Shamsiah Fakeh: Menyusur Hidup Seorang Perempuan Merdeka

Oleh: Iltizam Iman

Sebenarnya aku bukanlah pemimpin wanita Parti Komunis Malaya atau seorang tokoh wanita yang terkemuka. Aku hanya seorang pejuang wanita yang berjuang melawan British untuk kemerdekaan tanahair dan untuk emansipasi (kebebasan) wanita.”
– Shamsiah Fakeh –

1924 – 1930: Kehidupan Awal

Seorang anak berketurunan Minangkabau, Shamsiah Binti Fakeh Sutan Sulaiman dilahirkan di Kampung Gemuruh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 1924. Merupakan anak kedua dari lapan orang adik beradik, bapanya adalah seorang perantau dari Minangkabau, Sumatera Barat.

Shamsiah dilahirkan dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan, bapanya menyara mereka sekeluarga melalui hasil jualan sayur, ikan dan ubat-ubatan yang diproses sendiri.

Ibunya bernama Samaah Nonggok, menjalankan perniagaan menjaja kain yang diambil dari kedai besar bagi membantu bapanya memenuhi ekonomi keluarga. Sejak awal pagi lagi ibunya sudah keluar untuk berjaja dan pulang pada waktu senja.

1931 – 1940: Pendidikan Awal

Shamsiah Fakeh mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kampung Parit, Kuala Pilah pada 1931 ketika berumur 7 tahun. Kemudian berpindah ke Sekolah Melayu Bandar di Kuala Pilah sehingga kelas lima.

Suntikan Semangat Nasionalisme

Sekolah agama Diniyah Putri Rahmah al-Yunusiah Padang Panjang ketika itu adalah sekolah kaum muda yang terkenal di dunia Minangkabau. Selain mengutamakan pendidikan agama, sekolah itu juga giat mendidik dan menanamkan semangat Nasionalisme ke dalam jiwa anak-anak mudanya. Di sinilah bibit-bibit awal semangat anti penjajahan tertanam di dalam jiwa Shamsiah.

Sekolah ini juga memiliki mata pelajaran khusus untuk menanam dan membangkitkan semangat nasionalisme, cintakan tanah air dan menentang penjajah. Para pelajar selalu diingatkan untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan dan bertanggungjawab untuk membebaskan anak bangsa dari belenggu penjajah.

Pada setiap pagi, mereka akan menyanyikan lagu Indonesia dengan penuh semangat, dan diakhiri dengan kepalan tangan dalam laungan lantang kata “Merdeka!” berulang-ulang kali. Di sekolah itu juga mereka dipersiapkan untuk menjadi pemimpin. Kecekapan gerak kerja, ketajaman berhujah dan mengasah idea-idea secara kritikal dibangunkan di dalam diri siswa dan siswinya.

1940: Pulang ke Tanah Air

Tetapi pembelajaran di situ hanya dapat berlangsung selama dua tahun sahaja. Beliau bersama adiknya terpaksa dibawa pulang ke Tanah Melayu oleh bapanya pada 1940 akibat pergolakan dunia semakin meruncing menjelang letusan Perang Dunia Kedua. Orang tuanya berasa amat risau jika tidak membawa anak-anaknya pulang apabila mempertimbangkan keadaan dunia ketika itu.

Sekembalinya ke Tanah Melayu, Shamsiah melanjutkan pelajaran di Madrasah Aliyah Islamiah atau Islamic High School, di Pelangai, Kuala Pilah. Sekolah tersebut didirikan oleh Tuan Guru Mohammad Maadah Layang. Kaedah pendidikan di sekolah ini telah mengalami satu bentuk pembaharuan yang progresif.

Mata pelajaran utama di sini adalah al-Quran dan Hadis. Pelajar harus belajar kaedah terjemahan al-Quran dan Hadis secara harfiah, kata demi kata. Dalam masa 2 tahun saja, setiap pelajar telah mampu menterjemahkan 30 juzuk al-Quran.

Selain itu, sekolah ini menggunakan kitab-kitab asli berbahasa Arab tulisan para ilmuwan luar negeri, berbeza dengan sekolah pondok lain yang rata-ratanya menggunakan kitab terjemahan atau kitab-kitab tempatan berbahasa Melayu.

Kaedah pembelajaran di sekolah ini telah menjadikan siswa-siswi memiliki kemahiran ilmu terjemahan. Pada masa yang sama, kaedah pembelajaran di sini juga amat menitik beratkan semangat kemerdekaan. Hampir kebanyakan lepasan pelajarnya menceburkan diri dalam pentas politik dan perjuangan kemerdekaan.

Tetapi malangnya, beliau hanya dapat bersekolah di sini selama 1 tahun kerana harus berkahwin dengan suaminya yang pertama iaitu Yasin Kina pada 1941. Perkahwinan tersebut bertahan kira-kira selama 3 tahun sehingga 1944.

Sepanjang hidup beliau pernah berkahwin sebanyak lima kali, ini termasuklah bersama Wahi Anuwar, J.M Rushdi, Ahmad Boestamam ketika mereka sedang giat berjuang di dalam API dan AWAS, dan terakhir yang kekal sehingga ke penghujung hayat adalah Ibrahim Mohamad.

1945: Bermulanya Perjuangan Shamsiah Fakeh

Semangat perjuangan Shamsiah telah tertanam semenjak bersekolah di Sumatera Barat, dan semangatnya menjadi semakin kuat ketika mendalami ilmu tafsir di Bagan Serai, Perak. Kemudian, semangat itu menjadi sebati melalui pidato-pidato perjuangan yang dilontarkan oleh para pemimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Dalam tindakan-tindakan Shamsiah dalam pergerakan, dapat dilihat perjuangannya terbahagi kepada dua jalan iaitu (1) perjuangan pembebasan para wanita dan (2) perjuangan kemerdekaan anak bangsa Tanah Melayu.

Sejak tahun 1945, beliau giat menghadiri kegiatan-kegiatan anjuran PKMM. Penglibatan tersebut memperlihatkan semangatnya yang besar dalam perjuangan kemerdekaan. Sebelum terlibat secara langsung di dalam pergerakan PKMM, beliau sering diundang untuk berpidato di beberapa tempat. Hujah-hujahnya yang tajam dan berapi telah mendapat perhatian dari barisan pimpinan Kesatuan Melayu Muda (KMM).

Dalam satu pertemuan PKMM di Seremban, pidato Shamsiah telah mendapat sambutan yang kuat kerana semangat dan kecerdasan hujah-hujahnya. Kemudian, pidato tersebut disiarkan di akhbar Utusan Melayu pada keesokan harinya. Rentetan itu, Musa Ahmad datang kepada Shamsiah dan menjemput beliau untuk mengetuai sayap wanita PKMM bagi menggantikan tempat Aishah Ghani.

Tawaran tersebut disambut baik oleh beliau. Burhanuddin al-Helmy bersama Musa Ahmad dan Abdullah CD juga telah menemui kedua orang tuanya bagi mendapatkan restu agar Shamsiah dapat memimpin barisan perempuan PKMM. Keluarganya memang memiliki semangat anti-penjajah yang kuat, yang mahu kemerdekaan itu wujud buat setiap anak bangsa. Tanpa berlengah, kedua orang tuanya merestui undangan tersebut dengan hati yang sangat terbuka. Maka, bermulalah bait-bait perjuangan kemerdekaan beliau yang dipenuhi dengan jerih payah.

Dalam PKMM

Pada awal penglibatan beliau bersama PKMM, beliau selalu mengibaratkan dirinya sebagai ‘akar’ dan bukannya ‘rotan’. Beliau selalu mengatakan yang dirinya adalah pemimpin yang dipimpin, bukanlah pemimpin utama yang menentukan kejayaan PKMM.

Barisan PKMM

Penglibatan beliau juga memperlihatkan kegigihan dan ketekunan yang tinggi dalam mendalami ilmu-ilmu pergerakan. Beliau banyak belajar dari barisan pimpinan PKMM melalui cara mengikuti pergerakan mereka untuk memberi pencerahan tentang perjuangan kemerdekaan dan membangunkan semangat kesatuan di mana-mana daerah.

Lahirnya AWAS

Barisan sayap wanita PKMM ini kemudian diperkenalkan sebagai Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Gerakan yang memperjuangkan tuntutan hak keadilan buat kaum perempuan melalui perjuangan kemerdekaan tanah air. Kata keramat mereka adalah “Tangan yang mengayun buaian itu boleh menggoncangkan dunia.”

Di bawah pimpinan Shamsiah Fakeh, AWAS menjadi lebih teratur dan maju. Kekuatan gerakan wanita ini bukan saja aktif di bandar-bandar utama, malah di kampung-kampung juga. Pada ketika itu, AWAS dan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam sering bergerak bersama ke semua negeri untuk membangun dan mengukuhkan kesatuan pemuda-pemudi progresif.

Perempuan Merdeka

Tak dapat disangkal, motivasi utama Shamsiah dalam perjuangan adalah pembebasan bangsa dan tanah air. Ini termasuklah kemerdekaan wanita dari tekanan adat dan budaya yang memundurkan bangsa.

Sebagai perempuan yang hidup di zaman sebelum perang, beliau juga tidak terlepas dari menjadi subjek penindasan para lelaki. Pernah diceraikan secara tidak baik oleh suaminya yang pertama ketika sedang sarat mengandung lapan bulan, pernah juga dizalimi oleh suaminya yang terkemudian yang merupakan mata-mata Jepun.

Waktu mudanya, beliau banyak melihat penderitaan kaum ibu yang diceraikan setelah beranak-pinak. Begitu juga keadaan poligami yang tidak menurut syarak, beliau menentang keras pelaksanaan poligami yang membelakangi prinsip-prinsip keadilan; yang menggunakan alasan agama dan sunnah, hanya untuk memenangkan nafsu kebinatangan.

Taraf harga diri seorang perempuan ketika itu membuatkan Shamsiah semakin berkobar-kobar untuk memerdekakan anak bangsa dan negara. Kerana penindasan yang berlaku terhadap para perempuan, adalah satu cerminan kepada keadaan minda politik tanah air yang sedang terjajah.

Diri Shamsiah Fakeh itu sendiri adalah satu bukti dan teladan, bahawa para perempuan harus tegas dalam menempa kebebasan. Perempuan harus tidak berputus asa, tetap kekal mandiri, walaupun ketika berdepan dengan ujian-ujian yang mematahkan kaki mereka untuk terus berdiri di atas kaki sendiri.

Agama Pembebasan

Dalam pidatonya, beliau sering mengambil firman dan hadis untuk dijadikan hujah. Beliau mahu semangat para wanita benar-benar bangkit menentang segala bentuk penindasan. Beliau mengetengahkan Aisyah R.A sebagai teladan. Dalam sejarah tamadun Islam, Aisyah R.A adalah seorang perempuan progresif yang menguasai keluasan ilmu pengetahuan, memiliki jiwa yang bebas dan berkemampuan untuk mengepalai sebuah bala tentera perang.

Beliau sedar, fungsi wanita bukan saja di rumah mengurus perihal kekeluargaan. Tetapi juga bersama para lelaki, untuk membebaskan umat manusia yang tertindas dan dizalimi. Kerana lelaki dan wanita memiliki fungsinya tersendiri, maka mereka harus bersatu dalam membangunkan cita-cita pembebasan.

Ketika memimpin AWAS, beliau banyak menyumbang kepada pergerakan kaum perempuan. Banyak program-program dijalankan di ceruk kampung untuk membangunkan pemikiran dan ilmu pengetahuan kaum perempuan yang terpinggir. Seperti mana pameran kraf tangan dan kerja kreatif yang dianjurkan sewaktu acara perayaan PKMM Jenderam, Selangor.

Beliau percaya perempuan-perempuan di kampung harus memahami dunia luar, mengenal huruf, mampu menulis dan membaca. Bagi mempercepatkan pembangunan minda para perempuan, Shamsiah menekankan perempuan harus membeli dan membaca surat khabar. Ia merupakan satu lumrah bagi orang terpelajar apabila memaknai fungsi pendidikan untuk pembangunan masyarakat.

Selain pendidikan, Shamsiah juga berperanan penting dalam pengumpulan dana bagi mengukuhkan aksi-aksi perjuangan. Beliau berjaya meyakinkan para perempuan yang menjadi buruh di landang-ladang getah dan petani di sawah bendang, untuk mengasingkan sedikit hasil titik peluh mereka pada setiap hari untuk dimasukkan ke dalam tabung pergerakan. Para suri rumah tangga yang tidak bekerja juga diminta agar dapat mengasingkan segenggam beras tiap-tiap hari agar dapat dikumpul dan dijual bagi menampung kos pergerakan.

Sesuai dengan keadaan ekonomi masing-masing, beliau hanya meminta para wanita untuk menyumbang mengikut kemampuan. Namun, ramai yang sanggup mengeluarkan emas perhiasan mereka demi membiayai perjuangan. Pengorbanan harta benda itu sekali gus telah meningkatkan semangat perjuangan di dalam jiwa mereka.

1948: Menganggotai Parti Komunis Malaya (PKM)

Pada 1948, beliau telah menganggotai Parti Komunis Malaya (PKM) secara sah. Ketika itu nama Parti Komunis Malaya masih bersih dan belum ada momokan negatif mengenainya. PKM masih belum lagi diharamkan British dan ibu pejabat mereka juga berdiri teguh di Kuala Lumpur. Disebabkan itu, amat ramai orang-orang Melayu menyertai Parti Komunis Malaya sebagai jalan untuk menentang penjajah.

Namun, keadaan menjadi semakin tegang dan cita-cita kaum buruh tani semakin ditindas oleh British menjelang April 1948. Ramai yang terpaksa melarikan diri dari Kuala Lumpur ke Kampung Lubuk Kawah di Temerloh, Pahang untuk menyembunyikan diri demi menjaga gagasan komunisme. Di Kampung Kawah mereka terpaksa bergerak secara gerila selama sebulan dan kalau-kalau tentera penjajah datang meronda, mereka perlu mundur ke pinggir hutan sehingga tentera penjajah itu pergi.

Untuk mempersiapkan diri, mereka mengadakan latihan ketenteraan di hutan Lubuk Kawah tersebut. Selain itu, kursus politik dan ideologi juga diadakan di situ. Latihan ini dihadiri oleh kader-kader Parti Komunis Malaya berbangsa Melayu dari seluruh tanah air.

Dalam lebih kurang 30 orang yang mengikuti kem ini, hanya 2 orang perempuan yang terlibat iaitu Zainab Mahmud dan Shamsiah Fakeh sendiri.

Semasa kem latihan ini diadakan, kader-kader dibekalkan dengan ilmu dan gerak kerja organisasi masyarakat. Ini termasuklah ilmu-ilmu pengurusan sumber makanan, bekalan dan latihan asas ketenteraan. Setelah itu, kader-kader pulang ke negeri masing-masing untuk menjalankan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

Setelah Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948, ramai dari anggota sayap kiri diburu dan ditangkap penjajah British. Ramai juga yang terpaksa menghilangkan diri dari kampung halaman demi keselamatan anak dan isteri. Undang-undang tersebut juga telah mengharamkan parti-parti sayap kiri seperti PKM, PKMM, AWAS, API, PETA, Barisan Tani Malaya, Hizbul Muslimin, Liga Pemuda Demokrasi, Kesatuan Buruh dan beberapa lagi. Ramai pejuang-pejuang yang terdiri dari lelaki dan perempuan ditangkap, disiksa, dihukum gantung dan dibuang ke luar negeri.

1949 – 1955: Rejimen Ke-10

Walaupun parti-parti sayap kiri diharamkan kesemuanya, tidak bererti semangat perjuangan berjaya dipadam. Malah, semangat untuk menuntut kemerdekaan jadi semakin berkobar. Akibat perjuangan ‘jalan damai’ melalui pertubuhan diharamkan, ramai anggota dari sayap kiri memilih ‘jalan kasar’ dengan menyertai Rejimen Ke-10 dan mengangkat senjata.

Semenjak Rejimen Ke-10 ditubuhkan, Shamsiah bergerak aktif bersama pasukan yang dipimpin oleh Wahi Anuwar. Shamsiah bertanggungjawab sebagai penyusun dan penggerak masyarakat. Beliau akan masuk ke kampung-kampung untuk berjumpa dan memberi penerangan kepada masyarakat tentang perjuangan bersenjata melawan penjajah British.

Parti Komunis Malaya (Rejimen ke-10)

Pada penghujung tahun 1949, pasukan induk Rejimen Ke-10 seramai 300 orang Melayu telah bergerak ke Utara dari Temerloh untuk membuka sebuah daerah bebas. Antara yang turut serta dalam perjalanan itu adalah Abdullah CD, Musa Ahmad dan suaminya Wahi Anuwar. Ketika itu juga Shamsiah sedang sarat mengandung anaknya bersama Wahi Anuwar.

Sesampai di Mentakab, rombongan mereka diserang pihak British. Ada yang sempat melarikan diri, manakala ada juga yang terpaksa menyerahkan diri kepada tentera Berikat. Pasukan Parti Komunis Malaya terpecah-belah. Sewaktu dalam pelarian, Shamsiah telah hampir dengan waktu melahirkan, pasukan mereka terpaksa mendirikan khemah di suatu tempat sehingga beliau selamat melahirkan kandungannya.

Saat Getir

Apa yang diceritakan dalam memoir Shamsiah, selama 4 hari beliau tersesat di dalam hutan bersama bayinya tanpa makanan dan pakaian. Beliau menghadapi pelbagai peristiwa getir dan pahit bersama anaknya. Apabila beliau telah bertemu kembali dengan anggota Parti Komunis Malaya yang lain, mereka memberitahu bahawa Wahi Anuwar telah menyerah diri kepada British. Itulah kali terakhir Shamsiah bertemu dengan suaminya buat seumur hidup.

Dalam keadaan yang berkecamuk itu, Shamsiah disarankan agar anaknya itu dipelihara oleh seorang Cina yang akan kembali ke negara asalnya. Setelah keadaan menjadi reda nanti, beliau boleh mencari mereka di Cina. Demi keselamatan anaknya, Shamsiah terpaksa bersetuju dengan cadangan itu.

Tetapi pada 1952, Musa Ahmad telah memberitahu kepada Shamsiah tentang perkara sebenar, bahawa anaknya itu telah dibunuh oleh tiga orang Parti Komunis Malaya yang lain, antara salah seorangnya adalah pengurus PKM setempat. Mengikut undang-undang parti, seharusnya ketiga-tiga orang yang bersekongkol untuk melakukan pembunuhan itu harus dihukum mati.

Tetapi memandangkan Parti Komunis Malaya amat memerlukan tenaga kerja, mereka diberi keampunan melalui kerahan tenaga yang keras untuk menjalankan kerja-kerja revolusi. Walaupun hatinya sangat luruh, tetapi demi cita-cita kemerdekaan beliau menerima takdirnya.

Akhbar Pencinta Tanah Air

Kemudian Shamsiah ditugaskan ke Perak untuk menerbitkan akhbar Pencinta Tanah Air. Ia adalah akhbar bulanan yang melaporkan berita sekitar serangan dan pertempuran Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) di setiap tempat. Ketika itu beliau pergi bersama tujuh orang yang lain, dan dicatatkan bahawa beliau berada di sana selama hampir setahun sebelum mengikuti misi perjalanan jauh Pasukan Rejimen Ke-10.

Di tahun berikutnya, pada awal 1953, Markas Agung TPNM dan pengurus Pusat PKM memutuskan untuk memindahkan Rejimen Ke-10 ke bahagian Utara, betul-betul di perbatasan Malaya-Thailand bagi membentuk pangkalan perang yang baru.

Maka pada bulan Mac 1953, pasukan Rejimen Ke-10 berkumpul di Kerdau untuk dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Biro Utara dan Biro Selatan. Shamsiah berada di dalam Biro Utara yang dinamakan Pasukan Hang Jebat. Beliau bergabung dengan Pasukan Hang Jebat ini setelah pasukan ini tiba di Perak.

Serangan Hulu Kinta

Kerja-kerja penerbitan dan propaganda masih berjalan lancar sehinggalah pada ketika itu, namun selepas serangan udara secara besar-besaran dilakukan oleh British di Hulu Kinta pada 8 Julai 1954 telah melumpuhkan kegiatan penerbitan yang berjalan. Mengikut catatan sejarah, serangan ini merupakan serangan udara terbesar yang pernah berlaku sepanjang Perang Pembebasan Nasional Anti-British Pasukan Komunis Malaya.

Yang bertanggungjawab mengarah serangan ini adalah Jeneral Bonn, seorang Panglima Gerakan British di Malaya. Serangan ini telah dilaporkan oleh badan-badan media British dengan perincian yang lengkap; kapal terbang pengebom berulang-alik melepaskan peluru dan bom kira-kira 22 kali sehari, melibatkan 55 buah kapal, dan serangan tentera-tentera yang diturunkan menggunakan payung terjun setelah pengeboman.

Mujur, pasukan Hang Jebat Rejimen ke-10 yang dipimpin Abdullah CD terselamat dari serangan tersebut. Seterusnya, mereka berpindah ke Hulu Kelantan dan melepasi sempadan Malaya-Thailand melalui Kampung Hala pada 7 Oktober 1954.

Di perbatasan sempadan Malaya-Thailand ini, Shamsiah ditugaskan bekerja dengan masyarakat untuk menata kampung. Selama lebih kurang 2 tahun, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengurus sektor propaganda dan percetakan Rejimen ke-10 sehinggalah beliau menikah dengan Ibrahim Mohamad pada 1 Jun 1956.

1956 – 1957: Berangkat ke China

Pada 1955, ketika persidangan Soviet Union diadakan, nama Shamsiah Fakeh tercalon sebagai pengurus Gabungan Persatuan Perempuan Demokratik Sedunia yang berpusat di Paris, Perancis.

Kemudian, pada pertengahan 1956, seramai 6 orang anggota PKM telah dihantar ke China untuk menyambung pelajaran. 6 orang tersebut adalah Shamsiah, Ibrahim Mohamad dan Mat Amin mewakili Rejimen ke-10, manakala Chen Tan bersama dan Siew Mei mewakili Rejimen ke-8. PKM mengirim mereka berenam belajar ke China bertujuan agar usaha mobilisasi dan merekrut orang Melayu ke dalam komunisme dapat berjalan lebih lancar.

Tetapi rancangan itu terpaksa ditangguhkan akibat situasi darurat yang berlaku di Thailand. Setelah keadaan pulih, mereka mengatur kembali perjalanan tersebut. Atas dasar keselamatan, mereka mengatur 2 perjalanan berbeza. Perjalanan pertama didahului oleh Shamsiah Fakeh, Siew Mei dan isteri Chen Tan. Kemudian diikuti oleh Ibrahim Mohamad, Mat Amin dan Chen Tan.

Ketika itu Shamsiah sedang mengandungkan anaknya yang pertama bersama Ibrahim Mohamad. Walaupun begitu, ia tidak menjadi penghalang untuk mereka meneruskan perjalanan. Shamsiah bersama dua anggota yang lain berangkat melalui Betong, kemudian melanjutkan perjalanan ke Haadyai menggunakan teksi dan seterusnya ke Bangkok menaiki kereta api. Setibanya di Bangkok, mereka ditempatkan di sebuah hotel selama sebulan sebelum menaiki kapal Denmark ke China melalui jalan laut.

Mereka selamat sampai di San To, China yang mengambil masa seminggu pelayaran. Di sana, mereka disambt oleh 2 orang petugas Parti Komunis dan wakil pmerintah China. Seterusnya mereka berangkat ke Beijing dan tiba di sana pada penghujung April 1957. Mereka disambut oleh wakil Pengurus Pusat di Beijing dan ditempatkan di asrama nombor 5 Rumah Penginapan Tamu di bawah jagaan Dewan Negara, Pejabat Perdana Menteri China. Pada 19 Julai 1957, Shamsiah telah melahirkan anaknya di Rumah Sakit Tentera Pembebasan Rakyat China.

1959 – 1964: Dari Beijing ke Vietnam

Tiga tahun kemudian, pada 1 Mac 1959, Shamsiah bersama suaminya diminta untuk bertugas sebagai penyiar radio Bahasa Melayu di siaran Radio Beijing. Tugasan itu adalah satu usaha bagi mengukuhkan jaringan baik antara Rakyat Malaya dengan China.

Tetapi usaha itu hanya dapat bertahan selama 4 tahun. Pada 1963, perwakilan PKM di Beijing terpaksa menghentikan kegiatan penyiaran tersebut. Sebagai penghargaan, Ibrahim Mohamad dianugerahkan Bintang Persahabatan dari pemerintah China.

Setelah Persidangan Internasional Menyokong Rakyat Vietnam Melawan Keganasan Amerika Syarikat yang berlangsung pada 25 – 28 November 1964 di Hanoi, Shamsiah dihantar ke Vietnam untuk menemui suaminya yang menjadi wakil Malaya dalam persidangan tersebut.

Kemudian mereka bergerak ke Indonesia sebagai wakil Liga Pembebasan Nasional Malaya. Kehadiran mereka di sana disambut baik oleh wakil-wakil organisasi revolusioner Indonesia dan mendapat liputan luas dari akhbar Jakarta dan Malaysia. Mereka diberi tempat penginapan di Wisma Warta sebagai tetamu Persatuan Wartawan Asia-Afrika yang berpusat di Jakarta.

1965 – 1967: Dalam Tahanan Angkatan Bersenjata Indonesia

Ketika itu, keadaan politik sangat menggalakkan Parti Komunis untuk membangunkan Perwakilan Liga Pembebasan Nasional Malaya (LPNM) di Indonesia. Pada 2 Jun 1965, Ibrahim Mohamad diangkat sebagai Ketua Perwakilan Liga seterusnya mengisytiharkan penubuhan LPNM yang berpusat di Jalan Pasebon, No.77, Jakarta.

Liga tersebut ditubuhkan sebagai rentetan dari Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All Malayan Council for Joint Action (AMCJA) yang sebelumnya telah diharamkan British. Menggunakan bendera Sang Saka Merah Putih dengan bintang kuning di tengahnya sebagai lambang perwakilan. Tujuan utama perwakilan ini adalah untuk memerdekakan negara Malaya sepenuhnya dari pengaruh penjajah.

Selepas Partai Komunis Indonesia (PKI) melancarkan revolusi rakyat pada 30 September 1965, Shamsiah bersama Ibrahim Mohamad, Abdullah Sudin dan Eu Chooi Yip ditangkap oleh tentera Indonesia dan dibawa ke Markas Dinas Inteligen Angkatan Bersenjata Indonesia (DINSAB). Mereka berempat dipenjara di Markas DINSAB pada 17 November 1965. Mereka juga dijaga dan dipantau oleh anggota Komando Tentera Laut Indonesia yang diketuai oleh Brigadier Sugomo.

Dalam tahanan tersebut, mereka hanya diberi sebungkus nasi lemak untuk mengisi perut pada siang hari selama 2 tahun. Kenderaan milik Perwakilan Liga juga turut dirampas. Ketika disiasat, mereka berempat tegas menyatakan yang mereka tidak mempunyai hubungan dengan Gerakan 30 September tersebut, dan kehadiran mereka di sana hanyalah sebagai perwakilan yang diiktiraf oleh pemerintah Indonesia.

Pada Disember 1967, mereka berempat dibebaskan secara bersyarat. Mereka harus keluar meninggalkan Indonesia tetapi dibenarkan untuk sementara waktu berlindung di Kedutaan Vietnam Indonesia sebelum pihak Kedutaan Vietnam dan Kedutaan Republik Rakyat China siap menguruskan perjalanan mereka ke China.

Dari Jakarta, mereka terbang ke Phnom Penh menaiki pesawat Chechoslovakia sebelum transit menaiki pesawat Kemboja ke Guangzhou. Mereka perlu menunggu di Guangzhou selama seminggu kemudian barulah berangkat ke Beijing dan sampai pada penghujung Disember 1967.

1968 – 1993: Dibuang PKM, Menjadi Buruh di Tanah Besar China

Ketika itu, kesatuan komunis di dunia mengalami perpecahan. Kesannya, PKM juga menjadi porak-peranda dan terpecah kepada 3 kelompok. Kelompok pertama, mewakili PKM yang berhaluan Marxist-Leninist. Kedua, PKM Revolusioner dan ketiga, PKM Ortodoks. Ketiga-tiga kelompok ini saling tidak bersetuju dan berbalah antara satu sama lain.

Sebelum itu, sekitar awal 1960’an, Shamsiah bersama Ibrahim Mohamad dan 3 orang anggota PKM yang lain membentuk satu perkumpulan untuk mengaji pemikiran Mao Tze Tung. Perkumpulan itu juga mengkritik kesalahan-kesalahan besar PKM.

Akibatnya, mereka ditekan keras melalui cara Revolusi Besar Kebudayaan China. Shamsiah dan Ibrahim kemudiannya ditangkap oleh perwakilan PKM di Beijing. Mereka dituduh melancarkan gerakan anti-parti dan dihadapkan ke Dewan Mahkamah PKM.

Keadaan ketika mereka dibicarakan, tangan mereka diikat, kepala mereka ditempeleng-tempeleng, dipaksa melutut dan membongkok. Barisan Pemuda PKM yang memukul dan menghukum mereka memaksa mereka untuk mengaku bersalah.

Pada 1968, Shamsiah dan suaminya dipecat keanggotaan mereka. Pemerintah China ketika itu masih membenarkan mereka menetap di China sebagai bekas pejuang bekas anti-imperialis (lao kan). Walau bagaimanapun, mereka dikenakan tahanan rumah selama 2 tahun dan dikawal oleh barisan anggota PKM. Mereka juga tidak dibenarkan untuk pergi ke tempat kediaman ahli PKM yang lain dan beberapa tempat yang ditetapkan.

Pada 1972, Shamsiah dipindah bersama anggta PKM yang lain ke Hunan. Shamsiah bersama keluarganya dibawa ke Xiang Tan, sebuah kota kecil di sana. Kemudian Shamsiah dan Ibrahim dipaksa untuk menjadi buruh di kilang bearing. Mereka perlu memasang ball-bearing selama 8 jam sehari di mana Shamsiah digajikan sebanyak 59 Yuan manakala suaminya pula sebanyak 72 Yuan setiap bulan. Mereka juga diberi elaun tambahan sebanyak 90 Yuan untuk menampung 3 orang anak.

Merindui Tanah Air

Perasaan rindunya terhadap tanah air dan keluarga di kampung halaman tidak lagi dapat dibendung dari sanubari mereka. Disebabkan itu, mereka berdua membuat permohonan kepada kerajaan Malaysia pada 1985 untuk membenarkan mereka pulang ke Malaysia. Semenjak itu, pelbagai cara yang telah dilakukan oleh mereka untuk kembali ke tanah air. Dari permohonan kepada kerajaan sehinggalah bantuan dan sokongan sanak saudara mereka di Malaysia.

Tetapi semua usaha itu mula menjadi cerah setelah Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dengan PKM dan Kerajaan Thailand termeterai. Perjanjian Damai tersebut telah ditandatangani di Hotel Lee Gardens, Hadyai, Selatan Thai pada 2 Disember 1989. Melalui perjanjian itu, peperangan dan ketegangan antara kerajaan Malaysia dengan PKM yang memakan masa hampir 41 tahun telah pun berakhir. Semua bekas anggota dan tentera PKM juga dibenarkan untuk pulang ke tanah air.

1994 – 2008: Pulang ke Tanah Air, Bibit Akhir Kehidupan

Setelah menunggu sejak 1985, akhirnya pada 5 Mac 1994 Encik Kamaruddin sebagai Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di China menyampaikan berita kepada Shamsiah yang kerajaan Malaysia telah membenarkan mereka sekeluarga pulang ke Malaysia. Maka, pada 12 Julai 1994, mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Subang, Kuala Lumpur. Mereka disambut oleh pegawai dan anggota polis Cawangan Khas (Special Branch).

Walaupun tidak ditahan, tetapi mereka dibawa ke tempat peranginan pegawai kerajaan selama 10 hari atas alasan untuk membiasakan diri mereka dengan iklim di Malaysia.

Kemudian, mereka sekeluarga dijemput oleh adiknya, Haji Ramli dan dibawa ke Gombak untuk kembali bersama keluarga besarnya setelah 46 tahun terpisah. Berita kepulangan Shamsiah dan keluarga telah disiarkan dalam Utusan Malaysia dan Berita Harian pada keesokan harinya, iaitu 23 Julai 1994.

Beberapa hari kemudian media juga melaporkan kenyataan dari Persatuan Bekas Polis dan Persatuan Bekas Tentera agar masyarakat tidak mengecam dan memusuhi Shamsiah Fakeh, Ibrahim Mohamad dan bekas-bekas anggota PKM yang lain. Sehingga penghujung hayatnya, Shamsiah telah banyaki menghabiskan waktu bersama keluarga dan sanak saudara.

Suami beliau, Ibrahim Mohamad telah pergi meninggalkan dunia ini pada 2006 akibat sakit tua. Manakala Shamsiah kembali menghadap Ilahi pada pukul 9 pagi, 20 Oktober 2008 di rumah anak lelakinya Jamaluddin Ibrahim di Kondominium de Tropicana, Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur. Beliau pergi juga disebabkan oleh sakit tua, dan dikuburkan di Tapak Perkuburan Islam Sungai Besi, Kuala Lumpur pada jam 5:30 petang.

Rujukan:

  1. Wikipedia. Shamsiah Fakeh.
  2. Azar Ishak. Shamsiah Fakeh: “Aku tak menyesal lawan British, tak menyesal masuk hutan”
  3. Nelmarwani, Martin Kustati & Warnis. Kafaah Journal of Gender Studies 7(2):191. Shamsiah Fakeh: Perempuan Minang Rantau Pejuang Tanah Melayu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *