Mat Indera: Peribadi Seorang Gerila Komunis Melayu

Oleh: Iltizam Iman

Penyertaan Mat Indera dalam kesatuan buruh, parti politik dan anggota gerila adalah manifestasi nasionalisme dalam perjuangan semasa. Biarpun penyertaannya dalam PKM yang berasaskan ideologi komunisme, ia masih dalam kerangka nasionalisme yang bertujuan menentang penjajahan.
(Dr. Muhaimin Sulam dalam “Mat Indera: Petualang atau Pejuang”. Halaman 61)

Latar Belakang

Mat Indera atau nama sebenarnya Muhammad (Ahmad) Bin Indera dilahirkan pada tahun 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat Johor. Menurut catatan sejarah, leluhur beliau berasal dari Datuk Bentara Bendahara Jubir Lela Pahlawan Siak Inderapura dan Datuk Bendahara Husin Lela Pahlawan Siak Seri Inderapura yang menjadi panglima kanan Sultan Sharif di Siak.

Anak kepada Datuk Bendahara Husin, iaitu Muhammad Salleh telah berhijrah dari kepulauan Riau ke Johor semasa serangan penjajah Belanda. Di Johor, bapa kepada Mat Indera lahir di Johor.

Buku yang menjaga garis leluhur keluarga Mat Indera disimpan rapi oleh adiknya, Baharom Shah. Buku tersebut masih menggunakan tulisan Jawi lama dan masih bernada lenggok Melayu lama. Sebahagian dari isi kandungannya juga terdapat pengisian tentang ilmu ghaib, petua dan perubatan Melayu. Tak terlepas, kaedah-kaedah untuk menawan hati para wanita. Buku salah silah ini pada asalnya dimiliki oleh atuk saudara Mat Indera yang bernama Bidin bin Hussin.

Keluarga

Ayah beliau, Indera, telah berkahwin dengan ibunya Maimunah Binti Daud. Ibunya ini merupakan seorang wanita yang berdarah Melayu Johor. Perkahwinan mereka telah dikurniakan 7 cahaya mata. Abang sulung Mat Indera bernama Abdullah, telah meninggal ketika masih kecil. Kemudian diikuti Mat Indera, Zaharah, Kalsum, Hamzah, Isa, Khadijah dan Johan Shah.

Selepas ibunya kembali ke rahmatullah, ayahnya berkahwin pula dengan Rokyah Binti Dasuki. Ibu tirinya itu yang memiliki darah Jawa berasal dari Bukit Pasir, Muar. Kemudian perkahwinan itu dikurniakan lagi dengan 4 orang anak iaitu Osman, Fatimah, Baharom Shah dan Saadiah.

Keadaan Ekonomi Keluarga

Ayah beliau bekerja sebagai juru ukur tanah di Muar di bawah kerajaan Inggeris. Kemudian berpindah menjadi Rubber Inspector di sebuah syarikat milik Inggeris. Selepas ayahnya jatuh sakit, Mat Indera sebagai anak paling tua menggalas tanggungjawab menyara kehidupan seisi keluarga mereka.

Ketika Mat Indera terlibat dalam gerila, keluarganya menghadapi kesukaran ekonomi sehingga adik beradiknya terpaksa bekerja dan mengambil upah seperti menjahit dan sebagainya.

Walaupun memiliki garis keturunan orang-orang istana, penjajahan dan penghijrahan menyebabkan keluarganya tidak memiliki tanah yang cukup luas untuk diusahakan bagi menyara kehidupan. Rumah yang mereka diami di Batu 1, Jalan Bakri, Muar ketika itu juga merupakan rumah sewa.

Ayah beliau meninggal pada 1952 ketika beliau dalam buruan Inggeris. Ketika jasad ayahnya mahu dikebumikan di tapak perkuburan Bukit Cermai, ramai anggota polis datang. Tetapi kedatangan mereka itu bukanlah untuk memberi penghormatan terakhir, melainkan untuk menangkap Mat Indera.

Ketika Dr. Muhaimin Sulam bertanya kepada adik Mat Indera iaitu Johan Shah, bagaimana reaksi keluarga mereka tentang penglibatan Mat Indera dalam gerila. Johan Shah memberitahu, kedua orang tua dan keluarga Mat Indera tidak menghalang tetapi mereka tetap bimbangkan keselamatannya.

Keperibadian Mat Indera

Dalam filem Bukit Kepong arahan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, Mat Indera digambarkan sebagai seorang komunis Melayu yang meremehkan sembahyang. Filem tersebut juga mencipta satu sangkaan yang Mat Indera memiliki tanggapan bahawa sembahyang adalah penghalang utama masyarakat Melayu untuk menyertai gerila. Kemudian, Mat Indera hanya berpura-pura menjadi penceramah agama untuk mendoktrin masyarakat dan merekrut anak muda ke dalam komunis.

Koleksi DVD Filem Melayu

Itulah keperibadian Mat Indera yang Allahyarham Jins Shamsuddin tanam dalam pemikiran masyarakat. Tetapi berlainan pula peribadi Mat Indera dalam versi kajian ilmiah dan catatan-catatan berkaitan beliau. Yang mana lebih banyak menyatakan keperibadiannya yang mulia. Hal ini boleh ditemukan dalam kajian ilmiah Ayub bin Kasim, juga tulisan Ismail Adnan dan Sahgidon Dirhan. Buku yang banyak menjadi rujukan saya dalam tulisan ini, Mat Indera: Petualang atau Pejuang tulisan Dr. Muhaimin Sulam juga banyak mengumpulkan catatan-catatan yang menceritakan keperibadian Mat Indera yang mulia.

Menurut adiknya, Baharom Shah Indera, melalui temu-bual bersama Dr. Muhaimin Sulam pada 28 Julai 2012, Mat Indera memiliki tubuh yang sederhana tinggi. Dadanya bidang, berkulit kuning langsat. Berwajah kacak dan daya fikirnya bijak. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang gagah berani, tegas dan memiliki semangat juang yang tinggi.

Sisi-sisi Mulia Mat Indera

Hakikatnya, masyarakat sekeliling mengenali peribadi Mat Indera bukanlah seperti yang dipropagandakan Allahyarham Jins Shamsuddin dan pihak Inggeris. Keluarga dan kebanyakan masyarakat sekeliling tidak mengenali Mat Indera sebagai pengganas, penunggang agama dan sebagainya. Tetapi mereka mengenali Mat Indera sebagai seorang yang berilmu tinggi dan memiliki budi pekerti mulia.

Sebagai anak muda, Mat Indera amat gemar bernasyid, berqasidah dan berzanzi. Beliau amat meminati lagu-lagu padang pasir yang berasal dari Mesir seperti lagu-lagu nyanyian Abdul Wahab. Suaranya sangat lunak, merdu dan memiliki nafas yang panjang. Bahkan sewaktu bergerila di dalam hutan, Fakeh Muhamad memberitahu suara merdu Mat Indera itu dapat didengari ketika beliau melaungkan azan ketika masuknya waktu solat.

Sebelum itu lagi, ketika beliau bekerja sebagai pengangkut beras, beliau tidak pernah lupa untuk membantu masyarakat secara percuma. Beliau sering mengumpul lebihan beras yang tercicir di pelabuhan dan dibahagi-bahagikan kepada mereka yang memerlukan. Dirinya amat disenangi oleh ramai orang, sifat keprihatinan beliau telah membentuk pengaruh kepimpinan beliau di Muar.

Taat Pada Agama

Namun, ketegasannya tidak sedikit pun memadam sifatnya yang sangat lemah lembut, peramah, banyak senyum, banyak melawak, tidak panas baran dan amat jarang menyakitkan hati orang lain.

Menurut keterangan Abdul Kadir Mar’ie, seorang bekas anggota gerila yang direkrut Mat Indera, sosok yang bertanggungjawab mengarahkan serangan Bukit Kepong itu sangat warak orangnya. Beliau tidak pernah dilihat tinggal sembahyang walaupun sedang bergerila di tengah hutan.

________________________________________________
SIRI TOKOH TANAH AIR:
1. Shamsiah Fakeh: Menyusur Hidup Seorang Perempuan Merdeka
2. Ahmad Boestamam: Sejarah Perjuangan Nasionalisme Rakyat
3. Dr. Burhanuddin al-Helmy: Membina Bangsa Merdeka
_____________________________

Malah, Mat Indera sendiri selalu mengadakan ceramah agama kepada anak-anak buahnya ketika di dalam hutan. Beliau banyak menyentuh soal al-Quran, hadis dan perjuangan politik seperti penyusunan strategi untuk menghapuskan kuasa penjajah Inggeris dari Tanah Melayu.

Abdul Kadir Mar’ie menggambarkan lagi tentang keperibadian Ketua Pergerakan Komunis Bahagian Selatan ini sangat membenci tindakan-tindakan zalim komunis, yang ada masanya bertindak ganas dan anti-agama. Pendekatan membenarkan tindakan yang salah demi cita-cita perjuangan, bukanlah sebahagian dari prinsipnya. 

Pembela Rakyat Miskin

Pernah beliau ditahan pihak polis, kerana beras di gudang hilang. Apabila disiasat, beras itu dicuri oleh pekerja-pekerja yang terdesak kerana kesempitan. Kemudian, beliaulah yang menyerahkan diri merengkok dalam penjara selama 2 bulan demi membela nasib pekerjanya.

Di hari pembebasan, Mat Indera diarak oleh pengikutnya dari Jalan Maharani ke Jalan Abdullah, Muar, sebagai tanda sokongan. Dedikasi hidupnya buat nasib rakyat miskin, boleh dikata tiada tolok-bandingnya. Beliau adalah pembela kepada orang-orang bawahannya yang kesusahan.[3]

Dalam catatan Ismail Adnan pula, sebuah pasukan Inggeris yang terdiri dari orang Melayu pernah bertembung dengan Mat Indera, tetapi sebelum beliau menghilangkan diri beliau sempat berteriak,

“Kamu orang Melayu, balik! Kami tidak cari kamu. Mangsa Mat Indera adalah Inggeris, tali barut Inggeris dan pengintip Inggeris!”

Latar Belakang Pendidikan Seorang Komunis Islam

Mat Indera mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Bandar Maharani, Muar. Kemudian pada sebelah petangnya, beliau menghadiri sekolah agama di Sekolah Agama Saadiah. Alam persekolahannya itu tamat pada 1937 ketika beliau berumur 17 tahun.

Mat Indera juga pernah berguru dengan ayahnya Tan Sri Mahiyadin Bin Yasin, iaitu Cikgu Hj. Muhammad Yasin bin Hj. Muhammad. Cikgunya ini amat terkenal dengan kelantangannya yang menentang penyelewengan agama yang dilakukan oleh kaum muda. Beliau juga memiliki pandangan yang sangat kritis terhadap perkembangan politik negara.

Tuan Guru Hj. Muhammad Yasin bin Hj. Muhammad

Kemudian, Mat Indera juga pernah berguru dengan Hj. Ibrahim jubah di Sekolah Agama Tinggi di Dumpar, Tanjung Mas, Muar. Gurunya ini merupakan seorang yang bijak berpidato dan bijak menyusun kata dalam mengupas peristiwa politik yang berlaku.

Pernah juga beliau berguru degan Kyai Haji Fadzil Bentan yang merupakan salah seorang guru serta penasihat Sultan Ibrahim, Sultan Johor ketika itu.

Berkat ketekunan beliau dalam mendalami ilmu agama, beliau telah menjadi seorang yang hafiz al-Quran. Jika Kyai Haji Fadzil Bentan datang ke Muar atas undangan ke majlis keramaian, beliau akan meminta Mat Indera membacakan al-Quran. Selepas Mat Indera pergi bergerila, peranannya diambil alih pula oleh adiknya, Johan Shah, bagi membacakan al-Quran untuk majlis-majlis keramaian.

Guru-gurunya ini sangat mempengaruhi Mat Indera dalam pembentukan pemikirannya melihat keadaan masyarakat di bawah pengaruh penjajah.

Pekerjaan Mat Indera

Mat Indera pada awalnya bekerja sebagai guru agama kemudian beralih menjadi buruh di pelabuhan Muar.

Beliau pernah berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Agama Parit Setongkat, Muar pada 1937. Setiap hari, beliau akan menaiki basikal sejauh 4 km dari rumahnya ke sekolah tersebut untuk mengajar.

Sekolah Agama Parit Setongkat yang telah berpindah ke bangunan baru.

Ketika peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera dianugerahkan butang perak dari kerajaan Johor atas prestasinya yang cemerlang. Selepas tamat Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama. Ketika ini, beliau digajikan secara bulanan sebanyak RM20.00.

Selain mengajar di sekolah, Mat Indera juga dijemput untuk memberikan ceramah di sekitar Muar. Kedudukan Mat Indera ketika itu amatlah dihormati oleh penduduk sekitar, beliau dikenali sebagai ustaz dan juga pendakwah.

Sebagai Pengangkut Beras

Semasa penjajahan Jepun, beliau bekerja pula sebagai penjual beras kerana banyak sekolah ditutup. Kemudian pihak kerajaan di bawah pentadbiran Jepun menawarkan kepada beliau untuk menjadi guru. Tetapi tawaran itu ditolak mentah-mentah. Beliau tidak mahu mempelajari bahasa Jepun sebagai tanda protes terhadap syarat dan dasar baru penjajah itu.

Kerjanya sebagai penjual beras sewaktu kedatangan Jepun ini memberi keselesaan hidup kepada keluarganya. perniagaan beras ketika itu amat penting. Pemerintah Jepun tidak membenarkan Tanah melayu mengambil beras dari Burma, Siam dan lain-lain. Jepun juga telah melarang Tanah Melayu mengimport beras bagi memelihara kepentingan perniagaan mereka.

Bekalan beras di Tanah Melayu ketika itu turun mendadak, aktiviti pertanian padi juga terganggu kerana banyak kerbau yang dirampas tentera Jepun untuk dijadikan makanan mereka. Stok beras harus dicatu. Jepun memperkenalkan ‘Kad Beras’ di beberapa buah bandar seperti Singapura dan Pulau Pinang. Setiap seorang dewasa hanya dibenarkan untuk membeli 4 kati setiap bulan, dan kemudian dikurangkan kepada 3 kati pada penghujung era pendudukan Jepun.

Pembela Keluarga

Kesempatan sebagai penjual beras itu digunakan Mat Indera untuk membantu saudara maranya yang hidup kesempitan ketika zaman perang. Selepas kembalinya Inggeris ke Tanah melayu, Mat Indera dinaikkan pangkat menjadi ketua pengangkut beras di pelabuhan Muar. Perkara ini disebabkan kualiti kepimpinan yang dimiliki oleh beliau.

Semangat Mat Indera untuk menegakkan kebenaran dan membela orang yang lemah, telah jelas ketika beliau bekerja di pelabuhan Muar. Walaupun belum terlibat secara langsung dalam gerakan politik tanah air, beliau telah menyusun kesatuan buruh bagi memastikan kebajikan dan hak pekerja terbela. Beliau juga terlibat secara aktif dengan beberapa buah kesatuan buruh, sebagai langkah awal dalam membela rakyat dari manipulasi penjajah.

(Bersambung)

Di artikel yang seterusnya, kita akan menelusuri pergerakan Mat Indera di dalam gerakan politik tanah air. Akan merangkum sejarah beliau ketika mula terlibat dengan PKMM, API dan menyertai gerila sebelum berlakunya tragedi Bukit Kepong. Jemput masuk ke pautan di bawah:

Mat Indera, Dari Kuasa Buruh Hingga Gerila


Rujukan:

Dr. Muhaimin Sulam. 2012. Mat Indera: Petualang atau Pejuang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *