Perlombongan ‘Haram’ & ‘Halal’ Bersatu Musnahkan Ekosistem Tapak Warisan Tasik Chini

9 Jun 2020 – Hari ini tular berkenaan aktiviti perlombongan yang diluluskan oleh pihak Kerajaan Negeri Pahang di atas tanah lot 89798 di Mukim Penyor, Pahang. Kedudukan tapak perlombongan tersebut hanya 3 KM dari Tasik Chini, sebuah tasik semula jadi kedua terbesar yang pernah menjadi daya tarikan pelancong tak lama dulu.

Susulan dari itu, satu bantahan dibuat oleh Pertubuhan Khazanah Alam Malaysia (PEKA) terhadap Kerajaan Pahang kerana telah meluluskan projek perlombongan di sekitar tasik ini.

Menurut dokumen penilaian impak alam sekitar (EIA) yang dikeluarkan secara umum, pihak Kerajaan Negeri Pahang telah memberikan kelulusan kepada syarikat Hanishah Ventures Sdn Bhd untuk melakukan kerja-kerja perlombongan tersebut.

Syarikat tersebut dimiliki secara bersama oleh Raja Shah Zurin Raja Aman Shah, sepupu Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, dan Tengku Hanizar Tengku Muhammad, ibu saudara kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dalam dokumen EIA tersebut, individu bertanggungjawab untuk dihubungi berkaitan projek perlombongan ini adalah adik kepada Agong, Tengku Nong Fatimah Sultan Ahmad Shah. Tetapi, nombor telefon yang disertakan dalam dokumen itu tiada dalam perkhidmatan.

Pada 26 Jun pula, media melaporkan bahawa pihak Kerajaan Negeri Pahang telah merancang untuk memulihkan keadaan Tasik Chini yang terkesan dengan aktiviti perlombongan dan aktiviti penerokaan tanah secara haram. Inisiatif untuk mengembalikan kegemilangan dan keindahan tasik itu dikatakan kerana kerajaan negeri melihat Tasik Chini mempunyai potensi pelancongan dan sebagai khazanah negara.

PEKA Malaysia membantah tindakan Kerajaan Negeri Pahang yang meluluskan syarikat Hasishah Venture Sdn Bhd untuk melakukan aktiviti perlombongan bakal menambah teruk lagi kerosakan ekosistem Tasik Chini.

Lebih-lebih lagi, kawasan perlombongan yang memakan keluasan 40.51 hektar itu telah dirizabkan sebagai Tapak Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Presiden PEKA, Tuan Seri Sharifah Sabrina Sheikh Akil berkata Tasik Chini yang dikategorikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) beberapa tahun kebelakangan ini berhadapan dengan masalah pencemaran perlombongan dan pembalakan.

Kedudukan tapak perlombongan yang hanya 3 Kilometer dari tasik bersejarah tersebut sangat cukup untuk memberi impak kemusnahan biodiversiti hutan yang merosakkan hidupan flora dan fauna. Selain itu, ekologi pengairan juga akan terganggu sehingga menyebabkan alam persekitaran tercemar.

“Pembalakan hutan dan perlombongan yang masih berlaku hingga kini di kawasan berhampiran Tasik Chini telah mengakibatkan ‘buffer zone’ (zon penampan) yang semakin tipis”, kata beliau dalam kenyataan media pada hari Isnin lalu.

“Peka Malaysia berpendapat pencemaran dan gangguan ekologi hidrologi yang sedang berlaku boleh membawa kepada bencana alam,”

“Sebelum sebarang perlombongan dimulakan, pokok akan ditebang sekali gus mengakibatkan pelepasan karbon dioksida secara mendadak.”

“Kandungan gas oksigen juga akan terganggu,” Tambah beliau lagi.

Isu perlombongan di Tasik Chini ini menjadi tular dan bantahan dilakukan kerana tindakan Kerajaan Negeri memberi kelulusan untuk meneruskan aktiviti perlombongan di sini. Walau bagaimanapun, laporan berkaitan aktiviti perlombongan haram di sini telah diliput sejak 2019 lagi.

Semenjak perlombongan haram bertapak di tasik ini, ia telah mengganggu sumber kehidupan masyarakat Orang Asli tempatan yang bergantung pada hasil hutan, perikanan dan pelancongan. Ketiga-tiga sumber pendapatan ini telah terjejas teruk dan menjadi semakin buruk sehingga sekarang.

Sumber: Libur

Tasik Chini adalah tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera. Pinggiran tasik berkenaan didiami oleh orang asli suku Jakun sebanyak lapan ratus orang pada tahun 2016. Tasik ini terkenal dengan musim bunga teratai dari Jun hingga September.

Aliran Sungai Chini yang mengalir ke Sungai Pahang sebelum ini telah dibangunkan empangan untuk mengekalkan kedalaman tasik tersebut semasa musim kering. Tetapi, empangan tersebut telah mengganggu ekologi semula jadi tasik itu dan menyebabkan kematian pokok-pokok di persisiran tasik disebabkan oleh kenaikan aras air.

Aktiviti-aktiviti perlombongan di sini dikatakan bukan sahaja bakal menempa bencana alam. Ia juga mengancam lebih kurang 138 spesies Flora, 130 spesies Fauna dan 300 spesies hidupan akuatik air tawar.

Selain itu, secara tak langsung juga berkemungkinan mengundang pembasmian bahan sejarah dan arkeologi penting yang belum selesai dikaji oleh pakar sejarah.

Selain mitos lagenda Orang Asli sekitar Tasik Chini berkenaan kewujudan naga yang dikenali sebagai Naga Seri Gumum, dikatakan di tasik ini juga terdapatnya 7 buah piramid purba yang menjadi bahan perbualan orang tempatan semenjak 1980’an.

Terdapat beberapa versi mengenai piramid dan kota lama Empayar Khmer yang dikatakan telah bertapak di kawasan tasik ini antara tahun 802 hingga 1432. Pengkaji sejarah pernah memberikan tumpuan terhadap kawasan ini berikutan penemuan artifak purba yang dipercayai dari zaman Empayar Khmer.

Empayar Khmer di Cambodia | Sumber: Bodhikshetra

Tasik ini telah diberikan pengiktirafan rizab Biosfera UNESCO dalam rancangan manusia dan biosfera anjuran pertubuhan tersebut selain banjaran di Sabah.

Kawasan seluas 4498 hektar di tasik ini telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal oleh Kerajaan Negeri Pahang pada 13 Mac 2019.

Laman rasmi Facebook PEKA menyeru agar semua pihak untuk melindungi khaznah warisan negara yang dikelaskan sebagai Rezan Biosfera UNESCO.

“Amat menyedihkan apabila kita mendapat tahu bahawa tasik semulajadi kedua terbesar di Malaysia ini sedang terancam akibat kegiatan eksploitatif seperti perlombongan di sekitar kawasan ini. Kita tidak boleh membiarkan kemusnahan ini terus berlaku. Kita mesti melindungi Tasik Chini.”

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *