Suara Rakyat Marhaen: Gaji FGV Tak Masuk Akal

Oleh: PRM Batu

Di tengah kenaikan harga barangan yang makin menggigit, yang tidak mampu dikawal kerajaan, di kala yang sama elaun pengerusi bukan eksekutif FGV Holdings Bhd (FGV) dinaikkan kepada RM40,000 sebulan, berbanding RM25,000 sebelum ini. Sebelum ini pun sudah tidak munasabah, pada ketika ini pun semakin menjadi-jadi kerakusan golongan elit ini.

Menurut notis AGM ke-14 bertarikh 28 April 2022 itu, elaun pengerusi bukan eksekutif FGV dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM480,000. Bersamaan, RM25,000 sebulan kepada RM40,000 sebulan bagi tempoh setahun, bermula 24 Jun 2022 hingga AGM FGV akan datang.       

Selain gaji yang melampau dan tidak pernah masuk akal itu, pengarah bukan eksekutif FGV itu juga turut menerima kenaikan imbuhan. Daripada RM120,000 kepada RM150,000 atau daripada RM10,000 sebulan kepada RM12,500 sebulan. 

Selain gaji dan imbuhan yang melampau dan tidak masuk akal itu, AGM  tersebut turut meluluskan pemberian kereta syarikat untuk kegunaan pengerusi. Termasuk dengan perbelanjaan kemudahan kenderaan tahunan sebanyak RM180,000 atau sebanyak RM15,000 sebulan. Ia juga termasuk petrol, tol dan penyelenggaraan sebelum ini. Adakah selama ini mereka tiada kenderaan sendiri dan pergi ke pejabat dengan menaiki tren? Sehingga memerlukan FGV memberi kereta termasuk perbelanjaan petrol dan tol sebanyak RM15,000? Apakah kereta mereka cap ayam hingga memerlukan penyelenggaraan sebanyak RM15,000 sebulan? 

Elaun Mesyuarat tak Munasabah

Mungkin kerana letih dan penat bermesyuarat, maka elaun perniagaan rasmi turut diberikan kepada pengerusi bukan eksekutif FGV sebanyak RM1000 sehari. Ia bagi menghadiri mesyuarat dengan wakil kerajaan atau pihak ketiga seperti perunding, jurubank dan penasihat bagi pihak syarikat dengan laporan rasmi kepada Lembaga Pengarah atau Lembaga Jawatankuasa. Atau, lawatan rasmi ke projek dan atau rujukan tapak untuk menasihati pengurusan dan atau syarikat. Hanya hadir ke mesyuarat sahaja mereka diberikan elaun RM1000 sehari, belum termasuk benda-benda tidak masuk akal yang disebutkan di atas. Sedangkan gaji minima pekerja sebulan pun baru RM1500, elitis-elitis tak guna ini mendapat elaun RM1000 sehari? Kegilaan apakah kita ini?

Ini bukan sahaja luapan kemarahan rakyat yang peka. Bahkan, ahli-ahli ekonomi turut menyatakan kekesalan terhadap kenaikan gaji dan elaun pengerusi serta ahli lembaga pengarah FGV Holdings Bhd.

Mereka berkata, pengerusi dan ahli lembaga pengarah tidak sepatutnya diberikan ganjaran kenaikan besar-besaran yuran dan elaun. Meskipun harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi.

Imbuhan yang besar itu tidak wajar apabila mengambil kira kenaikan inflasi dan kesukaran yang dihadapi oleh peneroka FELDA ketika ini, kata mereka.  

Penganalisis Ekonomi Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latif, berkata harga minyak sawit yang tinggi ketika ini bukan disebabkan oleh usaha pengerusi dan ahli lembaga pengarah.                

Mengikut rekod, pengerusi bukan eksekutif FGV ketika ini adalah Dzulkifli Abd Wahab. AGM turut melantik semula enam pengarah bukan eksekutifnya iaitu Amiruddin Abdul Satar, Nonee Ashirin Mohd Radzi, Mohd Rafik Shah Mohamad, Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin, Kasmuri Sukardi dan Yatimah Sarjiman.   

*Suara Rakyat Marhaen dikeluarkan hasil inisiatif PRM Batu. Boleh dihubungi di page FB kami PRM Batu, atau hubungi kami (Chi) di nombor 013-533 9496    

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *