1938 di Kuala Lumpur oleh Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Kegiatan politik Boestamam menjadi penting dalam sejarah kemerdekaan Tanah Melayu bermula dengan penglibatannya dalam kesatuan ini. Ketika itu, beliau dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Setiausaha kesatuan.

Semasa itu juga beliau bertugas sebagai pemberita khas bagi akhbar Majlis di Kuala Lumpur, sebuah penerbitan akhbar yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob. Sebagai seorang yang menjadi orang keempat yang penting dalam organisasi yang bertindak sebagai ejen Jepun, beliau dipandang amat bahaya buat kerajaan British. British menganggap Boestamam adalah seorang aktvis politik anti-penjajah yang berkemampuan besar.

Pertubuhan ini memiliki hasrat untuk menggulingkan pemerintahan Inggeris melalui tindakan-tindakan keras dan menyatukan Tanah Melayu dengan Republik Indonesia di bawah gagasan Indonesia Raya. Pertubuhan ini amat merisaukan British kerana boleh mengganggu kepentingan British di Tanah Melayu[4].

Sebagai pertubuhan politik berhaluan kiri yang pertama di Tanah Melayu, kita dapat lihat bagaimana istilah ‘Kesatuan Melayu’ itu diinspirasikan daripada tulisan Tan Malaka, seorang tokoh perjuangan Indonesia yang beraliran komunisme:

“Satoe poesat persatoean antara seloeroh bangsa Indonesia jakni Indonesia kita, Semenadjoeng dan Philipina –… Satu perkoempulan orang-orang Indonesia jang bersama ‘Kesatoen Melajoe’ dan mesti kita perhatikan dengan segala perhatian jang sepenoeh-penoehnya..”[5].

Menurut Boestamam, KMM memiliki keahlian di setiap negeri di Tanah Melayu. Terdapat juga golongan feudal yang mempunyai hubungan rapat dengan Ibrahim Yaacob. Keunikan KMM dapat dilihat apabila ia adalah satu-satunya organisasi yang memiliki unit perisik tersendiri yang terdiri dari lelaki dan wanita. Sehingga British terkesan dengan aktiviti risikan itu lalu terpaksa keluar dari Tanah Melayu ketika Jepun datang menjajah[6].

Kepentingan Boestamam dalam KMM adalah sebagai Penolong Setiausaha. Ketika itu, beliau sedang bertugas sebagai pemberita khas akhbar Majlis di Kuala Lumpur yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob. Peranan Boestamam di dalam KMM tidak dipandang ringan oleh kerajaan British, beliau dianggap seorang aktivis politik anti-penjajah yang berpotensi besar.

Barisan Kesatuan Melayu Muda.

1941: Tangkapan Pertama

Pada tahun 1941, Boestamam ditangkap bersama 150 anggota dan penyokong KMM yang lain. Penangkapan ini telah menjadikan Ahmad Boestamam semakin membara sikap anti penjajahannya. Tekanan dari penjajah telah jadi pemangkin semangat untuk beliau terus berjuang demi kemerdekaan tanah air. Beliau bersama 150 anggota KMM yang lain telah dibebaskan oleh Jepun setelah pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada 1942[7].

Kehidupan Boestamam sebagai aktivis politik semakin rancak di tahun-tahun berikutnya. Saban tahun beliau semakin terdedah terhadap tekanan penjajah. Tetapi segala kegetiran dan tekanan yang dihadapi hanya menjadikan Boestamam lebih bersemangat untuk membangunkan sebuah pergerakan merdeka yang progresif.

1942: Gerakan Kiri Tanah Air (KITA)

Kegetiran itu membuatkan Boestamam membangunkan sebuah gerakan bawah tanah yang dipanggil Gerakan Kiri Tanah Air (KITA) bersama Mokhtar Al-Bakri, Haji Ramli Said serta Zulkifli Ownie. Gerakan ini bergerak dengan menyelinap sebalik latihan tentera Jepun atas nama Barisan Pemuda Melayu[8]. Setakat ini saya masih belum temukan mana-mana sumber yang menyatakan tarikh sebenar bilakah gerakan ini tertubuh. Berkemungkinan besar, sebelum penubuhan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada 1943. Kerana sehingga tahun 1945, Boestamam lebih banyak bertumpu pada pergerakan KRIS sehingga pengharamannya. Dan kemudian, beliau telah sibuk dengan penerbitan Suara Rakyat sebelum menubuhkan PKMM.

Melalui KITA, kebijakan dan kelicikan Boestamam dalam menyusun strategi politik dapat dilihat dengan jelas. KITA ditubuhkan untuk memerangi tentera Jepun, tetapi secara rahsia melibatkan diri dalam latihan tentera Jepun, kemudian bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) dan British. Ketika berada di bawah jajahan British, beliau tidak teragak-agak untuk bekerjasama dengan Jepun. Ketika berada di bawah jajahan Jepun, beliau tak teragak-agak untuk bekerjasama dengan British[9]. Seorang Boestamam akan menggunakan segala jalan yang ada untuk menentang sesiapa saja yang berkuasa sebagai penjajah di negerinya.

1943: Penubuhan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS)

Di tahun berikutnya, Boestamam menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS)[10] bersama Burhanuddin al-Helmy dan Onan Haji Siraj di bawah pimpinan Ibrahim Yaacob di Ceylon atau Sri Langka[11]. Tujuan KRIS ditubuhkan adalah untuk memerdekakan Tanah Melayu dan Bersatu dengan Indonesia atas semangat Melayu Raya. Juga untuk bergabung dengan angkatan gerakan Nasionalis Melayu untuk mencapai kemerdekaan dengan Indonesia. Usaha ini mendapat kerjasama kuat daripada pihak Jepun.

Pada pertengahan tahun 1945, cawangan KRIS yang pertama dibangunkan di Singapura. Bagi Ibrahim Yaacob, walaupun KMM telah diharamkan tetapi perjuangan Melayu Raya tetap diperjuangkan bersama-sama aktivis yang lain. Pada 8 Ogos, Cawangan KRIS di Singapura mendapat kunjungan dari Soekarno dan Hatta. Di sana, mereka bersetuju untuk menyebarkan bendera Sang Saka merah Putih.

Sekali lagi pertemuan diadakan bersama Soekarno dan Hatta di Taiping, Perak pada 12 Ogos 1945. Pertemuan ini berlangsung di bilik tamu lapangan terbang Taiping. Pertemuan singkat ini untuk membincangkan kemerdekaan bersama antara Tanah Melayu dengan Indonesia. Tetapi usaha ini gagal apabila Jepun menyerah kalah kepada tentera British pada 15 Ogos 1945. Hanya Indonesia ketika itu yang dapat mengisytiharkan kemerdekaannya tanggal 17 Ogos 1945, manakala Tanah Melayu masih tetap harus meneruskan perjuangan[12].

Kehadiran British bersama tekanannya telah melemahkan KRIS dan akhirnya kesatuan ini terpaksa dibubarkan. Walaupun begitu, kewujudan KRIS telah memberi impak yang kuat dalam pergerakan kemerdekaan Tanah Melayu. Kesatuan ini telah dijadikan perintis kepada penubuhan Partai Kebangsaan Melayu Malaya[13]. Dan kekuatan dan semangat itu dikumpulkan kembali melalui akhbar Suara Rakyat.

1945: Penerbitan Akhbar Suara Rakyat

Sejurus selepas pengunduran tentera Jepun dari Tanah Melayu pada Ogos 1945, Boestamam bersama beberapa orang lagi terus merampas pejabat Percetakan Shimbun. Ia adalah satu tindakan gerila MPAJA dan PKM untuk menduduki mana-mana bangunan yang ditinggalkan kosong oleh Jepun. Boestamam tekad atas rampasan ini demi menubuhkan satu saluran bersuara agar semangat orang Melayu bangkit memperjuangkan kemerdekaan dan kebajikan masyarakatnya[14].

Rampasan pejabat percetakan Jepun itu bertujuan untuk memudahkan mereka untuk menerbitkan akhbar sendiri. Boestamam bersama yang lain memiliki tujuan untuk membangunkan akhbar Melayu yang berkiblatkan Marhaenisme dan sebagai ruang bersuara untuk rakyat kebanyakan. Oleh itu, sebuah penerbitan akhbar yang diberi nama Suara Rakyat ditubuhkan di Ipoh, Perak. Akhbar tersebut dicetak dan diedar oleh Syarikat Rakyat Trading yang beralamat 29 Hale Street, Ipoh, Perak dan diuruskan oleh Tuan Haji Mohammad Daud Yatimy[15].

Ketika penerbitan akhbar ini bermulalah nama ‘Ahmad Boestamam’ digunakan sebagai nama penanya. Semenjak dari itu, Abdullah Thani lebih dikenali dengan nama ini.

Propaganda utama Suara Rakyat adalah menentang Jepun, dan menyeru rakyat umum untuk berjuang memerdekakan Tanah Melayu dari penjajahan British. Seruan kemerdekaan itu juga bertindak balas terhadap berita yang tersebar luas ketika itu di mana pihak Berikat bercadang untuk memberikan kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahan mereka[16].

Dalam melaksanakan tugas, Boestamam bertanggungjawab sebagai penulis ruangan rencana pengarang. Bagi memantapkan Suara Rakyat, Beliau menjemput Dahari Ali, Abdul Samad Ahmad, Musa Ahmad dan Mohammad Hanif yang memiliki pengalaman luas dalam kewartawanan untuk menggerakkan akhbar itu menjadi sebuah penerbitan yang terpimpin dan progresif. Boestamam menegaskan tujuan utama Suara Rakyat adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bernegara, menjelaskan hak dan tanggungjawab Orang Melayu terhadap Tanah Melayu yang dipimpin British ketika itu. Beliau bersemangat untuk menyedarkan Orang Melayu tentang hak mereka yang dirampas dan dinafikan oleh British.

“Suara Rakyat dan sesungguhnya ialah sebuah akhbar Melayu yang berkhidmat untuk melahirkan buah-buah fikiran atau kemusykilan orang ramai. Oleh itu dipersilakan orang ramai menggunakan dia dengan sepenuhnya. Supaya hal kemusykilan atau kemahuan orang ramai mendapat pertimbangan.”

(Suara Rakyat, 26/9/1945:1)

Boleh dikatakan Boestamam agak licik dalam memperkenalkan Suara Rakyat sebagai media untuk mendesak kemerdekaan. Penerbitan akhbar ini menggunakan pendekatan yang pro-British bagi memudahkan pergerakan pada awal bulan penubuhannya, serta memudahkan untuk menarik sokongan orang-orang yang takut untuk melawan British. Setelah mendapat sokongan dan kekuatan yang diperlukan, bulan-bulan yang seterusnya pendirian Suara Rakyat bertukar menjadi keras terhadap penjajah British agar kemerdekaan diberikan kepada Malaya. Kemerdekaan Malaya haruslah berpandukan kebebasan penuh rakyat Malaya dalam membentuk negara mereka sendiri tanpa campur tangan British.

Suara Rakyat digunakan sebaik-baiknya untuk mengkritik penjajahan, kezaliman dan kekejaman British. Sejarah penembakan demonstran di Teluk Anson (Sekarang: Teluk Intan) oleh British untuk menghentikan demonstrasi, dikritik sebagai satu tindakan yang kejam dan tidak demokratik. Sedangkan, demonstrasi ketika itu berjalan secara aman tanpa sebarang rusuhan. Rakyat ketika itu hanya mahu menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan British. Yang mana, taraf kehidupan dan ekonomi orang Melayu masih tidak berubah, dan keadaan hidup mereka masih sama dengan keadaan imigran-imigran yang hidup di Tanah Melayu.

Melalui Suara Rakyat, segala ketidakpuasan hati dan kritikan disuarakan tanpa rasa takut. Boestamam menyuarakan pelbagai pendapat dan buah fikir tentang perlunya orang-orang Melayu membela nasibnya sendiri. Jalan media kewartawanan telah mematangkan dan menajamkan lagi pemikiran-pemikiran Boestamam. Dalam akhbar Suara Rakyat pada 11 Mei 1946, beliau menyatakan “Kami membidas, kami membidas tanpa kulit. Kalau kami mengkritik kami mengkritik sehebat-hebatnya. Kata-kata ‘kejam’, ‘tidak demokratik’ dan seumpamanya menjadi permainan kami hari-hari.[17].

Akhbar Suara Rakyat

1945: Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)

Melalui akhbar Suara Rakyat, mata penanya digunakan untuk membangkitkan semangat dan mengumpulkan perpaduan orang Melayu agar memperjuangkan kemerdekaan. Setiap usaha dan titisan tinta yang dikeluarkan membuahkan hasil yang besar, sebuah parti pertama yang ditubuhkan oleh orang Melayu atas nama Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). PKMM adalah jalur politik pertama yang memperlihatkan Ahmad Boestamam terlibat secara langsung dalam pergerakan politik.

Parti ini ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 secara bersama oleh Ahmad Boestamam, Mokhtaruddin Lasso, Burhanuddin al-Helmy, Dahari Ali dan Arshad Ashaari[18]. PKMM tertubuh ketika Malaya sedang bergolak dengan perkelahian antara Melayu – Cina. Penubuhan ini adalah sebagai satu kaedah dalam mewujudkan kesatuan dan dalam masa yang sama, sebagai satu tindak-balas terhadap penubuhan Malayan Union oleh pihak British.

Kongress pertama PKMM diadakan di Ipoh selama empat hari pada 30 November sehingga 3 Disember 1945. Kongress ketika itu memutuskan terdapat 8 dasar utama parti iaitu (1) Mempersatukan semangat masyarakat Melayu, (2) Mencapai kemerdekaan berfikir dan bersuara, (3) Memajukan perusahaan dan pertanian dalam mengukuhkan taraf kehidupan orang Melayu, (4) Kebebasan bercucuk-tanam, (5) Mendirikan Sekolah Kebangsaan sebagai ruang pendidikan percuma, (6) Kebebasan mencetak buku untuk menggalakkan pembelajaran secara demokratik, (7) Membangunkan kerjasama dengan bangsa-bangsa lain sebagai usaha mendirikan perpaduan dan (8) Menyokong gerakan rakyat Indonesia dalam memperjuangkan kemerdekaan[19].

Ketika itu, kongress juga memutuskan untuk menggunakan bendera Sang Saka Merah Putih kerana bendera itu memiliki maksud perjuangan yang sangat mendalam. Tafsiran warna Sang Saka Merah Putih boleh dilihat dalam siaran akhbar Suloh Malaya pada 15 Mei 1946 yang tertulis seperti berikut:

Kalau kita akan cadangkan satu warna maka kita cadangkan warna itu merah-putih. Ada tiga sebab sekurang-kurangnya kita menyetujui warna merah-putih itu iaitu:

  1. Merah-putih itu bendera kebangsaan saudara-saudara kita umat Indonesia yang sekarang sedang merdeka.
  2. Mengikut kata setengah riwayat, merah-putih itu ialah bendera perjuangan Laksamana Hang Tuah, pahlawan Melayu yang tak asing lagi kepada kita.
  3. Merah -putih besar dan tepat ertinya. Merah ertinya berani (darah), putih ertinya suci (benar). Jadinya merah-putih lambang kekuatan atau tak takut menumpahkan darah.” 

1946: Angkatan Pemuda Insaf (API)

Seterusnya pada 17 Februari 1946, Angkatan Pemuda Insaf (API) telah ditubuhkan di Brewster Road, Ipoh. Angkatan ini diasaskan oleh tiga orang anak muda iaitu Boestamam sendiri, bersama A. Rahman Abdul Karim dan A. Bakar Thareek. Boestamam ketika itu menjawat sebagai pengerusi yang pertama yang mengetuai anggota API seluruh Malaya. Di bawah beliau adalah Karim Abu Bakar, Ketua Komanden API Perak. Seterusnya Ghafar Baba, sebagai AJK API di Melaka.

Pertubuhan ini adalah sebuah pertubuhan politik yang sangat berpengaruh di kalangan orang Melayu sewaktu bahang penentangan penjajah British membara. Pertubuhan ini juga adalah pertubuhan terkuat di bawah PKMM, menjadikan PKMM sebuah parti yang lebih radikal dan mendapat sokongan kuat daripada rakyat umum[20].

Lambang bendera API

Angkatan Pemuda Insaf, dari segi perkataannya bolehlah ditafsirkan sebagai sebuah kesatuan yang dibangunkan untuk menguatkan jaringan antara pemuda-pemuda yang sedar; sedar akan haknya sebagai manusia merdeka dan tanggungjawabnya kepada tanah air. Antara dasar-dasar perjuangan yang tercatat di dalam Testament Politik API adalah[21]:

  1.  Menyatukan pemuda-pemuda yang insaf di dalam satu barisan.
  2. Mengukuhkan barisan perjuangan untuk bangsa dan tanah air.
  3. Memberi latihan siasah, rohani dan jasmani kepada pemuda-pemuda yang bersedia menjadi pemimpin bila dikehendaki.
  4. Membina semula Malaya mengikut fahaman Demokrasi sejati yang berdasarkan kedaulatan rakyat.
  5. Menuntut perwakilan dalam pemerintahan Malaya.

Tambahan, di dalam Testament Politik API juga Boestamam menyatakan secara tegas mereka menentang British dan mengkategorikan Tanah Melayu sebagai ‘negara terjajah’ dan ‘separuh terjajah’. Tafsiran negara ‘separuh terjajah’ adalah kerana orang-orang Melayu diwakili oleh golongan bangsawan Melayu yang turut serta mentadbir dalam sistem pemerintahan bersama-sama British dan bertindak menindas golongan radikal Melayu. Disebabkan itu, gerakan-gerakan radikal Melayu terpaksa berdepan dengan penindasan bukan saja dari pihak penjajah, malah bangsa sendiri. Maka, testament Politik Api juga menggariskan lima peringkat penindasan penjajah British dan golongan bangsawan melayu seperti berikut:

  1. Penindasan dari penjajah.
  2. Penindasan dari bangsa sendiri yang menjadi perkakas si penjajah itu.
  3. Penindasan dari kaum feudal (bangsawan/institusi raja)
  4. Penindasan dari ahli-ahli agama kolot.
  5. Penindasan dari kaum pemodal bangsa sendiri dan bangsa asing juga.

Terdapat dua sebab utama yang mendorongtiga anak muda ini untuk menubuhkan API. Pertama, adanya kebangkitan pemuda-pemudi seluruh bangsa di seluruh dunia. Kedua, kebangkitan pemuda-pemudi bangsa asing yang mendiami Tanah Melayu seperti Cina, India dan lain-lain[22].

Testament Politik Api

Disebabkan Boestamam membawa gagasan “Merdeka dengan darah!” melalui Testament Politik API, beliau ditangkap dan didakwa di Mahkamah pada 31 Mac 1947 oleh penjajah British kerana mengeluarkan sebuah dokumen yang berbaur hasutan. Beliau juga dituduh mencetak testament ini sebanyak 1,000 keping risalah dan disebarkan sewaktu Kongress API yang bakal diadakan di Melaka ketika itu.

Oleh kerana API adalah satu pertubuhan politik Melayu yang berhaluan kiri dan banyak menimbulkan kegusaran di hati penjajah, maka API bersama PKMM dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) telah diharamkan oleh British secara rasminya pada 17 Julai 1947. Pertubuhan-pertubuhan ini bukan saja diharamkan British, tetapi juga dilabelkan sebagai pertubuhan haram.

1948: Tangkapan Kedua

Selepas beliau menerbitkan Testamen Politik Api dan membawa gagasan perjuangan “Merdeka dengan darah!”, beliau dihadapkan ke mahkamah dan didenda sebanyak $1,200. Kelantangan Boestamam dalam memimpin API akhirnya menyebabkan beliau terpaksa merengkok di dalam penjara selama tujuh tahun (1948-1955) atas pelbagai tuduhan antaranya ingin melancarkan perang terhadap British, menghasut rakyat untuk membenci British, terlibat dan memiliki anasir-anasir komunisme. Sedangkan, ini adalah satu bukti kukuh Ahmad Boestamam adalah seorang pejuang kemerdekaan yang amat menggerunkan penjajah British dan golongan Bangsawan Melayu.

Walaupun tubuh badannya mampu dikurung penjajah, tetapi tidak jiwa dan akalnya. Pemenjaraan yang panjang itu sedikit pun tidak melemahkan semangat beliau untuk berjuang, malah semakin menguatkan semangatnya untuk mencapai kemerdekaan penuh. Bagi pihak penjajah dari bangsa asing dan bangsa sendiri, beliau adalah sosok yang sangat berbahaya pada keselamatan dan kepentingan politik pihak British di Tanah Melayu dan seluruh Nusantara. Pengisytiharan undang-undang darurat (1948 – 1960) juga digunakan British untuk mengawal PKM dan sekutunya seperti PKMM, API dan AWAS[23].

1950: Khemah Tahanan Ipoh

Ketika dalam tahanan di Khemah Tahanan Ipoh pada awal 1950’an, beliau masih tetap menulis dan penulisannya disiarkan dalam akbar Utusan Zaman. Sewaktu inilah nama pena Ruhi Hayat digunakan agar identitinya tidak dapat diketahui pihak British. Dengan bantuan seorang warden penjara yang berani menyeludup keluar tulisannya, beliau dapat menyara dirinya dengan imbuhan sebanyak $5 bagi setiap cerpen yang dihasilkan. Wang kiriman akan dihantar oleh Usman Awang, yang ketika itu merupakan salah seorang pengarang Utusan Zaman. Usman mengirimkan wang tersebut ke Penjara Ipoh bersama nota yang bertulis “Bersama-sama ini disertakan wang untuk keperluan saudara membeli rokok”, untuk mengelakkan timbulnya syak wasangka di kalangan pihak berkuasa bertugas[24].

1955: Parti Rakyat Malaya (PRM)

Pembebasan beliau pada 1955 telah memberi nafas baru kepadanya dalam mengharungi perjuangan politiknya. Lantaran itu, Boestamam bersama pejuang yang lain menubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM) pada 11 November 1955. Parti ini mengangkat ideologi marhaenisme, sebuah ideologi Marxisme yang diacu mengikut acuan kebudayaan Nusantara. Pertama-tama kali ‘marhaenisme’ digunakan, adalah sewaktu Sukarno memberi kuliah Shaping and Reshaping Indonesia pada 1926-1927[25]. Sememangnya, perjuangan yang berlaku di tanah Indonesia dan Malaysia adalah satu perjuangan yang sama.

Logo PRM

1958: Berdirinya Barisan Sosialis Rakyat Malaya

Barisan Sosialis Rakyat Malaya dibentuk pada 26 Ogos 1958 yang terdiri dari gabungan Parti Rakyat Malaya dengan Parti Buroh Malaya. Kemudian, Parti Perhimpunan Kebangsaan juga turut serta ke dalam gabungan ini bagi membentuk satu pakatan politik yang dapat mendominasi beberapa pihak berkuasa kerajaan tempatan di Semenanjung Tanah Melayu pada era itu.

Dalam Pilihan Raya Umum Tanah melayu yang pertama, Barisan Sosialis telah memenangi 8 buah kerusi di peringkat kebangsaan. Ini menjadikan Barisan Sosialis sebagai gabungan parti yang ketiga terbesar di Parlimen[26].

1961: Keretakan Awal Parti Rakyat dan Barisan Sosialis

Bahang-bahang keretakan Parti Rakyat ketika itu sebenarnya telah dapat dihidu semenjak awal berdirinya Barisan Sosialis. Tetapi hal itu masih lagi saja mampu dinafikan, seperti mana kenyataan Ketua Parti Rakyat Kedah, Mansor Tobeng pada 14 Julai 1960. Beliau hanya menyatakan adanya anasir-anasir luar yang menghasut Parti Buroh Kedah dalam kerja-kerja berkempen, serta adanya tokoh-tokoh Barisan Sosialis yang ‘keras kepala’ sehingga menyebabkan perwakilan Parti Buroh Kedah mengambil keputusan untuk keluar dari Barisan Sosialis. Kemudian, Boestamam memutuskan untuk menghantar sebuah rombongan bagi menyelidik krisis yang berlaku itu[27].

Sehinggalah Pada 7 November 1961, perbalahan itu tidak dapat diselindungkan lagi. Seorang tokoh besar Parti Rakyat Johor, Abu Bakar bin Mohd. Salleh mengugut akan keluar dari Parti Rakyat sekiranya Parti Rakyat masih bergabung dengan Parti Buroh. Katanya di dalam akhbar, Parti Buroh tidak sesuai dengan perjuangan orang Melayu dan tidak sehaluan dengan Parti Rakyat. Beliau beranggapan Parti Buroh memiliki cita-cita untuk menguasai Parti Rakyat agar tunduk dan menjadi alat untuk mencapai cita-cita parti berkenaan. Beliau juga tidak bersetuju jika Parti Rakyat dan Parti Buroh melebur menjadi Parti Sosialis Malaya. Yang mana agenda gabungan tersebut dibincangkan dalam Kongress Parti Rakyat Malaya pada 24 dan 25 Disember 1961 di Pulau Pinang[28].

Ketua Parti Rakyat Negeri Melaka iaitu Hasnol Bin Abdul Hadi juga menyatakan yang hubungan antara Parti Rakyat dan Parti Buroh akan dibubarkan sewaktu Mesyuarat Agung Parti Rakyat Negeri melaka pada September 1961. Yang mana telah menyemarakkan lagi api sengketa di dalam Barisan Sosialis. Tetapi di dalam hal ini, sebahagian anggota Parti Rakyat Melaka mengambil sikap berkecuali seperti mana yang dinyatakan Setiausaha Parti Rakyat Melaka, Mohammad Lani Kasim. Anggota-anggota PR Melaka juga menyatakan duka cita ke atas keputusan mesyuarat Agung tersebut.

Keretakan berlaku di antara Parti Rakyat dengan Parti Buroh adalah disebabkan oleh beberapa prinsip yang bercanggahan, antaranya dalam isu penggunaan bahasa dan hak-hak istimewa orang Melayu[29]. Ketika itu, Parti Rakyat sendiri telah terpecah menjadi 3 kelompok, satu yang mahu gabungan dengan Parti Buroh diteruskan, satu lagi yang mahukan pemisahan dan ketiga yang mengambil sikap berkecuali.

1962: Persidangan Melayu Raya

Ketika krisis dalaman Barisan Sosialis sedang beMrkecamuk, Tunku Abdul Rahman di pihak Kerajaan Perikatan pula menyatakan rancangan untuk menubuhkan negara Malaysia. Rancangan ini mendapat tentangan dari parti-parti kiri di lima wilayah Nusantara iaitu Malaya, Singapura, Sarawak, Borneo dan Brunei.

Pada ketika itu, Boestamam mengusulkan agar dianjurkan satu persidangan parti-parti sosialis dari kelima-lima wilayah tersebut. Dan persidangan tersebut telah dilangsungkan di Kuala Lumpur pada Januari 1962. Pandangan parti-parti kiri di rantau Nusantara pada masa itu tentang rancangan penubuhan Malaysia adalah seperti berikut:

  1. Ia ditubuhkan untuk menyekat pengaruh komunis di Asia Tenggara yang mengancam kepentingan kuasa imperialis Barat di rantau Nusantara.
  2. Merupakan produk neo-kolonialisme.
  3. Bertujuan untuk menyekat gerakan pembebasan demokratik di rantau ini.
  4. Kuasa imperialis Barat akan teruskan penguasaan terhadap politik-ekonomi dan ketenteraan melalui kerajaan bonekanya, serta meneruskan perampasan sumber-sumber di rantau ini.

Gerakan kiri di Nusantara mahukan sebuah kemerdekaan yang seratus peratus bebas daripada penguasaan Barat. Bermakna, mereka bercita-cita agar rakyat biasa dapat menentukan nasib sendiri secara demokratik dan menguasai sepenuhnya sumber daya alam tanah air. Namun, gerakan ini akhirnya semakin mendapat tekanan yang kuat dari pemerintah yang mesra imperialis[30].

1963: Tangkapan ke-3

Sejurus selepas peristiwa Konfrontasi Indonesia-Malaysia, pada 13 Februari 1963, Boestamam sekali lagi ditangkap bersama ratusan anggota Barisan Sosialis dan dipenjarakan di tempat tahanan Batu Gajah, Perak. Selama empat tahun beliau terpaksa meringkuk ke dalam penjara di bawah kuat kuasa Undang-Undang Dalam Negeri. Ketika itu, beliau masih bertanggungjawab sebagai ahli parlimen Setapak. Kerajaan Perikatan ketika itu memutuskan bahawa Boestamam terlibat dalam ‘Ganyang Malaysia’, satu usaha kerajaan Indonesia menentang gagasan Malaysia yang sedang diusahakan oleh Tunku Abdul Rahman. Beliau juga ditangkap akibat dituduh terlibat bekerjasama dengan Partai Komunis Indonesia dalam pemberontakan Brunei 1962.

Menurut laporan akhbar, Kerajaan telah mendapati bahawa Boestamam telah melakukan beberapa perkara berikut: Pertama, telah menubuhkan gerakan bawah tanah di Persekutuan untuk kegiatan-kegiatan subversif. Kedua, merancangkan satu jalan rahsia antara Tanah Melayu ke Indonesia. Dan yang ketiga, mengadakan hubungan rapat dengan Parti Komunis Indonesia[31].

Menurut laporan tersebut lagi, Boestamam telah melawat ke sebuah kem rahsia untuk melatih pemberontak-pemberontak Brunei. Untuk merasionalkan perkara ini, Boestamam dikatakan telah menjadi sahabat karib ketua pemberontak Brunei semenjak tahun 1956, iaitu Sheikh Azahri.

Ketika Boestamam dan seluruh pemimpin utama Barisan Sosialis dipenjarakan, pengaruh Parti Rakyat semakin merosot, kekuatan anggota Parti Rakyat juga semakin melemah. Hubungan Parti Rakyat dengan Parti Buroh juga menjadi keruh kerana wujudnya isu perkauman dan tuduh-menuduh. Akhirnya perpecahan berlaku di dalam Barisan Sosialis antara Parti Rakyat dengan Parti Buroh.

Dalam keadaan parti yang semakin merosot dan lemah ini, hadir satu perkumpulan intelektual muda antaranya Kassim Ahmad dan Syed Hussein Ali turut serta ke dalam perjuangan Parti Rakyat. Boestamam yang sedang dipenjarakan ketika itu, bersetuju agar mereka menyertai PRM demi memperkukuhkan kembali kestabilan perjuangan dan sebagai pelapis[32]. Kerana, tangkapan kerajaan terhadap seluruh pemimpin Barisan Sosialis telah menyebabkan Barisan Sosialis kucar-kacir dan kalah teruk pada Pilihan Raya Umum 1964 dengan hanya memenangi 2 kerusi.

1965: Bermulanya Pergolakan Parti Rakyat dan Kejatuhan Barisan Sosialis

Demonstrasi besar-besaran telah diadakan pada 13 Februari 1965 di Kuala Lumpur mengecam tindakan kerajaan menangkap Boestamam dan ratusan anggota Barisan Sosialis yang lain. Keputusan kerajaan untuk membatalkan Pilihan Raya Kerajaan tempatan pada 1965 selepas pengisytiharan Darurat 1964 akibat Konfrontasi Indonesia-Malaysia juga berterusan menekan dan melemahkan pengaruh Barisan Sosialis[33].

Selepas genap 3 tahun Boestamam ditangkap, pada 13 Februari 1966, Berita Harian menyiarkan desakan Parti Rakyat agar kerajaan membebaskan Ahmad Boestamam dari penjara. Ketika itu, Setiausaha Agong Parti Rakyat iaitu Omar Nordin mengajak seluruh anggotanya untuk mengisytiharkan 13 Februari sebagai hari berkabung dengan menaikkan bendera parti setengah tiang[34]. Tarikh itu dianggap sebagai tarikh terkuburnya demokrasi dan kemanusiaan di Malaysia.

1967: Boestamam Dibebaskan

Selepas Boestamam dibebaskan pada 1967, Kongress Parti Rakyat ke-13 dijalankan di Perlis. Ketika itu, Kassim Ahmad dan ahli baru yang lain mengusul satu senarai pimpinan baru sebagai cadangan. Boestamam dikekalkan sebagai Ketua Umum, Kassim Ahmad sebagai Timbalan Ketua Umum, tetapi ahli jawatankuasanya ditukar secara keseluruhan kepada ahli-ahli baru. Menurut Boestamam, cadangan itu boleh mengakibatkan perpecahan di dalam Parti Rakyat, maka dia tidak bersetuju. Kerana tindakan Pak Kassim, Syed Hussein dan lain-lain seperti mengetepikan usaha-usaha orang lama seperti Cikgu Ishak Surin yang sedang bergiat aktif ketika itu sebagai Penolong Setiausaha Agung Parti Rakyat[35] ketika itu. Kesannya, isu dalaman Parti Rakyat menjadi semakin tegang dan tidak terkawal.

1968: Penubuhan Parti Marhaen Malaysia

Parti Marhaen Malaysia ditubuhkan pada 21 Julai 1968 oleh Boestamam, Pak Sako dan aktivis yang lain sebagai rentetan penarikan diri dari PRM akibat konflik dalaman yang panjang melanda Barisan Sosialis[36]. Penubuhannya adalah kira-kira 8 jam sebelum beliau berangkat ke London untuk melanjutkan pendidikan di dalam bidang perundangan. Parti ini dipimpin oleh Ishak Surin, Shariff Babol dan Sheikh Hassan Jaafar.

Parti ini mengangkat kuat ideologi marhaenisme, iaitu satu konsep pergerakan politik yang mengutamakan hak dan keadilan buat golongan petani dan kelas pekerja. Berpegang kepada gagasan sosialisme yang bertujuan untuk menghapuskan kesan pengaruh penjajah dan bergerak ke arah masyarakat kebangsaan yang mengutamakan keadilan masyarakat[37].

Sehari selepas tindakan Boestamam bersama aktivis lain memisahkan diri dari Parti Rakyat Malaysia dan mendirikan Parti Marhaen, beliau dikritik pedas oleh Kassim Ahmad menerusi akhbar Berita Harian bertarikh 22 Julai sebagai ‘musuh sosialis’, ‘pro-Perikatan’ dan ‘musuh rakyat Malaysia’. Kassim Ahmad beranggapan tindakan Boestamam bertujuan untuk mencuba pecah-belahkan kekuatan sosialis di Malaysia. Kassim Ahmad menambah lagi, parti baru (Parti Marhaen Malaysia) yang ditubuhkan itu adalah sebuah parti yang anti parti sosialis, Parti Rakyat dan bertentangan dengan rakyat Malaysia.

Abdul Halim Ali, yang bertanggungjawab sebagai Setiausaha PRM ketika itu pula menyatakan beliau amat menyesali tindakan Boestamam. Beliau mengatakan bahawa Boestamam adalah ‘batu penghalang’ yang memecah belahkan Parti Rakyat. Manakala Setiausaha PRM, Zulkifli Ismail amat mengalu-alukan Boestamam untuk keluar dari parti tersebut. Jika Boestamam masih mahu berada di dalam parti itu, maka tindakan disiplin dan tatatertib akan dikenakan terhadapnya[38].

Menurut Cikgu Ishak Surin, segala kritikan itu adalah tuduhan dan tohmahan semata. Sedangkan, gerak kerja Parti Rakyat yang kuat dengan nilai aktivisme akar umbi telah tersasar menjadi pergerakan sosialis-intelektual yang hanya berdiskusi, mengadakan pertemuan dan membuat kenyataan terbuka tetapi tiada sebarang tindakan dalam memobilisasi rakyat marhaen[39].

Di dalam bahagian ‘Mimbar Pembacha’ Berita Harian bertarikh 14 Julai 1968, terdapat nukilan kritikan pedas terhadap pimpinan Parti Rakyat. Penulis mempersoalkan ketika Boestamam ditangkap, pernahkah untuk sekali pemimpin-pemimpin Barisan Sosialis datang melawat? Adakah kebajikan keluarga Boestamam dijaga oleh Barisan Sosialis? Siapakah yang menyediakan peguam bela untuk Boestamam dan orang-orang tahanan Barisan Sosialis yang lain? Adakah pemimpin Barisan Sosialis membawa isu penahanan Boestamam ke dalam parlimen? Membahaskan soal penahanan Boestamam di dalam dan luar negeri melalui forum-forum?

Kami bertindak keluar dari Partai Rakyat bukan karena tarekan Boestamam. Tetapi kami sendiri yang mendesaknya supaya menarek diri sa-minggu sabelum beliau membuat kenyataan pertama mengecham puchok pimpinan.” Jelas Cikgu Ishak Surin pada 3 Ogos 1968[40].

1974: Parti Marhaen Bergabung Dengan PEKEMAS

Tetapi akibat keretakan yang berlaku di dalam pergerakan kiri, Parti Marhaen tidak mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Maka untuk menguatkan lagi parti berdepan dengan Pilihan Raya Umum, pada 19 Julai 1974 Boestamam telah memutuskan agar Parti Marhaen bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat Malaysia yang dipelopor oleh Tan Chee Koon dan Syed Hussein Alatas[41].

Ketika itu Boestamam bertanding merebut kerusi Parlimen di Perak atas tiket PEKEMAS, tetapi tetap juga gagal. Keyakinan rakyat terhadap gerakan kiri telah pudar, PEKEMAS mengalami kekalahan teruk. Hanya Tan Chee Koon satu-satunya calon yang berjaya merebut kerusi daripada 36 calon Parlimen. Akhirnya, Boestamam meletakkan jawatan sebagai pengerusi PEKEMAS pada 1 Ogos 1978.

Pada 1980, Boestamam kembali ke arena politik dengan menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM)[42].

1983: Meninggal Dunia

Di hujung usianya, beliau banyak menghabiskan masa dengan menjadi penulis bebas bagi mengisi waktu-waktunya dan sebagai pendapatan tambahan untuk menyara hidup. Telah mengerjakan ibadah haji sebanyak dua kali, dan menghembuskan nafas terakhirnya pada 19 Januari 1983, di Hospital Besar Kuala Lumpur akibat penyakit barah paru-paru yang telah menyerangnya selama enam bulan.[43]

Meskipun beliau memiliki cita-cita yang jauh berbeza dengan apa yang telah terbangun di Malaysia hari ini, tetapi beliau tetap menjadi tokoh yang disegani dan telah diangkat sebagai Panglima Negara Bintang Sarawak dengan gelaran Dato’ pada 1976.

“Darah senimanlah yang menjadikan Boestamam seorang pemimpin yang perasa dan juga yang menjadikan dia tidak menundukkan kepala atau mengalah dalam perjuangan untuk bangsa dan tanah air walaupun dia sedari perjuangannya sudah berlalu.”.

(Keris Mas, Dewan Masyarakat, Februari 1983)


BACAAN LANJUT: 
Dr. Burhanuddin al-Helmy: Membina Bangsa Merdeka
Jose Rizal & Pemikirannya Perihal Masyarakat Filipina
Peranan Percetakan Dalam Gerakan

[1] Tirto.id. Petrik Matanasi. Ahmad Boestamam, Keturunan Minang Pendiri Partai Marhaen Malaysia.

[2] Universiti Pendidikan Sultan Idris. Jurnal Perspektif Jil.8 Bil.1 (76-84). Ishak Saat, Norazlan Hadi Yaacob & Ahmad Ali Seman. Ahmad Boestamam: Tokoh Radikal Melayu. MS.82.

[3] Pekhabar: Persatuan Melayu Perak Ditubuhkan

[4] Wikipedia: Kesatuan Melayu Muda

[5] The Patriot. 27 Mac 2019. Pelopor Gerakan Kiri Melayu.

[6] Ibid.

[7] Wikipedia: Ahmad Boestamam

[8] Orang Perak. Iskandar Zulkarnain. Kisah Ahmad Boestamam Dari Tanjung Malim.

[9] Wikipedia. Ahmad Boestamam. Kesatuan Kiri Tanah Air.

[10] Orang Perak. Iskandar Zulkarnain. Kisah Ahmad Boestamam Dari Tanjung Malim.

[11] Mohamad Khairuladha Bin Zainal. Peranan Ibrahim Yaakob Dalam Konteks Gerakan Politik Kiri Sehingga 1945. MS.11.

[12] Mohamad Khairuladha Bin Zainal. Peranan Ibrahim Yaakob Dalam Konteks Gerakan Politik Kiri Sehingga 1945. MS.12.

[13] Ibid.

[14] Universiti Pendidikan Sultan Idris. Jurnal Perspektif Jil.8 Bil.1 (76-84). Ishak Saat, Norazlan Hadi Yaacob & Ahmad Ali Seman. Ahmad Boestamam: Tokoh Radikal Melayu. MS. 76.

[15] Ibid. MS.76-77.

[16] Universiti Sains Malaya. Ishak Saat. Peranan Politik Akhbar Suara Rakyat 1945-48.

[17] Universiti Pendidikan Sultan Idris. Jurnal Perspektif Jil.8 Bil.1 (76-84). Ishak Saat, Norazlan, Hadi Yaacob & Ahmad Ali Seman. Ahmad Boestamam: Tokoh Radikal Melayu. Hlm. 78.

[18] PeKhabar. Parti Kebangsaan Melayu Malaya Ditubuhkan.

[19] Ahmat Adam. Partai Kebangsaan Melayu Malaya: Sebuah Mimpi Nusantara. Hlm. 45-46.

[20] Sumber : Arkib Negara Malaysia.

[21] Monumental. Karya-karya Penting Para Pemikir Besar Nusantara Raya. Ahmad Boestamam. Testament Politik Api. Hlm.79.

[22] Ibid. Hlm.80.

[23] Universiti Pendidikan Sultan Idris. Jurnal Perspektif Jil.8 Bil.1 (76-84). Ishak Saat, Norazlan, Hadi Yaacob & Ahmad Ali Seman. Ahmad Boestamam: Tokoh Radikal Melayu. Hlm.82.

[24] Wikipedia. Ahmad Boestamam. Ruhi Hayat.

[25] Wikipedia. Marhaenisme.

[26] Wikipedia. Barisan Sosialis.

[27] Berita Harian. 14 Julai 1960. Hlm.2. Pergeseran Golongan Marhaen Di-Nafikan.

[28] Berita Harian. 7 November 1961. Hlm.2. Tokoh PR Johor merajok dari parti.

[29] Berita Harian. 4 Disember 1961. Hlm.4. Rakyat, Buroh Baik Pisah?

[30] Parti Sosialis Malaysia. 15 September 2018. 55 tahun dahulu, Malaysia dibentuk dalam penindasan terhadap pembangkang yang anti-imperialis.

[31] Berita Harian. 11 Januari 1967. Boestamam Dibebaskan

[32] KUBU SEJARAH: CIkgu Ishak Surin (Pengalamanku Dengan Ahmad Boestamam dan Perjuangan dalam PRM).

[33] Wikipedia. Barisan Sosialis.

[34] Berita Harian. 13 Februari 1966. Kerajaan Di-Minta Bebaskan Boestamam.

[35] KUBU SEJARAH: CIkgu Ishak Surin (Pengalamanku Dengan Ahmad Boestamam dan Perjuangan dalam PRM). Minit 35:00.

[36] Eastern Sun. 21 July 1986. Boestamam Form a New Party.

[37] Wikipedia: Parti Marhaen Malaysia.

[38] Berita Harian. 21 Julai 1968. Boestamam Musoh Sosialis, Pro-Perikatan, Kata Kassim.

[39] KUBU SEJARAH: CIkgu Ishak Surin (Pengalamanku Dengan Ahmad Boestamam dan Perjuangan dalam PRM). Minit 53:35.

[40] Berita Harian. 3 Ogos 1968. Hadzrami A.R. Partai Marhaen Mulai Ator Langkah.

[41] Wikipedia. Malaysian Social Justice Party.

[42] Blog Penulis Perak. 8 Mei 2011. Zabidin Hj Ismail. Ahmad Boestamam.

[43] Sumber: Wikipedia. Ahmad Boestamam.

Leave a Reply