Peniaga Buku Juga Adalah Pembaca dan Penggerak Budaya

Oleh: Fahmi Lokman

Hampir sebulan yang lalu, saya terima satu soalan yang membuatkan saya kelu lidah dan mati akal. Hampir-hampir sahaja saya merungut kerana pada satu sisi soalan ini akan membawa ketidakadilan untuk semua pihak andai kata saya menjawabnya atau mungkin boleh jadi berat sebelah. Soalannya seakan-akan begini: “Adakah ada sebarang cadangan dari pihak pembentang buku-buku yang harus dibaca peserta atau penonton di saat kegetiran yang berlaku dan tekanan yang dihadapi masyarakat ketika ini? Tekanan wabak COVID-19, contohnya? atau meningkatnya kadar peratusan bunuh diri dan tekanan jiwa, misalnya?” Ketidakadilan akan terasa oleh saya kerana pada satu sisi soalan-soalan ini dan jawapan yang bakal dipertanggungjawabkan kelak adalah bersifat ‘umum’.

Jawapannya akan menafikan status dan kedudukan masyarakat dan kapasitinya, termasuklah: ekonomi, gaya dan norma hidup, kepekaan, perseteruan antara keperluan dan kehendak dan kapasiti akalnya untuk menerima. Bagaimana akan seharusnya berlaku apabila seseorang yang mengalami sakit jiwa yang tidak pernah terdedah dengan ‘budaya’ membaca tetapi disuruhnya baca buku Discourses of Rumi: Fihi Ma Fihi (walaupun buku ini sangat menenangkan!), contohnya? Andai kata cadangan ini diterima, adakah dengan harganya RM40 itu, masyarakat yang ekonominya tertekan akan pertimbangkan untuk membelinya? Dicadangkan pula baca buku Falsafah Hidup karya Hamka, Risalah Untuk Kaum Muslimin karya besar Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan Intelektual Masyarakat Membangun karya hebat Syed Hussein Alatas dan mengharapkan agar kesemua karya ini mampu membuatkan segala tindak-tanduk akal-budi lebih tersusun dan terarah sedangkan apa yang memaksa masyarakat sekarang adalah turun ke jalan dan mengangkat bendera ‘perang’? Bagaimana pula rumah yang dikatakan ‘rumahku syurgaku itu’ seharusnya diwarnainya lagi dengan bacaan puisi kesufian Lutfi Ishak yang bertajuk Dondang Pembukaan atau puisi lengkap W.S Rendra yang melawan dalam diam bertajuk Balada Si Burung Merak dengan petikan guitar tong si bapak sedangkan televisyen dan peranti pintar telah ‘lama’ mengambil alih peranan tersebut? — Ini adalah antara persoalan-persoalan yang timbul dalam benak kepala sehingga mati kutu untuk menjawabnya.

Tetapi andai kata saya dilayani dengan soalan yang berbunyi, “mengapa kita perlu membaca?” kemungkinan segala persoalan yang berlegar sembunyi di balik akal saya tadi itu tidak akan muncul kerana ia lebih bersifat ‘neutral’. Dan boleh saya katakan bahawa bukan sedikit perbincangan atau penulisan yang sudah menjawabnya. Tetapi saya rasa terpanggil untuk menjawabnya kerana sekurang-kurangnya mampu mendiamkan sedikit dunia yang sedang sakit dan menimbulkan sedikit cahaya-cahaya pengharapan.

Sifat semula jadi manusia itu adalah sentiasa bertanya dan jika mereka ada kesedaran, jawapannya akan mereka cari. Lagi tinggi kesedarannya, lebih dalam mereka gali. Makin dalam mereka gali, semakin tercerahlah apa yang dicari. Dan ianya berlaku dalam semua perkara. Dari hal yang praktikal, iaitu: wanita yang mencari resepi yang tersedap; cara terbaik membuat kompos tanah dan baja sehinggalah yang bersifat teoritikal, konseptual atau falsafah: mencari makna dan tujuan hidup; memahami konsep kebahagiaan; peranan diri dalam masyarakat; definisi kecantikan dan pembangunan atau kemajuan.

Apa kaitannya dengan membaca? Membaca adalah salah satu unsur dalam ‘mencari’ maklumat untuk menjawab apa yang ditanya itu tadi selain daripada unsur lainnya iaitu, mendengar. Malah, berangkali jawapan yang ingin kita cari itu sudahpun berterabur di dalam Google ataupun sekurang-kurangnya pernah dibahaskan atau dibincangkan di dalam akaun media sosial masing-masing. Cumanya, adakah dalam keadaan masyarakat yang tertekan dan kecelaruannya dalam pelbagai hal — politik, ekonomi, sosial dan dilema vaksin — akan diredakan oleh ledakan maklumat di Google tersebut atau sebenarnya secara sedar atau tidak akan memeningkan lagi kepala dan menegangkan lagi keadaan? Jawapannya adalah mungkin ‘ya’ ataupun mungkin ‘tidak’ bergantung pada situasi dan perkara yang dicari. Saya akan condong kepada ‘ya’ jika saya mencari halal dan haramnya vaksinasi dan mencari kebenaran dalam politik kerana sejujurnya ia amat memenatkan, tetapi ‘tidak’ untuk mencari dan membandingkan resepi.

Peranan buku untuk diri si pembaca.
Membaca buku berbeza dengan mencari maklumat di dalam Google. Walau aktiviti akhirnya adalah sama iaitu membaca. Pada pendapat saya yang membezakan keduanya adalah tawaran yang disajikan oleh keduanya. Google menawarkan seribu jawapan dan pilihan. Hanya lakukan carian dan Google akan beri jawapannya. Setiap jawapan mungkin tidak sama. Bergantung pada pandangan, fakta, kajian dan mazhab penulis. Tetapi konsepnya adalah sama — Google akan sedaya upaya menyajikan jawapan yang pembaca inginkan dan menapis segala kemungkinan jawapan yang tidak diingini. Jika pembaca ingin mencari teori konspirasi mengenai vaksin, maka Google akan datangkan jawapan selogik-logiknya. Dan begitulah sebaliknya. Ia tersangatlah pantas dengan algoritmanya yang tidak menentu sehingga akal menjadi semput untuk memberi timbangan yang baik.

Oleh kerana membaca itu adalah suatu proses yang bukan hanya menerima semata maklumat, tetapi sifat semula jadi akal untuk mengaut segala laba dan makna yang tersurat dan tersirat, maka ia memerlukan masa untuk hadam. Ini boleh didapatkan hanya dengan membaca buku. Ini kerana buku itu sifatnya lebih terarah. Penulis buku yang bagus, penulis non-fiksi khususnya, adalah: penulis yang menyusun justifikasinya secara tersusun dan sistematik; logiknya mengalir seperti air yang tak terputus dan tak terlalu deras dan tak pula lembut; saling berkait antara satu sama lain; menambahkan kefahaman dan bukan hanya maklumat; membebaskan pembaca dari kecelaruan dan belenggu kejahilan; dan selebihnya anda boleh tanya Google sendiri. Maka membaca juga boleh didefinasikan sebagai satu proses mencari ‘kebenaran’. Dengan ini, akan wujudlah satu sistem masyarakat lebih sihat dan berasas.

Pandangan dan pemikiran yang mengalir dari akal masyarakat yang terhadam itu tadi apabila mereka memuntahkannya semula dalam bentuk percakapan, penulisan dan tindakan akan lebih berasas dan terarah dan bukan lagi keyboard warrior (ataupun palatao!).

Dalam sedar tak sedar, mata yang membaca dan akal yang memproses, membaca juga semacam membuka satu pintu gerbang dalam kesedaran manusia untuk meneroka alam yang baru. Bebas dari alam yang gelap, terkawal dan sempit yang membuatkan jiwa manusia itu tidak bernafas. Seperti katak bawah tempurung. Lama-lama dia akan mati dalam suasana gelap dan sempit dan terkawal itu. Jiwa dia dimakan oleh penderitaan yang dia bangunkan sendiri atau terdapat kuasa tangan gelap yang lain yang memaksakan katak itu untuk terus tersumbat dan hidup di dalamnya — sistem pendidikan moden, misalnya?

Tak keterlalaun jika saya kata bahawa sosial media atau Google — selain dari semangat kebodohan dan kejahilan — itu juga adalah seperti tempurung. Walaupun di sana-sini kita boleh dapatkan maklumat dan fakta dengan pantas dan ulasan yang bermacam-macam dengan semangat emosi yang beragam itu, kita tidak juga dapat meyakinkan bahawa kita faham semua benda. Kerana maklumat tetap maklumat. Fakta tetap fakta. Ianya semacam iceberg. Fakta dan maklumat itu hanya ais dipermukaan air. Di bawahnya masih besar untuk diterokai. Jadi, dengan membaca buku, penulis yang bagus akan bawa pembaca dari satu pintu gerbang tadi ke pintu-pintu yang lain lagi. Di sana terdapat bermacam-macam lagi keindahan yang boleh disaksikan. Akhirnya, kita akan dapat satu konklusi bahawa bumi ini masih banyak yang boleh diterokai dan dalam masa yang sama perbetulkan dan diperelokkan. Pada takat ini juga kita tidaklah hanya bergantung harap kepada pemerintahan yang sentiasa berubah-ubah itu untuk menampal lobang sana-sini, tetapi kita akan lebih terfokus ke arah penambahbaikan diri dan lingkungannya. Bersama-sama.

Peranan kedai buku swadaya (independent) untuk si pembaca dan lingkungannya.
Tidak cukup rasanya untuk saya menulis tentang peranan buku untuk diri si pembaca dan sekelilingnya, tetapi cukuplah hanya untuk memberi percikan api. Ini kerana, tidak salah sepenuhnya untuk saya katakan bahawa kedai buku, peniaga buku dan penerbit itu lebih perlu lagi. Kerana tanpa mereka, buku itu mungkin jadi tidak wujud di tengah masyarakat. Andai kata kita punya tenaga untuk mewawancara kebanyakan pemilik kedai buku, sudah semestinya semangat ‘budaya ilmu’ ditubuhkan sekali bersama-sama kedai buku tersebut. Ia seumpama roh yang tidak wajar dipisahkan jauh dari pembangunan masyarakat. Peranannya hampir sama dengan perpustakaan. Cuma di sini kita tidak membincangkan tentangnya.

Kita boleh ambil pusat membeli belah sebagai contoh terdekat di mana mesti terdapat sekurang-kurangnya sebuah kedai buku di dalamnya. Itu adalah sebagai contoh di tempat yang membangun yang saya rasa tidak perlu dibincangkan kerana agak klise. Tetapi semangat roh seorang peniaga buku dan penyelamat bangsa di negara yang penuh rahmat juga menarik untuk saya kongsikan di sini:

“I will start all over again. I will begin small and go big”
— Shaban Esleem, peniaga buku di Gaza, 2021.

“It was like I had my child in there (bookshop),” kata Mansour. “Like my soul came out of me.”
— Samir Mansour, peniaga buku di Gaza, 2021.

“If I compare it to what’s happening, this is minimal, but destroying the main bookshop we have is something serious,”
— Refaat Areer, ahli akademik dan editor di Gaza, 2021.

Ini adalah kata-kata peniaga-peniaga buku dan penulis tempatan yang telah dapat banyak manfaat dari kedai-kedai buku di Gaza, Palestine. Ini adalah wawancara yang saya petik dari beberapa laporan berita dunia tentang kejadian yang amat mengesankan kepada jiwa saya sebagai peniaga buku dan semua penggerak budaya seluruh dunia! Kisah tentang: kedai buku yang diletupkan; manuskrip dan buku-buku hancur menjadi debu; dan memori penerbitan yang habis dikuburkan oleh tangan-tangan jahat tahun 2021 ini.

Banyak sisi yang kita boleh sentuh dari cerita kezaliman yang tidak lagi nampak penghujungnya itu, tetapi memandangkan kita berada di bawah sub-topik peranan kedai buku maka saya dapat lihat peniaga-peniaga kedai buku tersebut telah sedar dari awal keberadaannya lagi bahawa kewujudannya adalah kewujudan yang tidak pasti. Tidak pasti akan kekekalannya dan kestabilannya di tengah-tengah peperangan! Tetapi ketidakpastian itulah yang akhirnya membuatkan kedai itu terus wujud! Wujudnya sangat bermanfaat untuk masyarakat setempat, penulis-penulis tempatan dan pengajar, pelajar-pelajar universiti dan pertubuhan kelab-kelab buku sebagai jentera pembebasan. Maka, kebinasaannya akan merencatkan pertumbuhan tamadun.

Berkait rapat dengan cerita di atas, kedai buku swadaya (independent bookstore), pada pandangan saya, memainkan peranan penting dalam komuniti setempat berbeza dengan kedai buku ‘rantaian’ (chain bookstores) yang lebih luas rantaian perniagaannya (business chain) dan banyak cawangannya seperti MPH, POPULAR dan lain-lain. Kedai buku swadaya lebih rapat hubungannya dengan penerbit dan penulis tempatan (independent writers and publishers) dan sudah semestinya komuniti setempat. Dengan saiz perniagaan yang tidak besar, kedai buku swadaya kebiasaannya akan lebih idealis sifatnya. Menggenggam ideologi tersendiri di balik akal yang tersembunyi. Darinya keluarlah benang-benang halimunan dan dengan penuh strategiknya menggerakkan komuniti dan masyarakat kepada satu jalan yang dicitakannya itu — ke arah cita yang lebih baik! Ya benar, seperti orang yang bermain puppet. Maka, kalau difahami betul-betul, dapatlah kita sedar bahawa kedai buku swadaya kebiasaanya berkembang selari dengan perkembangan budaya komuniti dan masyarakat setempat. Tak akan lari jauh darinya.

Sekadar pemberitahuan sebelum disalah erti bahawa dalam perenggan ini, kecenderungan saya adalah lebih kepada mereka yang pandang pelik dengan budaya membaca dan memandang enteng terhadap budaya ilmu dan kaitannya terhadap perkembangan budaya yang lebih stabil. Maka, apa yang dikatakan tentang kedai buku yang berideologi itu bukanlah hanya tujuannya untuk menjual buku sahaja kerana itu adalah sangat berlawanan. Bukan juga hanya membuat andaian tentang pemilihan judul yang terbaik untuk pembaca, tetapi mereka juga adalah penggerak budaya yang lebih stabil. Mereka boleh terokai apa sahaja yang terdapat dalam tempat tersebut selagi ia diduduki manusia. Oleh kerana manusia itu tidak semuanya sama minat dan citarasa dan lain pula budayanya, maka si penggerak itu seharusnya menjadi seperti jambatan penghubung. Mendekatkan manusia dan citarasa-citarasanya dan budaya-budayanya dengan ilmu. Menggalakkan dan mewujudkan kesedaran yang mendalam tentang peri pentingnya mereka untuk mencatat atau mendokumentasikan lingkungan mereka ketika berbasikal, contohnya. Kemudian, ruang awam sebagai pentas diwujudkan untuk mereka berkongsi dan berbincang catatan tersebut. Dari catatan dan perkongsian dan perbincangan akan lahirlah pula kesedaran-kesedaran yang lain. Kesedaran untuk penerbit tempatan mengumpul, menyusun dan memperkemas catatan-catatan tersebut untuk dibukukan. Dijualnya pula buku itu dan berkongsi pula faedahnya bersama. Maka, ekosistem budaya dalam masyarakat tersebut akan lebih jelas, lebih sihat dan lebih stabil. Pada perenggan seterusnya merupakan renungan saya tentang tempat dan kepentingannya untuk kita terokai bersama-sama.

Apa selepas itu?
Dalam perenggan di atas, saya ada sebutkan mengenai tempat. Tempat (place), didefinasikan oleh Tuang (1997) sebagai “dunia makna yang tersusun” (organised world of meaning). Beliau meneruskan lagi, “what begins as undifferentiated space becomes place as we get to know it better and endow it with value” atau saya boleh terjemahkan sebagai, “apa yang bermula dari ruang yang tidak boleh dibezakan akan menjadi tempat apabila kita dapat mengenalinya dengan lebih baik dan memberinya nilai”. Kita boleh bayangkan ruang itu sebagai kawasan tanah yang lapang dan manusia yang berkebolehan untuk meneroka kawasan tersebut. Mereka akan bina penempatan di situ, seperti: rumah sebagai tempat tinggal; kawasan bercucuk tanam sebagai keperluan kehidupan dan lain-lain.

Tidak boleh pula dipisahkan dengan nilai kepercayaan, budaya dan pegangan hidup yang dibawa sekali bersama-sama mereka. Kesannya, wujudlah apa yang dinamakan sebagai tempat kerana terdapat pelbagai nilai dan makna di dalamnya. Kita boleh sahaja lihat dan renung sekeliling kita. Yang sekarang ini dipenuhi bangunan-bangunan tinggi mungkin tidak sama dengan abad yang lalu. Nilai yang dahulu mungkin berbeza dengan yang sekarang. Tempat yang diduduki kaum terdahulu diubah ganti kepada wajah yang baharu atas nama modenisasi. Nilai masyarakat orang asli berbeza pula dengan masyarakat bandar. Itu dari segi definasi yang saya rasa cukup sekadar untuk memberi sedikit kefaham tentang makna tempat. Apa pula yang boleh diambil darinya?

Setiap tempat mempunyai sejarah. Ia menyaksikan apa yang berlaku pada abad dan dekad yang lalu. Ia juga merakam apa yang berlaku sekarang. Oleh kerana sifat penulisan itu sendiri adalah sejarah, maka tempat itu akan terus wujud dan diketahui dunia melalui penulisan dan catatan selain oral. Ada separuhnya yang telah dicatatkan dan direkodkan. Ada yang tidak. Yang direkodkan dan dicatatkan, boleh lah kita ambil faedah darinya. Yang tidak tertulis, akan ditelan terus oleh zaman. Ada yang merakamkan sejarah dalam bentuk catatan harian atau diari, ada yang merumuskan dalam bentuk esei panjang, ada juga yang merakamkan sejarah tempat sebagai latar belakang penulisan novel dan puisi dan macam-macam lagi. Maka, perlu ada kesedaran dalam diri manusia dan menjadi tanggungjawab komuniti atau penggerak budaya dalam menerokai semula khazanah-khazanah ini. Dari khazanah yang sifatnya statik itu akan dimanipulasikan menjadi lebih dinamik dan popular. Contohnya seperti pengadaptasian teks-teks lama kepada disiplin seni yang pelbagai. Mengadaptasikan karya Hikayat Hang Tuah kepada lakonan teater, contohnya.

Maka, saya kira cukuplah sekadar penulisan ini mampu mengajak pembaca kepada pentingnya peranan buku dan kedai buku swadaya sebagai penggerak budaya kepada komuniti dan masyarakat setempat. Dan tidak kurang penting juga peranan komuniti dan masyarakat tersebut kepada aktiviti pembukuan dan kestabilannya. Saling memerlukan. Saling bergantung. Inilah ekosistem yang seharusnya berlaku dan dijaga.

Rujukan:
1) “Cultural Mapping: A Guide to Understanding Place, Community and Continuity” karya Janet Pillai
2) “The Death of Expertise” karya Nichols.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *