Permaculture: Satu Kaedah Menolak Monopoli Kapitalisme

Oleh: Redo

Pengenalan

Permaculture adalah sebuah konsep yang mengambil tanggungjawab dalam memelihara kesejahteraan kehidupan sekaligus memelihara alam semulajadi. 

Jika diperhatikan antara aktiviti-aktiviti ini selalunya orang tidak menganggap ianya sebuah konsep yang agak radikal serta pemahamannya dianggap hanyalah sebuah perusahaan kebun, ladang seperti biasa. 

Tapi dalam usaha-usaha ini kebanyakkan permaculturist selalu bertentangan dengan arus perdana malahan berlawanan dengan sistem kapitalisme yang memonopoli segala isi bumi atas ketamakan dan keuntungan semata-mata. 

Walaupun pada dasarnya berkebun, bertani atau apa sahaja seumpamanya dianggap positif apabila mereka mencari hasil dengan membudayakan tanah atau tanaman, perkara ini dianggap seperti membumi padahal sebenarnya tidak. Ada beberapa faktor, falsafah, idealogi dan lain-lain yang membezakannya. 

Permaculture ini akan berbalik pada dasar kehidupan itu sendiri, dimana segala kehidupan itu saling bergantung dan alam semulajadi ini tidak “ditunggalkan” untuk sesuatu perkara. Bagaimana manusia perlukan haiwan untuk mendapat protein, dan tumbuhan-tumbuhan untuk segala zat, begitu juga tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang memerlukan lingkungan semulajadinya seperti tanah yang hidup, kehidupan yang bergantung antara mereka untuk bumi dan kehidupan sejahtera secara total. 

Jika melihat kepada kapitalisme, mereka mengasingkan kawanan lembu di dalam kandang, untuk mereka memproses segala apa yang ada pada lembu. Dalam masa yang sama, kehidupan lembu secara semulajadinya sudah dieksploitasi secara total, terasing daripada kehidupan dan sejak mereka dilahirkan adalah semata-mata untuk memenuhi keperluan manusia. 

Adakah manusia itu jijik dan kejam? Ya, manusia yang jijik dan kejam itulah yang menimbulkan daya konsumerisma dan mengakibatkan segala alam semulajadi ini untuk kepentingan peribadi atas daya saing ekonomi pasaran bebas. 

Begitu juga tumbuhan. Tumbuhan yang sepatutnya bermacam ragam kehidupannya kini menjadi tanaman tunggal di atas tanah beribu hektar. Sebagai contoh, penanaman kelapa sawit hampir di seluruh tanah di Malaysia. Dimonopoli oleh beberapa syarikat minyak kelapa sawit untuk dipasarkan sebagai bahan eksport/import. Ini adalah eksploitasi tanah dan kehidupan sendiri. 

Kredit: Fahmi Lokman

Hutan yang memberi beribu manfaat diratakan semata-mata permintaan minyak sawit yang tinggi dan keuntungan itu hanya untuk kepentingan peribadi. Maka dengan itu, masalah konsumerisme diwujudkan dimana sistem ekonomi dan kehidupan yang bergantung kepadanya dan pada akhirnya sumber bumi yang meluas hanya terpakai kepada golongan tertentu, bahkan bumi sendiri mengalami kerosakkan yang teruk bilamana kitaran semulajadi yang sepatutnya berlaku diubah kepada tanaman tunggal, sekaligus melibatkan eko sistem dan habitat lainnya musnah. 

Begitu juga laut atau persisiran pantai yang ditambak untuk pembangunan mewah dan mengakibatkan kemusnahan lainnya seperti merosakkan kehidupan laut dan mengganggu nelayan tempatan semata-mata untuk keuntungan. Sedangkan kemewahan yang tidak diundang itu langsung tiada manfaat kepada kehidupan orang awam. Jika laut yang ditambak untuk mendirikan kondominium harga sejuta lebih, rakyat bekerja makan gaji mana yang mampu memiliki? 

Jadi, begitulah pengenalan permaculture yang membawa kepada penjagaan alam semulajadi daripada asas pertanian yang berhubung kait dengan masalah kapitalisme hari ini. Ini juga melibatkan isu-isu hangat globalisasi seperti climate change, air laut yang meningkat, banjir besar seluruh dunia, kepupusan kehidupan, kemiskinan dan segala jenis perkara yang negatif ditanggung masyarakat dunia. 

“Permaculture is a philosophy of working with, rather than against nature; of protracted and thoughtful observation rather than protracted and thoughtless labor; and of looking at plants and animals in all their functions, rather than treating any area as a single product system.”-Bill Mollison

Permaculture tidak menyuruh aku terkaku dengan istilah, berbincang teori, melaungkan slogan dan berdiskusi semata. Ilmu ini suruh aku bertindak dengan mula mencangkul. Kerana, “All the world’s problems can be solved in a garden.” – Geoff Lawton.

Permaculture bukan Pertanian Organik 

Sebenarnya bukan seperti pertanian organik konvensional yang diamalkan oleh sebahagian perindustrian tani.

Pertanian organik sendiri akan menyebabkan kerosakan kepada keseimbangan ekosistem. Contohnya ada sebahagian mereka menggunakan air sungai untuk siram tanaman. Apabila menggunakan air sungai untuk siram tanaman berpuluh ekar, apakah akan cukup? 

Jadi adakah alam ini terjaga? Adakah manusia lain yang menjadikan sungai sebagai sumber hidup mereka akan selesa? Jawapannya tidak kerana kesan yang buruk berlaku apabila air sungai kering disebabkan aktiviti ini.

Pertanian organik tetap mengamalkan kaedah pertanian konvensional yang menggunakan racun dan baja sintetik. Mereka tetap mengamalkan satu jenis tanaman untuk seluas-luas bidang tanah.

Namun ada sebahagian ladang terpaksa juga menggunakan racun sintetik apabila serangga yang datang menyerang tanaman sudah tidak terkawal. Iyalah, bagaimana nak jual dengan harga yang mahal kalau hasil tanaman rosak atau terlalu buruk fizikalnya?

Kaedah pertanian permaculture adalah sebuah kaedah yang menekankan kepada rupa bentuk kebun. Rupa bentuk itu diadaptasi daripada rupa bentuk hutan. Bagaimana sebuah kebun pertanian itu memiliki ciri-ciri yang mirip dengan hutan. Hal ini kerana, kita hanya mampu mencapai sebuah pertanian yang lestari apabila meniru konsep hutan yang bersifat sustainable.

Sebab itulah antara matlamat kebun yang mengguna pakai  kaedah pertanian lestari (permaculture) adalah menghasilkan hutan makanan (food forest). Ciri-ciri utama hutan makanan adalah apabila kita masuk kebun, kita akan bawa keluar pelbagai jenis hasil tanaman. Kerana dalam hutan, pokok yang hidup mempunyai pelbagai spesis dan jenis tanaman. Bukan seperti pertanian konvensional yang tanam satu jenis pokok sahaja untuk seluas-luas tanah. Ini mendatangkan kerosakan kepada alam kerana ketidak-seimbangan ekosistem.

Cara ini sangat penting demi melaksanakan etika penjagaan bumi. Dalam masa sama kita sebagai manusia berusaha menjana makanan, kita turut menjaga kestabilan ekosistem alam. Pertanian yang lebih menjamin terjaganya bumi adalah kaedah pertanian integrasi (kepelbagaian tanaman) berbanding kaedah monoculture (1 jenis tanaman). Sama ada kebun kecil atau ladang yang luas berkhektar.

Seperti hutan. Bumi terjaga disebabkan masih wujud hutan. Dan hutan terasa indah disebabkan kepelbagaian tumbuhan di dalamnya.

Keseimbangan pertanian dan pembentukan komuniti

Apabila kita menjalankan konsep susitanable farming, perkara paling asas adalah menjaga kestabilan ekosistem alam dan alam ini hidupnya adalah berkomuniti. Kepada  golongan yang memahami konsep alam ini dan mahu mengusahakan pertanian lestari ini juga haruslah hidup secara komuniti. Perkara pertama yang perlu kita sendiri buat untuk berusaha menjaga ekosistem adalah dengan kita masukkan diri kita ke dalamnya dan dalam masa yang sama perlu ajak orang lain untuk masuk bersama.

Usaha ini akan tetap tidak dapat berjaya sekiranya kita tidak absorb dan tidak merasakan yang kita adalah sebahagian daripada alam. Apatah lagi sekiranya masih ada perasaan bahawa kita adalah ‘sang penguasa’ yang alam haruslah berkidmat untuknya. Alam perlu berikan kekayaan kepadanya dengan hasil yang ditanam. Alam perlu memberikan ketenangan kepadanya apabila memasuki hutan tanpa rasa perlu menjaga atau membantu alam untuk menghidupkan lebih banyak hutan.

Kredit: Fahmi Lokman

Masalag utama kebun diserang penyakit atau serangga bukan semata-mata kesilapan dalam kaedah pertanian. Masalah penggunaan racun sentetik, monoculture, dan baja sentetik adalah berpunca daripada sifat kerakusan manusia. Inilah punca masalah kepada permasalahan pertanian konvensional.

Sekiranya tidak bersifat rakus dan tamak haloba memikirkan tentang kekayaan keuntungan, maka tidak wujud pun kaedah pertanian monocluture dan penggunaan racun dan baja sentetik terhadap tanama. Kerana ini adalah jalan mudah dan senteng untuk selesaikan masalah tanpa perlu berfikir tentang fitrah alam berfungsi. Atas sebab tindakan-tindakan manusia inilah yang sebenarnya menjadi punca masalah penyakit tanaman, serangan serangga dan haiwan seperti babi.

Daripada isu inilah wujudnya susunan modul pembelajaran yang disusun dalam Permaculture Design Course (PDC) yang mengandungi 14 bab. 

Bab pertama dalam modul ini menyentuh dan menekan tentang 3 etika;

1. Menjaga bumi, 

2. Menjaga manusia, 

3. Hadkan penggunaan dan mengagihkan semula lebihan. 

Etika ketiga ini sekarang lebih populer dengan fair share ataupun perkongsian yang adil. Perkongsian itu bukanlah sesama manusia sahaja bahkan ianya adalah perkongsian  terhadap seluruh ekosistem alam. 

Mengapa etika ini wujud adalah yang kerana perbetulkan dahulu sikap rakus dan tamak untuk diri sendiri juga sifat yang merasakan manusia itu adalah sang penguasa ataupun superior. 

Selepas menyentuh tentang etika, PDC membawa kita tentang ilmu seni susun atur ataupun design. Design inilah teknikal terpenting dalam menjalankan idea permaculture. Ilmu design permaculture ini adalah bersandarkan pemerhatian kepada konsep design hutan. Hutan bukan hidup dengan satu jenis tumbuhan atau satu jenis haiwan sahaja malahan hutan tidak memerlukan baja sintetik, kesemuanya berfungsi dengan semulajadinya dari kebergantungan sesama kehidupan. 

Ecocentrism atau Humancentrism?

Mengapa etika pertama adalah menjaga bumi dan bukan menjaga manusia diletakkan sebagai etika pertama?

Sebab banyak teknologi yang mengutamakan manusia akhirnya membawa kehancuran. Contohnya isu pencemaran sungai yang dikaitkan dengan bahan buangan daripada kilang-kilang besar seperti di Sungai Kim Kim (2019) yang tercemar akibat bahan buangan kilang tayar. Johor juga memegang statistik tertinggi pencemaran sungai pada tahun 2017 dan Sungai Tukang Batu di Pasir Gudang menjadi satu-satunya sungai di negara ini yang berada dalam kategori kelas lima iaitu sungai paling teruk tercemar (Sinar Harian, 2019).

Walaupun beberapa tindakan diambil dan dikenakan, pengusaha (pemodal/kapitalis) kilang besar ini tidaklah terlalu takut dengan denda yang diperintahkan kerana kadar keuntangan hasil kilang jauh lebih besar. Kenapa mereka tidak takut? Kerana mereka tahu lebih ramai konsumer  (pengguna) yang akan membeli dan seakan-akan menjadi penyokong. Mereka hasilkan banyak jumlah produk demi memenuhi permintaan dan ‘keperluan’ manusia pengguna.

Bayangkan kalau sekiranya setiap pengusaha kilang itu meletakkan etika menjaga bumi yang pertama, pasti mereka tidak buat kilang besar dan tahan diri daripada memenuhi keperluan manusia. Begitu juga para pengguna, apabila  mereka ada etika menjaga bumi dan etika ketiga (mengawal kehendak) pasti mereka menahan diri daripada membuat permintaan yang tinggi.

Apabila etika pertama adalah menjaga bumi, bumi tidak ada permintaan dan keinginan yang melebih-lebih seperti manusia. Bumi hanya perlukan kita menjaga ruang agar proses mereka beraktiviti berjalan dengan baik. hal ini kerana kehidupan mereka sudahpun disusun dalam sebuah sistem alam semulajadi.

Berbeza dengan manusia yang mempunyai akal untuk mengolah sesuatu keinginan menjadi seakan-akan sebuah keperluan. Contohnya keperluan memiliki rumah dan kenderaan. Keinginan manusia adalah kepada rumah yang besar dan kereta yang baru dan laju. Tapi dewasa kini, manusia menjadikan rumah besar dan kereta yang baru dan laju adalah sebuah keperluan sehinggakan wujudnya pinjaman bank konvensional. 

Namun adakah pertanian permaculture membelakangkan teknologi pertanian atau kemajuan dan kemodenan masa kini? Soalan ini muncul sebab selalunya teknologi mesti akan berlawanan atau menghancurkan dengan alam. Teknologi sering dikaitkan dengan kehancuran alam. Nak buat empangan untuk sekolompok komuniti, habis seluas hutan dan perkampungan terpaksa dihapuskan kerana ditenggelami air.

Jawapannya tidak. Permaculture tidak melawan teknologi selagi tujuannya membawa kebaikan dan kaedahnya diusahakan sehabis baik untuk mengurangkan kerosakan alam. Ini juga berkait dengan etika yang pertama iaitu menjaga bumi. Ketiga-tiga etika ini perlu dimulakan daripada diri sendiri.

Agak menarik dengan idea manusia perlu juga belajar hidup dengan undang-undang rimba. Orang asli di hulu banyak masih mengamalkan hidup menggunakan undang-undang ini. disebabkan mereka praktis, banyak sumber daripada hulu seperti air sungai terjaga sekian lamanya. Mereka tidak kencing di sungai seperti haiwan darat tidak melakukannya. Kalau mereka ramai-ramai buat, habis kita yang duduk di hilir dan kuala ini dapat air yang kotor. 

Dalam rimba haiwan membunuh bukan kerana kerakusan. Harimau membunuh hanya untuk pertahankan diri dan makan untuk hilangkan rasa lapar, juga tidak makan satu jenis binatang tetapi pelbagai demi keseimbangan ekosistem alam. Mereka juga tidak bunuh berlebihan dan jualnya di pasar gelap. Begitu juga orang asli, mereka belajar untuk memburu haiwan mangsa yang banyak jumlahnya mengikut bacaan jejak dan najis.

Manusia mempunyai dua naluri sama ada berbuat jahat atau kebaikan (Surah Asy Syams, 7 – 8). Kita mudah perasan yang kita adalah makhluk paling manusia, paling penting dan sangat terhina apabila disamakan dengan haiwan. Namun anugerah akal yang dikurniakan Tuhan memampukan kita lebih ganas daripada harimau. Manusia mencipta undang-undang yang lebih merosakkan berbanding hukum alam. Undang-undang manusia hanya memenangkan kapitalisme penyebab kehancuran hutan dan lautan sehingga kepupusan pelbagai haiwan. Sedangkan hukum alam tidak pernah pun membuatkan ikan di sungai habis disebabkan memerang, kijang pupus disebabkan harimau, hutan gondol sebab dipijak gajah dan bukit menjadi rata sebab disodok babi hutan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *