Aplikasi Bendera Putih “Sambal SOS” Dilancarkan, Sebuah Inisiatif Murni Anak Muda Malaysia

*Untuk melayari aplikasi ini, boleh terus ke laman sambalsos.com

 

Selepas pihak kerajaan melanjutkan PKP pada 28 Jun lepas, semakin ramai rakyat yang terpaksa menaikkan Bendera Putih sebagai tanda mereka sudah dalam keadaan terdesak. Semakin ramai juga rakyat yang memiliki lebihan rezeki telah bersedia untuk membantu saudaranya yang memerlukan.

Ini menunjukkan walaupun virus sedang mengancam negara, tetapi kelaparan dan kehilangan tempat tinggal sedang menjadi kerisauan utama masyarakat. Telah ramai yang kehilangan kerja, ramai yang kehabisan stok makanan, dan tak kurang juga ramainya yang sudah tidak mampu membayar sewa dan bil api air.

Rentetan dari itu, sekumpulan anak muda telah membangunkan sebuah aplikasi bagi memudahkan pengurusan bantuan kecemasan dikala pandemik yang sangat membimbangkan.

Kumpulan tersebut terdiri dari 3 orang anak muda iaitu Sidharrth, Shaun, dan Cornelius, berumur dalam lingkungan 18 hingga 21 tahun.

Mereka bertiga membangunkan aplikasi Sambal SOS dalam masa kira-kira 3 hari yang sebelum ini dikenal sebagai Bendera Putih Apps. Mereka masih berusaha untuk membaiki sebarang gangguan pepijat (bugs), sebelum dapat melakukan sebarang penambahan dan mendapatkan kerjasama dari mana-mana sukarelawan untuk menambahbaik aplikasi tersebut bersama-sama.

Sekarang ini, data-data mereka yang memerlukan bantuan dilaporkan melalui pelbagai saluran. Jadi kami hanya cuba untuk mengumpulkan data ke dalam satu tempat di mana orang ramai boleh terus rujuk ke situ. Kiranya aplikasi ini menjadi pusat pengumpulan.” Kata mereka kepada pihak media.

Lebih 50 buah foodbank telah berdaftar bawah aplikasi ini. Penglibatan dari individu, NGO, restoran, surau, kuil dan ramai lagi ahli masyarakat telah bersedia untuk menghulurkan bantuan makanan kepada masyarakat lain yang memerlukan.

Bantuan-bantuan kecemasan yang dilaporkan kebanyakannya berada di kawasan-kawasan bandar seperti Kulai, Ayer Keroh dan kebanyakan tempat di Kuala Lumpur.

Bantuan yang amat diperlukan sekarang ini adalah makanan basah dan kering, ada juga yang memerlukan bantuan kewangan untuk membayar kos sewa rumah dan bil api air.

Di Kulai, seorang pekerja kantin sekolah yang merupakan ibu tunggal kepada seorang anak, tinggal di sebuah apartmen juga sedang memerlukan bantuan akibat kehilangan kerja dan sumber pendapatan.

Di kawasan kampung, bendera putih juga dilaporkan dinaikkan oleh tiga buah rumah di Jalan Pujot 8, Lutong, Miri, Sarawak. Bermakna, aplikasi ini sedang berkembang dan mengambil masa untuk mencapai masyarakat di luar bandar.

Kita boleh lihat inisiatif murni ini sebagai pintu yang dapat mengukuhkan lagi semangat setiakawan di dalam masyarakat. Ia memperlihatkan satu masa depan masyarakat yang memiliki tatacara hidup yang mengamalkan perkongsian bersama.

Keadaan ini juga memahamkan kita yang tak semua orang susah atau senang dalam masa yang sama, berkongsi susah senang adalah hal terbaik yang boleh dilakukan sekarang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *