SENI TERAPI

SENI SEBAGAI TERAPI

Apa sahaja berkaitan seni, dari konsep persembahan, pertunjukkan dan lain-lain, sama ada muzik, deklamasi, lukisan, tradisional, kontemporari pada penghujungnya ramai orang akan mengaitkan kepada terapi. Perbahasan ini telah lama diperkatakan, baik dari falsafahnya, teorinya dan juga amalinya. 

Ya, peratusnya begitulah. Tapi, dari makna terapi itu, bagaimana? Terapi yang bagaimana? Apa yang membuktikannya? Apakah terapi itu termasuk dalam bentuk protes? Apakah terapi bersifat mengubati? Apakah terapi itu hanya membawa satu maksud? Apa? Apa? Apa? 

Sebagai contoh, sebuah kumpulan muzik/band yang mendendangkan lagu-lagu protes, lagu-lagu depresi, aksi-aksi huru-hara (chaos), sikap-sikap ini adalah kebiasaannya kerja-kerja melepaskan, meluahkan, melemparkan segala isi hati, yang terbuku, penuh dendam dan emosi dalam persembahannya. Dimanakah yang dikatakan dengan terapi itu? 

Apa jenis pun yang terpantul dari individu adalah melalui proses terapi. Persembahan dan aksi yang dilontarkan adalah produk perkembangan. Contoh di atas, apa yang terjadi dengan perkara-perkara protes, pada prosesnya sebelum menuju klimak persembahan, pertunjukkan dan sebagainya, proses kreativiti itulah permulaan. Dari kreativiti inilah dikatakan terapi. 

Sebagai contoh muzik politikal, dalam proses untuk menyuarakan pendapat, proses awalnya adalah soal hati, mengalami kekeliruan, marah, tidak puas hati, mengganggu emosi harian, tentang sosio politik, sosio ekonomi, tentang kemiskinan, alam merosak, ketamakan, bencana, penindasan, peperangan dan serba-serbi tidak memuaskan berpunca daripada sesetengah pihak, sesetengah golongan kepada majoriti lainnya. 

Dengan alternatif dan medium melalui muzik, kreativiti bermain alat muzik digunakan untuk menyuarakan masalah-masalah ini sehingga kepada gagasan-gagasan idealogi, hal-hal kemanusiaan yang pada akhirnya menggoncang dunia dan mencipta sejarah dan falsafah muzik itu sendiri. 

Melalui proses terapi, mereka mencipta, berkarya, melepaskan buah fikiran, membentuk budaya, menyuarakan segala perlawanan, membina komuniti dan sebagainya daripada penyakit-penyakit (hal-hal terbuku) yang jika dipendam akan memakan diri. Dengan proses terapi ini juga individu mampu mengubah perspektif, berani, bersemangat dan tidak merasakan diri mereka kecil, penakut dan sudah tentu mengatasi masalah mental, fizikal mahupun mewakili suara-suara kecil dan seumpamanya. 

Begitu juga dengan contoh-contoh lain, contoh-contoh seni terapi seperti seni visual, seni rohani, abstrak dan lain-lain. Ada bersifat individualistik, ada bersifat kolektif. Tapi pada penghujungnya adalah proses terapi. Kemana arah tujuan selepas itu dalam perkembangan produk, itu perlukan tajuk penulisan yang lain. Di sini kita fokus kepada terapi, bagaimana sebuah seni mampu menjadi terapi.

Definisi Terapi Seni

“Yang mempergunakan media seni, imej (gambaran), proses kreativiti, dan tindak balas individu menghasilkan produk sebagai cerminan dalam perkembangan individu, kebolehan, personaliti, minat, kerisauan dan pertelingkahan.”

Konsep Terapi Seni

Bantuan rawatan tanpa ubatan, khususnya mental atau spiritual, juga sebenarnya satu bentuk terapi emosi dan tingkah laku berdasarkan kepercayaan proses kreatif membabitkan luahan artistik individu membantu mereka menyelesaikan konflik dan masalah, mambangunkan kemahiran dalaman, menguruskan tingkah laku, mengurangkan tekanan dan menguruskan jati diri. 

Dengan kaedah terapi ini, membantu individu fokus atau memberi tumpuan pada kerja seninya. Proses ini dengan perlahan-lahan akan membantu individu mengawal kecelaruan dalam diri. Dalam proses ini, akan dapat melihat sikap individu itu dan membantu doktor atau perawat menilai kecenderungan setiap individu. 

Sebagai contoh seseorang yang mencipta lagu. Kita boleh nilai dengan penghasilan liriknya, tempo muziknya, gaya penceritaannya. Begitu juga dengan individu yang mendengar lagu sebagai medium. Kita akan menilai dari penceritaan lagu yang mereka mainkan. Contoh, muzik yang dark, lirik yang mahukan semangat, muzik yang marah-marah dan sebagainya, dari situ kita akan faham apa yang bermain dalam fikiran dan jiwa.

Metod yang sama, terpulang kepada situasi dan keadaan. Dalam proses rawatan, motivasi, pujukan dan lain-lain.

Fungsi Terapi Seni Dalam Pemantapan Emosi

Mengesan tingkah laku individu yang mempunyai masalah psikologi emosi melalui hasil kerja. Setiap orang tidak ada keyakinan yang sama, tidak semua orang mampu meluahkan secara lisan, berkongsi dengan orang lain dan melalui terapi seni adalah salah satu caranya. 

Kaedah-kaedah ini membawa maksud supaya kita tidak mengenepikan individu yang berbeza kayakinan. Terapi Seni adalah seperti seorang yang bermain chess (buah catur). Dengan menggerakkan baduk, kita dapat meneka strategi dan pertahanan pihak lawan dan dalam masa yang sama kita tahu bagaimana individu bertindak melalui fikiran dan jiwanya. 

Ada individu yang mudah mengalah, ada individu yang sambil lewa, ada individu yang awalnya mudah teruja dan lama-kelamaan mudah bosan. Begitu juga ada individu yang suka menyerang, ada individu yang defensif, ada individu tidak fokus, ada individu mudah hilang strategi. Chess bukan soal menang atau kalah, dalam proses terapinya adalah soal apa yang menjadi kebiasaan kita.

String Art 

Apa itu string art? 

String art adalah sebuah penghasilan seni yang agak rumit daripada mengetuk paku dan kemudian melilit benang. Ketekunan yang konsisten akan dapat menghasilkan produk yang baik.

Daripada sebuah imej atau gambar yang dilukis atau dicetak ke atas permukaan papan, kemudian gambar itu akan digantikan dengan susunan paku, kemudian dililit pula dengan benang supaya menjadi garisan lukisan yang asal. Rumit tetapi tidak menelan kos yang tinggi. 

Tapi tahukah anda, string art telah menjadi aktiviti anak-anak autisme di Indonesia yang dijayakan oleh kolektif dan individu di sebuah tempat. Ramai anak-anak autisme tempatan disana menjadikan string art sebagai aktiviti terapi mereka. Galakan aktiviti ini sehingga menarik perhatian NGO dan juga pihak kerajaan. 

Selain itu, String Art di Indonesia telah mencipta rekod nasional daripada penghasilan kerja seorang lelaki berusia 17 tahun pada tahun 2011 dan juga berjaya mencipta #StringArtIndonesia oleh Erwin Setyawan Ibrahim di laman media sosialnya. Dia telah menghasilkan sebuah imej peta Indonesia dan sudah tidak asing lagi bahawa string art adalah satu cabang seni yang diraikan. Begitulah Indonesia, budaya kesenian dan juga seumpamanya mendapat sambutan yang baik, di arus perdana mahupun underground.

Walau bagaimana pun, di serata dunia, seni ini memang telah lama populer. Boleh sahaja buat carian di internet, macam-macam jenis string art yang ada. Dari ukuran matematik, kepada konsep 3D, geometri, dan instalasi. Menurut rujukan, string art awalnya berasal dari aktiviti “curve stitch” yang ditemukan oleh Mary Everest Boole, seorang ahli matematik dari Inggeris pada abad ke-19. Mary membuat string art untuk menjelaskan konsep matematik supaya mudah difahami oleh kanak-kanak tentang algebra dan geometri, kemudian menerbitkan sebuah buku philosophy and fun of algebra mengenai penjelasan metod pembelajaran yang menggunakan string art sebagai kaedahnya.

Apa lagi yang ada pada string art ini adalah tentang mengasah kesabaran dan ketelitian yang tinggi. Ramai orang boleh mengetuk paku, ramai orang boleh melilit benang, tapi tak semua orang mampu menghasilkan string art sebagaimana yang telah dihasilkan oleh bakat-bakat yang ada. Dalam tajuk Seni Terapi sangat sesuai jika string art salah satu kaedah yang diusahakan. 

Tapi kita tak bercakap pasal metod untuk pesakit yang mahu dirawat, cuma artis yang menghasilkannya. Selepas melihat Redo dari Kolektif Naratif menghasilkan string art untuk papan tanda program Alir Cahaya, penulis cuba memahami apa yang ada pada Redo daripada ketelitian dan kekemasan yang terhasil, memang tidak ramai yang sanggup. Ada beberapa carian di internet telah dibuat, jika membezakan hasil string art yang hanya sebuah lukisan hati/love dan apa yang Redo buat, jauh berbeza kesabaran yang perlu ada.

Ada juga beberapa hasil string art yang ada di internet, sangat mengagumkan bilamana hasilnya amat terperinci, seperti contoh imej mata, rambut dan potret dihasilkan dengan teknik string art. Banyak teknik lain seperti melukis, mewarna semuanya sudah biasa kita lihat, tapi teknik string art ini agak mengagumkan, kerana kerja-kerjanya makan masa hampir sebulan untuk satu produk bergantung pada design.

Penulis ada bercakap dengan seorang lagi kawan, jika melihat apa yang Redo lakukan memang sah ini terapi yang sesuai terhadap orang-orang yang fokus, sabar, teliti, mementingkan kekemasan, jenis yang memikirkan satu hal terlalu lama untuk memuaskan fikiran sendiri dan seumpamanya. 

Daripada mahu mengetuk paku sahaja memerlukan masa yang lapang dan agak lama, hampir dan lebih 1000 batang paku untuk satu imej sahaja, dan memerlukan lagi masa seterusnya untuk melilit benang sahaja. Mencabar! 

Pendapat penulis, kita boleh memahami Redo bahawa dia seorang yang agak agresif di dalam fikirannya dan dengan menghasilkan string art dia mampu menghabiskan masa yang lama, terlihat pula segala ketelitian seperti yang dihasilkan. Boleh dikatakan seperti, perlahan-lahan asalkan selamat dan sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Mungkin? 

Ada sedikit soal-jawab bersama Redo ketika kami melawat kerja-kerja pendokumentasian program Alir Cahaya.

  1. Bila Redo mula buat string art ini? 

Aku mula sejak 2016 waktu bersama kolektif Rumah Bayang kat Ampang. Waktu itu ditekankan, setiap orang perlu menjadi produktif tak kira apa pun caranya, apa pun kerjanya bagi re-build balik kolektif yang baru. 

Aku blur, tapi aku terfikir, sebelum aku pindah ke Ampang, aku pernah terinspirasi dengan teknik ni melalui satu slot di tv, dalam kerja-kerja dekorasi orang perempuan, slot WHI (Wanita Hari Ini) kot. Lepas je aku tengok step diaorang buat, aku try dan jadi. Pada aku teknik ni simple

So, selain kami menerbit buku, aku buat string art ni berkali-kali. Siap pernah kena marah, apasal aku buat ni lama sangat. Geram je, ingat aku saja-saja nak lama ke? Masalah buat string ni untuk aku adalah kesan sakit belakang badan hingga ke pinggang. Aku kalau dah buat string ni, semua kerja aku tinggal. 

Lama-lama tu, aku dah buat, aku try pula untuk jual. Bila jual murah, kawan-kawan tegur aku, cakap tak berbaloi walaupun kosnya rendah. Masa yang terbuang hampir sebulan siapa yang nak tanggung? Macam tu lah. Aku pun jual mahal ikut kesesuaian, tapi customer pula macam lekehkan aku, customer pula tak nak beli sebab mahal. So, end up, aku give up, lama aku stop. Fokus kat kerja-kerja penerbitan.

Balik sahaja Johor, aku try buat balik dengan kira-kira masa dan hari yang perlu aku luangkan untuk satu artwork. Aku eksperimen semua material, aku pilih konsep design macam mana perlu aku buat. Dan pernah terjual hampir 50pcs papan tanda nama couple. Lepas tu aku stop balik sebab aku tak plan pun untuk serius. Lagipun aku masih buat kerja penulisan dan penerbitan lain. Macam tu lah.

  1. Redo tahu kan, program Alir Cahaya ini selain projek art installation, juga membawa tema Seni Terapi? 

Oh. Tahu. So kau nak cakap aku sedang berterapi lah ni? Entahlah. First, aku buat string art ni semata-mata sempena Alir Cahaya sebagai kontribusi, sebab ini adalah program art selain daripada memikirkan hal keuntungan. Banyak je orang request nak buat sebelum ni, aku tolak mentah-mentah, aku tak sanggup. Aku fikir, kalau aku nak buat balik, aku memang akan letak harga yang tinggi. Lepas tu, aku ada fikir nak buat untuk exhibition, tapi semua ni merugikan masa aku, lagi-lagi waktu endemik macam ni. Jadi aku fokus je dengan kerja penulisan yang lebih konsisten buat masa sekarang. 

Kedua, aku betul-betul suka buat string art ni. Aku rasa bangga diri, ramai kawan-kawan kata, masterpiece art di kolektif Naratif adalah string art. Aku kembang hidung, mendabik dada. Rasa nak bagitau semua netizen yang lain. Sampai macam tu, tapi aku takda peluang tu semua. Aku perlukan persediaan emosi dan kesihatan yang baik. Jujur cakap, letih buat ni. Aku tak suka buat yang kecil-kecil, string art buat ukuran saiz besar, puas, tidak terbatas untuk imej yang mahu dibuat tapi itu lah, letih dan untuk siapa pula aku perlu buat.

Ketiga, pasal terapi seni, tak tau lah apa yang korang fikirkan. Aku tak tau nak istilahkannya macam mana, tapi aku enjoi. Aku kalau buat string ni, memang fokus, setiap kali aku buat aku ada satu perangai yang aku akan berhenti seketika dan merenung lama proses artwork ni. Kadang hampir setengah jam. Kerap kali, aku tenung, aku taksub, aku over deep dalam fikiran aku sendiri, pastu sambung. Aku suka sangat bila paku tu terususun, benang yang dililit tu kemas. Aku pernah buat ni sama-sama dengan kawan di Ampang lama dulu. Aku tak suka sebab diaorang jenis cincai, asal boleh, lepas tu cakap “standart lah, art“. 

Maksud aku, aku boleh buat lebih baik dari ni. Aku kalau benda tu comot, aku cancel je due date yang ditetapkan. Teliti kot. Tapi kawan-kawan aku pula annoying dengan aku. So, itu je lah aku boleh katakan.

Kalau nak kata string art membantu aku menjadi lebih rasional atau seumpamanya, aku rasa, aku yang membawa diri aku sendiri ke dalam string art ni, bukan string art membawa aku. Aku akan jadi macam stoner ganja yang boleh berfikir lama, entah apa-apa perkara. Macam tu lah. 

Kehidupan seharian aku memang overthinking, aku selalu berhati-hati supaya sikap aku ni tak terbawa-bawa kepada orang lain. Maksud aku, aku tak nak sikap aku ni terkeluar bila dengan kawan-kawan, biasanya aku macam ni bila sorang-sorang, bila kat luar aku chill, kawal pernafasan, tenang-tenang, takut membataskan kerja aku dan orang tak selesa nak berkawan dengan aku. 

So, bila aku buat string ni, fikiran aku pada kebiasaan hari-hari biasa, akan berubah. Aku still dalam overthinking, tapi fikiran aku tak stress, aku tak memikirkan hal-hal stress, aku banyak fikir benda yang menarik, aku taksub dengan diri sendiri, bakat sendiri, memang berbeza. Aku buka lagu-lagu yang mendatangkan semangat, lagu-lagu rancak berjam-jam. Berbeza bila aku tak buat string ni, fikiran aku banyak kepada hal-hal stress, tak puas hati, marah-marah, banyak fikir hal sadis, hal mengecewakan, kehidupan, apa semua ni lah. 

Betul, string art membuatkan aku berfikir hal yang lain, hal yang santai. Aku fikir pasal art, aku fikir benda yang merangsang motivasi aku. Macam tu lah. Tapi aku tak lah jadikan string ni macam dadah, aku akan secara tak sengaja je. Contoh, time aku buat Alir Cahaya ni, aku amik masa untuk fikir dah lama sebelum aku buat keputusan nak membuatnya. Bila ready, aku buat. Mental dan kesihatan aku dah ready, so time macam tu lah. Sebenarnya tak sedar pun apa kita perlukan, tapi bila ada soalan macam ni, buat aku terfikir. Ini ke terapi? 

  1. Selain string art, apa lagi Redo buat? 

Aku ada buat kolaj, aku menerbit Zine Dari Johor dan aku suka buat lagu. Lagu yang aku buat saja dah ada 30 buah, tidak di terbit dimana-mana, simpanan aku sendiri, ready untuk projek rakaman nanti.

Ha, ni pun art. Tapi antara ni semua dgn string art, agak lain lah fokus aku. Kalau kolaj, artwork aku semua tajuk-tajuk protes, zine pun sama, semua isu-isu politikal, isu serius. Kalau buat lagu, semua dari perasaan kotor yang ada dari hati, aku bawa keluar, luahkan. 

Stress tau. String art aku buat benda yang luar dari kebiasaan aku fikir. Jadi, dia akan lari jauh. Mungkin ini terapi aku. Tapi, biasanya, start je aku berkarya, aku tak fikir pun pasal terapi, aku fikir ianya kerja. Aku rajin, aku ada habuan. Tapi nak cakap string art salah satu medium terapi, aku setuju.

Aku banyak juga research pasal hala tuju string art ni, selain menjadi komersial, ada je menjadi medium terapi. Tapi kalau saiz besar-besar yang aku buat, memang fokusnya ke arah komersial lah. Cuma ketidaksadaran ketika proses kita melakukan itu yang tak nampak ia sebagai terapi. Aku juga ada berkawan dengan individu yang mengalami dipresi, banyak artwork diaorang cantik nauzubillah, creepy pun ada, kusut pun ada. Bila kita sama-sama sharing pasal hal ni, banyak benda yang kita kongsikan antara art dan terapi. Pada aku bukan benda baru, cuma untuk aku meletakkan diri aku di satu tempat dan makna, aku tak sure.

Ada juga seorang kawan pernah bagitau, dia tengok aku buat string art, dia cakap aku ni orang yang jenis rumit buat keputusan, berkecamuk. Ada juga yang kata, dari kekemasan string art yang terhasil, nampak fokus yang perlukan masa terluang. Aku pun tak faham.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *