Solidariti Johor20!

Solidariti buat #Johor20!

Susulan dari penangkapan 20 orang pemuda Parit Raja, kami telah berhubung dengan salah seorang ahli keluarga yang ditahan. Kita perlu pastikan hak semua tahanan terpelihara sesuai dengan Perlembagaan.

Mereka hanya menyuarakan isi hati sebenar masyarakat terhadap masalah yang timbul akibat dari sikap dan cara kerajaan menangani Covid-19. Terlalu banyak insiden yang menunjukkan kerajaan tidak bersikap adil terhadap rakyat biasa, termasuklah isu larangan pulang ke kampung dan penutupan premis perniagaan.

Kejadian yang dikatakan sebagai ‘rusuhan’ tersebut sebenarnya adalah acara tahunan anak-anak muda Parit Raja. Ia telah berlangsung sejak sekian lama.

Hanya kerana tahun ini mereka membawa kain rentang mengkritik kerajaan, tiba-tiba isu ini disiasat polis.

Sedangkan yang berlaku, mereka hanya menggunakan acara tahunan ini sebagai ruang untuk menyuarakan kesusahan rakyat melalui kain rentang #KerajaanGagal.

Tiada perkara baharu dalam acara ini melainkan kain rentang. Jika aksi ini ditafsirkan sebagai satu rusuhan, Mengapa tidak ada tindakan pada tahun-tahun sebelum ini?

Adakah ini satu tindakan untuk menutup suara anak muda yang mengkritik kelemahan kerajaan?

Tindakan mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan juga dapat dilihat sebagai protes kerana ramai ahli politik dan golongan elit yang melanggar SOP sesuka hati.

SOP yang berubah-ubah dalam waktu yang singkat juga merupakan faktor utama kemarahan rakyat.

Hakikatnya, ramai rakyat sedang susah. Sepanjang lebih 14 bulan kerajaan memerintah, terlalu banyak keputusan yang dibuat pada saat-saat akhir; dalam keadaan yang tergesa-gesa dan tidak konsisten. Sikap ini telah banyak menyusahkan rakyat.

Suka atau tidak, jelas mereka hadir dalam keadaan membawa ‘suara rakyat’. Kita harus memelihara kebebasan bersuara dan jangan sesekali memandang rendah suara anak-anak muda!

Teruskan menyokong dan maklumat lanjut akan menyusul.

 

#SuaraParitRaja
#SolidaritiJohor20
#Johor20

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *