4 JUN 2021 – Keputusan kerajaan untuk menghadkan tempoh operasi perniagaan dari 8 pagi hingga 8 malam dilihat bakal menjejaskan peniaga-peniaga kecil.
Naim Fahmi, pemilik perusahaan Tukang Kopi yang membekalkan biji-biji kopi Liberica, Robusta dan Arabica, berpusat di Terengganu, berkongsi di laman media sosialnya bagaimana PKP 3.0 ini akan memberi kesan kepada aliran tunai perniagaannya.
“Saya sebagai pembekal biji kopi juga terkesan apabila kafe-kafe ditutup sebelum 8 malam.”
“Saya bukan korporat besar. Kalau pinjam istilah Marxist, saya cuma ‘petite-bourgoise’ yang berusaha untuk tidak menjadi ‘lumpen-proletariat’. Lebih-lebih lagi ketika saya dalam tempoh ‘fresh graduate’, polisi Neoliberal kembali bangkit melalui rejim Mahathir.”
Beliau membuat perbandingan SOP yang lepas bagi mempertimbangkan kesan terbaik buat dirinya sebagai seorang peniaga kecil. Jika dibenarkan memilih, beliau lebih bersetuju dengan SOP PKP 1 di mana ‘total lockdown’ dilakukan untuk memastikan penyebaran wabak dapat dihentikan dalam kadar yang pantas walaupun ramai yang terpaksa ikat perut.
“Bila diajukan dua pilihan: Pertama, bersetuju dengan PKP 3 yang serupa dengan PKP 2 separuh masak (terbukti gagal) dan mengharapkan hasil yang berbeza.”
“Atau kedua, memilih Lockdown, ikat perut dan hanya makan subsidi kerajaan sebulan dua, sebagai pengorbanan dan komitmen melawan pandemik secara maksima untuk hasil yang serupa dengan PKP 1.”
“Yang mana? Ofkoslah saya ambil pilihan kedua. Pilihan pertama melambatkan aliran tunai, tapi penatnya sama.” Jelas Naim.
Tindakan kerajaan yang banyak membuat keputusan mengejut juga antara punca utama peniaga-peniaga kecil tidak dapat merancang dan menjalankan perniagaan dengan baik. Seperti tiada jalan lain buat peniaga kecil selain hanya berhati-hati dengan cara kerajaan membuat keputusan, kerana SOP 3.0 yang dianggap separuh masak ini lebih banyak merisikokan peniaga-peniaga kecil berbanding SOP PKP 1.0.
“Kena tangguh banyak rancangan, sebab suasana tak menentu dan kerajaan yang flip flop membuat keputusan. Dah buka modal, tiba-tiba kerajaan keluar mengejut SOP baru. Tak mustahil akan ada lagi SOP baru selagi PKP masih separuh masak. Buat ‘road-map’ pun tak guna.”
“Overhead pula berjalan macam biasa, sewa tetap kena bayar. Jika berterusan dalam tempoh yang lama, silap-silap terpaksa downsize dan kami peniaga sudah tentu tak dapat menyumbang kepada ekonomi negara.”
Sebagai peniaga, beliau sedar tindak-tanduk kerajaan sangat penting kerana ia akan menentukan pergerakan ekonomi masyarakat selepas itu. Beliau juga sedar peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh para peniaga untuk negara, kerana itu beliau lebih bersetuju dengan penutupan operasi secara menyeluruh PKP 1.0.
“Manakala pilihan kedua akan memberi masa dan kesedian kepada saya untuk membuat unjuran dan ‘road-map’ baharu sementara menunggu suasana pandemik reda secara maksima dan dapat bertindak sesuai dengan polisi baharu kerajaan apabila suasana makin stabil. Persis pasca-PKP 1. Tapi janganlah sabotaj buat kempen PRU nanti.”
“Bila tiba masa untuk kegiatan ekonomi dibenarkan berjalan sepenuhnya, maka kami dapatlah menyumbang kepada pergerakan aliran wang tunai dalam negara sesuai dengan rancangan, secara tak langsung membalas jasa subsidi dan bayar gaji menteri yang ramai itu. Lebih-lebih lagi consumer dah selamat untuk rentas negeri. Peniaga masyuk, negeri pun ada pendapatan.”
“Cuma pilihan kedua (Total lockdown) ini tidak boleh dipilih. Sebab kerajaan tak nak bagi subsidi walaupun ia berbaloi untuk rakyat bawahan dan peniaga kecil.”
“Kenapa ya? Padahal dah ambik RM115+ billion guna Ordinan Darurat.”