Dr. Burhanuddin al-Helmy: Membina Bangsa Merdeka

Oleh: Iltizam Iman Abd Jalil

Diatas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pesaka.
– Dr. Burhanuddin al-Helmy

1908 – 1922: Kehidupan Awal Burhanuddin al-Helmy

Pada 1908, seorang perantau berdarah Minang yang bernama Ungku Mohamad Nor, telah menjejakkan kaki di Tanah Melayu. Beliau yang berasal dari Batu Sangkar, Minangkabau telah berhijrah ke Perak. Di Perak, beliau telah bertemu dan berkahwin dengan Sharifah Zaharah Binti Habib Osman, seorang anak dara dari keturunan bangsawan Melayu yang berasal dari Melaka.

Kehidupan mereka berlangsung secara sederhana berlatar belakangkan suasana perkampungan Cangkat Tualang, Perak. Pada 1911, mereka dikurniakan seorang cahaya mata dan anak itu diberi nama Burhanuddin bin Ungku Mohamad Nor.  Kemudian, anaknya ini diberi gelaran ‘Al-Helmy’ atas sifatnya yang lembut, mudah tersenyum dan susah melenting.

Dalam keluarga, Burhanuddin al-Helmy lebih mesra dipanggil ‘Ayub’, beliau merupakan anak sulong dari lapan orang adik beradik. Tanpa diduga, anak sulong campuran Minang – Arab ini di kemudian hari bakal menjadi seorang tokoh negara yang dikagumi oleh sekutu dan pengikutnya, tetapi digeruni dan ditakuti oleh musuh-musuhnya.

Sejak kecil, Burhanuddin diasuh dengan baik oleh kedua orang tuanya dalam pendidikan agama. Sudah bersembahyang fardu sejak seawal tiga tahun, dan khatam Quran pada usia sepuluh tahun. Serta menghafal lebih separuh isi kitab suci itu. Di samping itu juga beliau mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah Melayu seperti di Behrang Ulu, Bakap dan Kota Bharu, Perak.

Menurut Abdul Majid Salleh, Burhanuddin al-Helmy memiliki bakat yang luar biasa. Ketika dewasa beliau telah fasih dalam tujuh bahasa selain Bahasa Melayu iaitu Arab serta kepelbagaian loghatnya, Urdu, Belanda, Inggeris, Perancis dan Jerman.

Beliau juga dikenali sebagai ahli dalam tafsir al-Quran dan hadis. Tambahan lagi, mahir dalam kesusasteraan Arab. Dalam perjuangan, pengalaman pendidikan di zaman awal kehidupannya telah banyak mencorak sikapnya yang anti terhadap penjajahan British.

1923: Pulang ke Sumatera

Pada usia 15 tahun, Burhanuddin al-Helmy bersama adiknya turut mengikuti bapanya untuk pulang ke kampung halaman di Sumatera. Di sana, mereka berdua dihantar untuk menuntut ilmu di Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatera Barat. Bapanya mahu anak-anaknya mendalami bidang agama secara sepenuh masa.

Sekolah agama tersebut diasaskan oleh oleh sahabat bapanya, iaitu Sheikh Mohamad Khatib Minangkabau. Namun beliau hanya bertahan selama 6 bulan, kerana tidak menggemari ‘sistem tadah’ yang menjadi kaedah pembelajaran di situ.

Ketika di Sumatera, beliau banyak menerima pendedahan awal tentang gerakan penentang penjajah Belanda yang dipimpin oleh Haji Nordin, seorang agamawan yang anti-kolonial.

Sekembalinya Burhanuddin al-Helmy ke Semenanjung, pendidikannya dalam hal keagamaan diteruskan di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Oleh kerana di pondok ini juga menggunakan kaedah pembelajaran yang sama, beliau hanya dapat bertahan selama sebulan.

Kemudian, beliau bertukar ke Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah, Pulau Pinang pada 1927 untuk menlanjutkan pelajaran ilmu agama. Sehingga 1933, kehidupan di madrasah itu telah banyak memberi pendedahan kepadanya tentang pergerakan Islam radikal dan penerbitan majalah-majalah progresif dari  Timur Tengah.

1934: Burhanuddin al-Helmy ke India, Menjejak Mahatma Gandhi

Pada 1934, Burhanuddin al-Helmy melanjutkan pengajian tinggi di dalam bidang falsafah dan sastera di Anglo-Indian College di Aligrah, New Delhi, India. Selepas tamat pengajian, beliau bertugas di Sekolah Arab al-Juned, Singapura sebagai seorang guru. Di sana, beliau menimba ilmu perubatan homeopati daripada Dr. Rajah.

Kelulusan dalam bidang homeopati diperoleh setelah beliau lulus di Ismailiyah Medical College di Hydrabad, India. Beliau juga memiliki kelulusan sebagai Doktor Naturopati (Doctor of Naturopathy) daripada School of Naturopathy, London. Walaupun ada perbezaan pendapat tentang ijazah mana yang diperoleh Burhanuddin terlebih dahulu, tetapi semua pengkaji sejarah sepakat beliau memperoleh ijazah Falsafah dan Sastera dari Anglo-Indian College dan Ijazah Perubatan Homeopati di Ismailiyah Medical College.

Dengan berbekalkan ilmu dan kelayakannya, beliau mendirikan dua buah klinik di Selatan Semenanjung bersama Dr. Rajah. Satunya di Johor Bahru, Johor dan kemudian di Jalan Picitan, Singapura. Ketika di Singapura, beliau terlibat dalam Persatuan Islam yang dikenal sebagai Jama’atul Islamiah sebagai setiausaha persatuan. Selama di sana, beliau juga banyak terdedah dengan pergerakan pemuda Melayu yang berusaha untuk membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah. Yang kemudian, telah memberi inspirasi kepadanya untuk terlibat dengan Kesatuan Melayu Malaya.

Kesedaran dan semangat yang dimiliki oleh Burhanuddin telah menjadi titik tolak perjuangannya dalam membebaskan anak bangsa dari cengkaman penjajah. Membangunkan kekuatan untuk menentang penjajah merupakan keutamaan penglibatan Burhanuddin dalam pergerakan aktivismenya.

Pengaruh

Ketika berada di Sumatera Barat bersama bapanya, Burhanuddin al-Helmy telah menerima pengaruh Sarekat Islam Merah. Pengaruh ini diterima melalui gurunya, Haji Nuruddin. Di samping itu, pemikiran beliau juga banyak dipengaruhi oleh pemikiran Kaum Muda melalui guru-guru yang lain.

Semangat perjuangan itu juga terserap ke dalam dirinya ketika melanjut pelajaran di India. Beliau telah mendekati pergerakan Mahatma Gandhi, Muhammad Ali Jinnah, Pandit Nehru dan pejuang-pejuang kemerdekaan India yang lain.

Mahatma Gandhi

Ketika berada di Palestin setelah tamat pengjian di India, beliau terlibat dengan demonstrasi bantahan terhadap Perjanjian Balfour pada 1936. Semangat dan tekadnya dalam menentang imperialisme dan penindasan terhadap masyarakat Islam seluruh dunia terutamanya di Nusantara telah mengakibatkan beliau ditangkap dan dipenjarakan buat sekali lagi pada tahun itu.

Pada 1937, beliau telah menerbitkan sebuah majalah yang bernama Taman Bahagia. Majalah ini banyak mengutarakan nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh British melalui pembentukan negara Israel. Hanya kira-kira satu jam selepas majalah ini diterbitkan, Burhanuddin ditahan oleh pihak British. Kemudian beliau berjaya diikat jamin oleh ahli keluarga al-Saggoff dengan bayaran sebanyak $1,000 bersamaan RM,3,074.

Selepas dibicarakan di mahkamah, Burhanuddin disabitkan kesalahan dan dipenjara selama 6 bulan. Keputusan mahkamah ini membuktikan Burhanuddin memiliki pengaruh yang besar dalam penulisan dan penerbitannya. Yang mana, telah menyuburkan lagi semangat kemerdekaan dan sikap anti-penjajahan di kalangan rakyat Tanah Melayu.

1938: Menceburi Arus Politik Tanah Air

Melalui Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan oleh Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji Mohammad (Pak Sako) pada 1938, Burhanuddin memulakan penglibatannya dalam pergerakan politik tanah air. Di situ beliau berjumpa dengan pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain seperti  Ahmad Boestamam yang bertanggungjawab sebagai Penolong Setiausaha Kesatuan.

Ketika itu, Burhanuddin hanya terlibat sebagai ahli biasa dan belum ada kena mengena dengan susun atur strategi pergerakan KMM untuk menentang British. Jadi, beliau terselamat dari tangkapan 1941 ketika penentangan KMM terhadap British terjadi di Singapura. Protes itu telah mengakibatkan seramai 150 ahli KMM ditangkap dan barisan pimpinan kesatuan itu dipenjarakan.

Selepas ahli-ahli dan barisan pimpinan KMM dibebaskan Jepun dari tahanan British pada 1942, mereka mengadakan hubungan kerjasama dengan pihak Jepun. Ia adalah sebuah dasar pelaksanaan strategi bagi mencapai kemerdekaan tanah air.

Kemudian Burhanuddin dilantik sebagai Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu KMM. Pelantikan ini dijalankan di Markas Tentera Jepun, Taping, Perak. Beliau dilantik disebabkan pengetahuannya sangat luas di dalam bidang agama dan kebudayaan. Kedudukan ini memberi kesempatan kepada Burhanuddin untuk menyakinkan pemerintah Jepun agar sebuah kongress Islam antara Tanah Melayu dengan Sumatera diadakan pada 1944. Tujuan kongress ini sebenarnya adalah untuk mewujudkan semangat kebersamaan dalam kalangan pejuang-pejuang Islam.

Kedudukan beliau ini juga telah digunakan sebaiknya untuk melindungi Madrasah Gunung Semanggol yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir daripada dirampas dan dizalimi pihak Jepun. Kedudukan itu juga diguna untuk melindungi beberapa buah kampung di Taiping, agar penduduknya tidak dijadikan buruh paksa Jepun untuk membina landasan kerata api maut di Burma. 

1943: Penyatuan Ulama-Ulama Progresif

Burhanuddin juga memainkan peranan yang besar dalam mengumpul dan menyatu-padukan ulama dari seluruh Tanah Melayu dan Sumatera. Sebuah Persidangan Ulama Malai-Sumatera telah berjaya dijalankan di Singapura pada tahun 1943. Persidangan ini juga dianjurkan melalui Jabatan Propaganda Jepun yang dikenal sebagai Senden-Bu.

Yang hadir ketika itu antaranya Buya Hamka (Kesultanan Deli), Tengku Yafizham (Serdang), Sheikh Abdullah Afifuddin (Langkat), Tengku Daud Beurueh, Teungku Muhammad Hasbi dan Tuanku Abdul Aziz (Acheh), AHA Mun’im, Haji Abdul Aziz dan Marah Bagindo (Tapanuli), KH Chik Wan (Palembang), KH Nawawi dan Taha (Lampong), Sheikh Ibrahim Musa, Sheikh Sulaiman Rasuli, AR St. Mansor, Sirajuddin Abbas dan Mahmud Yunus (Sumatera Barat), Haji Ali (Singapura) dan Sheikh Tahir Jalaluddin (Tanah Melayu).

Kemudian, Burhanuddin mencadangkan kepada pihak Jepun agar satu persidangan ulama dari Tanah Melayu diadakan. Maka pada tahun berikutnya, Persidangan Majlis Agama Se-Malaya dijalankan di Istana Iskandariyah, Kuala Kangsar, Perak. Persidangan tersebut dihadiri oleh wakil Majlis Agama Negeri, ulama, mufti dan ahli akedemik dari institut pengajian Islam dari seluruh Tanah Melayu. Rentetan dari persidangan tersebut, Majlis Agama Serantau ditubuhkan untuk mentadbir hal ehwal umat Islam di Tanah Melayu.

Namun, rancangan untuk mengadakan persidangan kedua pada 1945 dihalang oleh Jepun kerana risaukan kesannya yang membangkitkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat Islam di Tanah Melayu.

Keutamaan Perjuangan

Dalam perjuangan, Burhanuddin mengutamakan 3 perkara utama dalam pemikirannya iaitu (1) kemerdekaan anak bangsa, (2) semangat Kebangsaan Melayu Raya dan (3) keteguhan prinsip-prinsip Islam. Ketiga-tiga perkara ini sering menjadi latar pidato dan penulisannya sehingga ia dapat dilihat tidak berpisah antara satu sama lain. Sehinggakan para pengkaji merasa agak sukar untuk menyaring mana satu perkara yang menjadi keutamaan beliau.

Di sini kita dapat melihat bahawa di dalam kerangka pemikiran Burhanuddin ketiga perkara ini saling berkait antara satu sama lain. Beliau sangat menitik-beratkan perihal sejarah dalam perjuangan kemerdekaan, kerana itu beliau bercita-cita untuk mengembalikan kemerdekaan Tanah Melayu sepertimana bebasnya empayar Melaka suatu ketika dahulu. Bertitik tolak dari situ, semangat Kebangsaan Melayu Raya dibangkitkan. Dan akhir sekali, beliau memandang kebebasan itu bermula dari jiwa dan fikiran yang merdeka, dan perkara itu dapat ditemukan dalam tradisi agama Islam.

1945: KRIS Hingga PKMM

Kemudian pada 1945, Burhanuddin telah memimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) atas amanat yang diberikan Ibrahim Haji Yaacob. KRIS Berhasrat untuk menubuhkan sebuah negara merdeka yang dinamakan Malaya Demokratik Rakyat. Kesatuan ini juga mahu membangkitkan kesedaran orang Melayu di Semenanjung yang mereka adalah sebahagian dari Indonesia Raya.

Sebuah perjumpaan singkat telah dilakukan antara Burhanuddin dan Ibrahim Yaacob dengan Soekarno dan Hatta di bilik tamu Lapangan Terbang Taiping. Mereka sepakat pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu dengan Indonesia mahu dilakukan serentak pada 17 Ogos 1945 di bawah nama Indonesia Raya.

Mesyuarat pertama KRIS juga telah dirancang untuk diadakan pada 17 Ogos itu di Hotel Stesen, Kuala Lumpur. Mesyuarat tersebut sepatutnya akan dihadiri oleh wakil-wakil pemuda Melayu dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan Selatan Siam.

Tragedi pengeboman Nagasaki dan Hiroshima pada 6 dan 9 Ogos, telah menyebabkan pihak Jepun menyerah kalah pada 14 Ogos. Akibatnya, mesyuarat pertama KRIS terpaksa dibatalkan dan kemudian, kemerdekaan Indonesia dan Tanah Melayu tidak dapat dicapai secara serentak. Hanya Indonesia yang dapat mengisytiharkan kemerdekaan negara mereka ketika itu, manakala KRIS terpaksa dibubarkan begitu sahaja.

Selepas rancangan kemerdekaan itu gagal tercapai, dan sekembalinya penjajah Inggeris ke Tanah Melayu, teman-teman seperjuangan Burhanuddin yang lain menubuhkan Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 17 Oktober 1945. Parti ini memperjuangkan sebuah kemerdekaan yang penuh bagi Tanah Melayu dari sebarang bentuk penjajahan dan penguasaan Inggeris.  

Membawa Gagasan ‘Melayu Raya’

Burhanuddin telah diangkat sebagai Timbalan yang Dipertua sewaktu Kongress Pertama PKMM diadakan pada 30 November – 3 Disember 1945. Kemudian, beliau dilantik pula menjadi Yang Dipertua menggantikan Mokhtaruddin Lasso yang menghilangkan diri semenjak kongress pertama. Manakala, jawatan beliau sebagai Timbalan Yang Dipertua digalas pula oleh Ishak Haji Mohamad.

Melalui PKMM, Burhanuddin membawa gagasan ‘Melayu Raya’ yang bercita-cita untuk membina kesatuan politik antara tanah-tanah di Nusantara seperti Malaya, Indonesia, Brunei, Borneo dan Singapura.

Visi-visi kepimpinan Burhanuddin dalam PKMM dapat dilihat melalui kongress-kongress parti yang diadakan di beberapa tempat seperti Ipoh, Kuala Lumpur dan Melaka. Beliau mengutarakan resolusi utamanya berulang kali iaitu “Malaya sebahagian dari Indonesia dan Sang Saka Merah Puith adalah bendera kebangsaan.”.

Di bawah pimpinan beliau, PKMM terlibat dalam perhimpunan pertubuhan-pertubuhan Melayu pada 11 Mei 1946 di Kelab Sultan Sulaiman. Di dalam perhimpunan tersebutlah UMNO ditubuhkan oleh Dato’ Onn Jaafar. Ketika itu, beliau dilihat jelas menerima UMNO dan kepimpinan Onn Jaafar. Sehinggakan, beliau sebagai ketua delegasi PKMM bersetuju untuk menandatangani Piagam UMNO 1946. Tetapi tindakan ini agak tidak disenangi oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang merupakan sekutu kuat PKMM.

1947: Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA)

Sebagai satu langkah untuk menentang penjajahan British dan golongan bangsawan Melayu, PKMM bersama Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Malaya (BATAS), Gerakan Angkatan Muda (GERAM) dan beberapa pertubuhan politik yang lain menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA).

Gerak kerja PUTERA lebih cenderung kepada sebuah jaringan kesatuan antara pergerakan-pergerakan yang menuntut kemerdekaan. Di dalam organisasi, Burhanuddin telah dilantik sebagai Penasihat Kehormat manakala Ishak Haji Mohamad sebagai Pengerusi. Ahmad Boestamam dan Mahmud Idris pula menyandang sebagai Naib Pengerusi.

PUTERA telah bergabung dengan All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) yang dipimpin oleh Tan Cheng Lock pada 2 Disember 1947. Gabungan ini bersetuju untuk bersatu di bawah pimpinan Burhanuddin bersama gagasan “Kebangsaan Melayu”. PUTERA-AMCJA merupakan gabungan organisasi politik Melayu dan bukan Melayu yang pertama di tanah air ini.

Kerjasama antara kedua organisasi ini kemudiannya telah melahirkan Perlembagaan Rakyat pada 10 Oktobor 1947. Kemudian, Jawatankuasa Kempen Perlembagaan PUTERA-AMCJA telah melancarkan hartal di seluruh negara pada 19 Oktober 1947 yang telah mengancam kestabilan ekonomi British di Tanah Melayu.

1948: Penglibatan Dalam Hizbul Muslimin (HM)

Selepas beliau memimpin PKMM dan PUTERA pada 1947, beliau memulakan langkahnya untuk membawa idealisme Islam sebagai ideologi politiknya. Strategi pergerakannya selepas itu lebih fokus untuk menyertai gerakan politik Islam. Seperti mana pada tahun 1947, beliau bersama teman-temannya di Maad Il-Ihya Assyarif telah menganjurkan Persidangan Ekonomi Agama Se-Malaysia pada 22 hingga 24 Mac. Rentetan dari persidangan ini, Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaysia (PEPERMAS) dan Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) ditubuhkan.

Kemudian Hizbul Muslimin (HM) ditubuhkan pada 14 Mac 1948 sewaktu hari kedua persidangan MATA berlangsung di Madrasah Il-Ihya Assyarif, Gunung Semanggol. Tujuan penubuhan HM adalah untuk mengawasi dan memajukan pergerakan politik orang Islam dan Melayu. HM juga ditubuhkan kerana beliau tegas menyatakan bahawa UMNO ketika itu tidak memainkan peranan dengan baik dan sewajarnya dalam menjaga kepentingan Agama Islam. Oleh kerana itu, beliau mahu sebuah parti yang menggunakan landasan Islam dalam membentuk falsafah dan pergerakannya diwujudkan.

1955: Penubuhan Parti Rakyat Malaya (PRM)

Disebabkan semangat dan kredibiliti kepimpinan Burhanuddin yang tinggi, beliau telah didesak oleh beberapa pemimpin radikal yang lain seperti Ishak Haji Mohamad dan Harun Mohamad Amin untuk menubuhkan sebuah parti baru. Maka, sebaik saja tahanan-tahanan politik British termasuklah Boestamam dibebaskan pada 1955, mereka telah merancang penubuhan Parti Rakyat Malaya (PRM) pada 11 November 1955.

Walaupun tidak menjadi anggota parti, tetapi beliau menjawat jawatan sebagai Penasihat. Pengaruhnya begitu kuat, sehingga kebanyakan isu dan keputusan parti haruslah dirujuk kepada beliau terlebih dahulu. Ketika itu beliau tidak mahu menyandang jawatan sebagai pemimpin tertinggi, kerana mahu bergerak untuk mengumpulkan tenaga-tenaga progresif nasionalis dan agama.

1950: Rusuhan Natrah

Tragedi Natrah yang berlaku di Sungapura pada 12 Disember 1950 telah menyebabkan Burhanuddin ditahan di Pulai Sekijang atas alasan menjadi dalang utama rusuhan orang-orang Melayu ketika itu. Insiden ini bermula daripada keputusan mahkamah di mana Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Natrah merupakan seorang Islam yang dipaksa untuk pulang ke Belanda, dan dikembalikan kepada agama asalnya iaitu Kristian.

Walaupun keputusan ini mengecewakan masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu, mereka tetap menghormati keputusan mahkamah. Tetapi provokasi yang dilakukan oleh akhbar-akhbar pro-penjajah telah menyebabkan orang-orang Islam di rantau ini tercabar.

Akhbar-akhbar tersebut menggambarkan bagaimana Natrah gembira di bawah jagaan rahib gereja, serta bagaiamana Natrah melutut di hadapan Ibu Maryam di dalam foto yang bertajuk Natrah Knelt Before Virgin Mary.

Sebaliknya, akhbar-akhbar Melayu seperti Utusan Melayu dan Warta Malaya telah melaporkan hal yang berbeza, Natrah bersedih, murung dan menangis ketika wartawan Melayu membuat liputan. Di dalam akhbar Melayu juga melaporkan yang Natrah bertanyakan khabar Che Aminah, penjaganya yang telah membesarkan dia sejak dari bayi.

Disebabkan itu, masyarakat Islam di Tanah Melayu, Indonesia, Singapura dan masyarakat India Muslim melancarkan perang jihad yang pada mereka satu jalan untuk menegakkan keadilan dan menjaga maruah Islam. Akibatnya, seramai 18 orang terbunuh dan 173 orang cedera kerana bertempur dengan tentera dan polis British.

Warga-warga British yang berada di Singapura diserang, manakala bangunan dan kereta yang berhampiran mahkamah dibakar. Rentetan tragedi itu Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama 2 hari 2 malam, serta waran untuk menangkap sesiapa saja yang disyaki terlibat dengan rusuhan digunakan bagi membendung keganasan rusuhan merebak.

1956: Memimpin PAS Menuju Pergerakan Progresif

Pada 1956 pula, Burhanuddin dijemput untuk memimpin pergerakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Kemudian perkara ini terus dibawa berbincang bersama Boestamam dan penggerak-penggerak Parti Rakyat Malaya (PRM) yang lain.

Hasil dari perbincangan, mereka sepakat agar beliau masuk ke dalam PAS. Ia sebagai satu strategi yang baik untuk menyatukan rakyat  dan organisasi dalam perjuangan kemerdekaan. Memetik catatan Ahmad Boestamam mengenai perbincangan tersebut,

Dengan saya memimpinnya nanti mudahlah bagi saya memasukkan jiwa kiri kepadanya.”.    

Dengan kata lain Dr. bercita-cita hendak menjadikan PAS itu sebuah gerakan Islam yang progresif, begitu?”  

Dr. Burhanuddin mengucapkan terima kasihnya kepada kami kerana memberikan restu kami untuknya memimpin PAS itu. Dan kami pula berharapkan supaya dia berjaya melaksanakan  cita-citanya hendak  menjadikan  PAS sebuah gerakan Islam yang berjiwa kiri dan progresif itu”.

(Ahmad Boestamam, 1972:64-65)

Di bawah kepimpinan Burhanuddin, PAS menjadi sebuah organisasi parti yang radikal dan progresif. Memiliki semangat-semangat anti-kolonialisme yang kuat, serta amat mendokong mobilisasi kesatuan-kesatuan pekerja . Oleh kerana itu, gambaran peribadi beliau sebagai seorang tokoh nasionalis radikal dan pemikir Islam progresif amat menonjol.

Dipenjara Setahun

Kepimpinan Burhanuddin di dalam PAS terhalang ketika beliau ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1965. Di bawah akta kejam itu, beliau terpaksa meringkuk di dalam penjara selama satu tahun atas tuduhan berkomplot untuk menggulingkan kerajaan Malaysia.

Berdasarkan laporan Kertas Putih Kerajaan yang bertajuk “A Plot is Exposed”, beliau terlibat dalam komplot penubuhan National Front bagi membantu usaha Ganyang Malaysia. Beliau juga dituduh terlibat dalam pembentukan kerajaan buangan di Indonesia.

Menurut laporan itu lagi, beliau bersama beberapa tokoh pejuang yang lain seperti Raja Abu Hanifah, Aziz Ishak, Ishak Haji Mohamad dan Nazar Nong telah bekerjasama dengan ejen-ejen kerajaan Indonesia untuk menghalang penubuhan negara Malaysia.

Kira-kira setahun beliau meringkuk di dalam tahanan, beliau dibebaskan pada 14 Mac 1966. Namun selepas dari peristiwa itu keadaan kesihatan beliau semakin terjejas dan memburuk. Kemudian beliau mendapatkan rawatan perubatan di Australia di bawah tanggungan kerajaan Malaysia dan Tunku Abdul Rahman.

1969: Akhir Kehidupan

Pada tanggal 10 Oktober 1969, beliau kembali ke Rahmatullah di rumah isterinya Puan Cik Suri Binti Yahaya di Taiping, Perak, akibat penyakit lelah. Jasad beliau telah dikebumikan di tapak perkuburan berhadapan Masjid Lama Taiping. Maka, berakhirlah sedutan perjuangan seorang Burhanuddin al-Helmy yang lebih mesra dengan gelaran ‘Pak Doktor’.

BACAAN LANJUT
Ahmad Boestamam: Sejarah Perjuangan Nasionalisme Rakyat
Jose Rizal & Pemikirannya Perihal Masyarakat Filipina
Peranan Percetakan Dalam Gerakan

Rujukan:

  1. Amirah Hamzah. Perjuangan Politik Dr. Burhanuddin Al-Helmy Di Tanah Melayu Dari Tahun 1945 Hingga Tahun 1957.
  2. Sinar Harian. 25 Oktober 2019. Muthanna Saari. Menyingkap Semangat Dr. Burhanuddin
  3. Karyasama. 27 Julai 2022. Iltizam Iman Abd Jalil. Ahmad Boestamam: Sejarah Perjuangan Nasionalisme Rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *